Pages

Sunday, November 15, 2009

KEMELUT JAMAAH & KEPENTINGAN MEMPERKASA TARBIAH

PAS sebagai gerakan Dakwah dan politik semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Kalau kita meninjau dari kacamata sejarah perjuangan gerakan Islam di Malaysia ianya masih terlalu muda berbanding negara negara yang lain.Bertitik tolak dari penentangan golongan alim ulama dalam usaha menentang penjajah gerakan menegakkan Islam menyusuri berbagai suasana pasang surut di tanahair kita.

Penentangan penjajah di Tanah Melayu tidak dapat kita pisahkan untuk menyebut perkataan "kemerdekaan". Kemerdekaan diertikan dengan berbagai makna dan definasi bertitik tolak daripada kefahaman dan penghayatan setiap kelompok atau individu tentang fikrah perjuangannya.

Golongan yang berada dalam kelompok UMNO mendefinasikan kemerdekaan dalam bentuk yang cukup sempit dan jumud sehingga mereka terjerumus dalam suasana kemerdekaan yang dijajah.Mereka mendakwa UMNO sebagai pejuang kemerdekaan yang tulin. Namun sejarah tidak dapat diubah fakta kebenarannya ; bahawa UMNO adalah mereka yang menjadi pak turut kepada penjajah. Persoalan yang perlu kita jawab "kurniaan" kemerdekaan kepada Tanah Melayu adalah kerana tekanan yang diberikan oleh golongan Ulama dan gerakan Islam.Britian merasakan penentangan golongan Islam tidak akan meredakan sengketa dan agenda penjajahan dalam bentuk penentangan akan berpanjangan. Justeru mereka menggunakan teknik lunak dengan menjadikan golongan pejuang sekular untuk mengambil tempat sebagi proksi menjalankan agenda penjajahan dan kekallah golongan yang cintakan islam menentang agenda penjajahan dan perseteruan kepada Islam.

Kesedaran golongan ulama meneruskan agenda penentangan terhadap penjajahan yang berterusan melalui kronologi yang amat perlu di fahami oleh setiap anak gerakan Islam. sejak zaman penjajahan orang putih lagi gerakan secara sistematik telah muncul di negara kita. Penubuhan Hizbul Muslimin di Gunung semanggol mengungguli gerakan dakwah dan politik dalam usaha menghapus agenda penjajahan dan penentangan kepada agama Allah. Setelah itu muncul PAS sehingga hari ini yang kekal sebagai wadah kepada individu gerakan Islam untuk melunaskan cita cita dan azam mengembalikan "ketuanan Islam "dan membuktikan I"slam sebagai penyelesaian".

PAS sebagai gerakan Islam yang konsisten mendepani wawasan meninggikan kalimah Allah sudah tentu berhadapan dengan mehnah dan tribulasi. Benarlah firman Allah yang bermaksud

:"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, Pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." mereka membinasakan diri mereka sendiri[ dan Allah mengetahui bahwa Sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta" ( At Taubah : 42)

Sejarah awal PAS menyaksikan terlalu sedikit mereka yang meyokong dan mendokong PAS. Ketidakyakinan PAS sebagi Parti Islam untuk mentadbir dam memerintah terpahat kejap dalam sanubari masyarakat negara kita. Suntikan kebendaan sekular yang mengepung sanubari dan minda masyarakat terus mendapat tempat dan itulah agenda penjajah yang terus dijaja atas nama kemajuan.

Namun kejahatan akan musnah, kebenaran akan dipancarkan oleh Tuan empunya dunia dan apabila cahaya kebenaran ingin dipancarkan tiada siapa pun ayang dapat menghalang.Walaupun tangan tangan nakal penjajah ini bergentayangan ingin memadam erti hidayah dan kebenaran Allah akan menyempurnakan kebenaran. Ingatlah Firman Allah dalam Surah Ass Soff yang bermaksud :

"Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya". (Ass Soff :8)


PAS yang satu ketika tidak terfikir pun oleh masyarakat kita sebagai gerakan yang akan menjadi payung keselamatan kepada rakyat berubah situasinya. Kebejatan agen penjajah yang berterusan mengoyak rakus hukum dan kebenaran semakin menghakis kepercayaan seluruh rakyat sehingglah mereka (rakyat) mencari cari payung untuk berteduh dan payung PAS menjadi pilihan yang paling diyakini.

PAS yang satu ketika ditakuti kini dihuni oleh berbagai lapisan dan berbagai kelompok kefahaman manusia, bermula dari golongan marhain sehinggalah kepada mereka yang berpendidikan dan berkedudukan. Apabila rumah yang dulu jarang disinggah dan jarang dihuni oleh gerangan pengunjung dan penghuni-penghuni baru ini menjadi gegak gempita dengan susana yang serba baru. Perubahan dan pertambahan hatta sehingga perubahan kepada stryktur binaan rumah itupun mungkin boleh berlaku.

Cuma PAS sebagai Rumah yang berpaksikan prinsip dan etika tauhid tidak mungkin merubah dasar konkrit binaannya hanya semata mata meraikan penghuni dan pengunjung yang bila bila masa sahaja boleh meninggalkan rumah PAS ini. PAS perlu mempertahankan binaan asalnya sebagai harakah islamian agar matlamatnya tidak mudah digoyang oleh penghuni dan pengunjung yang mungkin sekadar melepas lelah di rumah PAS. PAS juga perlu lebih berhati hati kalau pengunjung yang datang itu cuba cuba pula untuk menjadi tuan rumah setelah bermalam di rumah PAS.

Mendepani cabaran ini PAS mempunya senjata ampuh untuk mempertahankan rumah tangganya bermula dari binaan rumanya sehinggalah kepada ahli keluarganya iaitu "senjata tarbiah". Tarbiah dan pendidikan terhadap ilmu yang menyeluruh akan mempertahankan rumah PAS dari roboh, usang,bocor,dan tumbang. Tarbiah akan menenangkan kocakan demi kocakan yang menggangu gugat keharmonian dan kedamaian ahli keluarga PAS.


Semenjak dua menjak ini musuh semakin rajin mengintai dan membaling batu kecil ke arah rumah PAS yang sememangnya harmoni. Keadaan semakin panas apabila ada ahli keluarga PAS yang cuba tersenyum kepada musuh musuh ini melalui jendela rumah PAS yang aman itu. Justeru musuh semakin galak dan dan ada pula sebahagian ahli keluarga PAS yang cuba menggamit dan menyahut pekikan musuh ini. Kalau yang tersenyum pada musuh itu Ayah atau Abang sukung dalam Keluarga PAS kita yakin mereka tahu menjaga diri berhadapan musuh yang cuba mengambil kesempatan ini tapi yang kita bimbang yang cuba tersengeh pada musuh itu adalah penghuni dan pengunjung rumah PAS yang tidak pernah pun tahu selok belok kedudukan rumahtangga PAS.


Nasihat penulis kepada baru menghuni rumah tangga PAS ini, yang baru sekali dua makan malam dan makan tengahari dengan PAS jangan cuba memandai mandai menyapu cat baru di dinding rumah PAS. Kalau belum pernah bangun malam bersama penghuni asal rumah PAS dan hanya sekadar baru di ajak menebas rumput di depan rumah PAS jangan memandai untuk merubah struktur rumah PAS. Jangan hanya baru sekali dua di serang semut merah ketika menyapu daun kering di laman rumah PAS sudah cuba cuba menukar posisi bilik Ayah atau sudah pandai meminda kerja buat abang sulung.


Sedarlah penghuni rumah PAS dan pengunjung rumah PAS, di rumah yang kita huni bersama ini semarakkan kecintaan. Buang tujuan dan kepentingan diri. Buang agenda tersembunyi yang telahpun "atuk" menghidu, yang telahpun "ayahnda" sedari yang telahpun "Abang sulung" fahami. Jangan cuba bermain api sebaliknya padamlah api itu dengan tarbiah dan mahabbah.


(siri siri tarbiah akan dimuatkan secara berkala insyaallah)

.

Tuesday, November 10, 2009

BAI’AH PAS DIBANTAH

Oleh: Abu Shaukah Filmanzil


Saya amat terkejut apabila membaca tajuk utama “Bai’ah Pas Dibantah” dalam sebuah akhbar pro kerajaan beberapa hari lepas.Terkini sebuah lagi akhbar yang juga pro kerajaan mengulas isu yang sama.Terkejutnya saya bukan disebabkan isu bai’ah yang digembar gemburkan itu tetapi terkejut disebabkan isu bai’ah itu diulas oleh orang yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan dan pendokong UMNO , serta Ulamak-ulamak yang menjadi poroksi UMNO. Sekiranya bantahan sebegini rupa disuarakan oleh mereka yang sememangnya UMNO apa perlu tajuk tersebut dimukadepankan oleh sebuah akhbar arus perdana yang ditatapi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik. Lainlah jika bantahan itu disuarakan oleh wakil rakyat atau orang PAS yang terlibat dengan bai’ah tersebut.


Suka saya menarik perhatian pembaca, bai’ah yang digembar gemburkan itu bukan menjadi pegangan atau sesuatu yang diarahkan oleh PAS pusat maupun negeri tetapi bai’ah itu mungkin inisiatif yang diambil oleh PAS kawasan-kawasan tertentu sebagai langkah menjaga masalahah masyarakat. Hati saya amat sedih ketika membaca kenyataan seorang yang mempunyai kedudukan yang agak tinggi dalam perjawatan agama yang menyatakan PAS seolah-olah mempertuhankan politik dengan melaksanakan baiah dan mempertaruhkan keharmonian rumah tangga demi cita-cita politik mereka.


Sekian lama saya mengikuti perjalanan PAS, sehingga kini saya masih belum terjumpa amalan atau pegangan yang PAS itu boleh difatwakan sebagai menyeleweng atau terkeluar dari batas aqidah atau agama. Jika ada perbezaan pendapatpun hanyalah pada soal-soal furuq dan perselisihan yang bukan sahaja dengan UMNO malah dengan pendapat-pendapat ulamak yang lebih muktabar. Usah pergi terlalu jauh, perhatikan apa yang terdapat dihadapan kita. Saya kira tidak ada isteri-isteri pemimpin PAS yang tidak bertudung atau mendedahkan aurat. Tidak seorangpun yang bergelar wakil rakyat PAS atau pemimpin PAS gila menari, berjoget,berkaraoke,gila judi dan kaki mabuk. Tidak ada juga ADUN pas yang kaki betina dan berzina. Tidak ada juga pemimpin PAS yang menentang hudud dan soal-soal berkaitan tuntutan agama. Tidak ada juga ADUN atau wakil PAS yang menentang kebaikan, lebih-lebih lagi yang menjadi tuntutan agama. Tidak ada juga ADUN atau wakil PAS yang secara suka rela menerima dan memberi rasuah. Rasuah jika ada dan diuar-uarkanpun hanyalah yang bersifat teknikal dan boleh dipertikaikan. Justeru itu apa perlu dikecohkan sangat jika ada sesuatu “benda baru” yang dibuat untuk mendaulatkan Islam itu sendiri termasuklah hal-hal berkaitan politik. Berpolitik untuk Islam kerana politik itu sebahagian daripada agama bukan mempergunakan Islam untuk Politik


Pihak-pihak yang mempunyai kuasa terutama dalam bidang agama seharusnya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan. Jangan terlalu cepat mengeluarkan hujah tanpa melihat sesuatu yang digembar gemburkan itu mengikut fikiran sendiri. Renungilah diri, bukankah bertaqlik semasa selesai upacara pernikahan sepasang pengantin itu diadakan bertujuan untuk menjaga masalahah atau kepentingan pihak perempuan. Saya telah merujuk beberapa kitab berkaitan nikah kahwin dan bertanyakan beberapa guru yang mempunyai pandangan yang diyakini. Hasilnya tidak seorangpun menyatakan bertaqlik yang menjadi syarat wajib bagi Jabatan Agama sesetengah negeri itu ada nas atau dalil yang kukuh bagi melaksanakannya. Jawapan yang diberikan hanyalah sebagai langkah untuk menjaga masalahah atau kebajikan pihak perempuan. Jika isu bai’ah yang saya kira bertujuan untuk menjaga masalahah masyarakat itu boleh dikatakan bertuhankan politik, mengapa pula dalam hal taqlik ini tidak dikatakan bertuhankan Jabatan Agama atau lebih sedap lagi dikatakan bertuhankan mufti?


Umum telah mengetahui tujuan PAS ditubuhkan adalah untuk melaksanakan tuntutun dan syariat Allah berpandukan Al-quran,Hadith,Sunnah,Ijmak dan Qias. Sesuatu usul atau pandangan yang telah,sedang dan akan dilaksanakan bukanlah berpaksikan hawa nafsu. Dalam isu bai’ah secara peribadi saya amat bersetuju dan dipertahankan demi menjaga masalahah atau keperluan masyarakat. Kita telah menyaksikan contoh ADUN atau wakil rakyat yang diberi kepercayaan oleh rakyat tetapi mengkhianati amanah yang diberikan. Sekiranya seorang dua yang khianat dan tidak menjejaskan kestabilan kuasa pemerintahan mungkin tidak mengapa, tetapi apabila sudah menjadi pertikaian dan menyebabkan rakyat hidup tidak tenteram dan harmoni, saya kira dosanya lebih kasar jika dibandingkan dengan berbai’ah yang hanya menjejaskan satu keluarga sahaja. Itupun jika ADUN atau wakil itu berpaling tadah, jika tidak, ianya bukan satu isupun. Yang menjadi “dajalnya” sekarang ini, mereka yang gila kuasa dan kedudukan sebab itu tidak berani melepaskan jawatan walaupun sudah berpaling tadah.


Kalau benarpun seseorang ADUN atau wakil rakyat tidak setuju dengan dasar parti atau tidak sebulu dengan pucuk pimpinan, letak sahaja jawatan dan serah semula mandat kepada rakyat. Apa perlu melompat parti. Saya kira isu bai’ah ini tidak timbul langsung implikasinya pada masyarakat, ADUN atau keluarga ADUN. Yang menjadi masalahnya ialah UMNO, tidak dapat membeli atau menarik ADUN-ADUN dan AP PAS menyertai mereka sekiranya wakil-wakil PAS itu berbai’ah. Itu sebablah mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperkudakan golongan agama bagi mengeluarkan pendapat atau hujah yang konon-kononnya berpandukan al quran. Contohnya hukuman sebatan kepada peminum arak hanya 4 sebatan konon-kononnya melaksanakan hukum Islam.Kuda-kuda tunggangan UMNO ini hanya diam atau memperakuinya pula. Mufti langsung tidak berani mengatakan bahawa hukuman itu salah dan tidak menepati syariat dan tidak ada usahapun untuk memperbetulkannya walaupun sudah berpuluh tahun menjawat jawatan mufti.


Saya kira juga, puak-puak yang digelar ulamak pendokong,penyokong atau poroksi UMNO ini, jika hidup di zaman Firaun dan ditempat nabi Musa, sudah pasti mereka akan mengatakan Firaun itu benar kerana Firaun yang menyuap nasi ke mulut, membelai serta memberi kesenangan kepada mereka ketika masih kecil hingga dewasa.


Akhirnya saya memohon ampun kepada Allah, jika pandangan saya ini salah. Kepada pembaca saya mohon berfikir secara ilmaiah berpandukan hujah yang Qat’i sebelum menerima pandangan saya. Kepada pejuang gerakan Islam teruskan perjuangan kalian, jangan terpengaruh dengan cakap-cakap atau bisikan yang cuba memporakperandakan iqtikad kalian. Ingatlah Islam itu benar dan politik Islam juga benar. Menjadi kewajipan kalian mempertahankan kebenaran. Isu-isu remeh seperti masalah seorang dua kepimpinan itu bukan topik utama. Kembali kepada pegangan kalian, dasar perjuangan Islam yang kalian pertahankan. Pemimpin akan datang dan pergi, dasar Islam yang menjadi wadah akan kekal hingga ke akhirnya.Berhati-hatilah juga terutama dengan agen-agen luar yang kononnya bersimpati dan mengatakan kalian di pihak benar. Sesekali mereka ini akan menghempas kalian dan perjuangan kalian hingga berkecai dengan mula menyerang kepimpinan kalian. Setiap pandangan atau simpati daripada orang luar atau mereka yang bukan ahli jamaah kalian harus diperhalusi. Sekarang inipun sudah kedengaran cakap-cakap atau tulisan mereka yang mempertikaikan kedudukan pemimpin utama kalian. Ingat, pemimpin utama jamaah kalian, dilantik oleh kalian melalui masyawarah, jangan terikut-ikut mainan politik mereka sehingga PAS juga menerima pukulan perpecahan atau perbalahan 1Malaysia. Wallahuaqlam!


Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran

Berjihadlah wahai kaum Muslimin

Walau kalah atau capai kemenangan.


Bersatulah wahai kaum Muslimin

Dengan obor sinar kebahagiaan

Berjihadlah wahai kaum Muslimin

Walau rebah atau tegak kejayaan.


Berjuanglah wahai ansharullah

Dengan semangat yang tak kenal kalah

Berkorbanlah wahai yang beriman

Dengan harta dan segenap kepunyaan.


Bergerak ke gerbang jaya
Agar bebas dan kekal merdeka

Beramallah wahai roh yang suci

Hingga nyata benarnya janji Robbi.


Ulangan:


Selamatlah Persatuan Islam melangkah

Membimbing umat ke medan siasah

Berpedomankan Qur’an dan Sunnah

Suburlah hidupnya dan berbuah.


Senikata:Muhammad Asri Muda.

Gubahan : Abdullah Bukhari

Monday, November 9, 2009

Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk

SHAH ALAM, 8 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis perasmian sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat.

"Kita memang tersekat untuk masuk dalam semua rumah rakyat negara ini, tetapi saya yakin ICT boleh melakukannya," kata Abdul Hadi dalam ucapannya itu.

Untuk melaksanakannya, beliau meminta kajian, penyelidikan dan inovasi dibuat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan.

"Kita mesti mendahului lawan kita dalam hal ini walaupun kita kekurangan jentera, petugas dan sebagainya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi menyelar pihak-pihak yang menggunakan IT sekarang untuk menyebarkan maklumat salah sehingga menimbulkan fitnah.

"Kena ingat, fitnah ini besar dosanya," katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Arahan Abdul Hadi ini diadakan sehari selepas seminar memperkasakan PAS yang banyak mendapat imput baru untuk memperkasakan parti Islam itu.

Saranan Abdul Hadi dilihat selaras dengan usaha Lajnah Penerangan PAS Pusat yang sedang berusaha menganjurkan Konvensyen Blogger PAS dalam masa terdekat.

Ianya mempunyai tujuan serupa iaitu membentuk kumpulan blogger PAS bagi menangkis fitnah di alam maya.

Selain itu ianya juga diharap mampu berdepan serangan 'cyber trooper' parti lawan.


Thursday, November 5, 2009

Jangan terperangkap! Serang 'sahabat satu jemaah' lebih hebat dari serangan musuh

Nazri Abdullah
Thu | Nov 05, 09 | 11:02:46 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Nov: Seluruh petugas PAS diingatkan jangan terperangkap dengan 'agenda musuh' sehingga mencetuskan polimik sesama sendiri dan lupa fokus paling utama untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sama ada sedar mahupun tidak, PAS katanya sedikit demi sedikit telah masuk ke perangkap musuh apabila menyerang 'sahabat dalam satu jemaah' lebih hebat dari menyerang musuh sebenar.

Selain merugikan jemaah, membuang masa, tenaga dan wang ringgit, tindakan itu juga seperti menghulurkan peluru kepada musuh untuk menyerang PAS itu sendiri.

"Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang 'musuh' kita sebenar.

"Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita," tulis dalam blognya http://tuanibrahim.blogspot.com.

Petugas PAS juga katanya perlu sedar, Umno sudah menukar strategi mereka setelah melihat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat sejak PRU ke-12 dan tujuh pilihanraya kecil berikutnya.

Umno kini katanya menggunakan strategi menimbulkan pergolakan dalaman parti parti dalam PR sehingga timbul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza yang mampu menggawatkan parti masing masing.

Strategi itu katanya dilihat berjaya apabila disokong sepenuhnya media arus perdana dan media baru yang mengalihkan perhatian masyarakat dengan menumpukan kepada krisis dalaman PR.
"Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya.

"Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan," tulisnya lagi.

Namun katanya, keadaan masih belum terlewat untuk petugas PAS kembali kepada fokus sebenar iaitu merancang straregi menang PRU ke-13.

"Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita.

"Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah," tegasnya.

Keadaan yang berlaku pada PAS kini turut dianalogikan dengan kisah 'enam pelabur' bercadang menternak kambing.

Biarpun projek mereka belum berjalan namun masing-masing sudah bergaduh memikirkan pembahagian keuntungan.

Sehingga salah seorang dari mereka dilaporkan berkata:
"Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi". ceritanya dipetik.

"Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja," katanya. _

Monday, November 2, 2009

KORBAN PERTAMA 1MALAYSIA

Oleh: Abu Shaukah Filmanzil


27 Oktober 2009, Negara dikejutkan dengan tragedi runtuhan jambatan gantung di Pusat Ko Kurikulum SK Kuala Dipang yang mengorbankan Dina Deve sementara dua pelajar lagi masih hilang.Menurut maklumat, jambatan gantung yang merentasi sungai Kampar tersebut baru dua minggu disiapkan dan disumbangkan oleh sebuah syarikat swasta.


Masyarakat Malaysia umumnya tidak terlalu mengambil kisah dengan tragedi runtuhan mana-mana bangunan ataupun binaan yang terdapat di negara ini.Ini disebabkan kita sudah mangli dengan berita-berita seperti jejambat MRR2 yang retak,bumbung stadium runtuh, bumbung makmal komputer sekolah runtuh, bumbung dewan Parlimen bocor, bumbung hospital bocor dan lain-lain lagi yang semuanya runtuh selepas pembinaan atau ubah suai siap dilakukan.


Memang mudah menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak yang terlibat disebalik kejadian tersebut namun apapun kesalahan dan kesilapan, perkara yang mengundang segala musibah itu kerapkali dipandang sepi. Siasatan hanya sekadar siasatan.Langkah susulan hanya diambil di atas kertas dan di dada-dada akhbar.


Saya tidak berminat untuk tumpang sekaki menuding jari kepada mana-mana pihak yang membina atau menyelengggara jambatan yang runtuh itu. Saya hanya ingin menyatakan sedikit hairan dengan tujuan dan matlamat program,tempat serta situasi perkhemahan itu diadakan. Murid-murid yang terlibat dalam perkhemahan tersebut terdiri daripada murid-murid sekolah rendah yang bersekolah di negeri Perak. Setahu saya pada ketika ini murid-murid seluruh negeri Perak sedang menduduki peperiksaan Akhir Tahun yang diadakan secara selaras oleh pihak JPN negeri. Tidak terlibatkah murid-murid ini dengan peperiksan tersebut?. Seperti yang dilaporkan oleh pihak media kem tersebut dianjurkan oleh pihak PPD Kinta, apakah PPD kinta tidak menyedari adanya peperiksaan akhir tahun sedang berlangsung.


Pihak pengurusan Kem juga perlu menyedari, sungai Kampar memang terkenal dengan arusnya yang agak deras, lebih-lebih lagi ketika hujan lebat di hulu sungai. Pada saya, kalaupun jambatan itu tidak runtuh, perlu dihalang pelajar-pelajar menggunakan jambatan tersebut bimbang kalau-kalau ada murid yang terjatuh dan dihanyutkan air tatkala air naik.Apatah lagi murid-murid tersebut terdiri daripada mereka yang mentah benar, sudah pastinya terlompat-lompat dan terkinja-kinja apabila berhadapan sesuatu yang asing dan baharu.


Saya juga dimaklumkan hanya beberapa kerat petugas yang mengawasi peserta kem yang berjumlah 200 lebih ketika kejadian. Mana mungkin bilangan petugas yang kecil dapat mengurus bilangan peserta yang agak ramai.Petugas-petugasnya pula diambil di kalangan guru-guru yang lebih arif di sekolah masing-masing dan pada saya mereka ini tidak memahami selok belok kem tersebut. Langkah lebih proaktif pihak Jabatan atau Kementerian perlu mengadakan jurulatih tetap yang mendiami kem-kem tersebut dan bukannya diambil di kalangan guru-guru yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah.


Apapun yang berlaku, yang berlaku sudahpun berlaku, jika sebelum ini kursus-kursus yang dianjurkan oleh PLKN meragut korban, kemudian wabak H1N1 dan terkini 1Malaysia juga mencatatkan korban, bukan satu, mungkin tiga .

Kepada waris pelajar yang terlibat ucapan takziah saya hulurkan dan harapan saya agar mereka dapat bersabar dengan tragedi yang menimpa. Kepada pihak-pihak berkuasa yang terlibat dalam melaksana misi negara tidak kira apapun nama 1Malaysia atau Khidmat Negara, teruskan mencari punca demi punca dan teruskan siasatan anda dan nantikanlah runtuhan-runtuhan yang lain pula. Telah banyak dan acapkali kita diajar oleh individu mahupun organisasi samada NGO atau Pertubuhan Politik, namun kita masih setara seperti dahulu tidak berubah dan tidak mahu mengambil iktibar dan kini tibalah masanya kita diajar oleh Tuhan yang Maha Kuasa.Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar.Wallahuaqlam!