Pages

Wednesday, June 22, 2016

TAZKIRAH RAMADHAN 1437: SIRI 2




RAMADHAN : MENGINGATI PENURUNAN AL QURAN

Hari ini Ramadhan menginjak hari ke 17 dan di Malaysia hari ini secara umumnya diraikan hari “Nuzul Quran” walaupun di sana pendapat menyatakan Nuzul Quran berlaku pada 24 Ramadhan. Namun bukan itu yang ingin di perbahaskan dan yang lebih utama mengambil dan menerima pakai Al Quran sebagai dustur kehidupan tanpa berbelah bagi.

Allah swt menyatakan dalam firmanNya berkaitan penurunan AL Quran pada bulan Ramadhan menerusi Surah AL Baqarah Yang bermaksud:
"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur´an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)."
Al Baqarah : ayat 185

AL Quran mukjizat terbesar yang dikurniakan Allah kepada Baginda Rasullullah saw tiada tolok bandingnya. Sebagai Umat Muhammad saw kita wajib bersyukur dan bersungguh sungguh memelihara mukjizat terpenting ini dengan cara menunaikan segala tuntutannya.

Penulis ingin berkongsi beberapa perkara yang dinyatakan oleh Dr Majdi Al Hilali menerusi bukunya “ Al Audah Ilal Quran Limaza wa Kaifa” (Kembali kepada Al Quran kenapa dan bagaimana?”) khusus menyentuh kenapa manusia berhajat kepada Al Quran.

Pertama: Manusia berhajat kepada Al Quran untuk mencapai hakikat Rabbaniah. Rabbaniah ialah hampir kepada Allah dan berhubung dengan hubungan yang tulus dengan Allah swt. Jalan untuk memiliki hakikat Rabbaniah ( Manusia berada pada posisi hamba dan Allah swt pada posisi Tuhan tanpa sekutu bagiNya) memerlukan makrifah kepada Allah swt. Kesan makrifah kepada Allah akan menjelmakan dalam diri manusia  kehambaan di hatinya sama ada pada sudut kecintaan, ketakutan pengharapan , tawakkal, penyerahan dan keikhlasan.

Semua perkara ini, jalan mudah untuk memilikinya ialah menerusi Al Quran. Al Quran adalah sumber paling Afdhal untuk mengenali hakikat rabbaniah dan nilaian kehambaan manusia terhadap Tuhannya.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya.”

Ali Imran ; Ayat 79

Ke Dua: Manusia berhajat kepada Al Quran untuk mencapai hakikat Bahagia. Kebahagian ialah ketenangan jiwa, tenteram, damai berdepan permasalahan, tidak memikirkan perkara yang lampau sehingga mengundang kesedihan serta tidak merenung perkara mendatang sehingga mengundang keserabutan.

Ketenangan dalam pengertian ini tidak mungkin diperolehi oleh manusia menerusi mekanisma luar sebaliknya lahir dari lubuk dalaman dirinya. Manusia yang diciptakan Tuhannya, sudah pasti perjalanan dan urusan dirinya terdapat peraturan untuk mengendalikannya terkandung dalam kurikulum Allah swt. Bahkan di jamin untuk tidak terpesong jika panduan ini menjadi ikutan. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Allah berfirman: Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Thaha : Ayat 123-124

Manusia yang mencari jalan bahagia dengan panduan Al Quran akan memilih taat tanpa berbelah bahagi dan tiada keraguan. Lihatlah betapa para sahabat yang diasuh dengan acuan Al Quran oleh Rasullullah saw apa sahaja perintah yang turun sama ada kepayahan dan kesuhahan yang berlawanan dengan kehandak naluri dan hati mereka  tetap dipatuhi dengan penuh tanggung jawab.
Rasullullah saw ketika mengadakan mesyuarat dengan para sahabat kanan baginda bagi meninjau persedian berhadapan musuh di Badar misalnya tiba tiba mendapat akurjanji yang luarbiasa dari Al Miqdad Bin Al Aswad R.a dengan berkata:

 “ wahai Rasulullah,teruskan apa yang telah diturunkan kepadamu oleh Allah,kami bersama,demi Allah. Kami tidak berkata kepadamu sebagaimana Bani Israil berkata kepada Nabi Musa, “Pergilah kamu bersama tuhanmu,berperanglah kamu berdua,kami mahu tinggal di sini sahaja”, tetapi kami berkata;”Pergilah kamu bersama Tuhanmu,kami pasti akan berperang bersama sama kamu berdua,maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran. Kalau engkau berjalan dengan kami ke “Birk Al Ghamad” (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun yang terjadi”.

Inilah kesan diri yang disantuni AL Quran. Tegar menunai kepatuhan dan ketaatan awalau apa saha rintangan. Semoga dengan kedatangan Ramadhan yang memberi peluang dan ruang dampingan kita dengan Al Quran lebih akrab berbanding bulan bulan biasa akan meletakkan kita di kalangan mereka yang diselubungi tarbiah AL Quran.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Kampus Az zahrah
17 Ramadhan 1437

Tuesday, June 21, 2016

RAMADHAN 1437 ;TAZKIRAH SIRI 1



Ramadhan; Mengingatkan setiap manusia teruji

Seluruh khalayak manusia ada yang sedar dan ada yang tidak tentang kedudukan diri mereka di muka bumi bahawa mereka diciptakan dengan ujian untuk diperakui kehambaan mereka di sisi Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Al Ankabut :ayat 2&3

Ramadhan 1437 telah menjelang hari ke 16 dan sewajarnya menjadi landasan kepada setiap manusia beriman untuk bermuhasabah dan koreksi diri setakat mana jitu dan istiqomahnya kita merentasi ujian dari Maha pencipta. Kemungkinan ada di kalangan kita mengeluh dan resah dengan ujian yang mendatang namun sedarlah kerana ujian yang kita lalui jauh lebih kecil berbanding  ujian yang telah dilalui generasi terdahulu terutamanya para Rasul dan Anbiya’.

Dari Mus’ab dari Sa’ad dari pada bapanya berkata, aku berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya?” Sabda Baginda: “Para Nabi, kemudian yang semisal mereka dan yang semisal mereka. Dan seseorang diuji sesuai dengan kadar agamanya . Apabila agamanya kukuh, maka berat pula ujian yang dirasakannya; kalau agamanya lemah, dia diuji sesuai dengan kadar agamanyanya. Dan seseorang akan senantiasa ditimpa ujian demi ujian hingga dia dilepaskan berjalan di muka bumi dalam keadaan tidak mempunyai dosa.” [HR. At-Tirmidzi

Ujian besar yang terpaksa manusia lalui ialah ujian untuk patuh kepada Allah swt. Tuntutan untuk patuh itu sentiasa sahaja tercabar dari berbagai bagai sudut dan arah. Kadang kadang manusia seperti hilang pertimbangan apabila mereka gagal mengawal diri untuk patuh sehingga lahirnya manusia yang menjual kebijaksanaan untuk membeli kebodohan dan kejahilan.

Lahirnya manusia bijak dan maju tetapi pada masa yang sama mereka menjadi penentang kepada peraturan dan kurikulum Allah swt adalah kerana mereka tewas dengan ujian. Mereka kelam dan terhadang dengan kabus kekufuran dan kemunafikan. Keghairahan menilai agama dengan akal dan pemikiran sempit juga menjadikan mereka orang orang yang tewas dan kalah di medan perjuangan untuk merebut keredhaan Allah swt.

Berawaslah dengan elimen dan pencetus kepada kegagalan menempuh ujian dengan mendepani musuh musuh ini:

a)      Orang muslim Yang dengki dan hasad
b)      Munafik yang membenci
c)       Si Kafir yang memerangi
d)      Syaitan yang sentiasa menyesatkan
e)      Nafsu yang meruntun 

Semoga Ramadhan menjentik tangkai hati kita utuk menggilap takwa dan gagah menempun ujian yang semakin getir.” Seeru Ala Barakatillah”

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Kampus Az Zahrah, Hulu Langat
16 Ramadhan 1437

Friday, July 17, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 29)

Ramadhan :Engkau Belalu Jua

Hari yang diharap tidak bertandang tiba juga. 29 Ramadhan hari yang memaksa seluruh khalayak berpisah dengan dengan Ramadhan yang mulia.Ramadhan bulan yang telah membangkitkan manusia dari kelenaan dan ketermangguan kepada kesedaran untuk bingkas bangun menyahut seruan Tuhannya menjadi makhluk bertakwa.Firman Allah swt yng bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,”

Al Baqarah :183

Hari pertama Ramadhan menyaksikan khalayak manusia dituntun Tuhannya mengimarahkan Ramadhan dengan menjadikan masjid masjid dan surau surau sebagai destinasi pilihan. Suasana juga menyaksikan khalayak muslim berpusu pusu mendirikan solat yang hukumnya sunat berbanding bulan bulan sebelumnya yang fardhu pun culas adanya. Kelihatan di sudut sudut masjid di jendela,dan balai lentang masjid dan surau sosok sosok individu dan kumpulan bertadarus Al Quran sehingga ke lewat malam.

Meriah yang menyelubungi setiap hari hari Ramadhan berterusan dengan berbagai agenda menyatakan kesungguhan memanfaatkan madrasah Ramadhan yang Allah swt rencanakan. Hari pertama Ramadhan membawa ke hari hari selanjutnya adalah hari anugerah yang tidak akan dikecapai pada bulan bulan yang lain. Lihat si ibu yang istiqomah membangunkan anak anak bersahur dan si ayah yang melayan karenah ketika anak mengharap juada kegemaran ketika hamper waktu berbuka.

Lihat pula keikhlasan yang memilin hati hati insan prihatin menghulurkan sumbangan dan derma serta infak kepada yang memerlukan.Semuanya berlaku tanpa naluri keterpaksaan sebaliknya dilentur oleh roh Ramadhan yang dibenamkan dalam telaga takwa yang masih berbaki dalam diri. Semuanya berkeyakinan sungguh tebal kepada janji Allah swt bagi hambaNya yang pemurah. Semuanya benar benar ingin mempraktikkan “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di atas”

Ramadhan yang bertamu mebangkit rasa insaf kepada golongan yang tidak bernasib baik dan diuji mehnah kesempitan hidup. Kelaparan yang dirasai ketika berpuasa mengajar untuk merasai sedikit rasa dan berkongsi perit yang dideritai. Keinsafan itu menyemarakkan rasa sedar untuk membantu dan keluar dari kepompong sukar itu dengan merubah dan membaiki apa sahaja punca kepincangan itu dari sekecil kecil punca sehinggalah ke aras kerusi tadbir raja.

Ramadhan yang sebulan itu medan menahan maharaja nafsu dan kebobrokan keinginan. Bukankah puasa itu lewat sabda Rasullullah adalah “Wijaa’ iaitu benteng dan penghadang kepada keinginan nafsu. Kehendak dan keinginan yang dinasihati nafsu di bending dan ditudung dengan puasa,elimen tarbiah dan latihan jasmani dan jiwa yang cukup ampuh.

Ramadhan yanag bertamu setahun sekali itu medan untuk meribat ukhuwah dan persahabatan serta jalina kemanusiaan. Bukankan bermulanya hari pertama puasa kita disyariatkan dengan kewajipan zakat fitrah di samping kewajipan setiap individu pada semua peringkat tua muda kecil dan besar ianya adalah mekanisma hubungan sesama manusia saling bahu membahu menikmati keseronokkan dan kegembiraan.
Ramadhan yang akan berlalu sedetik nanti adalah hari hari mengkoreksi diri dan muhasabah ibadah terhap Allah swt. Lantunan keinsafan dan kesungguhan meipatgandakan ibadah adalah anugerah yang sukar dicari sebaliknya ianya adalah anugerah dan kurniaan kepada insan terpilih. Beruntunglah mereka yang telah memilih jalan kebaikan pimpinan Ar Rahman. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

As Syams :ayat 7-10

Detik dan waktu waktu indah itu tidak dapat di seka. Ramadhan akan berlalu jua dengan penuh kesedihan. Entah akan berpeluangkah menemuinya sekali lagi. Wahai Tuhan semoga segala amal ibadah kami sepanjang Ramadhan ini diterima dan diredhai. Semoga sesalahan dan kepincangan serta keaiban kami dilindung,ditudung dan disusup daripada pengaiban dunia dan akhirat.

Wahai tuhan andai dalam melakanakan tuntutan ini ada lalai,alpa dan ketidakikhlasan ampuni kami dan kurniakanlah rahmat,kasih saying dan keampunanMu. Kami sedar kami tidak layak menikmati kemenangan hakiki Aidilfitri namun pimpinlah kami menjadi orang yang bersyukur. Pertemukan kami dengan Ramadhan berikutnya dan perkenankan permohonan kami.
Amin ya Rabbal Alamin

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Gunung Semanggol,Perak
29 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di

Wednesday, July 15, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 28)

Ramadhan,Sawah dan Kenangan

Perjalanan dari Kuala Berang melalui Tasek kenyir, Gua Musang seterusnya Simpang Pulai pada 27 Ramadhan (semalam) tidak berhadapan kesesakan trafik dan lalu lintas. Cuma ketika memasuki Jalan Gua Musang ke simpang Cameron Highland kelihatan kenderaan dari kuala Lumpur mula bertali arus.

Memasuki jalan menuju Kuala Betis kelihatan kesan banjir Besar Disember lalu masih jelas kelihatan. Kelihatan khemah  yang menjadi penempatan sementara mangsa di beberapa sudut kampong. Anak anak di belakang bertanya Tanya dan berbual sesama mereka. “Bagaimana mereka akan berhari raya nanti?Lagi 3 hari nak raya?Saya damaikan hati mereka.”Nanti adalah orang yang berikan zakat untuk mereka”.

Perjalanan saya teruskan kerana bimbang laluan Tpoh ke Taiping akan sesak menjelang maghrib walau kantuk dan keletihan makin menjadi jadi. Jam 5.15 Petang kami sekeluarga tiba di Simpang Pulai dan terus memasuki “highway Plus” menuju Taiping utara dan Alhamdulillah tiba jam 6.15 ke destinasi.

Tiba di Kampung sawah sedang menuai,jentera tuai masih bersidai di petak petak sawah yang sebahagian besarnya sudah selesai. Hati saya mengetus “Untung orang kampung dapat berhari raya dengan duit padi baru”. Teringat orang kampung dulu dulu, bila tiba musim menuai,tuntutan zakat didahulukan. Ada yang membayar dengan padi dan ada yang membayar dengan wang. Betapa orang kampong yang belajar tidak setinggi manapun  tahu tuntutan ini. Sesekali pelik memikirkan orang yang belajar tinggi hingga ke menara gading dan terlibat dengan perniagaan jutaan ringgit tapi culas menunaikan perintah Allah untuk berzakat.Firman allah swt yang bermasksud:

“Dan dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon korma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan”

Al An’am: Ayat 141

Zaman anak anak kembali bertamu di lubuk ingatan, Era petani menanam padi menggunakan kuku kambing,sawah dibajak menggunakan sabit tajak dan cangkul. Menuai padi secara menual manggunakan sabit dan padi dibanting setelah disabit. Masih terbayang padi yang dibanting dimasukkan ke dalam guni dan dipikul dari tengah sawah pulang ke rumah. Berat sekitar 70 kilo seguni tidak terasa berat. Ada kalanya musim menuai kebetulan pada bulan Ramadhan, bolehkah di bayangkan keletihan menyabit padi membanting dan mengusung padi di tengah terik mentari. Saya sekeluarga di asuh abah seletihmana pun bekerja kami tadak pernah menggadaikan puasa. Saya terfikir kalaulah sawah yang dkerjakan secara menual itu masih memungkinkan pekerja pekerjanya terus berpuasa ,apakah pada era manusia mengendalikan mesin dan jentera untuk kerja kerja itu menggagalkan mereka untuk menunaikan perintah itu.

Amat malang jika ada pekerja yang yang berusaha mencari kehidupan tetapi lalai pada perintah Tuhannya. Memang di sana ada kelonggaran bagi mereka yang bekerja keras untuk menggantikan puasa pada hari lain. Tetapi sekadar mengendalikan jentera bajak serasa saya tidaklah seberat mana melainkan mereka yang memang tidak gemar untuk mentaati Allah swt. Sesungguhnya ibadah yang Allah fardhukan tidak lansung menyusahkan hambanya kerana segalanya dalam ilmu Allah yang cukup sempurna.Allah tidak akan memberati hambaNya dengan apa yang tidak termampu. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Al Baqarah:286

Kelihatan tali air semuanya kering kontang kerana air di keringkan dari sawah untuk proses menuai. Sekali lagi kotak ingatan zaman silam kembali bertamu. Tali air itulah tempat kami mandi manda dan air dari tali air itulah menjadi sumber makan dan minum. Ketika air taliair di keringkan sumber air beralih ke telaga yang hamper semua penduduk memilikinya. Kami mandi, bersuci,dan minum dari sumber ini sehinggalah usia saya mencecah 12 tahun (sekitar tahun 1986) barulah sumber air berawat dibekalkan di kampong saya. Tiba tiba terlintas detik arwah abah mandikan kami diperigi pada pagi Aidilfitri. Syahdu bukan.?

Sambil merenung ke dasar tali air,kelihatan anak anak anak ikan berlari lari mengocak air berselut. Teringat kembali ketika bergekumang dengan selut mengagau ikan keli dan haruan pada musim padi masak. Sekilo keli sawah atau haruan sawah mampu memberi pulangan yang agak lumayan bagi seorang anak anak sawah menjelang Aidilfitri.RM 3.50 sekilo dihimpun himpun dan di kumpul dapat juga pakai kasut baru. Kadang kadang dapat juga main mercu Rm 0.10 sen sekotak tanpa budget dari abah walaupun terpaksa menyusup dari pengetahuan mak dan Abah.

Esok hari terakhir Ramadhan bertamu.Ramadhan yang akan beransur membuka peluang anak anak pulang ke desa dan kampong. Alangkah indahnya jika pertemuan anak dan ibu serta ayah membibitkan pahala dan percantuman mahabbah serta kasih sayang.

Wahai Tuhan ampuni kami atas kelalaian kami dan berikanlah anugerahMU yang tidak terhingga bersama Ramadhan ini. Kurniakanlah kemenangan kepada kami serta pertemukan lagi kami dengan Ramadhan akan datang.

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Gunung Semanggol,Perak
28 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di
Page www.facebook.com/islampenyelesaianku

Tuesday, July 14, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 27)

Ramadhan, Kemelut & Istiqomah

Perjalanan dari Zamalik melalui jambatan merentasi Sungai Nill menuju Madinat Nasr  ibarat melepasi dua Negara yang berbeza. Ibarat melepasi sempadan Negara Si kaya dengan Negara Si Miskin. Zamalik yang menempatkan Kedutaan Malaysia di Kaherah  berada di kawasan penempatan elit kelihatan serba mewah dan  tersusun.

Hampir sejam menaiki teksi membawa saya ke Madinat nasr ,Kawasan yang menempatkan penduduk berpendapatan sederhana dan tempat golongan gelendangan dan marhain mendakap kehidupan.Memasuki madinat Nasr terdapat sebuah pasaraya yang agak sederhana mewah menjual keperluan makanan segar yang agak mesra pendatang (foreigner) sama ada dari barat atau Asia.Pasaraya “Misr Sudan” tempat tumpuan penuntut penuntut Malaysia dan Asia Tenggara yang lain membeli keperluan dapur menjelang Aidilfitri. Hari ini hari ke 27 Ramadhan mengingatkan detik yang berlalu 15 tahun lalu.Hari sahabat sahabat membanjiri pasaraya “Misr Sudan” terutamanya akhawat dan pasangan penuntut yang berkahwin membeli kelengkapan meraikan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Walau jauh dari keluarga di tanahair namun kerinduan diubat dengan resepi yang hampir hampir menyamai airtangan bonda sudah memadai . Itu sekadar memenuhi naluri keinginan dan ingatan tanahair terutamanya pada bau rendang dan dan ketupat sahaja.Ada sesuatu yang lebih berharga dari kerinduan itu sepanjang bermukim diperlembahan Nill ini. Suasana di “Misr Sudan” menikam hati, sebagai tanda Ramadhan akan berakhir.

Kenangan masih terpahat.Malam malam sepuluh Akhir Ramadhan dilalui dengan kenikmatan yang luar biasa. Tarbiah fardiah membina kekuatan untuk menjadi Muslim sentiasa di intai peluangnya.Tidak hairanlah 10 akhir Ramadhan menjadi agenda ramai penuntut Malaysia menuju Masjid Amru Bin Asr di Pinggir Kota Kaherah terutamanya pada malam 27 untuk bertaraweh dan bermunajat bersama Imam Jibril yang tersohor itu.

Masjid masjid di Madinat Nasr terus meriah dengan agenda menghidupkan Ramadhan,kedengaran bacaan ayat suci al Quran sahut menyahut di corong corong pembesar suara memeriahkan suasana yang tidak dapat dirasai suasana itu di Negara kita kerana faktor penematan yang tidak sepadat penduduk Kaherah.

Kenangan bersama Ramadhan itu masih kuat bersarang dalam benak ingatan ini, seminggu sebelum Ramadhan menjelang pemidang yang terpampang “Maidatur Rahman” dinaikkan di masjid masjid. Tandanya disediakan makanan berbuka puasa di masjid tersebut. Ramai di kalangan penuntut penuntut mengambil peluang berbuka di masjid.Apa yang menyentuh hati ini ketika penuntut Malaysia,Indonesia,SIngapura dan lainnya sama sama berbaris bersama penduduk tempatan, tiba tipa pengurusan masjid tampil dan mendahulukan peluang untuk penuntut penuntut dari luar, katanya “Tetamu didahulukan”.Masyaallah terasa kerdilnya kita dibandingkan dengan mereka walaupun kedapatan masyarakat mereka sendiri yang merupakan gelandangan dan golongan memerlukan namun mereka mendahulukan penuntut ilmu ini yang bermusafir di Negara mereka.

Saya masih ingat ketika krisis ekonomi melanda Negara negara Asia tenggara,ramai pelajar yang terjejas lantaran biasiswa,pinjaman atau ongkos kiriman ayahbonda yang tiba seperti biasa kadarnya semakin susut dan tidak mencukupi. Ramai rakan rakan dan saya sendiri mengikat perut meneruskan kembara di perlembahan Nill ini. Suatu hari datang seorang hamba Allah ke asrama tempat saya dan sahabat sahabat menginap dan bertanyakan saya berapa penghuni di asrama ini.Saya berikan jumlahnya,Sosok itu berlalu dan selang sejam kemudian dia kembali bersama jumlah ayam yang sudah diproses mencukupi bilangan penghuni asrama sebagai kebersamaan mereka dengan kami mengharung sesak berdepan krisis ekonomi. Semestinya jasa itu tidak kami lupakan.

Sesusah mana pun kami di bumi tersimpannya kisah Musa dan Firaun itu ada lagi marhain yang terus menongkah hidup dibalut kemelut payah dan melarat. Kota yang tidak pernah luput dari keriuhan itu sememangnya mengajar erti hidup dan perjuangan hidup. Hari ini 3 hari sebelum menjelang Aidil fitri agaknya apa khabar anak anak kecil yang dulu saya lihat mengusung kotak kotak dan barangan terpakai berkenderaankan kereta kaldai dan basikal buruk.Anak anak yang dulu dipimpin ibu mengemis dilorong lorong saban hari adakah mereka mewarisi kehidupan ibunya dahulu atau telah berubah hari ini. Anak anak yang tercegat di gerai menjual “kibdah” (roti berlauk hati seperti roti john) memerhati kami menikmati makanan berharga LE 3.00 (3 paund Mesir) dahulu apakah kini mereka mampu menikmatinya dengan wang sendiri atau masih kekal menelan liur keinginan yang masih menjadi harapan.Agaknya masih adakah “ammu” separuh abad yang dulu saya sapa ketika membancuh teh di pembaringan berlantaikan bumi berbumbungkan langit berhampiran “hadiqah”(taman) tidak jauh dari penempatan dan asrama kami.Atau “ammu” itu masih membungkus diri menahan sejuk yang tidak berkesudahan.

Bersama saki baki Ramadhan yang masih bertamu ini,mari kita panjatkan munajat dan pengharapan walau di manapun kita dan siapapun kita agar Allah istiqomahkan kita di jalan kebenaran. Biar kesusahan,biar kekusutan dan biarlah apa sahaja yang menekan diri janganlah kita disesatkan oleh kekalutan itu. Biarlah nilai itu sirna  pada keistimewaan menjadi muslim pilihan kerana ianya membuahkan keuntungan luar biasa. Seandainya dicangkuk susah ia bersabar dan sekiranya disimbah senang ia syukuri.Itulah kemuncak kehambaan.

Semoga Firman Allah swt ini menjadi pedoman untuk terus istiqomah menjadi hamba.FirmanNya yang bermaksud:
“Dan bahwa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), Karena jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.”

Al Anaam :ayat 153

Juga FirmanNya yang bermaksud:

“Dan bahwasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak).”

Surah Jin :ayat 16


ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Innova BJE9130
27 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di