Pages

Sunday, July 27, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (29)



BILA RINDU DAN GEMBIRA BERPADU

Salam rindu penuh kesyhduan.Catatn ini saya titipkan setelah istirehat seketika selepas mengharungi penjalanan panjang (17jam) untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Terengganu.Hari ini detik itu muncul juga tanpa dapat kita menghalangnya. Kemungkinan hari terakhir Ramadhan 1435 semakin jelas tandanya.Bulan yang kita rindu akan meninggalkan kita dengan berbagai kenangan dan agenda pelengkap kehambaan.Pesta ibadah yang Allah sajikan terlalu bermakna apatah lagi arena pintu Syurga dibuka seluasnya dan Pintu neraka ditutup serapatnya entah sempat atau tidak kita bertamu di musim hadapan.

Ramadhan yang telah menguji kekuatan aqidah dan taqwa moga telah memberi kesan yang bukan sekadar nostalgia tetapi upaya yang merangsang usaha dan kekuatan untuk terus mara mencapai pengertian hamba.Walaupun di penghujung Ramadhan jangan kita lupa untuk menghayati Firman Allah :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣
Yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,”

Al Baqarah :183

Bersama rindu yang bertamu ini juga,Ramadhan yang telah mendakap dan menyantuni kita dengan pesta ibadah, semoga akan terus membina diri dan individu yang istiqomah melayari pengertiannya tanpa ada sempadan waktu.Sebaliknya berterusan sehingga kita dijemput Ilahi.

Ibadah kita bukan kerana Ramadhan,bukan juga kerana ikutan orang ramai serta bukan kerana amalan kita hanya dianggap sebagai upacara.Namun inti maknanya setiap perlakuan kita adalah yang menghubungkan hamba dengan tuhannya.Firman Allah swt :
قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢
Maksudnya:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Al An,am :162

Duhai hati yang sedang merindu pemergian Ramadhan.Sebenarnya hadirnya Ramadhan ini juga telah menyerakkan keinsafan,kemanusiaan dan keperihatinan yang berladang di kebun pengorbanan dan kebersamaan.Bibit rasa itu adalah anugerah Allah yang dicampakkan di hati kita menjadikan kita punya rasa untuk menyantuni saudara kita yang tidak upaya atau kurang upaya, menjadikan kita peka pada krisis dan pembantaian saudara kita di Gaza, menjadikan kita memilih untuk menjadi “tangan yang di atas berbanding tangan yang di bawah”.

Benaman rasa itu juga, kita mengharung jalan yang sukar memertahankan mahkota akhlak dan sikap sesama manusia memilih untuk bertolak ansur,memaafi dan menyemai budi.Kemuncak budi juga bila kita rentasi penjalanan panjang pulang bertemu insan tersayang,semuanya teralun di hati dari upaya tarbiah Ramadhan yang membuahkan iman.

Semoga saranan Rasullullah “ Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan,akan diampunkan dosa dosa yang terdahulu”.Semoga rasa ini akan membuahkan kesinambungan amal yang berterusan Insyaallah.

Rindu dan kepiluan yang menjengah di kamar hati Allah ubati dengan kehadiran Aidilfitri sebagai hadiah dan kurniaan kepada hamba hamba yang taat dan patuh. Seluruh Khalayak sedang meniti hadirnya gerbang Syawal sebagai tanda kemenangan. Kemenangan meletakkan asas aqidah jelmaan tarbiah Ramadhan,juga kemenangan mengertikan ibadah yang ikhlas dan kemenangan melunaskan makna insaf dan prihatin.

Sambutlah kemenangan dan kegembiraan ini dengan acuan ibadah kepadaNya serta bersyukur.Keistimewaan syariat yang mengajar bagaimana untuk mengecapi bahagia dan kegembiraan seperti Firman Allah swt:

وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥
Maksudnya:

“ …Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (berpuasa sebulan Ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (dengan takbir,tasbih dan tahmid) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.

Al Baqarah :185

Bersama Rindu Ramadhan dan menjengahnya fajar Syawal dakaplah iman dengan kefahaman yang mendalam setelah kita melalui gilapan Amal sepanjang Ramadhan.Segala Amal yang dilakukan,setiap peringatan yang menerobos ke tangkai hati marilah kita jadikan pedoman dan sempadan untuk meletakkan petunjuk Al quran sebagai asas perjalanan dan memartabatkan Syariat dalam kehidupan.

Janganlah kita menjadi golongan yang berkira kira tentang amal dan memilih segala yang mudah dan berkepentingan sahaja.Sebaliknya Islam yang bersifat syumuliah ini wajib didandan dalam kehidupan dengan penuh tanggungjawab.

Marilah kita hayati Firman Allah swt:

أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ ٨٦

Maksudnya:

“…Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari padamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat. Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan siksa mereka dan mereka tidak akan ditolong.”

Al Baqarah: 85-86

Bersama Rahmat dan pengampunan Allah yang tidak bertepi,semoga Ramadhan yang kita rindui menempatkan kita di mercu kehambaan tanpa bebanan dosa.Semoga Syawal yang di rai menghindar dari sebarang lalai dan alpa.Haraplah pengampunanNya tanpa kecewa.Semoga selamanya berada dalam dakapan Rahmat dan PengampunanNya.

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا ٤٨
Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”

An Nisa’: 48


Mohon Ampun dan maaf dari seluruh khalayak pembaca sepanjang kita berkongsi peringatan lewat Ramadhan ini. “Seeru Ala Barakatillah”

كل عام وانتم طيبون
Kullu Amm wa antum Toyyibun

Abd Wahid Zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL.29 Ramadhan 1435
Hulu Terengganu

Tazkirah boleh dibaca di http://islampenyelesaian.blogspot.com

Saturday, July 26, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN( 28)



BERJAYAKAH KITA

Sesuatu perjuangan,perjalanan,ujian,usaha dan amal akhirannya atau kesudahannya kita akan bertanya samaada ianya berjaya atau gagal.Setiap kita semestinya mendambakan kejayaan dalam setiap apa yang dilalui. Ramadhan yang sedang kita lalui ini pun akan terbisik di hati kita adakah kejayaan berpihak kepada kita atau sebaliknya.

Berbicara tentang kejayaan elok kita susuri apa yang Allah nyatakan melalui FirmanNya berkaitan mereka yang Berjaya. Berjaya pada pandangan Allah bukan Berjaya menurut ukuran manusia dan duniawi.Firman Allah swt yang bermaksud:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);Dan mereka yang menjaga kehormatannya;Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela;Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;”

Al Mukminun : 1-9

Menerusi ayat ini Allah mengajar dan menekankan kepada kita ciri ciri kejayaan yang sepatutnya menjadi kayu ukur perjalanan dan amal kita.

a)      Mereka yang khusyuk dalam solat;

Solat adalah ibadah harian yang menjadi kefarduan kepada setiap muslim, di samping solat yang wajib di sana muslim disaran melakukan ibadah solat yang berbentuk nawafil atau sunat.Solat yang ditunaikan mesti dalam keadaan khusyuk atau bahasa mudahnya fokus dalam pelaksanaannya.

Jelas menunjukkan kepada kita aspek khusyuk atau fokus menjadi elimen penting bagi menghasilkan kejayaan.Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya “Tarbiatul Aulad” menekankan kepada setiap pendidik dan ibubapa menanam roh khusyuk dalam diri anak mereka sebermula mereka boleh berfikir.

Latihan untuk memperkukuhkan khusyuk mesti dilakukan sejak anak anak mumaiyiz lagi seperti latihan khusyuk solat ,latihan merasa sedih dan menagis ketika mendengar Al Quran, merasa simpati di atas kesusahan dan kepiluan orang lain dan sebagainya.Semua ini jika sudah tertanam dalam diri individu ianya akan memaknakan amal sebagai amal yang berjaya. Elok rasanya di penghujung Ramadhan ini kita bertanya diri sendiri tentang tahap khusyuk dan focus kita dalam suasa pesta ibadah yang dikurniakan Allah ini.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).”

Al Hadid : 16

b)     Menjauhi Perkara sia sia

Meninggalkan perkara yang sia sia adalah satu perjuangan yang susah dan sukar.Kerana itu orang yang berjaya adalah mereka yang berjaya mengekang sifat sia sia dalam kehidupan mereka. Sepanjang kita melalui Ramadhan elok kita bertanya dalam masa 24 jam sehari kemanakah masa kita dihabiskan. Mampukah kita menyamai amalan Imam As Syafie Rahimahullah yang membahagikan malamnya kepada 3 bahagian; satu bahagian untuk beribadah,sebahagian lagi untuk belajar atau menulis ilmu dan sebahagian lagi untuk rehat. Kalaulah amalan beliau ini pun kita gagal untuk menempuhi mana mungkin kita menyaingi amalan Rasullullah saw.

Benarlah bila Allah bersumpah dengan masa dan sifat kerugian yang terjadi kepada anusia ,kerana terlalu ramai mereka yang mengabaikan ruang yang diberikan oleh Allah untuk menempa kejayaan.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran”

Al Asr :1-3

c)      Membersihkan Harta dengan Berzakat

Zakat pada sudut bahasa bermaksud (نمو والبركة ) tumbuh dan berkah. Signifikannya zakat mengajar kita untuk menyedari di sana ada tanggung jawab antara kita dengan pihak manusia yang lain. Wujudnya rasa menghargai dan timbangrasa sesama manusia adalah jelmaan jiwa suci dan peduli. Peduli kita kepada keadaan orang lain akan membina jambatan damai yang mengelakkan kemelut dan permasalahan.”Hablum minan nas” hubungan antara manusia mesti sentiasa intim bagi menjamin kelansungan dan survival ummah. Menamatkan sengketa dan melenyapkan perbalahan. Bantu membantu demi membina martabat taqwa yang memberi erti kejayaan yang amat besar. Firman Allah swt yang bermaksud:

“dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Al Maidah :2

d)     Memelihara Kehormatan

Islam amat menitik beratkan persoalan kehormatan dan maruah.Justeru penyimpangan amalan yang merosakkan kehormatan dan maruah dikutuk dan peruntukan hukuman yang berat dikenakan oleh Islam. Puasa yang kita lalui adalah medan untuk Allah mentarbiah kita supaya tidak patuh kepada nafsu yang merosakkan maruah dan kehormatan.

Hari ini terlalu banyak agenda yang meresap dan menyerang anak anak generasi sehingga mereka tidak lagi peduli soal kehormatan dan maruah.Mereka yang tewas dengan aktiviti pemusnah kehormatan dan maruah ini sedang menempa makna kegagalan dalam kehidupan dunia dan akhirat

Justeru Islam secara konsisten memelihara saluran saluran atau lubang lubang yang cuba diterobosi oleh pancaran kemusnahan ini kerana Islam mahukan umatnya berada di mercu jaya. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

An Nur : 30 -31

e)      Memelihara Amanah,janji dan Solat

Ciri mereka yang berjaya juga adalah meraka yang bertanggungjawab dan memelihara amanah yang diberikan dengan sebaiknya.Mereka mengerjakan amal dengan secara istiqomah dan meninggalkan budaya acuh tak acuh dan sambil lewa.

Mereka sedar bahawa setiap apa yang dilakukan semuanya akan dipersoalkan di hadapan Allah swt.justeru orang yang berjaya adalah mereka yang sentiasa memikirkan kemurkaan Allah.Apabila kemurkaan Allah menjadi kemimbangan di hati mereka akan memelihara sempadan Allah dengan sebaiknya.

Lantas berjayalah mereka berada pada kedudukan sebagai hamba Allah yang akan mewarisi syurganya di akhirat nanti natijah daripada keredhaan Allah yang dicari dalam segenap perjuangan mereka.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi;Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

Al mukminun 10-11

Semoga kita tergolong dikalangan hamba allah yang Berjaya di dunia dan akhirat.Semoga Ibadah Ramadhan kali ini mengangkat kita di sisi Allah swt sebagai hamba yang Berjaya. Amin

Abd Wahid Zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL. 28 Ramadhan 1435

Tazkirah boleh dibaca di http://islampenyelesaian.blogspot.com