Pages

Wednesday, September 16, 2009

TAZKIRAH PENGHUJUNG RAMADHAN

CATATAN: ABU SHAUKAH FILMANZIL


Ramadhan telah hampir ke penghujung. Sepuluh malam terakhir ini, umat Islam yang mencintai ibadah pastinya tidak melepaskan peluang melipatgandakan amalan fardhu mahupun sunnah bagi memburu Lailatulqadar ataupun “berpesta ibadah” memohon kerahmatan daripada Allah Subhanahuwataa’la agar ditempatkan bersama-sama para Solihin dan Anbiaya setelah kembali menemui Rabbuljalil nanti.


Alhamdullillah, sebentar tadi saya berkesempatan menunaikan fardhu Isyak dan Solat Sunat Tarawih di salah sebuah Masjid Daerah kecil yang terletak dalam Daerah Batang Padang, Perak. Kesempatan ini saya gunakan bagi meninjau sejauh mana kebenaran yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Nizar b. Jamaluddin dalam satu ceramah penerangan politik baru-baru ini. Beliau menyatakan hanya 15% di kalangan orang Islam di negeri Perak Darul “Kemelut” yang menunaikan Ibadah sembahyang secara konsisten.


Tujuan saya memilih malam-malam terakhir dalam bulan Ramadhan ini juga bertujuan menilai atau mengkaji sejauh mana keberkesanan siaran,seruan,tazkiran ,majlis ilmu mahupun dakwah yang dilaksanakan melalui forum-forum siaran langsung seperti Forum Perdana Ehwal Islam, Bicara Mufti, ruangan-ruangan pojok media arus perdana, kuliah-kuliah, perutusan dan ucapan pemimpin, dan rancangan-rancangan agama melalui siaran radio dan tv tempatan selama ini mendapat sambutan dan membawa kebaikan kepada kegiatan mengimarahkan masjid dan musalla. Secara peribadi saya katakan orang kita hari ini cukup berilmu namun penghayatannya tidak seberapa.


Kenyataan YB Nizar tersebut saya kira ada asas. Dengan keluasan masjid yang boleh menampung lebih 2,000 jamaah dalam satu masa, hanya lebih kurang 4 saf dipenuhi jamaah ternasuk jamaah laki-laki,wanita dan kanak-kanak. Jamaah lelakinya hanya lebih kurang 2 saf setengah termasuk kanak-kanak, begitu juga jamaah perempuannya. Anggaran saya tidak sampai 300 jamaah semuanya. Jika dikira dalam peratus jumlahnya kira-kira 15% seperti yang dinyatakan oleh YB Nizar itu.


Siang tadi, saya sempat berbual dengan rakan dari Jamaah Tabligh tentang aktiviti mereka mengimarahkan masjid serta sambutan masyarakat setempat dalam menyahut seruan bersama mengimarah serta mencari maghfirah melalui sepuluh malam terakhir. Jawapannya, sepanjang program berlangsung hanya muka – muka lama sahaja yang bersama-sama mengimarahkan masjid. Kurang sangat mendapat sambutan. Kebanyakan orang kita, lebih selesa beribadah secara bersendiri di rumah atau beribadah di hadapan TV menyaksikan perlawanan bola, sibuk menyediakan juadah raya, urusan dunia yang tidak sudah-sudah atau terus berdengkur dibuai mimpi.


Selepas solat, saya sempat juga meninjau tempat-tempat yang menjadi kunjungan masyarakat kita untuk berbual sambil minim-minum.Kedai kopi. Pengunjungnya masyaAllah! Ramai sekali. Di situlah juga tempat duduknya pemimpin-pemimpin setempat atau orang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat terdiri daripada ketua-ketua, ketua pemuda parti politik dan exconya. Jawatankuasa-jawatankuasa penduduk taman perumahan dan kampung, pengerak-penggerak NGO dan orang-orang perseorangan dengan kumpulan masing-masing, mungkin juga yang terlibat mengheret dan mimijak kepala lembu beberapa minggu lalu serta sekutu-sekutunya.Termasuk juga penjawat-penjawat awam yang begitu patuh,taat dan terlalu takut dengan arahan pemimpin mereka terutama yang bergadai nyawa memberkas dan menggasak peserta demontrasi aman tajaan pembangkang akhirnya bersidai di tempat-tempat begitu tanpa rasa malu pada diri sendiri kerana tidak patuh pada suruhan Allah. Bertazkirah di kedai kopi dengan topik perbualan seperti hari-hari lain juga. Jarang sangat menjurus kepada mencari keberkatan Ramadhan.


Sewaktu menunaikan solat sunat tarawih tadi hati makmum mungkin tersentuh dengan alunan sayu surah al Quran oleh tuan imam menandakan Ramadhan hampir ke penghujung namun “tazkirah” di kedai kopi ini lain pula. Dipenuhi dengan hilai ketawa. Kalau ada nada sedihpun datangnya daripada mereka yang mendapat bantuan kewangan hari raya yang agak sedikit daripada syarikat-syarikat tempat kerja masing-masing atau kerajaan. Masing-masing mengulas kesan kelembapan ekonomi global. Sedikit sangat yang berbicara menganai Ramadan yang hampir berakhir.


Di kesempatan yang sedikit ini saya menyeru diri saya dan sidang pembaca agar terus mengimarahkan masjid dan terus mengajak rakan-rakan kita bersama tanpa jemu sejajar dengan dengan seruan Ilahi “ Berpesan-pesanlah dengan jalan kebenaran dan berpesan-pesanlah dengan penuh kesabaran”.Jadikanlah Ramadhan ini sebagai kelas motivasi dan latihan untuk kita meneruskan aktiviti mengimarahkan masjid di bulan-bulan lain.


Kita panjatkan rasa syukur kepada Ilahi kerana bakal menyempurnakan ibadah puasa. Kepada perantau yang akan ke pangkuan ibunda dan sanak saudara, berhati-hatilah sewaktu di jalan raya. Pastikan kenderaan anda sentiasa baik, diri anda sentiasa sihat dan cergas.Kepada kaum keluarga,sanak saudara, kenalan dan sahabat handai yang telah mendahului kita mengadap Maha Pencipta, kita hadiahkan al Fatihah.Kepada saudara kita yang ditimpa musibah, kita doakan supaya tenang dan cepat beroleh kesembuhan dan kebahagiaan.


Kepada yang mempunyai rezeki lebih, ingat-ingatlah kepada yang memerlukan, terutama saudara mara dan jiran terdekat. Juga berhemahlah semasa berbelanja walaupun ada pendapat yang menyatakan rezeki hari boleh dihabiskan hari ini, esok akan ada rezeki lain tetapi perlu ingat akan cerita Nabi Allah Yusuf yang menyimpan bekalan makanan bagi menghadapi musim kemarau. Almuhimmun! pastikan fitrah tahun ini dikeluarkan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidil Fitri.Moga-moga kita semua diberi rahmat oleh Yang Maha Pemberi Rahmat.


Akhir kata saya memohon ampun dan maaf sepanjang bicara dan komen saya dalam ruangan blog Islampenyelesaian.blogspot.com ini sekiranya tulisan dan pendapat saya menyentuh mana-mana individu atau organisasi secara disedari maupun tidak. Kata pujangga “Masih ada harapan sembuh jika pedang melukai tubuh, ke mana penawar harus dicari jika kata-kata melukai hati”.SEMOGA AMALAN KITA DIBERKATI dan SELAMAT BERHARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN.Semoga kita berpeluang melalui Ramadhan yang berikutnya dengan lebih taqwa.Wallahhuaqlam.


Abu Shaukah Filmanzil

15 September 2009

No comments:

Post a Comment