Pages

Tuesday, June 30, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 13)


Ramadhan : Koreksi antara 2 sistem

Seluruh warga madrasah Ramadhan yang terlibat secara lansung atau tidak dengan  dengan media baru pasti mengatahui dan mengambil tahu kisah kanak kanak 5 tahu yang didera oleh ibutiri dan ayah kandungnya sendiri. Laporan hari ini menyebutkan kanak kanak tersebut berhadapan dengan kecacatan kekal dan trauma yang teruk. Ini adalah sekelulit contoh kegilaan manusia yang hidup dalam system yang gagal.

Islam hanya mengenal dan mengiktiraf dua jenis masyarakat sahaja di dunia ini iaitu masyarakat Islam dan masyarakat jahiliyah. Masyarakat Islam adalah mereka yang meyakini dan mematuhi tanpa ragu segala peraturan Allah swt manakala masyarakat jahiliyyah adalah mereka yang mengambil dan meyakini sistem yang selain Islam.

Seringkali orang merujuk masyarakat jahiliyyah itu kepada zaman sebelum Nabi diangkat menjadi Rasul dan hanya merujuk kepada persempadanan sempit bumi Mekah dan Jazirah Arab sahaja. Bahkan jahiliyyah itu hakikatnya melata di sepelusuk dunia apabila ada unsur penentangan,penafian,pengabaian dan keraguan kepada system Allah. Bahkan jahiliyah itu boleh menetas dalam rumah kita sendiri.

Kebejatan dan kelicikan fahaman falsafah sesat telah memperlihatkan jahiliyyah ini seolah olah makanisma soleh dan serasi dengan Islam. Tiadak hairanlah pada zaman kemasukan dan peresapan falsafah dalam masyarakat Islam, ada di kalangan ulama yang mengecam dan menghalang  penterjemahan buku buku falsafah kerana menyedari kebejatan dan durjananya falsafah yang menyesatkan.

Kecalaruan pemikiran ini menjadikan sesebuah institusi dalam masyarakat Islam akan gagal.Hakikat yang mesti disedari masyarakat jahiliiyah itu boleh terbentuk dalam berbagai cara dan bentuk.

a)      Ada yang berbentuk masyarakat yang engkar sama sekali akan wujudnya Zat Allah swt dan membuat tafsiran secara benda terhadap sejarah, melaksanakan system  yang disebutkan sebagai “sosialisma saintifik” sebagai panduan hidup.

b)      Ada pula yang berbentuk masyarakat tidak engkar dengan wujudnya Zat Allah swt,tetapi menghadkan kuasa Allah swt dalam urusan yang bersangkut dengan akhirat sahaja dan enggan mengiktiraf kuasa Allah dalam urusan hidup di dunia.

[sayid qutb ;Petunjuk sepanjang jalan]
Masyrarakat ini enggan menjadikan undang undang Allah dan peraturannya serta syariatNya sebagai panduan. Mereka tidak sudi pun mengambil nilai nilai Islam sebagai pedoman dalam mengukur sesuatu. Lantas lahirlah golongan yang apabila disebut “Perjuangan kita kerana mencari redha Allah” dilihat sebagai dan dipandang oleh mereka sebagai jenaka yang perlu dihadiahkan dekah ketawa. Inilah golongan yang terkeliru dengan hadaf dan matlamat kerana perjuangan mereka diasas dan dilandaskan kepada “maddiyah dan benda”(kebendaan dan material).

Allah telah mengingatkan kata kunci asas untuk diimani oleh manusia diseanterio alammaya yang bermaksud:

“ Dan dialah Tuhan (yang disembah) di langit dan Tuhan (yang disembah) di bumi dan Dia-lah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”

Az zukhruff :ayat 84

Memahami sistem Allah swt yang berbentuk “tauqifi’ dan  “taufiqi” antara elimen masyarakat Islam itu ialah apabila  terjelma  sistem “keluarga” .Apabila keluarga menjadi kaedah utama dalam pembentukan masyarakat; dan keluarga dibina di atas pembahagian tugas antara suami isteri,pembahagian tugas dalam melaksanakan kerja,serta keluarga itu memberi perhatian penuh kepada masalah pembentikan generasi baru dan pendidikan anak anak; maka masyarakat itu menjadi masyarakat yang bertamadun kerana keluarga dalam bentuk dan “patern” ini ( dilindung di bawah lindungan program Islam) adalah merupakan tapak dan pengkalan dalam mana nilai nilai kemanusiaan itu diproses, dibentuk dan dilentur  serta dipupuk.Gunanya supaya menjadi panduan generasi muda ,sebab nilai nilai itu tidak mungkin diproses dan dibentuk kecuali dalam unit sebuah keluarga.

Persoalannya adakan proses ini akan berjalan jika institusi ini sudah rosak kerana pemahaman terhadap Islam itu sekadar tempelan dan bukan asas yang utama. Bersama kehadiran Ramadhan bulan yang merupakan medah mensucikan jiwa dan pemikiran untuk kembali kepada kebenaran iman dan takwa marilah kita mengkoreksi diri dan bermuhasabah kerana bimbang kita adalah antara watak sesat dan terseleweng dari kebenaran. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan Katakanlah: "Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan dia bukan pula hina yang memerlukan penolong dan agungkanlah dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.”

Al Israa :ayat 111


ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
13 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di:





Monday, June 29, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 12)

Ramadhan : Mengimbau Nostalgia 926



Penantian Bas bernombor 926 Dari “Hayyu Saiek” ke “ Hussain” benar benar mencabar kesabaran. Mahatthah (perhentian) haiiyu sabiek saban hari setia menjadi tempat penantian melenguhkan kebanyak pelajar Asia Tenggara terutamanya pelajar Malaysia. Setiap pagi kelihatan berpusu pusu pelajar dari Kedah,Perak,Terengganu,Pulau Pinang dan lainnya menanti ketibaan kenderaan lagenda (bas pengangkutan kaherah bernombor 926) bagi penuntut  Malaysia yang mendiami permukiman ilmu di bumi kaherah.

Setelah sekian lama menanti, bas 926 menguakkan pintu untuk setiap penanti menerobos masuk ke perutnya.Tempat duduk belum tentu dapat tapi meloloskan diri untuk masuk adalah keutamaan. Anak anak kecil,orang tuan, capek dan bertongkat termasuk muslimat juga tua dan muda semua ingin menempatkan diri ke dalam kenderaan penuh sejarah ini hanya tujuan menuju “maidan hussain” tempat terletaknya Universit Al Azhar yang penuh sejarah gemilang itu.

Setiba di persimpangan “Kulliah Banat” di Madinah Nasr kapasiti 926 agak reda kerana siswi siswi telah tiba di destinasi. Namun mengharapkan kerusi kosong tidak  kecapaian jua kerana keutamaan untuk ibu ibu tua yang di tangan mereka beban beban sampingkan,kadang kadang termasuk sayur sayuran,ayam dan itik bahkan tong gas juga dipikul bersama.

Sesak dan padat penumpang  926  menyusuri jalan kota kaherah yang menyaksikan lorong lorong di jalan sudah tidak teratur lagi terutama pada waktu perdana sudah menjadi kebiasaan anak anak Malaysia sepanjang tempoh di permukiman ilmu ini. Cuma dalam sesak dan padat kota menyaksikan warga kaherah mempunyai suatu budi yang tersembunyi. Kesabaran menempuh hidup dan mencabar dengan penuh “tasamuh”(bertolak ansur). Walaupaun terkadang “tasamuh “ itu ternoda jua.

Tidak hairanlah jika sepanjang penjalanan itu kedapatan ada warga kota yang menghuni kawasan kawasan perkuburan dan jambatan jambatan sebagai tempat istirehat melempias kantuk malam mereka. Hidup di kota yang penuh sesak tidak menjanjikan keselesaan sehebat istana sebaliknya sekadar mengalas perut menana  lapar dahaga.

Hidup yang menekan kadang kadang menjadikan mereka sensitive, kadang kadang menjadi pemarah dan tidak kurang juga mereka menjadi manusia yang terlalu menghargai kurniaan tuhanNya. Pernah sekali ketika lengun menan 926 keroncong perut saya perlu diisi. Apa yang mudah mendapatan makanan tradisi mesir ‘tokmiyah” kombinasi roti baladi (roti kampong),telur dan sayur amat menyelerakan di kala keroncong perut menjengah. Namun peristiwa itu mengajar saya, sebiji tokmiyah tidak dapat saya habiskan lantas saya campakkan sisinya di birai jalan berhampiran perhentian bas. Lantas tiba tiba bahu saya disentuh dan degusan dan omelan seorang pak cik tua yang tidak berpuas hati terhadap saya.  Pakcik Itu mengutip sisa sisa makanan yang saya buat di bungkus menggunakan kertas dan diletakkan dengan sopan dalam tong sampah. Pakcik itu menegaskan perbuatan saya itu tidak bersopan kepada rezki. Saya terkesima dan pas selepas ini saya akan berhati hati dalam tingkah laku walaupun hal itu terlu remeh jika dikenang.
Perjalanan 926 mengajar erti pengorbanan warga kota terutama terhadap ibu ibu tua dan dan warga kurang upaya. Sehingga ke hari ini mata ini masih belum lekang dari satu kejadian  yang disaksikan ketika  926 menghampiri Hospital Al Azhar. Keadaan yang jarang sekali dapat disaksikan seorang anak mendokong dan menggendong ibunya untuk mendapatkan rawatan di hospital. Seorang anak menyuapkan makanan dan minuman kepada ayahnya di perhentian bas dengan penuh perhatian. Wajah wajah ini terpamir menerusi jendela 926.

Istimewa menjadi penumpang 926 sekira kira 5 tahun menyaksikan fenomena janggal jika berlaku di bumi kita Malaysia. Ketika Ramadhan terutamanya kelihatan sosok yang sedang menanti, menjadikan Al Quran sebagai teman dan dampingan mereka. Biarpun dalam keadaan berdiri penuh sesak serta tiada keselesaan mereka masih sempat menekuni Al quran sebagai agenda kebiasaan. Lewat Ramadhan ini terasa kerinduan itu terlalu menggamit.

Menerusi jendela 926 juga menggamit kenangan yang amat sukat dilupakan, perihal orang Arab Mesir yang berbadan sasa tegap namun kemesraan mudah menjelma. Namun dalam mesra dan ramah mereka, amarah kadang kadang bermaharajalela. Menyaksikan pergaduhan ngeri di kalangan meraka juga menjadi kebiasaan.Berbekal batang besi dan kayu bersegi mereka bergaduh yang mengundang bimbang buat warga Asia Tenggara yang amat penyantun ini. Namun dalam pergaduhan yang membimbangkan tu dapat diredakan hanya dengan kalimah “Sollu Alan Nabi” pihak yang bergaduh kembali berdamai dan berdakap erat. Benarlah dalam kasar itu ada kelembutan yang mengikat. Kasar dank eras hati manusia diikat dengan kelembutan aliran air iman dan hembusan bayu taqwa.
Mencoret nostalgia 926 tidak akan menemui noktahnya sesingkat masa. Terlalu bernilai dan banyak sekali ibrah dan sentuhannya. Benarlah apa yang di Allah firmankan kepada hambanya untuk menjelajah dan berjalan di muka bumi ini meihat kehidupan dan tinggalan sejarah sebagai pedoman dan pengajaran.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Oleh itu, Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - Dengan melihat kesan-kesan Yang tersebut - mereka menjadi orang-orang Yang ada hati Yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga Yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan Yang sebenarnya bukanlah mata kepala Yang buta, tetapi Yang buta itu ialah mata hati Yang ada di Dalam dada.”

Al haj :ayat 46

Selamat Meneruskan Ibadah Ramadhan dengan penuh keinsafan

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
AZ Zahrah Hulu Langat
12 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di http://islampenyelesaian.blogspot.com




Sunday, June 28, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 11)

Ramadhan : Masa & Amal Berfaedah

Kehidupan kita di muka bumi direncanakan untuk memenuhi pusingan masa sebermula kita lahir sehinggalah kita dijemput oleh Sang Pencipta.sepanjang melalui putaran masa tersebut kita diingatkan supaya mengisi ruang tersebut dengan perkara dan amal yang bernilai dan tidak sia sia. Putaran masa itu amat bernilai dan beruntung bagi mereka yang menghargainya dan rugilah bagi yang mensia siakannya.

Pepatah Arab menyebutkan “Masa itu ibarat pedang jika engkau tidak memotongnya dia akan memotongmu”

Masa yang berlalu tidak dapat diulang kembali. Bagi yang mengisi masa lalu dengan perkara yang berfaedah orang itu beroleh keuntungan manakala yang mengabaikan masa yang berlalu  orang itu akan menanggung penyealan yang tidak bertepi.

Allah swt taala banyak bersumpah dengan masa untuk menyatakan betapa pentingnya masa itu dalam kehidupan dan amat perlu dihargai. Allah swt bersumpah dengan “Addhuha”, “Al Asr” “Al lail” dan lainnya sebagai peringatan untuk kita mengambil peduli pada setiap waktu dalam kehidupan seharian.Secara hikmahnya dalam pensyariatan ibadah solat 5 waktu sehari semalam menjadi sempadan peringatan untuk si hamba menyedari kehidupan harian mereka perlu diurus dengan teratur dan setiap detik itu tidak boleh memutuskan hubungan dengan Allah swt.

Sebagai bukti betapa Islam menekankan penggunaan masa dan kesempatan dengan perkara yang berfaedah Rasullullah seringkali menasihati sahabat sahabat baginda agar tidak terlibat dengan perkara yang sia sia. Antara larangan rasullullah kepada sahabat ialah apa yang terakam dalam sabda Baginda yang bermaksud:

“Daripada Abu said Al Khudri r.a daripada Nabi saw bersabda, Awasilah kamu daripada duduk duduk di tepi jalan. Sahabat bertanya:” wahai Rasullullah kami tidak dapat mengelak daripada duduk di tepi jalan untuk berbincang.” Rasullullah saw bersabda : “Kalau kamu tidak dapat mengelakkannya ,maka berilah hak hak jalan.” Mereka bertanya: “ Apakah hak hak jalan itu wahai Rasullullah?” Sabda Nabi saw “ Tutuplah mata.tahankan diri daripada mengganggu orang ramai,jawablah salam yang diberi,suruhlah berbuat maaruf dan laranglah membuat perkara mungkar”

(H.R Bukhari & Abu Daud)

Kalau kita membandingkan kehidupan kita pada hari ini terlalu banyak perkara di sia siakan. Jika kita mengambil kefahaman daripada sabda Nabi di atas,Rasullullah amat menekankan aspek kehidupan yang tidak diselimuti perkara sia sia sebaliknya diisi sepenuhnya dengan amalan yang bermanfaat sekaipun sedang berada di tepi jalan.Hari ini budaya lepak menular pada generasi muda dan tua. Pengabaian kepada masa dengan amalan yang lagha dan sia sia pula akan memberatkan amalan dosa.

Amalan amalan yang disarankan oleh Rasullullah dalam hadis ini perlu diamalkan sebagai amalan rutin supaya kehidupan harian kita setiap detik memberi erti dan makna. Amalan amalan tersebut ialah:

a)      Menjaga pandangan mata
b)      Menahan diri daripada melakukan gangguan kepada pihak lain
c)       Membudayakan amalan salam

d)      Menunaikan tuntutan amar makruf nahi Mungkar

Semoga Ramadhan mampu mengasuh kita untuk mempraktikkan saranan Rasullullah saw tersebut.


ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
11 Ramadhan 1436 


Saturday, June 27, 2015

TAKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 10)

Ramadhan ;Muhasabah Pembinaan Tunas Islam

Hari ini kita berada pada penghujung satu pertiga Ramadhan 1435.Ramadhan yang sudah dilalui mudah mudahan membuahkan seribu satu perubahan positif dalam diri dan rohani kita sebagai muslim. Mudah mudahan negatif yang bersarang dalam diri kita juga dapat dikekang dan dibasuh dengan hidayah Allah swt.

Hari ini saya ingin mengajak diri saya dan seluruh khalayak merenung jauh ke dalam sejarah masa lampau atau sejarah lalu kita.Bermula seawal usia baligh sehingga hari ini kita menjadi manusia dewasa dalam pertanggungjawban sebagai muslim.Renungan masa silam tersebut ialah betapa istimewanya hidayah yang terlontar ke dalam diri kita lantas terpahat “title”muslim kepada diri kita samaada muslim kita kerana keturunan atau muslim kita kerana kefahaman.

Justeru nilai dan “title” istimewa yang kita miliki tersebut, hidup kita menjadi satu perjuangan yang sangat besar nilai dan pertanggungjawabannya. Muslim yang jelas tujuan dan matlamat hidupnya serta pengisian perjalanannya untuk memenuhi matlamat tersebut sentiasa berpaksi  kepada pimpinan yang telah diasaskan oleh Rasul utusan Allah swt.Firman Allah swt menerusi ayat ke 29 Surah Al fath yang bermaksud:

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di Dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi Kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan Yang mengkagumkan orang-orang Yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana Dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar.

Ayat ini terlalu banyak intipati yang boleh dikupas diperah dan dihirup sarinya berkaitan dengan asas dan kesinambungan perjuangan, namun kali ini mari kita melihat bagaimana ayat ini menekankan persoalan berkaitan pentingnya proses perkaderan atau membina generasi pelapis sebagai jaminan kelansungan ummah pada masa akan datang.

Hati ini bila kita merenung kepada anak anak yang berusia 5 atau 6 tahun sudah dilatih berpuasa atau juga kita renung pada raut wajah cucu kita yang belumpun mencecah usia tujuh tahun kita semai cita dan kesungguhan untuk berwatak muslim dan muslimah pada masa mendatang.Cuma pernahkah kita terfikir apa tujuan kita lakukan semua itu dengan penuh istiqomah?

Semua itu kita lakukan kerana lontaran rasa dan kesedaran yang Allah benamkan dalam hati dan keimanan kita untuk menjaga dan memelihara tunas tunas Islam yang akan melestarikan perjuangan pada masa yang akan datang.

Tugas menyuburkan dan mempastikan tunas tunas itu tegap berdiri adalah tugas berterusan yang terpikul kepada musim. Lurus bengkoknya tanaman itu bergantung rapat dengan usaha kita hari ini. Jika  usaha kita menyiram dan membaja tunas tunas itu hanya sekadar keterpaksaan atau sekadar melapaskan keinginan rasa tanpa dipaut kesedaran dan iman maka pokok pokok itu tidak akan berbesar sebagai pohon yang rendang dan akarnya tidak akan menunjang ke dasar. Kesannya pohon itu akan hilang kekuatan untuk menahan terjahan ribut dan badai   dan semestinya juga tiada upaya mengeluarkan buah yang manis dan lazat.

Mari kita sisip sabda baginda sebagai bekalan muhasabah pada penghujung hari Ramadhan ke 10 ini agar kita tidak lupa akar dan asas. Sabda baginda saw yang bermaksud:

“Ajarkan anak anak kamu dengan tiga perkara, Mengasihi Nabimu, Mengasihi keluarga Nabimu dan Tilawatil Quran

Menjadikan Rasul sebagai idola dan meneladani perjuangannya menempuh badai perjuangan serta pembinaan asas kehidupan tamadun manusia adalah madrasah yang tiada tandingannya. Bagitu juga kekuatan keluarga nabi yang dibentuk sebagai contoh keteladanan rabbani yang wajib menjadi ikutan ummah yang bercita maju untuk membenam Jahiliah. Begitu juga Al Quran yang menjadi asas kepada pembinaan itu utama menjadi kurikulum kepada pembinaan tunas Islam pada hari ini.

Bersama alunan Al quran yang menjadi agenda harian kita lebih lebih lagi di pentas Ramadhan ini perbanyakan juga salawat dan salam kita kepada Rasullullah saw dan kuluarga baginda, mudah mudahan Rahmat Alllah menaungi kita.

Allahhumma solli Ala Muhammad , Wa  Ala Aali Muhammad.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az Zahrah Hulu Langat
10 Ramadhan 1436


Friday, June 26, 2015

TAKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 9)

Ramadhan :Peraturan & Peringatan

Ramadhan  sememangnya bulan yang cukup istimewa mengajar muslim dalam ribaan madrasahnya yang unik.Kewajipan yang kita tunaikan samaada puasa itu sendiri dan ibadah ibadah sampingan cukup memberi kekuatan luaran dan dalaman ke arah memperbaiki diri dan peribadi muslim.Kita mengandaikan Ramadhan adalah bulan melatih kita akur dan patuh dengan peraturan.

Muslim dan peraturan atau disiplin tidak boleh dipisahkan.Demikianah Allah swt menciptakan kita hidup dan mati kita untuk dilihat dan dinilai siapa yang paling patuh pada pekerjaannya atau ketetapan serta peraturan Allah.FirmanNya yang bermaksud:

“Maha berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan Yang Menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);

Al Mulk :Ayat 1-2

Kepatuhan manusia dan pelanggaran terhadap ketetapan Allah melibatan pertimbangan habuan dan hukuman,melibatkan pahala dan dosa serta akan mengimplikasikan penempatan d Syurga atau neraka.Peraturan dan disiplin dalam agama adalah syariat yang diwahyukan dan manusia tiada hak menganbil tugas menetapkan peraturan dan disiplin tersebut.Manusia hanya perlu akur pada peraturan samada yang berbentuk suruhan atau larangan.Manusia seringkali diingatkan untuk kembali kepada sumber asal peraturan sekiranya berlaku pertelingahan dalam sesuatu perkara.FirmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

An Nisa :ayat 56

Allah swt dengan sifatnNya yang maha pemurah sentiasa mengingatkan hambaNya soal kepatuhan kepada peraturan dan undang undang.Justeru itu manusia sering diingatkan tentang peraturan tersebt menerusi peringatan demi peringatan.Peringatan menerusi Ayat ayatNya atau Sabda RasulNya yang mulia.Implikasi mengabaikan peringatan Allah amat buruk sekali samaada di dunia dan lebihlebih lagi di akhirat.Allah mengingatkan kita dengan amaranNya menerusi FirmanNya yang bermaksud:

“Dan sesiapa Yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka Sesungguhnya adalah baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat Dalam keadaan buta" ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku Dalam keadaan buta, padahal Aku dahulu melihat?"Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadaMu, lalu Engkau melupakan serta meninggalkannya, dan Demikianlah Engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".

Thaaha :Ayat 124-126

Ramadhan adalah medan yang cukup baik bermuhasabah ke dalam diri kita bagaimana tahap kepatuhan kepada peraturan dan peringatan Allah.Kita perlu bertanya adakah selama ini kita benar benar hamba yang patuh dan hamba yang sering menekuni peringatan Allah swt atau sekadar menjadikan agama sekadar adat adat kebiasaan yang diwarisi secara turun temurun.Besar kerugiannya bagi yang tidak mengenali  agama secara hakiki dan sekadar bermain main sahaja.Bukan juga agama itu sekadar mengutip mana yang mudah sahaja tanpa menunaikan keseluruhan tuntutannya.Marilah kita sama sama bertanya adakah kita sudah melestarikan tuntutan Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.”

Al baqarah :Ayat 208

Selamat meneruskan Ibadah Ramadhan dengan penuh ketaatan

ABD WAHID AINOL ABIDIN
AZ Zahrah Hulu Langat
9 Ramadhan 1436


Thursday, June 25, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 8)

Ramadhan: Dugaan dan keampuhan doa

Mac 2009 mencatat satu sejarah duka dalam kehidupan saya 5 bulan setelah kembalinya ayahanda ke Rahmatullah kami sekeluarga dikejutkan dengan pemergian adinda saya pada ketika itu berumur 33 tahun. Beliau pergi dalam keadaan tidak mengidap sebarang penyakit,tiba tiba jatuh di majlis persiapan kenduri perkahwinan.Beliau tidak sedarkan diri dan doktor mnegesahkan berlaku pendarahan dalam kepala. Seluruh keluarga dirundung sedih dan sayu apatahlagi mengenangkan 3 anak anak yang masih kecil.Keadaan bertambah kritikal apabila doktor yang terlibat merawat beliau memaklumkan pembedahan tidak dapat dilakukan kerana keadaannya terlalu kritikal dan peluangnya terlalu tipis. Tiga  hari bertarung nyawa dengan kepakaran manusia yang terbatas adinda saya menghembuskan nafas terakhir dan seluruh keluarga menerima ketentuan itu dengan redha.

Hari ini 8 Ramadhan, kotak masej wassap saya digegarkan dengan berita yang hampir sama berlaku kepada sahabat sepengajian di ardil kinanah dahulu saudara Muhammad kamal Salleh tenaga pengajar di SARJANA Kg Gajah Perak.Beliau dalam rencana membawa nak beliau mendapatkan rawatan jantung di IJN 2 hari lepas, setelah sampai di Kuala Lumpur beliau barangkali dalam keadaan keletihan diserang minor stroke. Seluruh rakan taulan terkesima dengan berita sayu ini.

Bagi saya kenangan 6 tahun lalu kembali merentap tangkai jantung saya.Kotak mesej tidak sanggup saya buka apatah lagi wajah sahabat yang dikirim dalam keadaan terbaring di katil hospital benar benar mengimbau kembali wajah adinda saya ketika dirawat dalam tempoh 3 hari dihospital dalam keadaan kritikal tersebut.Hati bagai tidak sanggup menerima perkhabaran dukacita.Namun jika suratan menentukan apa daya upaya untuk kita menolak rencana Yang Maha kuasa.

Semalam sekitar jam 11.50 malam tadi saya jengah kotak masej wassap saya dan ada berita dan perkembangan terbaru.Beliau selamat menjalani pembedahan dan menurut sahabat keadaannya 50-50. Hati saya berkata nasibnya agak baik berbanding adinda saya yang terlalu kritikal dan sebarang pembedahan tidak dapat dilakukan.

Kini seluruh sahabat handai merencana peduli untuk membantu sekadar yang perlu untuk membantu anak anaknya yang masih kecil dan dalam keadaan mengidap sakit pula.Apa yang paling perlu adalah pengharapan dan munajat tidak putusd putus mesti di panjatkan ke hadrat Allah swt agar ketentuan terbaik dilimpahkan kepada sahabat kami ini.

Kehadiran Ramadhan  bersama ujian ini boleh sahaja berlaku, tidak kira siapa pun kita orang biasa atau insan ternama.kalau ini sebahagian kisah kisah perjalanan hamba yang berlaku di sisi kita, di sana dan di luar sana ribuan dan jutaan lagi manusia sedang bertarung dengan ujian dan ibtilak ini.Namun isinya apakah kita meletakkan apa yang berlaku ini pada kedudukan pengharapan yang jitu pada pencipta atau sebaliknya.

Kesempatan ini saya ingin mencuri perhatian saudara saudara khalayak semua untuk kembali merafak sembah kehadrat Rabbul Jalil dan merenung keampuhan doa.Sedarlah Allah yang maha pemurah tidak akan pernah jemu mendengar rintihan hambaNya.Dia berada hampir dengan kita mendengar dan mendengar dan terus setiap ulas bisikan dan pengharapan hambaNya.
Firman Allah swt yang bermaksud:

“  Dan apabila hamba hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku,maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat.Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada Ku,maka hendaklah mereka memenuhi(segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran”

(Al baqarah ;Ayat 186)

Semoga Allah menyembuhkan sahabat saya yang sedang dirawat sekarang dan sentiasa mendapat rahmatnya daripadaNya.Begitu juga semoga ahli keluarga bersabar atas musibah yang melanda. Bersama ramadhan ini semoga seluruh kita juga dipayungi Rahmat Allah yang tidak kunjung henti Insyaallah.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az Zahrah,Hulu Langat

8 Ramadhan 1436

Wednesday, June 24, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 7)



Ramadhan;Ujian & Tuntutan Sabar

Ramadhan menjengah hari ke 7 bersama semangat pencinta agama yan akur,tunduk,patuh serta taat tidak berbelah bagi terhadap suruhan Allah swt. Pesta ibadah semakin rancak bagi si abid yang sedar begitu juga kualiti ibadah sentiasa ditingkatkan oleh si alim yang abid.

Hidup sebagai sebagai hamba tidak akan dapat lari dari ujian dan ibtila’ serta tribulasi.Setiap individu Allah swt berikan kepada mereka ujian yang berbagai dan bersesuaian dengan tahap diri masing masing.Mereka yang merasakan dirinya tidak akan ditimpakan ujian dalam perjuangan adalah manusia yang tidak berpijak di bumi yang nyata.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.

Al Ankabut :Ayat 2-3

Seorang hamba yang melalui kehidupan dan perjuangan dalam keadaan sedar rintangan serta ujian yang akan dilalui, sentiasa bersiap siaga supaya ujian yang mendatang dilalui dengan bijak berpandukan panduan Allah swt.Berusaha melepaskan diri dari ujian adalah perjuangan yang amat dituntut dan merupakan peraturan Allah swt kepada rencana perjalanan hidup manusia.

Manusia perlu merancang dan bekerja dalam melunaskan tuntutan kehidupan dan perjuangan.Islam menafikan hidup tanpa usaha, bertawakal dengan cara yang salah adalah pendustaan kepada agaa.Budaya kerja dengan bersungguh ditegaskan oleh Allah menerusi firmannya yang bermaksud:

“dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan".

At Taubah ;ayat 105

Ujian dan ibtila’ juga mesti dilalui dengan penuh kesabaran.Sabar adalah perkataan yang mudah untuk diungkapkan tetapi amat susah untuk diamalkan dan diterjemahkan dalam perbuatan dan kehidupan.Allah swt menegaskan betapa pentingnya sifat sabar bagi manusia sehingga meletakkan syarat untuk tidak rugi mestilah mempunya sifat sabar. FirmanNya yang bermaksu:

“ Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.”

Al Asr ;ayat 1-3

Muslim yang sabar mesti menyedari setiap ujian yang diturunkan Allah swt adalah untuk mengangkat darjat mereka dan tanda Allah swt masih memandang mereka.Semakin tinggi darjat seseorang semakin besar ujian yang akan dilalui.Sabda Rasullullah saw yang bermaksud

Orang yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian yang paling sholeh dan seterusnya. Seseorang diuji berdasarkan agamanya, jika agamanya kuat maka semakin keras ujiannya, dan jika agamanya lemah maka ia diuji berdasarkan agamanya. Dan ujian senantiasa menimpa seorang hamba hingga meninggalkan sang hamba berjalan di atas bumi tanpa ada sebuah dosa pun"

(Dishahihkan oleh Al-Albani dalam As-Shahihah no 143)

Sabar dalam ujian merupakan ibadah dan akan dikurniakan ganjaran kebajikan oleh Allah swt.Keistimewaan amalan seseorang mukmin tidak dapat disangkal lagi.benarlah apa yang disabdakan oleh Rasullullah saw berkaitan amalan seseorang muslim dalam sabdanya yang bermaksud:

“sungguh beruntung orang yang beriman,kerana segala perkara adalah kebajikan.Jika dia mendapat kenikmatan ,dia bersyukur (dia mendapat pahala kebajikan) jika dia ditimpa musibah,dia sabar (dia mendapat pahala kebajikan juga)”

(HR.Muslim)

Alhamdulillah kehadiran Ramadhan ini medan untuk kita mempraktikkan sabar dalam kehidupan.Ujian lapar yang dilalui sehingga waktu berbuka mampu mendidik jiwa untuk mendakap makna sabar.Tilawah Al Quran,sedekah,Solat dan qiam kita adalah medah menguji istiqomah kesabaran kita.Semoga Allah melepaskan kita dari ujian yang tak terdaya kita tempuhi  sepanjang permusafiran dan kelana mencari redhanya.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az Zahrah,Hulu Langat

7 Ramadhan 146

Tuesday, June 23, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 6)

Islam;Ramadhan & Koreksi Tanggungjawab

Kemelut dan krisis yang melanda dunia hari ini semakin meruncing.Kebejatan memonopili kuasa dan membina kekuatan untuk menguasai hasil bumi semakin parah.Pertembungan antara kuasa besar bagai episode yang tidak ada tanda akan berhenti. Negara dan kuasa kecil semakin terpinggir dan tertindas bahkan melukut di bumi sendiri.

Daripada krisis kekuasaan dan kepimpinan sehingga permasaalahan urusan kehidupan, manusia sentiasa berusaha dan mencari penyelesaian.Malangnya manusia gagal mengenalpasti kaedah penyelesaian yang tuntas dan sempurna.

Rentas sejarah tamadun Islam menyaksikan kekuatan yang bertunjangkan aqidah dan agama adalah penyelamat dan jaminan kestabilan. Generasi awal Islam bimbang untuk berpaling dari asas dan ketetapan ini.

[“Oleh kerana itu umat Islam dahulu tidak termimpi akan wujud di negara milik umat muslimin cara bukan Islam itu dipraktik oleh pemimpin yang mengaku beragama Islam.Ummat yang disebut Allah swt menerusi firmanNya:

 “kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). “(surah Ali Imran:ayat 110)

adalah ummat yang mematuhi dan mentaati perintah dan larangan Allah.Tetapi pemimpin pemimpin yang memerintah negara milik umat Islam pada hari ini tidak mengendahkan seruan Allah,sepatutnya mereka menjadi pemimpin tetapi diseret dengan mudah ke jalan sesat.Mereka sepatutnya menjadi guru tetapi hanyut bersama banjir penyelesaian cara manusia yang lemah.]
(Petikan ;Tg Hj Abdul Hadi Awang,Islam;Fikrah,Harakah Dan Daulah)

Ya, Kita berbicara tentang penyelesaian terhadap krisis manusiawi yang sedang melanda kehidupan hari ini.Justeru keyakinan yang mesti menunjang dalam diri muslim ialah penyelesaian dengan kaedah Islam.Hari ini merupakan hari ke enam kita menjalani Ibadah Ramadhan dan antara aspek yang perlu disedari Ramadhan adalah madrasah tarbiah yang Allah rencanakan untuk membentuk  manusia yang bertanggungjawab.

Secara mudah cuba perhatikan bagaimana dan sejauh mana Ramadhan telah membentuk kelestarian aqidah,ibadah  dan akhlak manusia.Antara tanggungjawab yang boleh diperhatikan sepintas lalu ialah;

a)      Tanggungjawab kepada diri sendiri – Setiap individu muslim seharusnya menyedari tanggungjawab membina sakhsiyah diri yang mantap dari sudut fizikal,akal dan pemikiran serta jiwanya.Individu yang cemerlang adalah individu yang baik hubungan dengan tuhannya dan sentasa memelihara kesucian pegangan dan aqidahnya,ibadahnya yang soheh serta tidak menyeleweng.

b)      Tanggungjawab kepada keluarga. – Islam yang diturunkan  dengan peraturan dan penyelesaian sentiasa membimbing setiap muslim untuk bertanggung jawab terhadap keluarga dan kekeluargaan.Islam menitik beratkan hubungan anak dan ibubapanya,hubungan suami isteri serta hubungan ibubapa dan keibubapaan terhadap anak anak.

Malang seribu kali malang jika setiap individu muslim yang berpuasa dengan penuh ketaatan tatapi mempunyai hubungan yang tidak harmoni dengan ibubapanya, tidak tenteram kehidupan suami isterinya dan tiada ikatan mahabbah.Begitu malang juga jika tiada kasih sayang terhadap anak anak.

c)       Tanggungjawab kepada kaum kerabat dan jiran tetangga- Sebagai muslim hubungan kaum kerabat dan tetangga juga mesti dititik beratkan.Rasullullah telah mempamirkan satu model yang hebat dalam praktik jalinan kerukunan di antara kaum kerabat dan kejiranan.Kesempatan Ramadhan adalah waktu yang cukup mujarab untuk membina kekuatan jalinan ini tanpa uzur.

d)      Tanggungjawab kepada masyarakat- Masarakat yang terbina, cemerlang,maju dan mundurnya bergantung kepada seseorang individu.Individu muslim adalah juzuk yang sewajarnya menjamin kestabilan dan kerukunan sesebuah masyarakat.

Justeru setiap individu mesti menyedari peranan dan tanggungjawabnya di dalam masyarakat.Seorang muslim mesti sentiasa mewujudkan suasana harmoni dengan meninggalkan sifat-sifat mazmumah seperti angkuh,sombong,riak dan besar diri sebaliknya menghiasi diri dengan sifat –sifat mahmudah seperti sabar,toleransi,bertolak ansur dan sering memaafkan.

Kemuncak tertinggi setiap muslim mesti menyedari amanah dan tanggungjawabnya untuk mempastikan masyarakat selamat bernaung di bawah bendera Islam dan meletakkan kalimah Allah adalah yang tertinggi bersama redhaNya.

Muslim yang menyedari tanggungjawab ini adalah adalah mereka yang sentiasa dipandu oleh hidayah Islam.Tiada pilihan lain sebagai penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku dalam kehidupan.Semoga Ramadhan memperkukuhkan jatidiri dan keyakinan bahawa Islam adalah penyelesaian.

Wassalam

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az Zahrah,Hulu Langat

6 Ramadhan 1436

Monday, June 22, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 5)

RAMADHAN,MANUSIA DAN AL QURAN

Manusia diciptakan oleh Allah sebagai khalifah pemakmur muka bumi. Kehebatan manusia dengan kurnian akal fikiran bukan keistimewaan mutlak untuk manusia menguruskan kehidupan ini sewenang wenangnya.Manusia tidak boleh memutuskan hubungan dan tindakannya dengan khalik pencipta sarwajagat.Justeru Allah menurunkan Al Quran sebagai petunjuk,keterangan dan penentu antara kebenaran dan kebatilah .

Firman Allah swt yang bermaksud:

“(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. “

Al baqarah:ayat 185

Melalui madrasah Ramadhan, bulan yang diturunkan Al quran sewajarnya menjadi motivasi kepada seluruh muslim untuk merenung terhadap tanggungjawab mereka terhadap Al Quran.Sejauhmana khalayak muslim mengenali dan menyedari kedudukan Al Quran dalam kehidupan perlu dilihat dengan penuh tanggungjawab.

Seterusnya mari kita bertanya tentang statistic mereka yang boleh membaca Al quran dan mereka yang masih buta Al quran (tidak tahu atau lemah membaca Al Quran) sekalipun perkembangan pendidikan berlaku begitu hebat dan pesat.

Pengarah Pusat Penyelidikan al-Quran Universiti Malaya (UM), berkata, kajian oleh Imran Kamal Basah pada 2010 mendapati      sebanyak 31.3 peratus jemaah masjid di Hulu Langat,  Selangor lemah   dalam bacaan Surah Al fatehah.

Selain itu, menurut beliau, kajian yang dijalankan Saidi Mohd. di Terengganu pada 2006 merumuskan sebanyak 38.1 peratus pelajar tingkatan empat di salah sebuah sekolah menengah di negeri tersebut mempunyai gred sangat lemah dalam tahap bacaan al-Quran.

Geja ini membimbangkan jika tidak ditangani apatahlagi dalam suasana remaja dan kanak kanak semakin ketagih melayani media social dan gajet  gajet teknologi pintar yang semakin pantas berkembang.

Tanggung jawab  setiap muslim terhadap Al quran tidak terhenti kepada mengenali dan membaca sahaja seterusnya mereka dipertanggungjawabkan untuk mendalami dan memahami Al Quran. Isi kandungan Al Quran mesti digali dan difahami.Kuliah kuliah di masjid dan surau mestilah pelbagai bagi menjamin usaha mencapai tujuan dan matlamatnya.

Setelah memahami Al quran apa yang difahami mestilah diamalkan dalam kehidupan sebagai cara hidup mencakupi semua urusan politik,social,kemasyarakatan,ekonomi ,akhlak dan seluruhnya.setiap muslim mesti dan wajib yakin dengan Al Quran yang tidak ada sebarang kecacatan dan terpesong dari tabie kehidupan.Alhadulillah kita menjadi umat Rasullullah yang dikurniakan Al quran sebagai mukjizat yang sangat besar.

Firman Allah swt yang bermaksud:


“Segala puji terentu bagi Allah Yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu Yang bengkok (terpesong)”
Al kahfi :ayat 1

Hari ini ketika kita mengungkapkan ayat demi ayat dari Al Quran dalam memenuhi agenda madrasah Ramadhan ini marilah kita sama sama bermuhasabah betapa Al Quran ini peringkat demi peringkat kemungkinan telah ditinggalkan atau akan ditinggalkan.

a)   Berhukum dengan Al quran (Tahkim) – Hari ini hasrat untuk menjadikan Al Quran sebagai asas hukum  tidak lagi seperti apa yang dibina oleh rasullullah,sahabat dan generasi terdahulu.Hasrat untuk meletakkan Al Quran sebagai sumber hukum dianggap sebagai jenayah yang besar.

b)   Berubat dengan Al quran (istishfa) – Al quran sebagai syifa hari ini tidak menjadi pilihan utama,ramai yang mengutamakan ubat manusia daripada mendahulukan Al quran sebagai penawar mujarab.

c)       Memahami,Tadabbur dan menghayati Al Quran- Quran hanya jadikan bacaan pada pembukaan majlis dan penutup dan hanya dipertandingkan.Jauh sekali mengambil bimbingan dan saranan Al Quran untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.Majlis memahami Al quran dipandang sepi bagai tidak berpenghuni.

d)      Membaca Al Quran- sekiranya Al Quran sudah tidak lagi dibaca oleh khalayak muslim,apa lagi yang tinggal.Jika peringkat ini terjadi gelaplah dunia dan sunyilah kehidupan dari bimbingan l Quran.
Justeru dengan kehadiran Ramadhan ini marilah kita Istoqomah mendampingi Al Quran dengan harapan kelak nanti kita kembalik di hadapan Allah rabbuljalil Al Quran menjadi peguam bela kita semua.

Wassalam

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az Zahrah,Hulu Langat

5 Ramadhan 1436

Sunday, June 21, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 4)

RAMADHAN,INFAK DAN PRIHATIN

Ramadhan semakin menginjak masuk hari ke empat.Muslimin seluruh dunia dipaparkan menerusi media melaksanakan tuntutan Ramadhan dengan penuh tanggungjawab dan digambarkan dengan penuh kecintaan. Kemeriahan Ramadhan tidak dapat disorok dan dirahsiakan dan inilah anugerah Allah swt yang dikurniakan kepada hambaNya. Serata khalayak samaada muda atau tua,kanak kanak dan orang dewasa di bandar dan di desa, miskin atau kaya merasai keindahan Ramadhan  ini.

Mereka menjadikan kehadiran Ramadhan ini untuk mengimarahkan masjid masjid dan surau surau,tidak kurang pula mengisinya dengan agenda tadarus Al quran dan program Ilmu.Kemeriahan Ramadhan yang dilalui nun di sudut insani tertonjol satu budaya yang amat dititikeratkan oleh satu kelompok manusia taat dan faham iaitu budaya sedekah dan infak.

Seruan Allah swt dalam Al Quran jelas menunjukkan besarnya dan utamanya amalan infak.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Al Baqarah:ayat 261

Amalan infak adalah saranan Allah pada setiap muslim tidak kira apa kedudukan mereka sama ada berpangkat atau tidak.Amalan ini tidak boleh dipandang remeh, selain daripada mendapat ganjaran yang besar, infak adalah medan Allah menguji hambaNya.Mereka yang mengutamakan keredhaan dan pandangan Allah tidak akan berkira kira dalam mengeluarkan belanja dan harta mereka kerana setiap yang dibelanjakan samaada sedikit atau banyak akan dinilai oleh Allah swt.

Infak juga mesti dengan penuh kerelaan dan keikhlasan bukan dengan tujuan untuk bermegah megah serta adanya sifat riak.Berinfak bukan bertujuan untuk mendapat pujian manusia tetapi semata mata ingin menggapai cinta Tuhannya.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa Yang mereka belanjakan itu Dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak Yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Al baqarah:Ayat 262


Muslim yang istiqomah dengan budaya infak sentiasa mencari ruang dan dan peluang untuk menyalurkan infaknya.Sebaliknya mereka yang mempunya sifat anti infak sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk mendapatkan sesuatu secara percuma dan sering sahaja mengharap nasibnya dibela berbanding bertindak sebagai pembela.Mereka yang tertunjang budaya ini sering menekuni saranan Rasullullah menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Tangan yang di atas lebih baik dari Tangan di bawah” Hadith Riwayat Bukhari

Budaya infak membuahkan dalam diri seorang muslim sifat  prihatin kepada golongan yang memerlukan.Nasihat Rasullullah seharusnya menjadi motivasi untuk  meletakkan diri sebagai seorang yang prihatin terutamanya kepada sesama muslim.

Allah merakamkan bagaimana sifat golongan Ansar yang memberikan segenap bantuan untuk saudara mereka di kalangan muhajirin tanpa disempadani oleh sedikit pun rasa curiga.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.”

(Al-Hasyr: 9)

Bersama kehadiran Ramadhan Al Mubarak ini marilah kita membudayakan budaya infak dan prihatin serta meontar jauh sifat kikir dan kedekut  dalam diri kita untuk menggapai pandangan Allah.Titiplah rasa simpati dan prihatin kepada mereka yang memerlukan walaupun sedikit.

Kenanglah saudara saudara kita pelarian Rohingya,Saudara kita di serata dunia yang ditindas, di Palestin,Yaman,Suria,Iraq dan selurunnya.Gapai juga simpati dan prihatin kepada saudara mara yang kesempitan begitu juga jiran tetangga.Sapalah mereka dengan tangan yang sihamba yang besifat pemurah.Semoga bekalan yang sedikit itu mengundang rahmat Allah yang luasnya tidak bertepi.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az zahrah,Hulu Langat
4 Ramadhan 1436

Saturday, June 20, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 3)

Pejuang,Rintangan Dan syaitan

Perjuangan mukmin menjadi hamba Alah dan khalifahNya adalah satu perjalanan yang berliku dan penuh ranjau.Perjalanan yang tidak menjanjikan kesedapan dan kesenangan di dunia sebaliknya kesedapan dan kesenangan itu dikecapi apabila kembali ke negeri abadi nanti. Sejarah para rasul menunjukkan bahawa setiap usaha membentuk manusia menjadi hamba yang taat berhadapan rintangan dan kepayahan dan tidak menjanjikan pengikut yang ramai. Justeru itulah kebenaran Islam tidak dirujuk kepada ramai atau sedikitnya pengikut.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“kalau apa Yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu Yang berfaedah Yang sudah didapati, dan satu perjalanan Yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat Yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah Dengan berkata: "Kalau Kami sanggup, tentulah Kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui Bahawa Sesungguhnya mereka itu orang-orang Yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).”

At Taubah; Ayat 42

Imam al Ghazali menyebut dalam kitabnya Minhajul Abidin perjalanan menjadi hamba yang taat akan berhadapan dengan sekurang kurangnya 4 rintangan besar.Rintangan ini berlu diperhatikan dengan penuh waspada agar tidak menjadi faktor yang mengagalkan rencana ubudiah seorang manusia kepada Tuhannya.Rintangan itu ialah:

a) Dunia dan Isi dunia
b) Makhluk (terutamanya manusia)
c) Syaitan
d) Nafsu

Sempena berada di bulan Ramadhan yang mulia ini antara keempat empat faktor di atas penulis ingin mengajak khalayak untuk memberi fokus kepada perkara tiga ,bagaimana Syaitan berusaha menggagalkan usaha si hamba mencari redha tuhannya.Makhluk yang tidak kita lihat ini sebenarnya sering melakukan onar agar si hamba menjadi curang dan culas terhadap tuhannya.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan Demi sesungguhnya, Aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan Demi Sesungguhnya Aku akan memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong, dan Demi Sesungguhnya Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". dan (ingatlah) sesiapa Yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin Yang ditaati selain dari Allah, maka Sesungguhnya rugilah ia Dengan kerugian Yang terang nyata.”

An Nisa: ayat 119

Ayat di atas Allah swt merakamkan janji syaitan untuk menyesatkan manusia dengan pelbagai cara dan helah.

a) Syaitan akan berusaha memesongkan manusia daripada kebenaran.Manusia yang terperdaya dengan pujukan syaitan tidak dapat membezakan antara hak dan batil sebaliknya berasa teruja dengan kesesatan dan menjadi kegemaran yang tidak kunjung henti. Justeru si hamba wajib beringat dengan amaran Allah agar tidak mendampingi Syaitan dan menjadi penyembah syaitan sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh Yang nyata terhadap kamu!”

Yaasin :ayat 60

b)      Syaitan akan meniup rasa angan angan kosong dalam diri si hamba iaitu dengan menjadikan manusia bersenang senang dalam amalan dan bertangguh dalam ibadah dan taubat.Hasutan ini menjadikan manusia tertipu dengan perbuatan mereka sendiri dengan merasakan mereka sudah cukup bekalan sebalik mereka hanya terperdaya tanpa bekalan ketika bertemu Tuhan nanti.

c)        Syaitan akan menyuruh,memerintah dan menghasut manusia untuk melakukan perkara yang dimurkai Allah iaitu mengharamkan perkara yang dihalalkan.Menerusi ayat di atas antara hasutan syaitan ialah menyeru manusia mengharamkan perkara yang dihalalkan iaitu (memotong telinga haiwan ternakan) merujuk kepada perbuatan jahiliah mengharamkan binatang ternakan atas sebab sebab tertentu yang tidak berdasarkan syarak.Rujuk firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya”

Al Maidah:Ayat 103

Nota
1. Bahirah بَحِيرَةٍ)- Unta betina yang beranak 6 kali lalu dibelah telinganya, dilepaskan.Tidak boleh ditunggang dan tidak boleh diperahsusunya.
 
2. Saibah (سَائِبَةٍ)   Unta betina yang dibiarkan pergi ke mana sahaja lantaran sesuatu nazar. Biasanya dilakukan sebelum memulakan sesuatu perjalanan yang sukar.

3. Washilah (وَصِيلَةٍ)-Lembu yang melahirkan anak kembar yang anaknya jantan dan betina. Anak jantannya dikenali sbg Washilah lalu disembelih untuk diserahkan kepada berhala.

4. Haam (حَامٍ- Unta jantan yang tidak boleh diganggu kerana telah membuntingkan unta betina sebanyak 10 kali.

d)      Syaitan juga memainkan peranan menghasut manusia dan menyuruh manusia menghalalkan perkara yang diharamkan dengan mengubah ketetapan Allah mengikut selera mereka sendiri tanpa memikirkan sempadan dan had yang telah ditetapkan.

Marilah pada bulan yang mulia ini kita bermuhasabah untuk menjadi hambaNya yang taat dan tidak terpengaruh dengan pujukan Syaitan.Semoga kejayaan mengiringi kita dalam usaha mentarbiah diri menjadi hamba yang istiqomah, patuh dan taat.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN

Az Zahrah, Hulu Langat