Pages

Friday, May 8, 2009

PEJUANG KEBENARAN SENTIASA BERHADAPAN KONSPIRASI


Sepanjang pengajian saya yang tak seberapa ini, berkali kali saya diingatkan oleh muallim,tuan guru,cikgu,ustaz mahupun ustazah hatta peringatan ulamak ulamak besar sepanjang zaman tentang erti ketahanan dan mujahdah dalam perjuangan. Menegakkan makruf dan mencegah munkar adalah agenda wajib yang semua muslim mesti akur tanpa dakwa dakwi.

Tiada ulamak yang memberikan pendapat dan pandangan kewajiban ini boleh menjadi perkara pilihan atau perkara sampingan bahkan perlu menjadi rutin setiap individu. Al Quran banyak mengingatkan kita tentang kewajiban menegakkan makruf dan mencegah kemunkaran,begitu juga Al hadis ,terlalu banyak kalau hendak kita sebutkan.

Namun putaran dunia yang semakin menjengah penghujung ini seakan menyaksikan manusia yang menjadi makhluk pilihan untuk mentadbir dunia dengan “title” khalifah lupa kepada teraju yang dipegang. Pengertian makruf dan munkar hanya dijuzukkan kepada segelintir mauduk dalam syariat yang amat luas. Malang seribu kali malang apabila ada sesetengah pengemudi masyarakat menjadikan agenda makruf dan munkar sebagai perniagaan peribadi dan bukan menjunjung titah perintah Allah swt.Tidak hairanlah sesuatu perkara yang mungkin disebut haram pada awalnya boleh menjadi halal secara tiba tiba kerana sebab sebab tertentu ,barangkali bertujuan mempertahankan pangkat,harta dan kemuliaan dunia yang tidak kekal.

Amat sukar bertemu insane seperti Imam Abu hanifah yang sanggup mempertahankan maruah agama sehingga akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat siksaan demi siksaan yang dikenakan. Kemelut sukar ini juga dilalui oleh Imam Ahmad bin Hambal yang tabah menahan siksaan ,cemeti yang hinggap ditubuhnya kerana mempertahankan hak dan kebenaran.

Sejarah begitu banyak memahat cerita keagungan dan kegemilangan Islam sepanjang zaman . Perkembangan tamaddun dan perluasan empayar yang sehingga mencecah sepertiga dunia tidak harus menjadikan kita lupa di sebalik kegembiraan itu terselit seribu duka dan pilu yang telah dilalui oleh pejuang pejuang sebelum kita. Namun pilu dan duka itu hanya pada perkiraan manusia dan di sisi Allah adalah ganjaran paling berharga tak terbanding sesuatu pun di mayapada ini.

Konsporasi demi konspirasi dihadapi oleh penegak kebenaran bermula dengan para ambiya’ yang kisahnya kita dapat saksikan melalui kalam Rabbul Jalil sebagai pedoman dan penyuntuk semangat. Tidakkah ada di kalangan “ambiya” yang dibakar,di gergaji,dipenjara, dihambat dan dihalau,dihimpit dan diganggu saban siang dan malam.

Konspirasi jahat juga dilalui oleh Rasul junjungan ,penghulu segala nabi. Renungkanlah firman Allah dalam surah Al Anfal :ayat 30 yang bermaksud “.

Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.

Para sahabat Rasulullah juga tidak sunyi berhadapan dengan konspirasi jahat ini. Berapa ramai di kalangan sahabat Rasulluh yang syahid menemui Allah Rabbul Jalil kerana mempertahankan kebenaran dan menyelamatkan manusia dan dunia dari belenggu jahil dan ketidakadilan. Saksikan di medan Badar,Uhud dan banyak lagi peperangan yang mereka tempuhi dengan mewakafkan jiwa dan raga untuk Tuhan Maha Pencipta.

Begitulah juga nama nama besar dalam lipatan sejarah, seperti Sheikh Abdul Kadir Audah, As syahid Hassan Al Banna ,As Syahid Syed Qutb,mereka gugur dalam konspirasi dan kebejatan musuh ISLAM yang tak pernah kenal lelah dan penat meratah Umat Islam. Tanyalah pada diri di mana kita sebagai penyambung episode perjuangan mereka yang terdahulu, pewaris tugas rasul. Apakah memadai kita lena di sofa empuk,nenyak beradu di telan mimpi asyik, gemersik mengalun irama syahdu menghibur lelah yang sepicing Cuma,?Apakah derap langkah beralas permaidani merah adalah lambang kita di puncak jaya. ATAU di sana ada rindu yang belum terlerai,ada dendam yang belum padam, ada ragu yang belum dijelasi,atau ada kemarau yang perlu dijirusi hujan rahmat KALIMATUL HAQ yang semestinya menjanjikan KONSPIRASI sepanjang zaman sehinggalah dunia ini diwarisi tuan empunya yang Maha Pencipta.
Sedarlah , berhadapan konspirasi dalam perjuangan,kadang kadang kita terlupa dan alpa,lantas kita jadikan strategi dan usaha adalah segala galanya .Namun sehebat manapun usaha, sekemas mana pun strategi yang menjayakannya adalah Allah.Pohonlah kepadaNya beserta usaha yang bersungguh-sungguh dan strategi yang mantap moga kita kecapi "Saadah Fiid Daaraini"(Kebahagiaan dunia dan akhirat)

No comments:

Post a Comment