
Mengintai Teduhan Rahmat
Ramadhan semakin berlalu,hari ini
menjengah hari ke 14 kita berpuasa dan bermakna telah hampir separuh Ramadhan
kita lalui. Sepanjang melalui persekolahan Ramadhan ini diri yang di belai,jiwa
yang di asuh dan roh yang diterapi wangian iman serta hikmah amat menyegarkan bagi pemburu takwa.Aqidahnya
semakin mantap,ibadahnya semakin bersemangat dan akhlaknya semakin sempurna
sebagai bekalan bertamu di kemudian hari.
Bila mata tertancap pada rimbunan
pohon asuhan Ramadhan ini hati lantas teringat pesanan Rasullullah menerusi
sebuah hadith yang bermaksud:
Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: 7 golongan yang akan dilindungi
Allah swt di bawah bayangan rahmatNya pada hari yang tiada bayangan selain
daripada bayangan rahmatNya iaitu:
- Pemerintah yang adil
- Pemuda yang menggunakan masa muda
remajanya untuk beribadat kepada Allah
- Lelaki yang hatinya sentiasa
terpaut kepada masjid
- Dua orang yang berkasih sayang
antara satu sama lain kerana Allah. Mereka berkumpul dan berpisah kerana
Allah
- Lelaki yang digoda oleh wanita
bangsawan dan jelita, lalu dia berkata: “Sesungguhnya saya takut kepada
Allah”
- Seorang yang memberi sedekah
secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang
diberikan oleh tangan kanannya
- Lelaki yang mengingati Allah
berseorangan sehingga berlinangan air matanya.
(Hadith Riwayat Imam
Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Merenung hadith ini, melontarkan
satu ingatan penting untuk dihayati dan difikirkan sejauhmana setiap khalayak
muslim mempedulikan agenda yang disarankan oleh Rasullullah saw.
Pemerintah Yang adil
Adakah kita peduli dengan saranan
kepada mereka yang bergelar pemerintah. Keadilan perlu menjadi agenda wajib bagi mengelakkan
diri terpinggir dari rahmat Allah. Sebagai pemerintah usah hanya memikirkan
soal mendapatkan sokongan tanpa mempedulikan tanggungjawab yang sewajarnya
ditunaikan. Tugas pemerintah ini adalah tugas yang berat,kegagalan untuk
berfungsi sebagai pemerintah bercirikan muslim rabbani dengan celupan Allah
akan mengakibatkan kesengsaraan bila bertemu di mahkamah Allah swt.
Pemuda yang sentiasa beribadat
Kepada generasi muda satu perkara
yang perlu diingati kematian tidak semestinya menjelang hari tua. Justeru
ibadah tidak boleh ditunda dan ditangguh kerana menunda dan menangguh ibadah
ada seruan syaitan yang penuh dengan pengkhianatan. Pergunakan sepenuhnya masa
muda dengan kekuatan yang ada untuk melipatgandakan ibadah kepada Allah swt,
jangan nanti kesibukan,kekuatan dan tenaga yang semakin susut baru sedar ingin
beribadah. Pemuda yang sudah melazimi kehidupan dengan ibadah akan membuahkan
istiqomah yang sukar diganggu gugat.Apatahlagi masa muda yang mencabar
ini,andai ibadah menjadi pengganti kecelaruan identiti diri maka selesailah
kemelut yang melanda generasi.
Lelaki pendamping masjid
Masjid adalah rumah Allah dan
tempat suci dan mulia tidak sewajarnya dibiarkan sepi tidak berpenghuni.
Kemeriahan dan imarahnya masjid akan bererti, dengan dampingan lelaki lelaki
soleh sebagai syiar kekuatan Islam. Suasana perkembangan dunia dengan seribu
macam tarikan amat menggoda naluri manusia untuk mendakap keseronokan tersebut.
Alangkah indahnya andai jiwa jiwa yang terasuh dengan fitrah itu tempat
bertandangnya adalah rumah Allah bukan pusat hiburan, kedai kopi dan kelab
kelab serta destinasi lainnya.
Berkasih sayang kerana Allah
Dunia yang semakin mencabar melahirkan
ramai manusia yang hilang kejujuran. Ada manusia yang bersahabat namun jiwanya
dinodai ketidak ikhlasan dan menguak ruang dalam tindakannya ketidakjujuran
serta mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Justeru memautkan setiap
persahabatan atas ikatan kasih sayang kerana Allah swt adalah anugerah terpilih
dimiliki oleh insan insan terpilih pula. Leburkanlah hipokrit dalam
persahabatan dan sedarlah di sana ada lilitan jujur dan ikhlas yang akan
meneguhkan gabungan insaniah menuju redha Tuhan.
Tidak tergoda & Takutkan
Allah
Godaan semengnya ujian yang akan
dilalui oleh manusia yang melalui jalan menuju Allah swt.Kekuatan menahan
dugaan adalah kekuatan yang mesti di perteguhkan setiap masa. Rasa takut dan
bimbang terhadap hukuman serta kemurkaan Allah swt adalah bekalan azimat untuk
melepaskan diri dari terjebak dengan godaan. Elakkan dari permulaan yang
mengkhayalkan selanjutnya menumpaskan iman dan melunaskan kehendak nafsu.
Bermula jelingan lantas menyelinap keinginan . Keinginan membuahkan sapaan dan
tegur teguran. Sapaan menitipkan undangan untuk bergandingan. Gandingan
merebahkan diri dalam dakapan maksiat tidak berpedoman.Larilah dari hasutan
menuju ribaan Tuhan.
Keikhlasan bersedekah
Ramai yang merasakan kemuliaan
dan keagungan dengan banyaknya harta yang dikumpul. Namun ianya satu kesilapan.
Bukankah Allah menjelaskan
“sesungguhnya yang paling
mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa”
Rugi bagi mereka yang mengumpulkan
harta tetapi berasa bangga dengan banyaknya harta dan tidak didermakan serta
dibelanja di jalan taqwa. Berbelanjalah dan menderma serta infaklah.Namun tiada
guna juga belanja,derma dan infak yang tidak didakap keikhlasan.
Mengingati Allah
Mengingati Allah sepanjang masa
adalah satu kesukaran bagi pencinta dunia dan pengejar maksiat. Namun Allah swt
yang maha Pemurah dan Penyayang melebarkan ruang kurniaan dan rahmatNya. Allah
mencampakkan rasa insaf dan taqarrub kepada sesiapa yang diingini di kalangan
hambaNya. Beruntunglah bagi mereka yang merasa syahdu kasih, mendamba khusyuk
kepada Tuhannya. Sekalipun diri bersalut noda, keinsafan dan rasa ingin kembali
ke jalan taqwa tidak sedikit mengundang cela pada sisi Allah swt. Rapatlah,dampinglah,pohon
dan rayulah sementara hari masih berbaki, usia masih bersisa.
Bersama rahmatMu diperlembahan
Ramadhan ini berikanlah kami keupayaan dan kesungguhan melunasi pesanan RasulMu
ini. Semoga kami antara penghuni yang berlindung di bawah lembayung RahmatMu
itu.
Amin.
ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Lajnah
Tarbiah & Kepimpinan PKHL
14 Ramadhan 1436
Tazkirah
juga boleh diikuti di:
No comments:
Post a Comment