Pages

Wednesday, June 22, 2016

TAZKIRAH RAMADHAN 1437: SIRI 2




RAMADHAN : MENGINGATI PENURUNAN AL QURAN

Hari ini Ramadhan menginjak hari ke 17 dan di Malaysia hari ini secara umumnya diraikan hari “Nuzul Quran” walaupun di sana pendapat menyatakan Nuzul Quran berlaku pada 24 Ramadhan. Namun bukan itu yang ingin di perbahaskan dan yang lebih utama mengambil dan menerima pakai Al Quran sebagai dustur kehidupan tanpa berbelah bagi.

Allah swt menyatakan dalam firmanNya berkaitan penurunan AL Quran pada bulan Ramadhan menerusi Surah AL Baqarah Yang bermaksud:
"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur´an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)."
Al Baqarah : ayat 185

AL Quran mukjizat terbesar yang dikurniakan Allah kepada Baginda Rasullullah saw tiada tolok bandingnya. Sebagai Umat Muhammad saw kita wajib bersyukur dan bersungguh sungguh memelihara mukjizat terpenting ini dengan cara menunaikan segala tuntutannya.

Penulis ingin berkongsi beberapa perkara yang dinyatakan oleh Dr Majdi Al Hilali menerusi bukunya “ Al Audah Ilal Quran Limaza wa Kaifa” (Kembali kepada Al Quran kenapa dan bagaimana?”) khusus menyentuh kenapa manusia berhajat kepada Al Quran.

Pertama: Manusia berhajat kepada Al Quran untuk mencapai hakikat Rabbaniah. Rabbaniah ialah hampir kepada Allah dan berhubung dengan hubungan yang tulus dengan Allah swt. Jalan untuk memiliki hakikat Rabbaniah ( Manusia berada pada posisi hamba dan Allah swt pada posisi Tuhan tanpa sekutu bagiNya) memerlukan makrifah kepada Allah swt. Kesan makrifah kepada Allah akan menjelmakan dalam diri manusia  kehambaan di hatinya sama ada pada sudut kecintaan, ketakutan pengharapan , tawakkal, penyerahan dan keikhlasan.

Semua perkara ini, jalan mudah untuk memilikinya ialah menerusi Al Quran. Al Quran adalah sumber paling Afdhal untuk mengenali hakikat rabbaniah dan nilaian kehambaan manusia terhadap Tuhannya.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya.”

Ali Imran ; Ayat 79

Ke Dua: Manusia berhajat kepada Al Quran untuk mencapai hakikat Bahagia. Kebahagian ialah ketenangan jiwa, tenteram, damai berdepan permasalahan, tidak memikirkan perkara yang lampau sehingga mengundang kesedihan serta tidak merenung perkara mendatang sehingga mengundang keserabutan.

Ketenangan dalam pengertian ini tidak mungkin diperolehi oleh manusia menerusi mekanisma luar sebaliknya lahir dari lubuk dalaman dirinya. Manusia yang diciptakan Tuhannya, sudah pasti perjalanan dan urusan dirinya terdapat peraturan untuk mengendalikannya terkandung dalam kurikulum Allah swt. Bahkan di jamin untuk tidak terpesong jika panduan ini menjadi ikutan. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Allah berfirman: Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Thaha : Ayat 123-124

Manusia yang mencari jalan bahagia dengan panduan Al Quran akan memilih taat tanpa berbelah bahagi dan tiada keraguan. Lihatlah betapa para sahabat yang diasuh dengan acuan Al Quran oleh Rasullullah saw apa sahaja perintah yang turun sama ada kepayahan dan kesuhahan yang berlawanan dengan kehandak naluri dan hati mereka  tetap dipatuhi dengan penuh tanggung jawab.
Rasullullah saw ketika mengadakan mesyuarat dengan para sahabat kanan baginda bagi meninjau persedian berhadapan musuh di Badar misalnya tiba tiba mendapat akurjanji yang luarbiasa dari Al Miqdad Bin Al Aswad R.a dengan berkata:

 “ wahai Rasulullah,teruskan apa yang telah diturunkan kepadamu oleh Allah,kami bersama,demi Allah. Kami tidak berkata kepadamu sebagaimana Bani Israil berkata kepada Nabi Musa, “Pergilah kamu bersama tuhanmu,berperanglah kamu berdua,kami mahu tinggal di sini sahaja”, tetapi kami berkata;”Pergilah kamu bersama Tuhanmu,kami pasti akan berperang bersama sama kamu berdua,maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran. Kalau engkau berjalan dengan kami ke “Birk Al Ghamad” (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun yang terjadi”.

Inilah kesan diri yang disantuni AL Quran. Tegar menunai kepatuhan dan ketaatan awalau apa saha rintangan. Semoga dengan kedatangan Ramadhan yang memberi peluang dan ruang dampingan kita dengan Al Quran lebih akrab berbanding bulan bulan biasa akan meletakkan kita di kalangan mereka yang diselubungi tarbiah AL Quran.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Kampus Az zahrah
17 Ramadhan 1437

Tuesday, June 21, 2016

RAMADHAN 1437 ;TAZKIRAH SIRI 1



Ramadhan; Mengingatkan setiap manusia teruji

Seluruh khalayak manusia ada yang sedar dan ada yang tidak tentang kedudukan diri mereka di muka bumi bahawa mereka diciptakan dengan ujian untuk diperakui kehambaan mereka di sisi Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Al Ankabut :ayat 2&3

Ramadhan 1437 telah menjelang hari ke 16 dan sewajarnya menjadi landasan kepada setiap manusia beriman untuk bermuhasabah dan koreksi diri setakat mana jitu dan istiqomahnya kita merentasi ujian dari Maha pencipta. Kemungkinan ada di kalangan kita mengeluh dan resah dengan ujian yang mendatang namun sedarlah kerana ujian yang kita lalui jauh lebih kecil berbanding  ujian yang telah dilalui generasi terdahulu terutamanya para Rasul dan Anbiya’.

Dari Mus’ab dari Sa’ad dari pada bapanya berkata, aku berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya?” Sabda Baginda: “Para Nabi, kemudian yang semisal mereka dan yang semisal mereka. Dan seseorang diuji sesuai dengan kadar agamanya . Apabila agamanya kukuh, maka berat pula ujian yang dirasakannya; kalau agamanya lemah, dia diuji sesuai dengan kadar agamanyanya. Dan seseorang akan senantiasa ditimpa ujian demi ujian hingga dia dilepaskan berjalan di muka bumi dalam keadaan tidak mempunyai dosa.” [HR. At-Tirmidzi

Ujian besar yang terpaksa manusia lalui ialah ujian untuk patuh kepada Allah swt. Tuntutan untuk patuh itu sentiasa sahaja tercabar dari berbagai bagai sudut dan arah. Kadang kadang manusia seperti hilang pertimbangan apabila mereka gagal mengawal diri untuk patuh sehingga lahirnya manusia yang menjual kebijaksanaan untuk membeli kebodohan dan kejahilan.

Lahirnya manusia bijak dan maju tetapi pada masa yang sama mereka menjadi penentang kepada peraturan dan kurikulum Allah swt adalah kerana mereka tewas dengan ujian. Mereka kelam dan terhadang dengan kabus kekufuran dan kemunafikan. Keghairahan menilai agama dengan akal dan pemikiran sempit juga menjadikan mereka orang orang yang tewas dan kalah di medan perjuangan untuk merebut keredhaan Allah swt.

Berawaslah dengan elimen dan pencetus kepada kegagalan menempuh ujian dengan mendepani musuh musuh ini:

a)      Orang muslim Yang dengki dan hasad
b)      Munafik yang membenci
c)       Si Kafir yang memerangi
d)      Syaitan yang sentiasa menyesatkan
e)      Nafsu yang meruntun 

Semoga Ramadhan menjentik tangkai hati kita utuk menggilap takwa dan gagah menempun ujian yang semakin getir.” Seeru Ala Barakatillah”

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Kampus Az Zahrah, Hulu Langat
16 Ramadhan 1437