Pages

Thursday, June 18, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 1)

Ramadhan :Antara Pesta Adat dan Ibadah

Hari ini 18 Jun seluruh umat Islam mula berpuasa, menunaikan rukun Islam yang ke tiga. Rasa sensitif kepada kefardhuan ini  dirasai oleh seluruh lapisan umur umat Islam.Alhamdulillah seandainya kefahaman ini menular jauh ke lubuk hati menandakan kesedaran  iman masih ada. Asas takwa masih mantap,dengan berasa bimbang dimurkai Allah tuhan sarwajagat sekiranya kefardhuan gagal dilunaskan sebaik mungkin.

Allah swt mengingatkan dan mengikat kefardhuan puasa Ramadhan dengan ikatan takwa sebagai peringatan agar muslim tidak hilang fokus kepada ibadahnya. FirmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Al Baqarah :183

Keyakinan kepada apa yang disabdakan oleh baginda Rasullullah saw tentang keistimewaan Ramadhan mudah mudahan terpahat rapi dalam alur kefahaman kita. Sabda Rasullulalh yang bermaksud:

“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu Syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun persoalannya: Kenapa puasa Ramadhan sahaja yang menjadikan kita sensitif kepada penetapan hukum ini.Tibanya Ramadhan berpusu pusu manusia mempedulikan Ramadhan, Sedangkan yang menjadi peruntukan hukum Allah bukan puasa sahaja.Kalau kita bertanya kenapa umat Islam tidak sensitif kepada penetapan hukum solat,  hukum syahadah yang tidak difahami secara mendasar?Persoalan persoalan lain yang berkisar tentang tuntutan mukmin sebagai hamba kenapa tidak disemarakkan rasa sensitifnya?

Jawapan kepada persoalan ini tidak lain dan tidak bukan ialah kerana kejahilan. Jahiliyah yang masih membedung diri manusia yang mengaku muslim, menjadikan manusia itu tertipu dengan ibadah dan penyembahannya. Kita pinjamkan kata kata syeikh yusuf Al Qardhowi ;”Sesungguhnya sistem jahiliah tidak akan peduli sekiranya kita ingin laksanakan Islam secara juz’iyah sahaja tetapi yang membimbangkan pendokong jahiliah ialah sekiranya kita ingin laksanakan Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah”.

Tidak hairanlah kalua kita tinjau kedapatan acara acara yang dipenuhi sepanjang bulan Ramadhan saban tahun hanya berkisar kepada memenuhi kehendak badaniah dan adat sahaja.Kadang kadang menjadi medan golongan berkepentingan untuk meraih sokongan semata mata tanpa menjadikan penetasan makna takwa dalam hati sebagai keutamaan.

Inilah masalah yang membelenggu kefahaman dan pemikiran umat ketika ini.Memahami Islam secara tidak menyeluruh dan mempraktikkan sekadar yang mudah diikuti dan dirasai keuntungan pada dunia semata mata melayakkan kita memegang gelaran muslim yang tertipu. Ayuhlah kita derapkan langkah membuang jahiliah dalam laman pemikiran kita.Semarakkan kehambaan dengan kefahaman dan keimanan yang benar dan kental, semoga kita terus istiqomah dan pulang dengan penuh keredhaan Allah.

Ingatlah dengan penuh kefahaman sebesarmana sekali pun kita mengagungkan Ramadhan tidak boleh mengatasi keagungan Allah swt untuk diagungkan.Jadilah hamba Allah dan semoga tidak sesat menjadi hamba Ramadhan.

Renungilah firman Allah swt yang bermaksud:

Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi Sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka Itulah orang-orang yang bertakwa.

Al Baqarah : 177

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN

Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL

No comments:

Post a Comment