Pages

Tuesday, September 8, 2009

AZAN, KEPALA LEMBU, MELAYU ISLAM DAN PARIAH

OLEH: ABU SHAUKAH FILMANZIL


Sudah terang lagi bersuluh, itulah rumusan yang dapat disimpulkan, siapa yang mendalangi dan menyebabkan kekecohan berlaku ketika majlis dialog dengan penduduk seksyen 23 Shah Alam semalam. Mungkin juga muka-muka itulah yang terlibat semasa tunjuk perasaan mengheret kepala lembu baru-baru ini. Sejak bila pula muka-muka tersebut beria-ia benar mempertahankan hak dan maruah agama Islam.Cerminkanlah muka dan muhasabahlah diri.Pada saya tak lain tak bukan semuanya kerana helah politik sempit dan jumud yang diamalkan segelintir mereka atas arahan pemimpin atasan mereka.


Umum mengetahui agama Islam dan maruah Melayu tidak akan terjejas hanya kerana terdirinya sebuah kuil untuk penganut agama Hindu menjalankan upacara mereka. Malah Islam tidak membenarkan penganutnya memusnahkan tempat-tempat ibadat kaum lain hatta dalam peperangan sekalipun. “Bagiku agamaku dan bagi kamu agama kamu”.

Pada saya pihak yang berwajib telahpun menjalankan kajian dan mendapati tapak itu mungkin sesuai memandangkan tapak sedia ada terlalu sesak dan mengganggu kegiatan harian penduduk. Sayangnya ada segelintir hero Melayu yang cuba mempertikai dan berlagak mempertahankan maruah dan hak yang sengaja diada-adakan. Tidak hairanlah kalau orang lain memperotes tindakan orang Islam melaungkan azan yang dianggap mereka sebagai mengganggu.


Saya tidaklah mahu mempertikaikan mana-mana pihak. Sepatutnya majlis dialog itu berlangsung dengan cara yang sopan, tolak ansur dan harmoni. Dengar penjelasan secara teratur dari semua pihak.Bukan dengan cara terjerit-jerit seperti orang hilang akal. Kasihan MB selangor yang pada saya cukup sabar dan tenang dalam menangani semua permasaalahan yang ditimbulkan dan dijadikan mainan dan strategi politik untuk menjatuh dan mengaibkan beliau sejak mula menerajui Kerajaan Negeri Selangor.


Agama Islam terpinggir dan dihina bukan sebab dan tindakan orang-orang bukan Islam yang mengamalkan anutan mereka. Sekian lama kita hidup dengan harmoni dan bertolak ansur, namun sejak akhir-akhir ini semuanya seperti serba tidak kena. Bukan kerana orang bukan Islam hendak menguasai dan mendominasi apa-apapun yang ada dalam Negara kita, tetapi sikap bodoh sombong sesetengah orang melayu yang hanya mengaku sebagai orang Islam sedangkan realitinya tidak. Kalau sembahyang dan membaca al Quran pun hanya setakat separuh batang tenggorok mereka sahaja tidak sampai ke hati.Saya masih ingat seorang pemandu berbagsa Cina yang menghantar barang ke kedai-kedai berbicara tentang sembahyang.


Katanya “Celakalah dan neraka willlah kepada oran-orang yang sembahyang.Yang dalam sembahyang mereka itu lalai”. Sambil itu dia memberikan kupasan yang panjang lebar tentang maksud lalai. Saya jadi kagum, seorang yang bukan Islam boleh memberi tazkirah kepada kami yang Islam. Pendapat saya secara peribadi orang bukan Islam lebih menguasai Ilmu berkaitan agama berbanding bangsa saya sendiri yang sejak lahir lagi digelar muslim. Cuma mereka belum mendapat hidayah untuk menganut agama yang mulia ini. Menilai sesuatu hanya dengan melihat secara kasar dan menurut kata pemimpin yang ada kepentingan peribadi,bukannya mengkaji, itulah bangsa saya, kononnya Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam..


Banyak perkara yang boleh kita perhatikan, contohnya siaran azan, jika orang lain menghina seruan azan pastinya segelintir puak Melayu Islam tadi melenting teramat.Tidak perasankah mereka seruan azan itu bertujuan memanggil orang-orang Islam menunaikan solat berjamaah di masjid. Sampai terkehel anak tekak muazin melaungkan azan , tetapi berapa keratkah orang Islam yang datang menunaikan solat berjamaah. Kalau setakat sekerat dua itu sahaja yang datang memang patutpun tidak perlu dilaungkan azan. Tidak ada bezanya sama ada dilaungkan azan atau tidak kerana yang selalu datang berjamaah muka-muka yang sama. Jauh sekali yang datang itu muka-muka yang terjerit-jerit seperti orang mabuk itu. Kalau datangpun ketika orang besar atau pemimpin mereka turut serta.


Begitu juga kalau kita teliti penyiaran azan melalui stesen-stesen radio dan tv. Berapa banyakkah saluran yang menyiarkan azan secara tetap. Bagi mereka iklan,berita dan bulletin lebih besar daripada menyiarkan azan. Siaran langsung sembahyang Jumaat juga begitu. Berapa sangat saluran radio dan tv yang mengambil berat. Radio IKIM dan RTM 1 sahajalah yang menyiarkannya, itupun dalam keadaan audionya dengar tak dengar. Kebanyakan saluran radio lebih membesarkan hiburan. Peliknya jika ada perutusan-perutusan daripada orang besar-besar boleh pula semua saluran menyiarkannya serentak. Nampak sangat kepentingan dunia dan politik sempit mengalahkan seruan agama. Para mufti dan alim ulama tidak pula cuba menasihati dan memberi teguran dalam hal ini.


Seperkara lagi yang boleh kita perhatikan, berapa ramaikah orang Islam yang mengalihkan saluran tv dan radio ketika tilawah al Quran dan rancangan-rancangan bercorak agama berlangsung. Saya kira tidak sampai 40 % penduduk Malaysia beragama Islam yang setia dengan rancangan-rancangan tersebut. Pihak-pihak berwajib cuba-cubalah buat tinjauan, mengapa situasi itu terjadi, jangan menunjuk bijak dan ghairah solah-olah kitalah pembela agama dan bangsa.


Saya pernah menyaksikan satu acara pertandingan bola sekolah-sekolah Malaysia peringkat daerah yang dilangsungkan di dalam kawasan yang penduduknya 100% Islam Melayu. Dalam pertandingan itu bukan pelajar Melayu sahaja terlibat tetapi melibatkan pelajar-pelajar berbangsa Cina dan India dari daerah yang sama. Yang menjadi hati saya terusik, tatkala azan Asar dilaungkan, pelajar-pelajar bukan Islam itu duduk dan diam kerana menghormati azan. Yang terkinja-kinja adalah anak-anak Melayu Islam dan cikgu-cikgu Melayu Islamnya. Kemana pergi anutan yang dibangga-banggakan itu? Pada amatan saya kawasan itu tidak pernah sekalipun pihak lain memenangi kerusi DUN atau Parlimennya melainkan “bangsa yang hebat” itulah juga. Cubalah kata, ada penganut lain ingin mendirikan rumah ibadat mereka di situ, pastinya ada yang memijak kepala lembu dan babi pula.


Pernah saya terdengar di saluran radio IKIM seorang pemanggil memberi pendapat. Katanya apa-apa sahaja yang dilaungkan mengenai Islam di Negara kita ini hanya simbol semata-mata. Penghayatannya tiada. Contoh yang diberikan, penguasa dan pemimpin termasuk pemimpin nombor satu Negara dilabelkan sebagai orang yang melindungi dan menaungi kepentingan agama, sedangkan isteri-isteri mereka sendiripun tidak menutup aurat. Begitu juga dengan masjid-masjid, cukup indah dan selesa tetapi pengisian kurang. Sembahyang sunat tarawih pun ada sesetengahnya hanya melaksanakan 8 rakaat dengan alasan yang remeh, tadarus langsung tiada. Sepatutnya kalau masjid sudah mendapat taraf sebagai sebuah masjid daerah, sempurnakanlah 20 rakaat sunat tarawih itu. Tugas imam melaksanakan, samaada makmum hendak bersembahyang 8 atau 20 rakaat, terpulanglah kepada kehendak dan kemampuan mereka. Tugas orang yang diamanahkan mestilah menyediakan perkhidmatan yang boleh diterima dan sesuai bagi orang yang berkehendak melakukan amal. Kita lebih rela berhabis masa yang lama menghadiri pesta dan expo daripada melaksanakan “Pesta Ibadah”.


Ingatlah akan pesanan nabi” jika seseorang melihat kemungkaran, ubahlah dengan kekuasaannya (tangan), jika tidak mampu, dengan teguran, jika tidak mempunyai kemampuan juga, hendaklah membencinya di dalam hati. Itulah tanda selemah-lemah iman.


Saya sebenarnya tidak ingin mencampuri urusan yang berkaitan secara langsung dengan politik, tetapi situasi yang berlaku sekarang amat tidak enak untuk mata saya terus memandang dan telinga saya untuk terus mendengar. Jika diperhatikan secara teliti terdapat dua golongan yang sering membuat kacau dan melanggar undang-undang dan peraturan. Pertama “Samseng Politik Parti Melayu” dan kedua golongan “Pariah”. Kepada kaum India saya memohon maaf, saya tidak bermaksud menghina golongan rendah dalam kasta mereka itu. Apa yang saya maksudkan “Pariah” itu merujuk kepada semua kaum yang ada di negara kita yang mempunyai fikiran sempit, yang menggunakan apa sahaja kesempatan untuk meraih keuntungan di pihak mereka walaupun terpaksa membelakangkan undang-undang.


Ungkapan itu bertepatan dengan ungkapan “Jahiliah” yang ditujukan kepada bangsa Arab sebelum kedatangan Islam walhal bangsa Arab itu bukannya bodoh dari segi pengetahuannya kerana masih terdapat sebahagian hasil ciptaan dan binaan mereka yang cerdik pandai moden hari inipun masi gagal menghuraikannya. Jahiliah bangsa Arab dahulu adalah kerana amalan-amalan khurafat tinggalan nenek moyang mereka yang masih mereka amal dan pertahankan samalah seperti anutan kita hari ini yang kononnya mewarisi agama disebabkan keturunan sedangkan penghayatan untuk urusan tertentu sahaja, seperti kematian, nikah, berkhatan serta sembahyang raya. Penghayatan dalam kehidupan dan pentadbiran tiada, kalau adapun hanyalah mengikut citarasa dan muslihat politik sempit pemimpin mereka.


Saranan saya kepada parti-parti yang mempunyai ahli di kalangan samseng yang bodoh tuli itu, tarbiahlah ahli supaya dapat berfikir dan melaksanakan sesuatu mengikut kehendak agama yang sebenar atau sekurang-kurangnya mengikut norma kehidupan bermasyarakat supaya kita tidak digelar “pariah” atau “low mantallity” dan ingatlah semangat sahaja tidak cukup untuk mempertahankan maruah dan kedudukan Islam sedangkan amalan dan pengisian adalah lalai dan kosong bak tazkirah orang Cina yang saya sebutkan tadi. “Celaka dan neraka Willah kepada orang-orang yang sembahyang”. Islam mereka hanya sekadar menunjuk-nunjuk!

No comments:

Post a Comment