Pages

Friday, July 17, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 29)

Ramadhan :Engkau Belalu Jua

Hari yang diharap tidak bertandang tiba juga. 29 Ramadhan hari yang memaksa seluruh khalayak berpisah dengan dengan Ramadhan yang mulia.Ramadhan bulan yang telah membangkitkan manusia dari kelenaan dan ketermangguan kepada kesedaran untuk bingkas bangun menyahut seruan Tuhannya menjadi makhluk bertakwa.Firman Allah swt yng bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,”

Al Baqarah :183

Hari pertama Ramadhan menyaksikan khalayak manusia dituntun Tuhannya mengimarahkan Ramadhan dengan menjadikan masjid masjid dan surau surau sebagai destinasi pilihan. Suasana juga menyaksikan khalayak muslim berpusu pusu mendirikan solat yang hukumnya sunat berbanding bulan bulan sebelumnya yang fardhu pun culas adanya. Kelihatan di sudut sudut masjid di jendela,dan balai lentang masjid dan surau sosok sosok individu dan kumpulan bertadarus Al Quran sehingga ke lewat malam.

Meriah yang menyelubungi setiap hari hari Ramadhan berterusan dengan berbagai agenda menyatakan kesungguhan memanfaatkan madrasah Ramadhan yang Allah swt rencanakan. Hari pertama Ramadhan membawa ke hari hari selanjutnya adalah hari anugerah yang tidak akan dikecapai pada bulan bulan yang lain. Lihat si ibu yang istiqomah membangunkan anak anak bersahur dan si ayah yang melayan karenah ketika anak mengharap juada kegemaran ketika hamper waktu berbuka.

Lihat pula keikhlasan yang memilin hati hati insan prihatin menghulurkan sumbangan dan derma serta infak kepada yang memerlukan.Semuanya berlaku tanpa naluri keterpaksaan sebaliknya dilentur oleh roh Ramadhan yang dibenamkan dalam telaga takwa yang masih berbaki dalam diri. Semuanya berkeyakinan sungguh tebal kepada janji Allah swt bagi hambaNya yang pemurah. Semuanya benar benar ingin mempraktikkan “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di atas”

Ramadhan yang bertamu mebangkit rasa insaf kepada golongan yang tidak bernasib baik dan diuji mehnah kesempitan hidup. Kelaparan yang dirasai ketika berpuasa mengajar untuk merasai sedikit rasa dan berkongsi perit yang dideritai. Keinsafan itu menyemarakkan rasa sedar untuk membantu dan keluar dari kepompong sukar itu dengan merubah dan membaiki apa sahaja punca kepincangan itu dari sekecil kecil punca sehinggalah ke aras kerusi tadbir raja.

Ramadhan yang sebulan itu medan menahan maharaja nafsu dan kebobrokan keinginan. Bukankah puasa itu lewat sabda Rasullullah adalah “Wijaa’ iaitu benteng dan penghadang kepada keinginan nafsu. Kehendak dan keinginan yang dinasihati nafsu di bending dan ditudung dengan puasa,elimen tarbiah dan latihan jasmani dan jiwa yang cukup ampuh.

Ramadhan yanag bertamu setahun sekali itu medan untuk meribat ukhuwah dan persahabatan serta jalina kemanusiaan. Bukankan bermulanya hari pertama puasa kita disyariatkan dengan kewajipan zakat fitrah di samping kewajipan setiap individu pada semua peringkat tua muda kecil dan besar ianya adalah mekanisma hubungan sesama manusia saling bahu membahu menikmati keseronokkan dan kegembiraan.
Ramadhan yang akan berlalu sedetik nanti adalah hari hari mengkoreksi diri dan muhasabah ibadah terhap Allah swt. Lantunan keinsafan dan kesungguhan meipatgandakan ibadah adalah anugerah yang sukar dicari sebaliknya ianya adalah anugerah dan kurniaan kepada insan terpilih. Beruntunglah mereka yang telah memilih jalan kebaikan pimpinan Ar Rahman. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

As Syams :ayat 7-10

Detik dan waktu waktu indah itu tidak dapat di seka. Ramadhan akan berlalu jua dengan penuh kesedihan. Entah akan berpeluangkah menemuinya sekali lagi. Wahai Tuhan semoga segala amal ibadah kami sepanjang Ramadhan ini diterima dan diredhai. Semoga sesalahan dan kepincangan serta keaiban kami dilindung,ditudung dan disusup daripada pengaiban dunia dan akhirat.

Wahai tuhan andai dalam melakanakan tuntutan ini ada lalai,alpa dan ketidakikhlasan ampuni kami dan kurniakanlah rahmat,kasih saying dan keampunanMu. Kami sedar kami tidak layak menikmati kemenangan hakiki Aidilfitri namun pimpinlah kami menjadi orang yang bersyukur. Pertemukan kami dengan Ramadhan berikutnya dan perkenankan permohonan kami.
Amin ya Rabbal Alamin

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Gunung Semanggol,Perak
29 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di

Wednesday, July 15, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 28)

Ramadhan,Sawah dan Kenangan

Perjalanan dari Kuala Berang melalui Tasek kenyir, Gua Musang seterusnya Simpang Pulai pada 27 Ramadhan (semalam) tidak berhadapan kesesakan trafik dan lalu lintas. Cuma ketika memasuki Jalan Gua Musang ke simpang Cameron Highland kelihatan kenderaan dari kuala Lumpur mula bertali arus.

Memasuki jalan menuju Kuala Betis kelihatan kesan banjir Besar Disember lalu masih jelas kelihatan. Kelihatan khemah  yang menjadi penempatan sementara mangsa di beberapa sudut kampong. Anak anak di belakang bertanya Tanya dan berbual sesama mereka. “Bagaimana mereka akan berhari raya nanti?Lagi 3 hari nak raya?Saya damaikan hati mereka.”Nanti adalah orang yang berikan zakat untuk mereka”.

Perjalanan saya teruskan kerana bimbang laluan Tpoh ke Taiping akan sesak menjelang maghrib walau kantuk dan keletihan makin menjadi jadi. Jam 5.15 Petang kami sekeluarga tiba di Simpang Pulai dan terus memasuki “highway Plus” menuju Taiping utara dan Alhamdulillah tiba jam 6.15 ke destinasi.

Tiba di Kampung sawah sedang menuai,jentera tuai masih bersidai di petak petak sawah yang sebahagian besarnya sudah selesai. Hati saya mengetus “Untung orang kampung dapat berhari raya dengan duit padi baru”. Teringat orang kampung dulu dulu, bila tiba musim menuai,tuntutan zakat didahulukan. Ada yang membayar dengan padi dan ada yang membayar dengan wang. Betapa orang kampong yang belajar tidak setinggi manapun  tahu tuntutan ini. Sesekali pelik memikirkan orang yang belajar tinggi hingga ke menara gading dan terlibat dengan perniagaan jutaan ringgit tapi culas menunaikan perintah Allah untuk berzakat.Firman allah swt yang bermasksud:

“Dan dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon korma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan”

Al An’am: Ayat 141

Zaman anak anak kembali bertamu di lubuk ingatan, Era petani menanam padi menggunakan kuku kambing,sawah dibajak menggunakan sabit tajak dan cangkul. Menuai padi secara menual manggunakan sabit dan padi dibanting setelah disabit. Masih terbayang padi yang dibanting dimasukkan ke dalam guni dan dipikul dari tengah sawah pulang ke rumah. Berat sekitar 70 kilo seguni tidak terasa berat. Ada kalanya musim menuai kebetulan pada bulan Ramadhan, bolehkah di bayangkan keletihan menyabit padi membanting dan mengusung padi di tengah terik mentari. Saya sekeluarga di asuh abah seletihmana pun bekerja kami tadak pernah menggadaikan puasa. Saya terfikir kalaulah sawah yang dkerjakan secara menual itu masih memungkinkan pekerja pekerjanya terus berpuasa ,apakah pada era manusia mengendalikan mesin dan jentera untuk kerja kerja itu menggagalkan mereka untuk menunaikan perintah itu.

Amat malang jika ada pekerja yang yang berusaha mencari kehidupan tetapi lalai pada perintah Tuhannya. Memang di sana ada kelonggaran bagi mereka yang bekerja keras untuk menggantikan puasa pada hari lain. Tetapi sekadar mengendalikan jentera bajak serasa saya tidaklah seberat mana melainkan mereka yang memang tidak gemar untuk mentaati Allah swt. Sesungguhnya ibadah yang Allah fardhukan tidak lansung menyusahkan hambanya kerana segalanya dalam ilmu Allah yang cukup sempurna.Allah tidak akan memberati hambaNya dengan apa yang tidak termampu. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Al Baqarah:286

Kelihatan tali air semuanya kering kontang kerana air di keringkan dari sawah untuk proses menuai. Sekali lagi kotak ingatan zaman silam kembali bertamu. Tali air itulah tempat kami mandi manda dan air dari tali air itulah menjadi sumber makan dan minum. Ketika air taliair di keringkan sumber air beralih ke telaga yang hamper semua penduduk memilikinya. Kami mandi, bersuci,dan minum dari sumber ini sehinggalah usia saya mencecah 12 tahun (sekitar tahun 1986) barulah sumber air berawat dibekalkan di kampong saya. Tiba tiba terlintas detik arwah abah mandikan kami diperigi pada pagi Aidilfitri. Syahdu bukan.?

Sambil merenung ke dasar tali air,kelihatan anak anak anak ikan berlari lari mengocak air berselut. Teringat kembali ketika bergekumang dengan selut mengagau ikan keli dan haruan pada musim padi masak. Sekilo keli sawah atau haruan sawah mampu memberi pulangan yang agak lumayan bagi seorang anak anak sawah menjelang Aidilfitri.RM 3.50 sekilo dihimpun himpun dan di kumpul dapat juga pakai kasut baru. Kadang kadang dapat juga main mercu Rm 0.10 sen sekotak tanpa budget dari abah walaupun terpaksa menyusup dari pengetahuan mak dan Abah.

Esok hari terakhir Ramadhan bertamu.Ramadhan yang akan beransur membuka peluang anak anak pulang ke desa dan kampong. Alangkah indahnya jika pertemuan anak dan ibu serta ayah membibitkan pahala dan percantuman mahabbah serta kasih sayang.

Wahai Tuhan ampuni kami atas kelalaian kami dan berikanlah anugerahMU yang tidak terhingga bersama Ramadhan ini. Kurniakanlah kemenangan kepada kami serta pertemukan lagi kami dengan Ramadhan akan datang.

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Gunung Semanggol,Perak
28 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di
Page www.facebook.com/islampenyelesaianku

Tuesday, July 14, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 27)

Ramadhan, Kemelut & Istiqomah

Perjalanan dari Zamalik melalui jambatan merentasi Sungai Nill menuju Madinat Nasr  ibarat melepasi dua Negara yang berbeza. Ibarat melepasi sempadan Negara Si kaya dengan Negara Si Miskin. Zamalik yang menempatkan Kedutaan Malaysia di Kaherah  berada di kawasan penempatan elit kelihatan serba mewah dan  tersusun.

Hampir sejam menaiki teksi membawa saya ke Madinat nasr ,Kawasan yang menempatkan penduduk berpendapatan sederhana dan tempat golongan gelendangan dan marhain mendakap kehidupan.Memasuki madinat Nasr terdapat sebuah pasaraya yang agak sederhana mewah menjual keperluan makanan segar yang agak mesra pendatang (foreigner) sama ada dari barat atau Asia.Pasaraya “Misr Sudan” tempat tumpuan penuntut penuntut Malaysia dan Asia Tenggara yang lain membeli keperluan dapur menjelang Aidilfitri. Hari ini hari ke 27 Ramadhan mengingatkan detik yang berlalu 15 tahun lalu.Hari sahabat sahabat membanjiri pasaraya “Misr Sudan” terutamanya akhawat dan pasangan penuntut yang berkahwin membeli kelengkapan meraikan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Walau jauh dari keluarga di tanahair namun kerinduan diubat dengan resepi yang hampir hampir menyamai airtangan bonda sudah memadai . Itu sekadar memenuhi naluri keinginan dan ingatan tanahair terutamanya pada bau rendang dan dan ketupat sahaja.Ada sesuatu yang lebih berharga dari kerinduan itu sepanjang bermukim diperlembahan Nill ini. Suasana di “Misr Sudan” menikam hati, sebagai tanda Ramadhan akan berakhir.

Kenangan masih terpahat.Malam malam sepuluh Akhir Ramadhan dilalui dengan kenikmatan yang luar biasa. Tarbiah fardiah membina kekuatan untuk menjadi Muslim sentiasa di intai peluangnya.Tidak hairanlah 10 akhir Ramadhan menjadi agenda ramai penuntut Malaysia menuju Masjid Amru Bin Asr di Pinggir Kota Kaherah terutamanya pada malam 27 untuk bertaraweh dan bermunajat bersama Imam Jibril yang tersohor itu.

Masjid masjid di Madinat Nasr terus meriah dengan agenda menghidupkan Ramadhan,kedengaran bacaan ayat suci al Quran sahut menyahut di corong corong pembesar suara memeriahkan suasana yang tidak dapat dirasai suasana itu di Negara kita kerana faktor penematan yang tidak sepadat penduduk Kaherah.

Kenangan bersama Ramadhan itu masih kuat bersarang dalam benak ingatan ini, seminggu sebelum Ramadhan menjelang pemidang yang terpampang “Maidatur Rahman” dinaikkan di masjid masjid. Tandanya disediakan makanan berbuka puasa di masjid tersebut. Ramai di kalangan penuntut penuntut mengambil peluang berbuka di masjid.Apa yang menyentuh hati ini ketika penuntut Malaysia,Indonesia,SIngapura dan lainnya sama sama berbaris bersama penduduk tempatan, tiba tipa pengurusan masjid tampil dan mendahulukan peluang untuk penuntut penuntut dari luar, katanya “Tetamu didahulukan”.Masyaallah terasa kerdilnya kita dibandingkan dengan mereka walaupun kedapatan masyarakat mereka sendiri yang merupakan gelandangan dan golongan memerlukan namun mereka mendahulukan penuntut ilmu ini yang bermusafir di Negara mereka.

Saya masih ingat ketika krisis ekonomi melanda Negara negara Asia tenggara,ramai pelajar yang terjejas lantaran biasiswa,pinjaman atau ongkos kiriman ayahbonda yang tiba seperti biasa kadarnya semakin susut dan tidak mencukupi. Ramai rakan rakan dan saya sendiri mengikat perut meneruskan kembara di perlembahan Nill ini. Suatu hari datang seorang hamba Allah ke asrama tempat saya dan sahabat sahabat menginap dan bertanyakan saya berapa penghuni di asrama ini.Saya berikan jumlahnya,Sosok itu berlalu dan selang sejam kemudian dia kembali bersama jumlah ayam yang sudah diproses mencukupi bilangan penghuni asrama sebagai kebersamaan mereka dengan kami mengharung sesak berdepan krisis ekonomi. Semestinya jasa itu tidak kami lupakan.

Sesusah mana pun kami di bumi tersimpannya kisah Musa dan Firaun itu ada lagi marhain yang terus menongkah hidup dibalut kemelut payah dan melarat. Kota yang tidak pernah luput dari keriuhan itu sememangnya mengajar erti hidup dan perjuangan hidup. Hari ini 3 hari sebelum menjelang Aidil fitri agaknya apa khabar anak anak kecil yang dulu saya lihat mengusung kotak kotak dan barangan terpakai berkenderaankan kereta kaldai dan basikal buruk.Anak anak yang dulu dipimpin ibu mengemis dilorong lorong saban hari adakah mereka mewarisi kehidupan ibunya dahulu atau telah berubah hari ini. Anak anak yang tercegat di gerai menjual “kibdah” (roti berlauk hati seperti roti john) memerhati kami menikmati makanan berharga LE 3.00 (3 paund Mesir) dahulu apakah kini mereka mampu menikmatinya dengan wang sendiri atau masih kekal menelan liur keinginan yang masih menjadi harapan.Agaknya masih adakah “ammu” separuh abad yang dulu saya sapa ketika membancuh teh di pembaringan berlantaikan bumi berbumbungkan langit berhampiran “hadiqah”(taman) tidak jauh dari penempatan dan asrama kami.Atau “ammu” itu masih membungkus diri menahan sejuk yang tidak berkesudahan.

Bersama saki baki Ramadhan yang masih bertamu ini,mari kita panjatkan munajat dan pengharapan walau di manapun kita dan siapapun kita agar Allah istiqomahkan kita di jalan kebenaran. Biar kesusahan,biar kekusutan dan biarlah apa sahaja yang menekan diri janganlah kita disesatkan oleh kekalutan itu. Biarlah nilai itu sirna  pada keistimewaan menjadi muslim pilihan kerana ianya membuahkan keuntungan luar biasa. Seandainya dicangkuk susah ia bersabar dan sekiranya disimbah senang ia syukuri.Itulah kemuncak kehambaan.

Semoga Firman Allah swt ini menjadi pedoman untuk terus istiqomah menjadi hamba.FirmanNya yang bermaksud:
“Dan bahwa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), Karena jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.”

Al Anaam :ayat 153

Juga FirmanNya yang bermaksud:

“Dan bahwasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak).”

Surah Jin :ayat 16


ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Innova BJE9130
27 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di

Monday, July 13, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 26)

Ramadhan : Mengundang Segunung Barakah

Perjalanan saya ke Terengganu semalam lancar tiada kesesakan lalu lintas kerana persekolahan masih masih berjalan dan pejabat pejabat kerajaan serta sector pekerjaan yang lain masih  beoperasi. Walaupun diterjah mengantuk yang memaksa perjalanan berhenti 3 atau 4 kali saya sampai ke destinasi setelah 5 jam setengah perjalanan.

Musim perayaan begini menyaksikan kenderaan di jalanraya begitu bayak sekali dan keperluan rakyat kepada kenderaan tidak dapat disangkal lagi. Rata rata rakyat sudah merasakan kenderaan sendiri adalah satu keperluan yang mendesak di samping permintaan terhadap kenderaan awam juga masih tinggi.Sepanjang perjalanan dengan kadar petrol semasa RON 95 RM 2.15 seliter acap kali mata tertumpu pada “dashboard” melihat meter bahan bakar apakah memerlukan pengisian semula untuk sampai ke destinasi. Seperti di duga di RnR Gambang petrol perlu di isitambah bagi menjamin tiada masalah bahan bakar dalam meneruskan perjalanan.

Sepanjang perjalanan sambil sambil melayan mengantuk yang semakin menjadi, akal saya masih menerawang pada kehidupan rakyat yang semakin menghimpit. Perjalanan saya berkenderaan sendiri yang agak selesa dan anak anak boleh nyenyak tidur sepanjang perjalanan semestinya tidak sama dengan mereka yang beranak ramai terpaksa berebut memilih kenderaan awam untuk pulang ke kampong halaman memenuhi tuntutan silautrrahim. Walaupun ada manusia bertaraf Profesor menyarankan untuk tidak balik kampong kerana kegawatan kewangan,itu adalah saranan manusia tiada hati perut dan jauh dari mahabbah silaturrahim yang dituntut agama dan syarak.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?Mereka Itulah orang-orang yang dila'nati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka.

Muhammad: Ayat 22 &23

Masih segar dalam ingatan sepanjang berkelana sebagai penuntut ilmu samaada di bumi Malaysia atau di perlembahan Nill. Hentian bas Medan Kid Ipoh menjadi saksi kepayahan marhain peneroka kota apabila tiba musim perayaan berebut dan berpusu pusu mendapatkan kenderaan. Ada kes di tipu ulat tiket, ada kes pergaduhan suami isteri kerana kesabaran yang menipis angkara dijerut penantian yang tidak kunjung tiba.Kedapatan kes ibu ibu hilang sabar terhadap anak kecil yang menangis angkara kesesakan dan kepanasan. Belum lagi kita kiasahkan berapa ramai yang mengabaikan waktu solatnya kerana mengejar bas dan kenderaan.Hanyir bukan?

Kesempatan itu kedapatan teksi teksi sapu menawarkan harga luar biasa atas tawaran khidmat pada waktu luar jangka pula. Orang lapar di ladang nafsu yang menggila akan hilang pertimbangan antara khidmat,amal dan keinginan. Inilah masa mencari pendapatan lebih sekalipun bertindak atas batas penindasan.

Terlalu manis untuk dikenang tetapi kelat kemelut rakyat amat sukar untuk ditelan. Perjalanan dari Taiping menuju kampung halaman menaiki bas “Red Omnibus” semestinya tidak dapat dilupakan. Satu satunya pilihan penduduk tempatan yang kais pagi makan esok terpaksa  dikunyah walau padatnya ibarat sardine yang ditinkan. Kemanusiaan itu kadang kadang hilang bila ibu mengandung tidak lagi didahulukan, nenek nenek dan pakcik tua bertongkat tidak lagi dihiraukan asal aku mendapat tempat menjamah ponggong bongkak di kerusi empuk kenderaan yang hanya mengaut untung daripada rakyat yag terus terhimpit.



Menerusi cermin jendela Red Omnibus di hentian lampu isyarat celahan hujan yang mencurah nun di sana kelihatan pasangan suami isteri bermotosikal Lagenda Modenas sedang menuju destinasi yang netah kemana ,membonceng isteri dan 2 anak meredah hujan. Hati bertanya apakah ayah tiada akal memikirkannya,tetapi benak menyangkal …habis dah dia tiada pilihan. Mengisi tangki sekadar Rm 5 sehari pun dia tidak mampu inikan pula menyediakan sebuah proton secondhand  untuk keselesaan anak isteri . Oh jauh lagi dia perlu menanti.

Ketika Rakyat terjerat dan sarat dengan onak meneruskan kehidupan nun di sana pemimpin pemimpin masih mampu bernista dengan kenderaan yang hebat buah dari keringat rakyat. Apa perlu berjet peribadi dan beradu mimpi di baldu kerusi “business Class” sedangkan “ekonnomi Class” juga memungkinkan pak menteri sampai ke destinasinya.

Saya percaya sehari dua ini rakyat berkenderaan sendiri berkira kira dan mencongak belanja untuk bekalan perjalanan menrentas banjaran menuju destinasi berhari raya.Bagi yang berkenderaan awam sesak Puduraya,Hentian Bandar  Tasik  Selatan, juga hentian hentian terkemuka di Senai,Ipoh,Kuala Terengganu dan seluruhnya akan melihat kemelut rakyat menjamah sarat dan kandas  untuk menuju destinasi.

Belum ditambah jalan raya menjadi sungai darah angkara sikap dan ketidaktelusan pengurusan menyediakan prasarana dan kelengkapan. Terlalu banyak pincang dan terlalu lemah tadbiran mengakibatkan tiada nusrah dan turunnya barakah dari Ar Rahman. Kesempatan ini marilah kita menyeru kepada seluruh pemimpin dengarlah suara hati rakyat.Ingatlah sabda Rasullullah saw yang bermaksud:

“ Tiada seorang pun hamba Allah yang diberi kuasa mentadbir rakyat,lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan syurga untuknya.”

(Muttafakun Alaih)

Sabda Rasullullah saw yang bermaksud:

” Apabila pemimpin kamu terdiri daripada orang yang terbaik di kalangan kamu, jutawan kamu adalah orang yang paling dermawan, urusan kamu diputuskan dalam musyawarah kamu, maka belakang bumi (hidup) lebih baik bagi kamu daripada perutnya (mati). Dan apabila pemimpin kamu adalah orang yang jahat di kalangan kamu, jutawan kamu adalah manusia yang paling bakhil dan urusan kamu diserahkan kepada wanita, maka perut bumi (mati) adalah lebih baik bagi kamu daripada belakangnya (hidup).

(Hadis Riwayat at-Termizi)

Pada masa yang sama samaada kita rakyat atau pemimpin ingatlah dan jagna lupa untuk menghayati Firman Allah swt yang bermaksud:

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”

Al aaraf :ayat 96

Selamat melalui saki baki Ramadhan dengan penuh kekusyukan”

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Sungai Petai,Kuala Berang
26 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di
Page www.facebook.com/islampenyelesaianku

Sunday, July 12, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 25)

Ramadhan :Lagukan Simpati & Prihatin

Hari ke 25 Ramadhan bermakna kita sudah semakin hampir ke penamat Ramadhan. Ini juga membawa erti Ramadhan yang akan ditinggalkan akan disusuli Syawal sebagai lambang kemenangan. Minggu lepas saya menerima beberapa keping gambar daripada sahabat sahabat di Terengganu,memaparkan sahabat sepengajian yang menjadi pemimpin masyarakat sedang melayan anak anak yatim dan kurang upaya membeli persiapan pakaian raya. Melihat gelagat anak anak mencuba pakaian baru dibantu oleh pemimpin yang bukan ayah mereka sendiri benar benar menyentuh hati dan perasaan saya.






Terus saya teringatkan 3 anak saudara yang ketiadaan ayah sejak enam tahun lalu. Sekalipun kelengkapan mereka boleh disediakan oleh pelbagai pihak, tetapi mereka akan tetap mengenang hakikat mereka sudah ketiadaan ayah. Hati dan kotak nostalgia ini juga terus memutarkan rakaman zaman kanak kanak dahulu bersama abang abang dan adik adik di teratak tepi sawah yang membesarkan dan mendewasakan kami semua dengan karenah anak seorang petani.

Hidup sebagai pesawah tidak ada pendapatan harian atau pendapatan bulanan. Pendapatan menjengah hanya ketika musim menuai menjadikan Abah dan Mak kreatif dengan pelbagai aktiviti menjana pendapatan  keluarga. Untung kami mempunyai abah dan Mak yang serba boleh. Abah selain dari bersawah juga mahir menoreh. Kami masih ingat ada masa getah mahal harganya mencecah Rm 6 sekilo berbanding hari ini khabarnya harga getah pada tahap yang amat menyedihkan khabarnya Rm 2 sekilo. Apabila abah jual skrap merasalah kami makan sedap sedikit. Walaupun tidak merasa untuk makan daging fresh seminggu sekali,namun dapat makan gulai atau masak lemak ikan kayu sudah cukup nikmat bagi kami.

Kami juga walau kehidupan sebagai anak pesawah yang serba kekurangan tetapi Allah swt kurniakan kami Mak yang ringan tangan dengan aktiviti membuat kuih muaihnya. Saya masih ingat waktu pagi semasa ke sekolah saya dan abang akan jinjing bakul kuih yang Mak siapkan untuk dijual. Zaman Kuih Rm 0.10 Sepotong cukup indah untuk dikenang apabila kami dan kawan kawan lain menjadi peniaga kuih sebelum loceng berbunyi. Sayangnya ketika itu tiada telefon canggih untuk rakam aktiviti kami.

Bagi saya kehidupan kami di teratak tepi sawah  itu telah mendewasakan saya dalam pengertian sebagai seorang yang bersyukur. Apatahlagi ketika detik ini,saat orang sibuk mempersiapkan sambutan Aidilfitri, nostalgia kanak kanak saya lansung tidak seperti yang dikecapi oleh anak anak hari ini. Zaman kanak kanak saya tidak menyaksikan langsir ditukar saban tahun sekadar memasang apa yang ada. Tidak juga menjadi kemestian kami adik beradik memakai baju baru,semuanya bergantung kepada kewangan Abah. Kalau kami dapat pakai selipar jepun baru berharga RM 1.00 pun sudah memadai walau tiada kasut jenama seperti anak anak hari ini. Sekurang kurangnya dapat juga pakai untuk ke masjid atau ke kelas mengaji.

Saya pasti zaman kanak kanak yang kami adik beradik lalui walaupun begitu, tidak segetir anak anak di Palestin lalui. Begitu juga anak anak di Syria,Irak,Kashmir dan juga terbaru pelarian Rohingya. Mereka melalui kehidupan yang maha getir dan menguji. Namun ketabahan mereka terlalu ampuh berdepan tirani penindas yang tidak kunjung henti.

Alhamdulillah hari ini Allah jelmakan insan insan prihatin yang sudi menghulurkan simpati kepada anak anak yang ketiada ayah ini atau di sana sebahagian mereka  yang melarat mendepani ekonomi yang gawat. Semoga keprihatinan mereka membela anak anak yatim dan mereka yang mengharapkan sekelumit simpati menyara kehidupan akan mengundang rahmat dan barakah daripada Allah swt. Pada hari yang mulia ini marilah kita bermuhasabah tentang tanggungjawab dan  keprihatinan kita sebagai hamba yang bersyukur dengan merenung Firman Allah yang bermaksud:

“ Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang.
Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu menghardiknya.
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu siarkan.”

Ad dhuha :ayat 9-11

Semoga pengertian kebajkan hakiki akan terjelma dalam tindak tanduk kita dengan memahami tujuan syariat Allah dalam menekankan prihatin sesama manusia. Firman Allah swt yag bermaksud:

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi Sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka Itulah orang-orang yang bertakwa.”

Al Baqarah :ayat 177

Selamat meneruskan ibadah,Semoga secerah Langit Ramadhan ini melakar kekuatan jiwa dan raga menjadi hamba yang diredhai.

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Az zahrah, Hulu Langat
25 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di


Saturday, July 11, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 24)

Ramadhan : Muhasabah Di Penghujung Rindu

Ramadhan Semakin mengesot ke penghujungnya dengan redup sayu terpancar pada wajah manusia berjiwa mukmin. Bagai kekasih yang sukar untuk melepaskannya dan semestinya akan membangkitkan rindu dendam ketiadaannya nanti. Lima hari masih berbaki menyaksikan pemburu kasih Allah terus istiqomah dengan agenda ibadat,munajat,mengikat ribat dengan Tuhannya juga ribat sesama manusia.

Kita berada pada kedudukan pecutan akhir Ramadhan kali ini. Hari hari Ramadhan yang telah lalu perlu di renung pada hari yang masih berbaki ini gunanya untuk mempatri kekuatan dan kekukuhan jiwa dan roh sebagai hamba Al Khaliq. Beberapa perkara yang perlu menjadi senarai semak sebelum Ramadhan berlalu antaranya kita kongsikan di sini:

a)      Kemantapan Aqidah, Iman dan Taqwa – Ramadhan yang datang menjadi medan untuk bermuhasabah adakah kita si hamba yang benar benar berada pada tahap keyakinan,kepercayaan yang tinggi terhadap Allah swt . Antara indicator untuk melihat adakah kita berada pada kedudukan takwa yang cemerlang ialah dengan kita menguji diri kita ,Adakah setiap ibadah yang kita lakukan kita rasai kemanisannya. Orang yang merasai kemanisan Iman adalah orang benar benar berada pada posisi hamba. Sabda rasullullah saw yang bermaksud:

“Barang siapa yang ada padanya 3 perkara ini,ia dapat merasai kemanisan IMAN :

1- Jika ia mencintai ALLAH dan Rasul-Nya mengatasi kasihnya kepada yang lain.

2- Jika ia mencintai seseorang,tidaklah ia cintai melainkan kerana ALLAH.

3- Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka”

b)      Kekuatan & kekhusyukan Ibadah – Hidup manusia hanya bererti apabila dipersembahkan ibadah semata mata kerana Allah bukan kerana tujuan dan matlamat yang lain. Ramadhan yang kita lalui dengan berbagai  ibadah yang kita lakukan Solat,infak,zikir,ziarah,qiam dan sebagainya tidak sewajarnya diluputkan nilainya jika ada tujuan dan niat kepada selain Allah.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”

Al An Amm :ayat 16

c)       Kemurnian Akhlak – Agama yang kita anuti ini mengikat peradaban manusia disamping aqidah yang kukuh dan ibadah yang mantap ianya juga mengangkat manusia dengan akhlak yang terpuji.Amat tidak munasabah hampir sebulan kita di tarbiah jika aspek akhlak ini gagal dipraktikkan dalam kehidupan seperti yang kita sering dengan ada kes kes pergaduhan yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan hanya kerana perkara yang remeh. Semoga kita kita menjadikan diri Rasullullah sebagai suri teladan dalam membina akhlak ini. Allah swt mengingatkan kita untuk mencontohi Rasullullah saw dalam semua aspek kehidupan menerusi firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

Al Ahzab :Ayat 21

Perlu diingatkan mereka yang mahu menjadikan Rasullullah sebagai ikutan mempunyai tiga sifat dan perwatakan

a)      Orang yang selalu mengharapkan Rahmat Allah
b)      Orang Yang meyakini kedatangan hari kiamat
c)       Orang Yang seringkali mengingati Allah (zikrullah)

Semoga bertemu dengan Al qadr

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
24 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di


Friday, July 10, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 23)

Ramadhan: Amal Soleh & Al Qadr

Imam Hatim Bin Asam seperti diceritakan oleh Imam Al Ghazali dalam Risalah kecilnya “Ayyuhal Walad” (Wahai Anakku Yang tercinta) ketika di Tanya oleh gurunya Sheikh Shaqiq Al Balkhi setelah berguru selama 30 tahun ,Apakah yang beliau perolehi dari faedah faedah pembelajaran. Imam Hatim Bin ‘Asam menjawab kepada gurunya itu .”Sepanjang pengajianku aku perolehi 8 faedah dan pada fikiran aku dapat menyelamatkan aku dan membawa sejahtera.

Salah satu faedah yang dijelaskan oleh Imam Hatim Bin Asam kata beliau: Aku sering melihat setiap manusia dan makhluk pasti ada perkara yang disukai,dicntai dan dikasihi. Maka mereka asyik terhadap perkara yang dicintai dan dikasihi tersebut. Namun aku perhatikan ada di kalangan mereka mengasihi dan asyik itu terhenti apabila kekasihnya sakit. Ada pula sempadan kasih dan asyiknya itu terhenti apabila dihantar dikubur dan tidak ada di antara mereka yang kekal menemani kekasihnya hingga di kubur.

Lantas aku berfikir aku perlu mencari kekasih yang dapat menemaniku ketika hidup dan dapat menemani ku sehingga ke dalam kubur. Kekasih tersebut ialah Amal Soleh. Amal soleh adalah tuntutan kepada setiap individu muslim dan Allah swt dalam Firmannya banyak menyentuh soal iman yang digandingkan dengan amal soleh. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Demi masa.
Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.

Al Asr :Ayat 1-3

Manusia seringkali memberikan alasan kesuntukan masa untuk beramal.Sebenarnya mereka yang memberikan alasan sedemikian rupa tidak memahami maksud amal dalam kehidupan.Bagi setiap muslim setiap pergerakan dan apa sahaja amalan ada perkiraan dosa dan pahala di sisi Allah swt. Mereka yang menjadikan sempadan dosa dan pahala sebagai perkiraan amal adalah orang yang mengenal apa itu amal soleh.

Justeru berlumbalah dalam kesempatan usia yang masih ada untuk memperbanyakkan amal.Istimewanya umat Muhammad yang rata ratanya umur kebanyakannya sekitar 60 tahun lebih Allah swt berikan kelebihan anugerah suatu malam dalam bulan Ramadhan iaitu malam ‘Lailatul Qadr”.Allah menjelaskan keistimewaan mala mini dalam surah Al Qadr yang bermaksud:

“ Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan[1593].

Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.

Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.”

[1593]  Malam kemuliaan dikenal dalam bahasa Indonesia dengan malam Lailatul Qadr yaitu suatu malam yang penuh kemuliaan, kebesaran, Karena pada malam itu permulaan Turunnya Al Quran.

Al qadr :ayat 1-5
Semoga Kita bertemu dengan malam Al Qadr

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
23 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di


Thursday, July 9, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 22)


Ramadhan: Jangan Lupa akar kita

“Maidan Hussin” tidak pernah kelihatana sepi dari kunjungan manusia sekalipun pada bulan Ramadhan,sama ada pengunjung tempatan atau pengunjung luar Negara. Kedudukan di tempat sibuk dan tumpuan orang ramai berhadapan pintu masuk University Al Azhar ,Kampus Induk di Kaherah menyerlahkan kesibukan. Tali temali manusia yang berpusu pusu saban hari mempamirkan masyarakat kota Kaherah bersama denyut nadi penghuninya.

Celahan jutaan mereka yang menyumbang kepada kesibukan kota kaherah salah seorangnya adalah diri saya sendiri sepanjang musim pengembaraan mengutip mutiara ilmu di Ardil Kinanah.Penuh nostalgia menyimpan sejuta kenangan yang amat sukar dilupakan. Dari kesibukan “Maidan Hussin” ,menyusur masuk pasar ‘Khan Khalili’ menuju “Atabah” secara berjalan kaki agak jauh namun keletihan menderap di celahan asakan orang ramai lansung tidak memalit letih dek karenah pelbagai ragam peniaga sepanjang lorong tersebut.

Menyusur dan meloloskan diri di celah asakan orang ramai usai kuliah di Universiti yang tamat sesudah zohor menarik fokus dan tujuan menuju pasar basah di “Atabah”. Mengintai jika ada ikan yang harganya berpatutan atau kepala sotong yang tidak menjadi harga bagi masyarakat Mesir.Harapan berbunga apabila “Ammu” (pakcik) peniaga ikan yang selalu saya mendapatkan kepala sotong masih riuh melayan pelanggan. Lantas kepala sotong saya minta dibungkus,beratnya sekitar sekilo setengah dan bayarannya kurang lebih 4 Pound Mesir.

Sampai di asrama penempatan pelajar di Haiiyu Sabeik setelah mengambil masa sejam lebih perjalanan,kepala sotong diproses. Benda yang tidak berharga bagi Masyarakat Mesir akan menjadi lauk peneman nasi lemak, masakan seorang siswa lelaki dari sebuah permukiman Ilmu yang sedang mengunyah rindu masakan ibunya di kala Ramadhan yang syahdu. Rindu itu sesekali bagai dicipta apabila memikirkannya. Apa tidaknya usia 13 tahun menghuni asrama yang setiap kali Ramadhan tiba menu ibu jarang jarang dapat dikecap sehingga 5 tahun lamanya. Ciptaan rindu dipaksa lagi apabila bertamu di Kuala Terengganu selama tiga tahun meminggirkan diri dari merasai nikmat Ramadhan bersama keluarga. Sehinggalah bertamu di dataran Nill 5 tahun pula mencipta rindu dan melagang dahaga cinta.Nikmat Ramadhan bersama ayah bonda tidak kecapaian dan tertunda juga.

Berakhir permukiman di dataran Nill, kembali menabur budi di tanah air tercinta,namun tidak kecapaian juga menikmati saat Ramadhan yang indah itu di sisi bonda dan ayahnda dek lantaran memenuhi tuntutan khidmat dan jasa.Usia 35 menyaksikan kali terakhir melalui Ramadhan bersama ayahnda kerana dia dijemput pada Syawalnya.(Al fatehah). Sehingga kini bila dihitung, setelah usia 40 tahun menjengah, hanya sedikit dari masa diperuntukan untuk bonda melalui Kegembiraan Ramadhan.Diri sendiri mungkin dapat menambat rasa menyeka rindu dan rasa. Tapi sesekali hati terasa ingin bertanya tidakkah bonda rindu untuk bersama anakndanya.

Saban tahun kesempatan dan peluang yang ada tidak akan dilepaskan untuk iftar bersama walau beberapa hari dari Ramadhan,dan detik itu terlalu berharga serta tidak akan ada penggantinya walau dibayar segunung harta. Mudah mudahan bonda memahami kedudukan anaknya. Walau jauh di mata iringan doa tidak pernah dilupakan.
Sesekali kalau kita merenung apakah cukup kita meraikan ayah bonda kita sepanjang hidup mereka. Sedihnya ada anak yang sanggup ke sana ke sini menikmati hidangan iftar dan majlis yang hebat dan meriah namun melupakan ruang yang patut diberikan kepada bonda dan ayahnda sendiri.

Bersama Ramadhan yang membisikkan kelembutan,Ramadhan yang meniupkan wangian kasih sayang,Ramadhan yang membelai dengan aroma mahabbah titipkanlah kasih sayangmu dan persembahkanlah khidmat mu pada ayahnda dan bonda. Jangan lupa mengirimkan doakan sekalipun di angina lalu semoga perjalanan hidup diberkahi lantaran ingatmu pada ayah bonda yang tidak pernah lekang.
Sisipkanlah pesanan Tuhanmu sebagai panduan agar kita tidak lalai untuk mengingati ayahnda dan bonda.FirmanNya yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia[850].
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua Telah mendidik Aku waktu kecil".

[850]  mengucapkan kata ah kepada orang tua tidak dlbolehkan oleh agama apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Al Israa :ayat 23 &24

Semoga Ramadhan kita tidak dicacatkan oleh kesilapan dan kegagalan kita memberikan hak kepada kedua ibubapa . Selamat menemput malam malam akhir Ramadhan bersama doa dan munajat serta tiadak melupai mendoakan sejahtera ayahnda dan bonda.

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
22 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di

Wednesday, July 8, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 21)


Ramadhan: Antara Nostalgia Dan Rindu

Masihkah teringat bila kali pertama kita berpuasa?. Semasa dilatih ibu ayah mengenal puasa,ada yang mula berpuasa seusia belum mencecah 7 tahun. Ada yang mula bertatih ketika umur darjah satu dan ada yang lebih dari itu. Bahkan ada yang ketika di sekolah menengah baru belajar berpuasa dan memenuhkan puasa Ramadhan. Bilapun kita memulakan hari ini kita adalah “sooimin” orang yang berpuasa dengan penuh akur dan taat pada perintah rukun ke 3 ini.

Mengimbau ketika kita diasuh berpuasa,kedatangan Ramadhan adalah bulan yang menyukarkan bagi yang liat berpuasa. Bermacam alasan ditampilkan kepada ibubapa masing masing untuk mendapat izin agar tidak berpuasa. Alhamdulillah saya dan adik beradk yang 11 orang itu diasuh dan dilatih berpuasa sejak umur 7 tahun. Seingat saya hingga ke hari ini belum pernah saya tinggalkan puasa walau satu hari bermula umur 7 tahun. Bukan ingin saya banggakan, Cuma ingin diketengahkan betapa kaedah dan didikan bonda dan Allahyarham ayahnda yang tiada ijazah dari university dan tiada pula memiliki diploma pendidikan mampu membentuk dan melatih anak anak berpuasa dengan penuh istiqomah.

Kalaupun ada di kalangan kami yang terpaksa meninggalkan puasa tapi saya pasti tinggalnya berganti dan merasai kesalahan akibat meninggalkan ibadah ini. Apabila saya keluar di tengah tengah masyarakat dari dahulu hingga kini saya perhatikan ada kedapatan ibubapa yang kurang memberi perhatian tentang latihan puasa ini mengakibatkan anak anak sehingga lewat usia sekolah menengah masih susah berpuasa dan seringkali mengabaikan tentang ibadah ni.

Hal ini berlarutan sehingga anak anak mencecah usia dewasa,akibat tidak mendapat asuhan dan penerapan untuk berpuasa mereka merasakan puasa hanya sekadar pilhan, boleh untuk dilakukan dan tiada masalah jika ditinggalkan. Baru baru ini saya dengar penjelasan dari seorang waris yang bekerja di sebuah kilang, kata beliau datang bulan puasa ramai orang melayu (Malaysia) bertukar menjadi Nepal. Café dan kedai di kilang laris dengan pesanan dan pekerja pekerja Nepal yang non muslim menjadi sasaran untuk memesan minuman dan makanan.

Saya juga pernah mendengar pengakuan berani daripada sahabat yang suatu ketika dahulu nakal dan tidak mempedulikan soal tuntutan berpuasa. Pengakuan beliau ada ketika apabila lapar dan tiada kedai makanan yang dibuka mereka sanggup makan hidangan dari kedai non muslim yang tidak halal. Ada yang memesan burger yang jelas tidak halal hanya kerana mahu mengisi perut kerana tidak berpuasa.

Saya terfikir kenapa amat sukar untuk berpuasa. Ya pastinya asuhan di peringkat awal itu puncanya. Ibu dan ayah perlu menjadi monitor yang baik bagi melahirkan anak yang boleh patuh dengan ibadah. Alhamdulillah hari ini 4 anak saya telah saya ajar berpuasa sejak tadika dengan monitor dari ibunya. Seusia 5 & 6 tahun sudah ada yang boleh berpuasa penuh,walaupun kadang kadang ada ragam yang perlu dituruti dengan sabar.

Bila mendengar ditengah tengah masyarakat yang didominasi oleh orang Islam ini kedapatan ramai remaja dan dewasa yang mengabaikan perintah ini ,hati rasa bagai dihiris dan terasa jauhnya kita dari kasih sayang Allah jika begitu mudah mereka meniggalkan perintah Allah. Tiadkkah mereka malu anak anak seusia kecil mampu berpuasa penuh istiqomah,mereka yang dewasa tidak upaya menahan titip tarbiah daripada Allah ini.

Bebrapa perkara perlu diperhatikan untuk melahirkan anak yang beristiqomah dengan ibadah khususnya puasa ini merujuk kepada apa yang tiajarkan oleh Rasullullah

a)      Memulakan pengenalan anak dengan kalimah “La Ilah Ha Illallah” supaya kalimah tauhid itulah yang pertama mengetuk telinga anak itu,dan mula mula yang dilafazkan oleh lisannya dan mula mula yang difahamkannya dari huruf dan perkataan.

b)      Mengenalkan pada masa dia mula berakal akan hukum hukum halal dan haram sebagaimana yang dkeluarkan oleh Ibnu Jarir,dan Ibnu Munzir daripada hadis Ibnu Abbas bahawa Rasullullah saw bersabda yang bermaksud:
“ Bekerjalah dengan taat kepada Allah,dan suruh anak anak kamu supaya menurut perintah dan menjauhi larangan,maka itulah pemeliharaan diri kamu dan diri mereka daripada api neraka”

c)       Ibubapa perlu memulakan latihan semenjak anak anak masih kecil degan latihan yang membawa kepada minat untuk beribadah. Tidak terlalu mamaksa dan tidak terlalu longgar.Pesanan Rasullullah untuk kita mempraktikkan tanggungjawab mengajar dan menyuruh anak anak untuk solat ketika berusia 7 tahun dan memukulnya jika enggan ketika umur 10 tahun perlu diberi perhatian.

d)      Mengajar anak anak untuk mencintai Rasullullah saw dan mencintai keluarga RAsullullah saw serta membiasakan diri membaca AL Quran. Menekuni perjalanan rasullullah dan keluarga serta sahabat baginda akan membuahkan beberapa hikmah, antaranya:

i)          Supaya anak anak itu mengikuti jejak langkah orang terdahulu dalam pergerakan,keberanian dan perjuangan.

ii)                   Supaya dia mengikat dirinya dengan sejarah dalam hal perasaan,kemuliaan dan kebanggaan.

iii)                 Supaya dia mengikat dirinya dengan Al Quran dalam hal kerohanian,prinsip.

Semoga di penghujung Ramadhan ini kita tidak bersikap keanak anakkan, bergembira dengan ramadhan yang bakal berlalu pergi. Sebaliknya dakaplah Ramadhan ini supaya rindu padanya akan tetap mekar walau pemergiannya tidak dapat ditahan. Selamat memburu Lailatul Qadr.


ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
21 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di


Tuesday, July 7, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 20)


TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 20)

Ramadhan : Antara 2 Kegawatan

Hari ini Ramadhan telah menamatkan dua pertiga fasanya. Dua puluh hari umat Islam berpuasa dan tinggal satu pertiga lagi yang perlu dilalui dengan mendaki rintangan yang lebih mencabar. Melalui media massa saya menekuni  isu  demi isu menghiasi dada akhbar ,media elektronik lebih lebih lagi media sosial hatta ke meja meja minum di restoran dan warung.

Gamat isu Tabung haji sebulan lebih yang lalu seperti reda tetapi 1MDB sampai ke hari ini masih meluap panasnya dan bagai sesuatu yang amat besar mahu ditudung pekungnya. Khalayak di desa berbuih mulut berbicara,aksi warga kota lebih lagi mendesak mahu kepastian yang tuntas. Sekali sekala menteri berbicara menyeka hiba namun bagai hampas adanya.

Hari ini isu WSJ mendakwa YAB Perdana Menteri Malaysia terlibat salah laku mencopet wang Negara pula menduduki rangking isu panas yang menghilangkan khusyuk puasa dan taraweh di penghujung 10 Ramadhan. Semua bersilat,menghujah biar yang pincang itu disepuh hingga sembuh. Masing masing Parti Politik,Ngo dan pertubuhan menampil idea dan pandangan;semua berpandangan jika tidak ditangani Negara akan lumpuh sementelah dengan kejatuhan nilai Ringgit yang menjunam ke tahap parah seakan mengulangi detik ngeri 1997/98 ke paras Rm 3.80 lebih berbanding USD.

Masing masing tampil menjolok idea mendepan krisis  sebagai solusi seakan ideanya paling mapan dan tuntas. Kedengaran ada yang mencadangkan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengepalai gerakan menangani krisis, pada masa yang sama kedengarannya ada yang tidak bersetuju. Celahan itu kedengan juga gagasan daripada individu aktivis yang mahu mencadangkan Unity Gorverment bagi mengembali kestabilan Negara (Apa yang pasti cadangan ini bukan cadangan PAS). Kedengaran Juga saranan NGO yang mahukan Suruhan Diraja  dtubuhkan , tidak ketinggalan ada yang mengajak rakyat turun ke jalan Raya. Hebatnya kedengaran juga yang menjungkit idea dikepung Parlimen dan saranan dibubarkan parlimen bagi membolehkan mandat baru dipungut. Tidak berkesudahan di situ kedengaran juga masanya elok Orang Nombor dua Negara mengambil alih kepimpinan sedia ada.

Oh…dahsyatnya, itu baru satu isu yang memanaskan atmosfera Negara, tidak kira siang dan malamnya. Kalau ditokok dengan desah marhain yang saban hari berdepan dengan bermacam macam kalut kehidupan semakin parah dan payau jadinya. Kenaikan harga barang dengan pelaksanaan GST sebanyak 6% memang menghambur beban, Amarah rakyat dan marhain bawahan yang belum reda, dalam khusyuk mengangkat takbir taraweh, kedengaran pula kenaikan harga minyak semestinya menghangatkan dan memarakkan bara.
Payau krisis yang entah bila akan bernoktah semakin hanyir dengan gelodak sosial yang semakin menyial menghambat kehidupan dalam gawat dan ketakutan. Terbacakah kita isu penderaan adik Yaya di Pasir Mas yang memaparkan manusia yang hilang jiwa dan harga. Kalau ibu dan Ayah yang bertanggungjawab menjada keselamatan menjadi harimau jadian membaham tanpa kasihan, apakah ini kehidupan yang yang khalayak manusia inginkan. Belum reda isunya timbul isu bayi 23 hari diliwat ayahnya sendiri kerana kemaruk seks .Sadisnya Ramadhan lansung tidak mendidiknya.Bermacam lagi karenah yang duniawi yang mendekam, dari krisis dicabuli manusia hinggalah pencabulan binatang khinzir semuanya mewarna dada berita dan massa.

Kalau mahu di ungkap dan kalau mahu diucap, subuh bertemu maghrib bahkan bertemu subuh semula tidak bernokhtah caca marba yang hinggap. Gawatnya semakin meliar membunuh damai dan harmoni.Damai dan harmoni itu semakin terasing bila ada yang terikat kukuh pun ingin dirungkai atas pasak ego dan tidak memahami. Masing masing merasakan dia tidak boleh digugat dan dia sahaja mesti memimpin. Wibawa orang lain dicuriga ,wibawa sendiri dijaja walau tidak berpijak di bumi nyata.

Lantas teringatkah kita pada satu tahap kegawatan yang semakin dahsyat. Gawat yang tidak akan mampu diredakan oleh mana mana parti politik,kerajaan mahu pun NGO dan pertubuhan. Kebijaksanaan dan kehebatan manusiawi tidak akan berupaya sama sekali untuk menangani. Itulah kegawatan Hari Kiamat. Kalaulah Kegawatan dunia hari ini manusia bertempiaran hingga tiada tahu kemana arahnya.Bolehkah dibayangkan gawat Qiamah yang pasti akan datang.

Wahai Pemimpin Negara
Wahai Pemimpin parti Politik
Wahai Pemimpin Persatuan & NGO
Wahai siapa sahaja….
Renunglah FirmanNya.

1.  Aku bersumpah demi hari kiamat,
2.  Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)[1530].
3.  Apakah manusia mengira, bahwa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya?
4.  Bukan demikian, Sebenarnya kami Kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna.
5.  Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus.
6.  Ia berkata: "Bilakah hari kiamat itu?"
7.  Maka apabila mata terbelalak (ketakutan),
8.  Dan apabila bulan Telah hilang cahayanya,
9.  Dan matahari dan bulan dikumpulkan,
10.  Pada hari itu manusia berkata: "Ke mana tempat berlari?"

[1530]  Maksudnya: bila ia berbuat kebaikan ia juga menyesal Kenapa ia tidak berbuat lebih banyak, apalagi kalau ia berbuat kejahatan.

11.  Sekali-kali tidak! tidak ada tempat berlindung!
12.  Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali.
13.  Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang Telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya.
14.  Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri[1531],
15.  Meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.

Al Qiyamah : ayat 1-15

Selamat Memburu Lailatul qadar

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
20 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di