Pages

Friday, September 11, 2009

KHUTBAH JUMAAT: RAMADHAN MOMENTUM IMAN DAN TAKWA


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ


Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 132 surah Taha :


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى


Maksudnya : Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa


Kini sudah 3 minggu kita sama-sama menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Matlamat yang paling utama kepada ibadat puasa ialah bagi melahirkan umat bertaqwa kepada Allah sepanjang masa dan tempat. Antara makna taqwa sebagaimana yang diberitakan oleh Abu Hurairah iaitu seumpama seseorang yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha menjauhi, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu. Inilah yang dilakukan oleh orang yang bertaqwa di mana setiap kali mahu melakukan sesuatu maka diperhatikan terlebih dahulu samada ia dibenarkan oleh Allah atau sebaliknya.

Begitu juga riwayat Ibnu Abbas : Taqwa ialah mentaati Allah dan tidak mengengkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupaiNya, bersyukur kepada Allah dan tidak mengkufuri nikmatNya.

5 kelebihan umat bertawa sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah melalui ayat 2 – 5 surah at-Talak :


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا


[1] sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)


وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ


,[2]Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا


[3] Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعْظِمْ لَهُ أَجْرًا


[4] Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya,
[5] dan akan membesarkan pahala balasannya

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,


Marilah kita guna sebaik mungkin baki Ramadhan yang masih tinggal untuk memastikan kuantiti dan kualiti amalan soleh makin bertambah. Jadikanlah Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang paling baik dalam hidup kita. Banyakkan bersedekah, membaca dan tadabbur al-Quran seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan kerana para sahabat nabi tidak akan berpindah daripada ayat yang dibaca sehinggalah mereka berjaya mengamalkannya.

Perbanyakkanlah zikir, istighfar dan solat sunat kerana kita pernah membaca sejarah di mana Khalifah Harun ar-Rasyid, Imam Ahmad, Imam Syafie dan Imam Malik melakukan solat sunat tidak kurang daripada 200 rakaat sehari. Jangan kita membiarkan kehadiran Ramadhan tanpa merebut segala tawaran istimewa daripada Allah. Jadikanlah kedatangan Ramdhan sebagai kilang dalam mengeluarkan bekalan akhirat yang berharga. Biarlah kita hanya menangis ketika orang lain bergembira menyambut kelahiran kita asalkan kita bergembira menemui Allah ketika orang lain bersedih menangisi kematian kita.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Apabila kita membicarakan tentang Takwa dan iman,bersempena dengan kehadiran Ramadhan ini beberapa perkara besar yang berlaku dalam sejarah Islam . Maka sebagai muslim yang cintakan Allah dan Rasulnya perlulah menjadikan apa yang berlaku sebagai Ibrah dan panduan dalam menyusuri kehidupan dan teladan berguna sebagai bekalan penyelesaian permasalahan yang berlaku.

Penurunan AlQuran kepada Baginda Rasulullah adalah mukjizat terbesar yang semestinya difahami tujuan dan matlamat ianya diturunkan.

Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :


وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ


Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman.


Turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan jelas menunjukkan kepada kita bahawa tidak mampu dicapai kecuali dengan mengamalkan seluruh system al-Quran yang bukan sahaja memuatkan ibadat khusus malah merangkumi ekonomi, sosial, politik dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Al-Quran turut mengajar kita bagaimana cara menguruskan urusan dunia dengan berpaksikan agama. Meletakkan Al Quran sebagai perlembagaan dalam segenap urusan akan menjadikan kita merdeka dari belenggu penjajahan akal fikiran dan belenggu kuasa manusia sebagai tuhan.

Ramadhan dan penurunan Al Quran sepatutnya menjadi penyemarak keimanan yang kental supaya keyakinan kita hanya tertancap dan terarah kepada kekuasaan Allah Rabbul Jalil

Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ankabut :


مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنْكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنْكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ


Maksudnya :

Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui.

Satu lagi peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam ketika Umat Islam berpuasa dan menghayati Ramadan Ialah Peperangan Badar Al Kubra.

Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali Imran :

ولقد نصركم الله ببدر وأنتم أذلة فاتقوا الله لعلكم تشكرون

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukuriNya.

Peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang merupakan tapak kemenangan Islam dalam melebarkan penguasaan seterusnya. Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah .Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke Badar bertujuan untuk menyekat qafilah perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah.

Jumlah tentera Islam tidak begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah.

Oleh itu ramai di kalangan sahabat tidak menyertai gerakan ini. Malangnya kemaraan tentera Islam telah diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy di Mekah. Dalam masa yang sama Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam.

Setelah difikirkan selamat Abu Sufian menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : “ Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa Arab mengetahui perhimpunan dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka “.

Rasulullah s.a.w telah mengetahui tentang qafilah Abu Sufian telah berjaya menyelamatkan diri disamping bala tentera kafir Quraisy yang besar iaitu seramai 1300 orang dan lengkap bersenjata telah tiba di Badar.

Tentera Islam tidak boleh mengelak lagi daripada bertempur kerana jika mereka berundur bererti kafir Quraisy akan mendapat kemenangan moral dari segi politik dan tentera serta mendapat kedudukan yang kuat di Semenanjung Arab dan memungkinkan mereka bermaharajalela sesuka hati.

Walau pun dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang tidak mencukupi namun semangat jihad demi mempertahankan Islam terus membara dalam diri tentera Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Rasulullah s.a.w telah membentuk 2 pasukan pengintip dalam meninjau kekuatan musuh. Pada malam itu Allah menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada tentera Islam dan bencana kepada tentera musuh. Kemudian tentera Islam telah membina markaz disebuah tempat yang terletaknya mata air paling dekat dengan musuh di mana di situ mereka telah membina kolam disamping menimbus tempat-tempat air yang lain. Dengan cara ini musuh akan keputusan bekalan air.

Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak kerana keesokan harinya mereka akan bertempur dengan musuh Allah itu. Pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperang di mana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyusun sof tentera dengan susunan yang kemas dan rapi. Selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan memohon pertolongan Allah. Antara doa baginda ialah :

اللهم أنجزني ما وعدتني , اللهم آت ما وعدتني اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد

Yang bermaksud:

Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini “

Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam telah berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad.

Selepas itulah berlakunya pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil tindakan bertahan di mana tentera musuh berjaya dilumpuhkan dengan kehilangan banyak jiwa.

Dalam saat yang genting ini Rasulullah terus bermunajat kepada Allah sehingga kain yang disangkut dibahunya terjatuh di mana Sayyidina Abu Bakar yang melihat perkara ini terasa begitu sedih dan berkata kepada Rasulullah : “ Cukuplah wahai nabi Allah! “. Allah mengabulkan doa baginda dengan menghantar tentera malaikat.

Pada peringkat kedua tentera Islam mula mengambil tindakan menyerang di mana serangan ini turut dibantu oleh tentera daripada kalangan malaikat di mana antara yang dapat disaksikan ialah bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Pertempuran ini juga mengakibatkan manusia yang disifatkan Oleh Rasulullah sebagai Firaun Umat Ini iaitu Abu Jahal turut terkorban.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan yang nyata kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala 14 orang tentera Islam telah gugur syahid. Kemenangan ini terus diberitahu kepada penduduk Madinah melalui 2 orang utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w bagi menafikan berita bohong yang disampaikan oleh puak munafik dan yahudi yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat.

Berita kemenangan ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang menjadi lambang kepada keagungan Islam yang bakal menguasai dunia.

Sidang Jumaat Sekelian

Marilah kita bersama menjadikan peristiwa Badar ini sebagai momentum untuk memperteguhkan sof perjuangan menegakkan kalimah Allah. Kekuatan Iman akan mengatasi kekuatan fizikal dan matabenda kerana Allah lah Tuhan yang berkuasa memberi kemenangan kepada sesiapa yang dia kehendaki. Ingatlah ramai tidak semestinya menang. Hayatilah firmah Allah

Bermaksud:“ Berapa banyak kumpulan yang sedikit dapat mengalahkan kumpulan yang ramai dengan izin Allah swt.”

Sidang Jumaat sekelian

Disamping peristiwa penurunan Al Quran Dan Badar Al Kubra, banyak lagi peristiwa lain yang boleh kita hayati berlaku dalam bulan Ramadhan ini seperti berlakunya pembukaan Kota Mekah yang gemilang oleh Rasulullah s.a.w pada tahun 8 Hijrah, pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Aqsa daripada cengkaman Kerajaan Rom oleh pahlawan Islam Salehudin al-Ayyubi. Apa yang penting penghayatan dan kesungguhan untuk berbakti kepada Islam mesti tertanam dalam jiwa dan sanubari kita.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Akan dikhutbahkan di Masjid Kariah Kg Jawa,Bt 18 Hulu Langat

No comments:

Post a Comment