Pages

Sunday, August 30, 2009

TAZKIRAH

EXPO RAMADHAN BAGAN SERAI 2009

Oleh: Abu Shaukah Filmanzil

Sedar tidak sedar Ramadhan sudah seminggu berlalu. Gembiranya umat Islam melaksanakan Ibadahh dari rukun yang ketiga. Sesetengah orang yang rajin, berusaha untuk melipat gandakan rezeki dan pendapatan sempena bulan yang barakah ini dengan melakukan aktiviti berniaga di bazaar-bazar ramadhan.Begitu juga yang mengambil peluang menerima tempahan pakaian sempena Aidil Fitri yang akan menjelang. Tidak kurang juga yang menggunakan kesempatan dan peluang ini untuk melipatgandakan amalan dan sedekah sepanjang Ramadhan ini. Alhamdulillah. Masing-masing dengan alasan dan pendapat mereka sendiri untuk melaksanakan apa yang mereka fikirkan menjadi keperluan dan keutamaan mereka.


Sebentar tadi selepas melaksanakan tarawih 8 rakaat di sebuah masjid, kebetulan ada urusan yang perlu dilaksanakan, saya melalui sebuah expo atau jualan barangan mungkin sempena Ramadhan atau sempena menjelangnya Aidil Fitri. Expo itu berlangsungnya di Pekan Bagan Serai.Tidak pastilah ditaja atau diusahakan oleh pihak mana.


Terdengar suara “DJ” rancak berceloteh diselang seli dengan lagu irama dangdut yang cukup membingitkan telinga. Pada masa yang sama kedengaran bacaan imam yang sedang meneruskan solat sunat Tarawih dari masjid berhampiran.Yang menjadi kemusykilan saya pihak yang menganjurkan expo tersebut tidak meletakkan syarat atau peraturankah sehingga hati saya terdetik dan berkata-kata. Apakah itu dari ajaran agama kita Islam dan pernahkah Tok-tok Mufti dan alim ulamak kita menyuruh,menegah atau memberi nasihat dan pandangan tentang perkara ini?


Kepada sahabat-sahabat yang mungkin pernah mengikuti solat sunat Tarawih di sebuah masjid berdekatan sebuah pekan kecil kira-kira 7 km daripada pekan Bagan serai tentu masih ingat Ramadhan tahun 2007. Betapa kaum Cina yang pada masa itu mengadakan upacara sembahyang colok dan persembahan “wayang tongkol” pun memperlahankan volum pembesar suara mereka kerana menghormati orang Islam yang sedang bertarawih tetapi di Bagan Serai sebaliknya pula berlaku, orang Melayu sendiri pula yang melaung-laungkan suara dan memainkan lagu-lagu dangdut dengan kuat bagi menarik pelanggan untuk mengunjungi pesta jualan mereka.


Saya juga terlihat segelintir jurujual wanita yang memakai pakaian yang saya kira nencolok mata. Hairan sungguh, di bulan kebesaran dan kemuliaan kita pun kita masih biadab dan menghina agama kita sendiri. Apatah lagi “orang lain” yang bukan seagama dengan kita. Saya kira yang saya maksudkan “orang lain” itu pun masih mempunyai akal dan fikiran yang waras dan bersikap perihatin dan menghormati adat dan budaya kita. Hal ini dapat diperhatikan, sesetengah mereka memakai baju kurung atau berpakaian kebangsaan apabila tibanya hari raya, sambutan kemerdekaan dan lain-lain yang memerlukan kita menunjukkan jati diri sejajar dengan budaya Malaysia.


Saya tidak ingin memperbesar-besarkan perkara yang bagi sesetengah orang terutama “orang besar-besar” mungkin dianggap remeh. Kata mereka, amalan seseorang tidak dinilai melalui luaran tetapi di hati, namun bagi saya perkara-perkara yang saya sebutkan tadi perlu diperkatakan sejajar dengan ingatan nabi “sampaikan walaupun sepatah”. Maknanya semua pihak perlu mengambil perhatian dan memainkan peranan untuk menyedarkan sebahagian besar masyarakat kita yang secara langsungnya menghina agama mungkin dengan tidak disedari atau buat-buat tidak sedar. Saya amat bersetuju dengan cadangan untuk mengubal akta menghina agama seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak beberapa ketika yang lalu.


Abu Shaukah FilManzil adalah penulis tetap islampenyelesaian.blogspot.com


No comments:

Post a Comment