Pages

Tuesday, September 29, 2009

Alhamdulillah...


Alhamdulillah penantian kami untuk dapat zuriat lelaki Allah perkenankan. Setelah 4 kelahiran sebelumnya semua perempuan untuk kali ke lima Allah kurniakan lelaki. Lahir pada 26 September 2009 bersamaan 7 Syawal 1430 di Hospital Ampang, Selangor sebarat 3.67 kg. Terima kasih kepada seluruh warga yang menyambut kelahiran bayi kami ini. Nama mujahid ini akan diumumkan pada hari ke tujuh Insyaallah.


Monday, September 28, 2009

Selcat: Pandangan betul walaupun cara salah

Hazayani Zakaria

Mon | Sep 28, 09 | 12:51:44 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mungkin silap cara beliau memberikan pandangan mengenai Selcat tetapi PAS Selangor bertegas, isi pandangan itu tetap dipertahankan ketepatannya.

ni kerana, PAS Selangor tidak mahu kerajaan negeri Pakatan Rakyat dilihat bertembung dengan pegawai kerajaan sebagaimana kesilapan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo sebelum ini.

Dalam masa yang sama PAS Selangor menegaskan, mereka akan tetap bersama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat kerana mereka adalah 'rakan terbaik'.

Inilah antara intipati yang dicapai dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor petang semalam. Ia adalah sambungan dari mesyuarat Dewan Harian PAS Selangor yang diadakan sebelum itu.

Mesyuarat itu telah meluluskan enam resolusi yang berlegar sekitar kritikan terhadap Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berhubung cara beliau mengkritik tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) dua minggu lalu.

Enam rosulusi itu diluluskan selepas Hasan mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS negeri di Shah Alam petang semalam.

Hasan mendapat kritikan pedas dari rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat dan PAS sendiri selepas mengkritik Selcat secara terbuka.

Ini kerana, beliau sebagai Exco kerajaan negeri sepatutnya mempertahankan kerajaan negeri dan keputusan mereka, namun bertindak mempertikaikannya.

Dalam mesyuarat itu, resolusi yang dicapai ialah memperakui dan menyokong beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan Exco Kerajaan Negeri.

Image"Kedudukan sebagai Pesuruhjaya negeri dibuat oleh presiden parti manakala jawatan Exco dilantik oleh Menteri Besar," kata Hasan.

Menurutnya juga, tiada pihak yang harus mempersoalkan kedua-dua jawatan itu.

Resolusi kedua ialah menerima cadangan beliau untuk untuk memperbaiki prosedur-prosedur Selcat.

PAS Selangor juga bersetuju bahawa jika Selcat menerima pandangan Hasan, ia boleh berfungsi dengan lebih baik.

PAS Selangor juga kata Hasan akan meminta kerajaan negeri agar mengkaji jentera operasi Selcat untuk menerima penghormatan di kalangan rakyat.

Kelima, PAS negeri meluluskan resolusi bahawa beliau akan tetap kekal bersama Pakatan Rakyat Selangor.

Resolusi terakhir yang diluluskan pula berkaitan dengan saranan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kakitangan awam.

"Hubungan antara kerajaan negeri dan pegawai-pegawainya mestilah harmoni sepanjang masa bagi menjamin kelancaran jentera kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Hasan tetap dengan pendirian bahawa kritikannya terhadap tatacara Selcat adalah satu tindakan yang wajar.

"Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik,"katanya lagi.

Pertemuan tersebut merupakan pertemuan kedua dalam tempoh 24 jam selepas PAS Selangor mengadakan mesyuarat Dewan Harian selama tiga jam yang berakhir kira-kira jam 12 tengah malam Sabtu lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dijadual akan mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru membabitkan anggota Selcat, Exco dan 9 pegawai kanan kerajaan jam 8.45 malam ini.

Hassan diarah menjelaskan kenyataannya yang mempertikai perjalanan Selcat, manakala kesemua sembilan pegawai daerah termasuk Bakhtiar Husin yang mengadu diaibkan juga dipanggil untuk memberi penjelasan.

Khalid yakin isu ini dapat ditangani sebaik sahaja mendengar penjelasan daripada semua pihak. Beliau berkata adalah penting bagi sesebuah kerajaan bertindak dalam satu pasukan.

Prosiding Selcat yang terkini adalah menyiasat misteri adun-adun UMNO BN menghabiskan kesemua peruntukan tahunan negeri mencecah RM500,000 dalam masa dua bulan sahaja iaitu sebelum Pilihanraya Umum ke-12, 8 Mac 2008.

Perbelanjaan ini diuruskan oleh Pegawai Daerah selepas mendapat permohonan dan kelulusan dari Adun terbabit.

Namun, para Pegawai Daerah yang dipanggil membantu siasatan mendakwa bahawa mereka disiasat tanpa belas dan secara kasar oleh Selcat.

Selcat pula dipercayai menganjurkan pendengaran awam ini sebagai tindakbalas kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat secara luarbiasa perbelanjaan para Adun Pakatan Rakyat di Selangor.

Bagi mereka, SPRM telah menjalankan tindakan politik untuk menekan Adun Pakatan. Padahal, yang patut dipertikaikan adalah perbelanjaan Adun BN sebelum ini yang menghabiskan peruntukan setahun dalam masa dua bulan sahaja menjelang pilihan raya.

Pendengaran awam selcat kali kedua telah diadakan pada 8 hingga 14 September 2009.

Jawatankuasa PAS pusat yang akan mengadakan mesyuarat di Seremban esok dijangka turut mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hasan berhubung pendiriannya itu

Sunday, September 27, 2009

JANGAN JADIKAN PAS MAK AYAH KITA YANG PUNYA

Alhamdulillah Syawal telah seminggu kita raikan.Kesedihan Ramadhan yang berlalu masih terasa. Bersama kemeriahan Syawal dan kemenangan yang disemarakkan dalam langkah juang Baginda Rasul Junjungan SAW elok rasanya kita hadami pengajaran yang telah pun terpapar dalam ukiran sejarah.Gema yang mendebar di UHUD, Gempita kemenangan untaian Nusrah Ilahi di Medan Ahzab dan ukir bertatah pengajaran di medan HUNAIN wajib ditelaah oleh segenap lapis pejuang kebenaran dan pendokong jamaah islamiyah.

Sehari dua ini saya lihat juak juak blogger semakin lancang menulis dan menyonteng idea tanpa rujukan dan yang lebih malang apabila perasaan dan nafsu serta akal semata mata menjadi dalil kenyataan yang dipaparkan. Kekadanga ada juga komen dan kritikan yang dititipkan tidak lansung mencerminkan mereka yang telah di tarbiah.

Sedih saya makin menikam apabila mereka yang terlalu lancang menulis,menyonteng,mengkritik terang terangan pula mengaku sebagai penokong kebenaran dan ada juga yang tanpa segan silu mengaku anggota gerakan atau harakah islamiyah. secara terus terangnya ,bahasa mudahnya ramai yang mengaku ahli PAS dan pendokong PAS namun hakikatnya tak melayakkan mereka bergelar anggota harakah Islamiyah jika cakap yang di lontar,bicara yang dititipkan terlalu berbaur nafsu dan akal sedangkan berada dalam harakah islamiyah sandaran nasnya mestilah Perlembagaan Allah dan sabda Rasul menjadi tunjang.... paling paling kurang etika dan undang undang dan ketetapan harakah mesti dijunjung. JAngan belagak pandai kalau etika jamaah tak pernah diteliti.

Example@ Contoh: Isu Pesuruhjaya PAS selangor (tak perlu saya jelaskan apa isunya) bila isu ini mendada di laman laman blog ramailah penulis yang mengkritik,menghentam dan macam macam ayat dihala kepada si hamba Allah yang bergelar PJ ini. Dalam hal ini 'Pakatan Rakyat dilihat terlalu maksum" tiada pembelaan yang dititip oleh bloger bloger tak berdalil ini kepada pendirian PJ ini. Yang lebih hebat lagi Pakatan Rakyat wajib dibela berbanding PAS sendiri. Dalam hal ini saya yang tidak sepandai mana ini mengajak rakan rakan untuk kembali mengaji dan mentelaah ,lengapkan diri dengan asas jamaah, baru boleh membuat keputusan.

Jangan sampai nanti kerana kehebatan luaran,dengan title jawatan AJK pusat dan sebagainya kita sesedap hati mengeluarkan kenyataan bahkan sehingga kita lebih pandai dari presiden dan mursyidul AM. Jamaah bukan seperti melihat lauk di depan mata ,nampak sedap terus mahu di bedal. Jamaah dan gerakan ibarat melihat duri dan racun di hadapan ,kepayahan yang mesti diterobosi.Perjuangan untuk melepasi duri dan racun bukan berhenti bila rintangan duri membenteng dan racun memaku langkah tetapi berusaha ,berfikir dan yang penting membuat bacaan yang matang,(bukan bacaan seminit) supaya matlamat tercapai. Bukan menang penyudah perjuangan tetapi redha tuhan adalah lebih utama. Fikirkanlah PAS bukan mak ayah kita yang punya tetapi milik semua ,oleh itu jangan pendapat peribadi di julang supaya orang lain berkiblat dengan pendapat kita yang belum tentu betul.Tahniah kepada PJ Selangor dan PAS Selangor anda ada pendirian.


Friday, September 25, 2009

KHUTBAH MINGGU INI

SEMARAK JIHAD

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :


إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين


Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim

Kehangatan eidil fitri terus terasa oleh seluruh umat Islam kerana ia merupakan anugerah Allah kepada hambaNya yang dapat menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadhan yang baru lalu dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah sebelum memperolehi suatu lagi nikmat yang paling didamkan iaitu apabila bertemu Allah di akhirat nanti. Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa yang sentiasa menghidupkan suasana Syawal dengan perkara yang dikira ibadat disisi Allah bukannya menjadi ahli maksiat yang mencemari kesucian Syawal dengan amalan yang bercanggah dengan syarak.


Bersesuaian dengan hari raya sebagai hari kemenangan dalam mengekang nafsu sepanjang Ramadhan maka janganlah kotorkan kembali diri kita dengan maksiat sehingga kita kembali menjadi umat yang kalah kepada hasutan nafsu dan syaitan. Kemenangan yang mesti dicapai ialah kejayaan dalam melahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa bukannya sebagai makhluk Allah yang derhaka. Oleh itu kita mesti teruskan segala proses tarbiah yang dilalui dan diterima sepanjang Ramadhan lalu pada bulan-bulan lain dalam melahirkan diri sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya janganlah melupakan kita untuk merebut tawaran Allah untuk sama-sama menunaikan ibadat puasa 6 hari di bulan Syawal yang dinyatakan oleh nabi di mana kelebihannya seperti orang berpuasa sepanjang tahun.


Sidang Jumaat yang berkati Allah,


Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketiga-tiga peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w bersama para sahabat ini telah mencatatkan suasana, keputusan dan pengajaran yang berbeza untuk sama-sama kita renungi. Semoga dengan menyebut peristiwa bersejarah ini dapat menyemarakkan lagi semangat jihad ketika melawan nafsu dalam diri dan musuh nyata dari kalangan kuffar dan munafik. Terutama kita baru sahaja selesai menjalani tarbiah dalam menyuburkan jihad jiwa dan tubuh melalui ibadat puasa dan jihad harta melalui zakat fitrah sepanjang Ramadhan yang baru lalu.


MArilah kita merenung dan menghayati beberapa pengajaran yang mesti diambil daripada ketiga-tiga peperangan tersebut. Yang pertama mengenai Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah telah menyaksikan bagaimana tentera kafir Quraisy yang ingin membalas dendam di atas kekalahan dalam peperangan Badar setahun sebelum itu di mana mereka keluar dengan jumlah 3000 orang. Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan tetapi akibat kumpulan pemanah yang telah melanggar perintah nabi agar jangan meninggalkan tempat mereka walau apa pun yang berlaku. Tentera pemanah ini menganggap tentera Islam telah menang yang menyebabkan mereka turut serta memungut harta rampasan perang yang ditinggal musuh sehingga tentera berkuda musuh yang diketuai oleh Khalid Ibnu Walid mengambil peluang itu untuk melakukan serangan mengejut sehingga berlakunya kekalutan. Ini ditambah lagi dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Akhirnya ada sahabat yang terpandang diri Rasulullah s.a.w yang masih hidup lalu melaungkannya sehingga membangkitkan semula semangat juang tentera Islam di mana selepas itu baginda bersama 30 orang yang lain menuju ke suatu teluk di Bukit Uhud untuk mengatur perancangan perang yang baru.


Pada peringkat kedua ini tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang digelar Asadullah atau Singa Allah. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Kekalahan pada peringkat kedua dalam peperangan Uhud ini akibat melanggar perintah nabi s.a.w selaku pemimpin serta rasa terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Firman Allah dalam ayat 22 surah Ahzab :


ولما رءا المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ما وعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله ومازادهم إلا إيمــنا وتسليما


Maksudnya : Manakala ketika orang-orang yang beriman melihat pasukan Ahzab maka mereka berkata : “ Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita. Dan benarlah Allah dan rasulNya”. Dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan ketundukan.



Yang kedua pula mengenai Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal yang berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah di mana setiap kali tibanya hari raya kita sentiasa laungkan kalimah


)وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده )


yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab.

Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah setelah mereka cuba membunuh nabi. Tentera bersekutu kuffar seramai 10 ribu orang yang tiba ke tempat peperangan merasa terkejut apabila tiba berdekatan dengan kubu parit yang digali oleh tentera Islam memandangkan bangsa arab sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan cara itu dalam peperangan. Tentera Islam yang hanya berjumlah 3 ribu orang pula terus bertahan di sebelah yang lain di mana pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Dalam peperangan ini hanya 6 orang tentera Islam gugur syahid manakala 10 orang musyrikin dibunuh. Akhirnya Allah datangkan kemenangan kepada tentera Islam dengan ribut pasir yang menyebabkan tentera musuh berundur disamping berlakunya kacau-bilau di antara mereka apabila pengintip yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w berjaya memecah belahkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Kemenangan yang dicapai kerana kesatuan antara tentera Islam bermula daripada menggali parit lagi ketika sedang menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Ini ditambah dengan ikatan hati mereka kepada Allah disamping perancangan yang lain sehingga Allah datangkan pertolongan dan kemenangan.


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,


Seterusnya peperangan yang ketiga ialah peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera musuh antara 20 hingga 30 ribu orang manakala tentera Islam pimpinan Rasulullah s.a.w berjumlah 12 ribu orang iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain. Peperangan ini menyaksikan bagaimana pada peringkat pertama tentera Islam hampir kalah akibat diserang dari pelbagai penjuru oleh musuh ditambah dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Ketika suasana yang kacau bilau ini lalu Rasulullah s.a.w melaungkan suara bagi membangkitkan kembali semangat jihad tentera Islam sehingga baginda bersama 200 tentera yang terus berjuang bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera musuh yang ramai malah berjaya mengepung musuh di Taif. Akhirnya Rasulullah s.a.w tidak melakukan sesuatu kepada musuh yang dikepung itu sebaliknya berdoa kepada Allah agar mereka memeluk Islam. Peperangan ini menyaksikan bagaimana tentera Islam hampir kalah pada peringkat pertama kerana mereka begitu yakin akan menang dengan jumlah tentera yang ramai berbanding peperangan sebelum ini, pertautan hati dengan Allah begitu kurang kerana terlalu memikirkan harta rampasan perang yang bakal diperolehi disamping ramai di kalangan tentera ialah daripada golongan yang baru memeluk Islam di mana keimanan dan semangat jihad mereka masih lemah. Namun Allah tetap datangkan kemenangan kerana masih ada tentera Islam yang tinggi semangat jihad serta pertautan hati mereka dengan Allah.


Firman Allah dalam ayat 25 dan 26 surah al-Taubah :


لقد نصركم الله فى مواطن كثيرة ويوم حنين إذ أعجبتكم كثرتكم فلم تغن عنكم شيئا وضاقت عليكم الأرض بما رحبت ثم وليتم مدبرين ثم أنزل الله سكينته على رسوله وعلى المؤمنين وأنزل جنودا لم تروها وعذب الذين كفروا وذلك جزاء الكفرين


Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir.


Melalui ketiga-tiga peperangan tersebut maka kita patut sedar bahawa antara perkara besar yang menjadi syarat kepada datangnya anugerah kemenangan atau ujian kekalahan ialah pertautan hati kita dengan Allah ketika berhadapan dengan musuh dari kalangan kuffar dan munafik, ketaatan kepada pemimpin pada perkara yang tidak bercanggah dengan Islam serta tidak terpesona dengan godaan kemewahan dunia hasil perjuangan menegakkan Islam.


Contohilah semangat jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta para pejuang Islam ketika kita berhadapan dengan kekejaman tentera bersekutu Kuffar yang diketuai zionis yahudi yang memperkudakan Amerika dan Britain serta sekutu jahat mereka pada hari ini. Kita juga berdoa kepada Allah agar kebanyakan pemimpin negara umat Islam yang turut bersekongkol dengan kuffar dalam memerangi kebangkitan Islam supaya kembali bertaubat dan bersatu untuk menghadapi musuh bukannya terus bersatu dengan musuh untuk memerangi saudara seagama. Jadikanlah diri kita sebagai pendokong perjuangan Islam yang sanggup berkorban apa sahaja untuk agama samada kita menjadi pemimpin atau orang bawahan, kaya atau miskin, senang atau susah, tua atau muda. Yakinlah bahawa Islam pasti menang walau pun ia ditentang. Islam semakin subur ketika kekufuran semakin kabur, Islam semakin dijulang ketika kekufuran semakin hilang, Islam semakin hampir kepada kemenangan ketika kekufuran mula hampir kepada kehancuran.


Amat malanglah jika ketika Islam menuju kemenangan kita tidak menjadi bahkan tidak berhasrat menjadi batu bata pelengkap kemenangan.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah….


Jadikanlah pengajaran kekalahan di Uhud sebagai medan muhasabah untuk menyatakan ketaatan kepada arahan pemimpin yang benar dan kepatuhan dalam merencana strategi agar tidak diperkotak katikkan oleh musuh. Beringatlah Allah akan menghukum kita andai kita lalai dengan keseronokkan dunia sehingga lupa kepada tujuan dan matlamat perjuangan.


Jadikanlah kejayaan dan bantuan Allah dalam peperangan Khandak sebagai medan penyerahan urusan hanya kepada Allah. Allah berupaaya memeberikan kemenangan walau segetir mana sekalipun ujian yang kita hadapi. Biar seribu sekatan,biar beribu tohmahan, biar berbagai strategi perancangan musuh datang siang dan malam ,Allah akan tetap menyempurnakan kemenangan seandainya kita patuh pada hakikat perjuangan yang benar dan betul.


Jadikanlah peristiwa Hunain sebagai medan muhasabah diri untuk mencampakkan rasa bangga diri dan bongkak ,dengan sedikit nikmat yang Allah kurniakan. Sebaliknya bergeraklah pada landasan sebenarnya dengan patuh dan tunduk kepada peraturan Allah walau di saat kemenangan atau ke kakalahan.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Dibacakan di Masjid Batu 14 Hulu Langat,Selangor

Sunday, September 20, 2009

Ramadhan Yang Pergi , Semoga bertemu lagi

Hari ini adalah hari terakhir puasa Ramadhan 1430 setelah Penyimpan Mohor Besar Raja Raja mengistiharkan 20 September sebagai tarikh hari Raya AidilFitri 2009. Sedar ataupun tidak Ramadhan yang merupakah madrasah (sekolah) mendidik segenap penjuru insani meninggalkan kita.

Bagi mereka yang mengimani dan menginsafi Ramadhan ,pemergian Ramadhan adalah pemergian yang ditangisi seolah olah perginya insan yang paling disayangi. Manakala bagi insan yang menjadikan Ramadhan untuk kepentingan dunia [contoh:Dapat hulur derma dan bantuan dan dipaparkan di akhbar,berbuka puasa bersama fakir miskin dan dihighlihtkan berita prihatinnya pemimpin yang mesra dengan rakyat,dapat hulur duit raya pada anak yatim dan orang miskin walaupun hakikat untuk jaga kedudukan dan cuba cuba untuk memancing undi, dan macam macam lagi contoh] pemergian Ramadhan juga satu kerugian kerana tidak dapat mengambil kesempatan untuk mempromosi kelansungan kuasa.

Bagi mereka yang keimanan bersarang dalam hati menjadikan kehadiran Syawal satu detik kemenangan kerana melepasi ujian sepanjang ramadhan. Bagi mereka yang tidak menunjang pada umbi iman kehadiran Syawal hanya sekadar pesta hiburan yang menyimpang jauh dari makna ibadah.

Kepada seluruh rakan bloger cuba perhatikan ketika istirehat kita menjamah cuti Aidilfitri ini bagaimana corak dan agenda sambutan Syawal yang merupakan hari kemenangan. Apakah Syawal yang kita raikan menjurus pada makna iman atau tiada bezanya dengan sambutan Deepavali,Thaipusam.Kirsmas,dan lain lain lagi.

Pasaklah keyakinan pada makna iman dan lunaskanlah pencarian sebagai hamba ALLAH yang bersyukur dengan kurniaanNya.

Wednesday, September 16, 2009

TAZKIRAH PENGHUJUNG RAMADHAN

CATATAN: ABU SHAUKAH FILMANZIL


Ramadhan telah hampir ke penghujung. Sepuluh malam terakhir ini, umat Islam yang mencintai ibadah pastinya tidak melepaskan peluang melipatgandakan amalan fardhu mahupun sunnah bagi memburu Lailatulqadar ataupun “berpesta ibadah” memohon kerahmatan daripada Allah Subhanahuwataa’la agar ditempatkan bersama-sama para Solihin dan Anbiaya setelah kembali menemui Rabbuljalil nanti.


Alhamdullillah, sebentar tadi saya berkesempatan menunaikan fardhu Isyak dan Solat Sunat Tarawih di salah sebuah Masjid Daerah kecil yang terletak dalam Daerah Batang Padang, Perak. Kesempatan ini saya gunakan bagi meninjau sejauh mana kebenaran yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Nizar b. Jamaluddin dalam satu ceramah penerangan politik baru-baru ini. Beliau menyatakan hanya 15% di kalangan orang Islam di negeri Perak Darul “Kemelut” yang menunaikan Ibadah sembahyang secara konsisten.


Tujuan saya memilih malam-malam terakhir dalam bulan Ramadhan ini juga bertujuan menilai atau mengkaji sejauh mana keberkesanan siaran,seruan,tazkiran ,majlis ilmu mahupun dakwah yang dilaksanakan melalui forum-forum siaran langsung seperti Forum Perdana Ehwal Islam, Bicara Mufti, ruangan-ruangan pojok media arus perdana, kuliah-kuliah, perutusan dan ucapan pemimpin, dan rancangan-rancangan agama melalui siaran radio dan tv tempatan selama ini mendapat sambutan dan membawa kebaikan kepada kegiatan mengimarahkan masjid dan musalla. Secara peribadi saya katakan orang kita hari ini cukup berilmu namun penghayatannya tidak seberapa.


Kenyataan YB Nizar tersebut saya kira ada asas. Dengan keluasan masjid yang boleh menampung lebih 2,000 jamaah dalam satu masa, hanya lebih kurang 4 saf dipenuhi jamaah ternasuk jamaah laki-laki,wanita dan kanak-kanak. Jamaah lelakinya hanya lebih kurang 2 saf setengah termasuk kanak-kanak, begitu juga jamaah perempuannya. Anggaran saya tidak sampai 300 jamaah semuanya. Jika dikira dalam peratus jumlahnya kira-kira 15% seperti yang dinyatakan oleh YB Nizar itu.


Siang tadi, saya sempat berbual dengan rakan dari Jamaah Tabligh tentang aktiviti mereka mengimarahkan masjid serta sambutan masyarakat setempat dalam menyahut seruan bersama mengimarah serta mencari maghfirah melalui sepuluh malam terakhir. Jawapannya, sepanjang program berlangsung hanya muka – muka lama sahaja yang bersama-sama mengimarahkan masjid. Kurang sangat mendapat sambutan. Kebanyakan orang kita, lebih selesa beribadah secara bersendiri di rumah atau beribadah di hadapan TV menyaksikan perlawanan bola, sibuk menyediakan juadah raya, urusan dunia yang tidak sudah-sudah atau terus berdengkur dibuai mimpi.


Selepas solat, saya sempat juga meninjau tempat-tempat yang menjadi kunjungan masyarakat kita untuk berbual sambil minim-minum.Kedai kopi. Pengunjungnya masyaAllah! Ramai sekali. Di situlah juga tempat duduknya pemimpin-pemimpin setempat atau orang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat terdiri daripada ketua-ketua, ketua pemuda parti politik dan exconya. Jawatankuasa-jawatankuasa penduduk taman perumahan dan kampung, pengerak-penggerak NGO dan orang-orang perseorangan dengan kumpulan masing-masing, mungkin juga yang terlibat mengheret dan mimijak kepala lembu beberapa minggu lalu serta sekutu-sekutunya.Termasuk juga penjawat-penjawat awam yang begitu patuh,taat dan terlalu takut dengan arahan pemimpin mereka terutama yang bergadai nyawa memberkas dan menggasak peserta demontrasi aman tajaan pembangkang akhirnya bersidai di tempat-tempat begitu tanpa rasa malu pada diri sendiri kerana tidak patuh pada suruhan Allah. Bertazkirah di kedai kopi dengan topik perbualan seperti hari-hari lain juga. Jarang sangat menjurus kepada mencari keberkatan Ramadhan.


Sewaktu menunaikan solat sunat tarawih tadi hati makmum mungkin tersentuh dengan alunan sayu surah al Quran oleh tuan imam menandakan Ramadhan hampir ke penghujung namun “tazkirah” di kedai kopi ini lain pula. Dipenuhi dengan hilai ketawa. Kalau ada nada sedihpun datangnya daripada mereka yang mendapat bantuan kewangan hari raya yang agak sedikit daripada syarikat-syarikat tempat kerja masing-masing atau kerajaan. Masing-masing mengulas kesan kelembapan ekonomi global. Sedikit sangat yang berbicara menganai Ramadan yang hampir berakhir.


Di kesempatan yang sedikit ini saya menyeru diri saya dan sidang pembaca agar terus mengimarahkan masjid dan terus mengajak rakan-rakan kita bersama tanpa jemu sejajar dengan dengan seruan Ilahi “ Berpesan-pesanlah dengan jalan kebenaran dan berpesan-pesanlah dengan penuh kesabaran”.Jadikanlah Ramadhan ini sebagai kelas motivasi dan latihan untuk kita meneruskan aktiviti mengimarahkan masjid di bulan-bulan lain.


Kita panjatkan rasa syukur kepada Ilahi kerana bakal menyempurnakan ibadah puasa. Kepada perantau yang akan ke pangkuan ibunda dan sanak saudara, berhati-hatilah sewaktu di jalan raya. Pastikan kenderaan anda sentiasa baik, diri anda sentiasa sihat dan cergas.Kepada kaum keluarga,sanak saudara, kenalan dan sahabat handai yang telah mendahului kita mengadap Maha Pencipta, kita hadiahkan al Fatihah.Kepada saudara kita yang ditimpa musibah, kita doakan supaya tenang dan cepat beroleh kesembuhan dan kebahagiaan.


Kepada yang mempunyai rezeki lebih, ingat-ingatlah kepada yang memerlukan, terutama saudara mara dan jiran terdekat. Juga berhemahlah semasa berbelanja walaupun ada pendapat yang menyatakan rezeki hari boleh dihabiskan hari ini, esok akan ada rezeki lain tetapi perlu ingat akan cerita Nabi Allah Yusuf yang menyimpan bekalan makanan bagi menghadapi musim kemarau. Almuhimmun! pastikan fitrah tahun ini dikeluarkan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidil Fitri.Moga-moga kita semua diberi rahmat oleh Yang Maha Pemberi Rahmat.


Akhir kata saya memohon ampun dan maaf sepanjang bicara dan komen saya dalam ruangan blog Islampenyelesaian.blogspot.com ini sekiranya tulisan dan pendapat saya menyentuh mana-mana individu atau organisasi secara disedari maupun tidak. Kata pujangga “Masih ada harapan sembuh jika pedang melukai tubuh, ke mana penawar harus dicari jika kata-kata melukai hati”.SEMOGA AMALAN KITA DIBERKATI dan SELAMAT BERHARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN.Semoga kita berpeluang melalui Ramadhan yang berikutnya dengan lebih taqwa.Wallahhuaqlam.


Abu Shaukah Filmanzil

15 September 2009

BUDAYA KETAM DALAM MASYARAKAT KITA

OLEH: ABU SHAUKAH FILMANZIL

Dalam masyarakat Melayu terutama di kampung, apabila disebut ketam, akan terbayanglah beberapa gambaran.Pertama ketam yang digunakan untuk memotong tangkai padi secara tradisional. Alat ini diperbuat daripada papan nipis, pemegangnya daripada buluh bulat panjangnya lebih kurang empat inci dan terdapat bilah pemotong (blade). Nama lain bagi alat ini ialah “renggam”. Musim menuai juga disebut musim mengetam mungkin diambil sempena dengan nama alat ketam ini. Kedua, ketam yang digunakan oleh tukang-tukang rumah untuk melicinkan permukaan papan, di samping terdapat juga ketam yang digunakan untuk melarik bahagian tepi kayu serta lain-lain ketam lagi yang semuanya berkaitan kayu dan tukangnya.

Ketam yang seterusnya adalah sejenis alat sodok digunakan untuk menyodok atau memotong rambut. Pada masa dahulu ketam ini digunakan secara manual dan menyebabkan kesakitan ketika bergunting jika tersepit. Ketam juga dikenali oleh semua lapisan masyarakat iaitu sejenis haiwan laut boleh dimakan yang dapat dijadikan hidangan lazat walaupun hanya digoreng.Ketam jenis ini pula terbahagi kepada beberapa jenis antaranya ketam nipah, ketam batu, anak ketam(cika) dan lain-lain. Ketam juga merujuk kepada perlakuan ibubapa yang mencubit anak-anak yang terlalu buas atau nakal semasa kecil.

Kebiasaan ketam ini (ketam nipah @ ketam hijau ) jika hendak dipasarkan secara longok dan terbuka mestilah diikat kakinya terlebih dahulu.Jika tidak, ketam-ketam tersebut akan merayap entah kemana. Sekiranya menggunakan bekas, contohnya menggunakan bakul atau raga, kaki dan penyepit ketam-ketam tersebut tidak perlu diikat.Memadai dilepas bebas begitu sahaja.Tidak perlu risau, ketam-ketam ini akan terlepas atau lari keluar daripada bakul atau bekas itu.Sebabnya? Tabiat semula jadi atau naluri tidaklah dapat dipastikan, tetapi itulah tabiat atau perlakuan ketam jenis ini, jika ada seekor yang lain ingin merangkak keluar dari bekas, pastinya yang lain akan menariknya ke bawah semula. Seolah-olah sedia bersama berada dalam kepungan atau lingkungannya dan tidak membenarkan yang lain keluar bebas. Tidak mungkin pula ketam-ketam ini iri hati atau dengki memandangkan haiwan tidak boleh berfikir.

Saya amat tersentak ketika membaca ruangan pendapat dalam akhbar Berita Harian semalam (11/09/09). Isu pemberian bantuan kewangan oleh kerajaan sebanyak RM 500, di suarakan oleh dua orang pembaca ruangan itu. Dari amatan dan pengalaman saya, mereka yang menulis itu seperti guru lepasan ijazah . Jika sebut gred DG ni biasanya berkaitan perkhidmatan pendidikan (saya tidak berapa pasti samaada perkhidmatan lain mengguna gred DG juga). Daripada 30 orang pembaca 2 orang memperotes tentang bantuan kewangan tersebut, ini bermakna hampir 7 % tidak bersetuju kakitangan professional tidak diberi bantuan kewangan sebanyak rm 500 itu. Jika 7% mewakili semua kakitangan professional dalam perkhidmatan pelajaran, tentu bilangannya agak ramai.Apatah lagi jika 7 % itu mewakili semua kakitangan professional dalam perkhidmatan awam.

Memandangkan protes dalam ruangan tersebut datangnya dari golongan berijazah (DG 41) dalam profesion pelajaran atau pendidikan maka saya ulas dari skop atau bidang itu sahaja. Bolehlah diumpamakan golongan yang memperotes tersebut seperti ketam nipah yang saya sebutkan tadi. Dengki atau iri hati, atau sekadar memperjuangkan hak? Setahu saya gaji golongan ini mencecah RM 3000.00 yang saya rasa lebih daripada cukup jika dibelanjakan secara berhemat. Itu tidak termasuk elaun dan tuntutan yang mereka lakukan.

Fikirkanlah, selepas lulus SPM terus ke Universiti Perguruan. Kemudian terus menjawat jawatan guru berijazah gred DG 41. Kerja tidak sampai 5 bulan dah boleh beli kereta dengan gaji pertama. Tidakkah itu lebih dari cukup. Kepada yang menyambung pelajaran dalam perkhidmatan pula melalui “Open Universiti”, kenang-kenangkanlah,semasa anda belajar itu, banyak kelas dan rutin yang anda tinggalkan kerana membuat rujukan,kelas hujung minggu dan menduduki peperiksaan atau cuti rehat, siapakah yang bertungkus lumus menggantikannya. Tidakkah rakan-rakan anda yang lain dan yang bergred DG 32 ke bawah mengambil alih.

Perlu diingat, untuk menjawat gred DG 32 itu bukanlah sesuatu yang boleh dilalui dengan mudah, kebanyakannya terpaksa menanti selama sepuluh tahun dan sebilangan besar mereka adalah “budak suruhan” yang boleh melakukan apa sahaja yang diarahkan dan jarang membantah. Dari segi ilmu dan pengalaman mereka, saya kira sebahagian besarnya melampaui sekelompok golongan pemegang ijazah yang hanya berbangga dengan segulung ijazah dan gred DG 41 itu tetapi culas dan amat berkira dalam memberikan perkhidmatan.

Bukan sekali dua saya terpandang masalah ketidakpuasan hati begini di ruangan akhbar . Semuanya melibatkan perbezaan gred DG 32 dan 41. Kononnya gaji yang diperolehi oleh kakitangan gred DG 32 lebih baik berbanding DG 41. Pada saya tidak perlulah diperbesarkan soal rezeki ini. Masing-masing ada hak dan rezekinya. Belajarlah mengenal erti bersyukur. Rasa redha denga apa yang diperolehi bak kata Pak HAMKA

“Orang yang loba kepada harta kerap kali lupa akan kehormatan dirinya, lupa akan keutamaan, bahkan tidak peduli. Muka mereka menjadi tebal, hati mereka kesat bagai batu.Tidak ada…tidak ada kesenangan sebab hati tidak merasa puas.
Sebelum engkau membuat sebarang pekerjaan, walaupun apa namanya… biarpun meregas rumput dan menjualnya tiga sen serajut atau membuka toko yang bertingkat maka, sebelum masuk kepada pekerjaan itu hendaklah tanamkan lebih dahulu kekayaan dalam hatimu, iaitu merasa syukur atas nikmat Allah apa yang ada. Dan engkau mengerjakan pekerjaan itu bukan kerana wang tetapi kerana engkau manusia, wajib bekerja.
Wang itu adalah barang singgah, entah dahulu ia pergi dari kita, kita ditinggalkan dengan tidak berwang sebagai seorang miskin atau kita dahulu daripadanya, ia dipindahkan ke tangan orang lain, kita kembali ke Akhirat dengan sehelai kain kafan. Tapi kalau kita telah kaya (hati/iman) biar ia pergi sekali sehari(harta), duduk tidak akan bergoncang…..Teguh”

Allahyarham P. Ramlee juga pernah memberikan pandangan sinis melalui watak “Sing Jaga” yang “berbahasa” sewaktu Ramli,Sudin dan Aziz ingin memohon kerja di syarikat perfileman. Kata-katanya lebih kurang begini “ Awak punya road awak jalan, dia punya road, dia jalan, apa salahnya kerja sama-sama, makan sama-sama”

Eroninya tidak perlulah melalak atau menyatakan rasa tidak puas hati melalui akhbar yang saya kira pastinya memalukan golongan pendidik yang rasanya masih disegani dan dihormati oleh segolongan besar masyarakat. Jika rasa besar sangat dengan ilmu dan ijazah anda, berpindahlah ke sektor lain yang saya kira pemegang ijazah seperti anda mampu memegang atau menerima habuan hampir RM 4,000.00 sebulan pada gaji permulaan.

Utamakanlah keberkatan dalam mencari pendapatan. Walaupun pada perkiraan angka yang kita perolehi adalah sedikit namun kita dapat merasa senang lebih daripada orang lain. Contohnya orang yang berpendapatan kecil dengan kereta terpakai tetapi tidak pernah rosak berbanding orang bergaji besar, kereta mewah tetapi kerap rosak atau perlu diselenggara. Saya kira di situlah keberkatan. Kereta buruk tidak pernah rosak, kereta baru sering rosak. Angka atau pendapatan yang diperolehi memamaglah banyak tetapi manafaatnya sedikit.

Seketika dahulu ramai juga yang memperkatakan mengenai SSB(Sistem Saraan Baru) dan APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang). Kenaikan setahun sekali, sebulan beberapa ringgit dan imbuhan RM 1000.00 itu pun hangat diperdebatkan.Seorang rakan pernah berkata “Apalah yang sibuk sangat diperkatakan oleh puak pekerja dalam kerajaan itu, gaji tetap dan boleh merancang masa hadapan tetapi masih sibuk menuntut yang bukan-bukan.Kita yang tidak berkerja dengan kerajaan dan tidak mempunyai pendapatan tetap pun mampu membeli kereta, rumah dan tanah secara tunai”.

Seorang kenalan saya yang bekerja sebagai seorng guru biasa mampu mendapat pendapatan tambahan RM 1,000.00 sebulan hanya dengan menanam pisang dan serai di tanah-tanah rizab kerajan dengan tidak payah bekerja sendiri malah dapat pula menggajikan beberapa pekerja Indonesia.

Saya juga mempunyai sebilangan kawan yang bekerja sendiri dan memeras tenaga empat kerat mereka, tidak kiralah sebagai petani dan peniaga ayam di pasar-pasar sehari yang kalau dikira aset mereka melebihi ratusan ribu ringgit. Hantaran kahwin pun berjumlah 10,000.00 lebih dan dibayar tunai dengan simpanan dan tabungan sendiri. Saya juga mempunyai ramai kawan di kalangan pendidik dan kakitangan lain .Sebahagian besarnya memiliki kereta baru dan rumah sekadar rumah teres di bawah harga 150.000.00 yang dibeli dengan pembiayaan pinjaman kerajaan bahkan kahwin pun menggunakan pembiayaan peribadi Bank Rakyat.

Jika dibandingkan dengan pendapatan rakan-rakan saya yang bukan penjawat dalam perkhidmatan kerajaan dan rata-rata berpendapatan tidak menentu mampu mengumpul aset yang agak besar mengapa pula masih terdapat kakitangan yang mempunyai pendapatan melebihi RM 2000.00 sering melepaskan keluhan dan tidak berpuas hati dengan apa yang mereka nikmati. Secara peribadi saya rasa bukan jumlah pendapatan yang menjadi persoalan besar tetapi keberkatan usaha seseoranglah yang menjamin kebahagian dalam kehidupan. Cerdik pandai Islam pernah menyatakan “ Tidak akan ditimpa kelaparan seseorang yang mempunyai kemahiran tangan”

Begitu juga jika diukur dengan anggka dan jumlah pendapatan, termampukah seorang “tukang kebun” yang gajinya sekitar Rm 1,000.00 yang kerjanya bermula pukul 8.00 dan pulangnya pukul 5.00 petang berkereta, berkahwin dan berkeluarga. Pada saya semuanya kerana barakah, walaupun berpendapatan kecil tetapi masih berkeupayaan hidup dan berkeluarga.Kadangkala melebihi guru berijazah yang “tidak pernah cukup” itu.

Di pihak kerajaan dan pembuat dasar pula akan timbul berbagai perasaan . Membantu pihak ini, pihak lain melatah begitu juga sebaliknya. Entahlah, sebab itulah agaknya Lokman Al Hakim pernah berpesan kepada anaknya “Jika engkau mencari keredhaan manusia, sampai bila pun tidak akan ditemui”. Justeru itu saranan saya, letaklah sesuatu itu pada tempatnya.

Sebagai kongklusi kepada persoalan yang telah saya garabkan, kita perlu sentiasa insaf, tanya diri apakah sumbangan kita terhadap agama,bangsa dan negara?Sentiasalah bersyukur dengan apa yang dikecapi disamping mendoakan keberkatan dengan apa yang kita perolehi. Seorang sahabat pernah mengingatkan, kita perlu bersyukur tatkala sampai ke lampu isyarat yang warnanya bertukar merah. Bersyukur kerana kita adalah orang pertama dihadapan. Sedangkan dibelakang kita masih ramai yang menanti giliran. Jangan membebel dengan lampu yamg bertukar merah itu.

Sesungguhnya kita dilarang berdengki dan iri hati kecuali 2 perkara iaitu dengki kepada orang yang mempunyai kelebihan ilmu dengan impian ingin mempunyai ilmu sepertinya dan dengki kepada orang yang sering menginfakkan hartanya dengan harapan kita juga akan menginfakkan harta kita sepertinya dan ingatlah mafhum hadith “Sesungguhnya dengki dan khianat itu akan memakan segala kebaikan seperti api memakan kayu api”.
Wallahhuaqlam.

KEPADA SELURUH PELAWAT ISLAM PENYELESAIAN

UNTUK ANDA FIKIRKAN

Friday, September 11, 2009

KHUTBAH JUMAAT: RAMADHAN MOMENTUM IMAN DAN TAKWA


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ


Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 132 surah Taha :


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى


Maksudnya : Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa


Kini sudah 3 minggu kita sama-sama menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Matlamat yang paling utama kepada ibadat puasa ialah bagi melahirkan umat bertaqwa kepada Allah sepanjang masa dan tempat. Antara makna taqwa sebagaimana yang diberitakan oleh Abu Hurairah iaitu seumpama seseorang yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha menjauhi, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu. Inilah yang dilakukan oleh orang yang bertaqwa di mana setiap kali mahu melakukan sesuatu maka diperhatikan terlebih dahulu samada ia dibenarkan oleh Allah atau sebaliknya.

Begitu juga riwayat Ibnu Abbas : Taqwa ialah mentaati Allah dan tidak mengengkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupaiNya, bersyukur kepada Allah dan tidak mengkufuri nikmatNya.

5 kelebihan umat bertawa sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah melalui ayat 2 – 5 surah at-Talak :


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا


[1] sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)


وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ


,[2]Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا


[3] Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعْظِمْ لَهُ أَجْرًا


[4] Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya,
[5] dan akan membesarkan pahala balasannya

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,


Marilah kita guna sebaik mungkin baki Ramadhan yang masih tinggal untuk memastikan kuantiti dan kualiti amalan soleh makin bertambah. Jadikanlah Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang paling baik dalam hidup kita. Banyakkan bersedekah, membaca dan tadabbur al-Quran seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan kerana para sahabat nabi tidak akan berpindah daripada ayat yang dibaca sehinggalah mereka berjaya mengamalkannya.

Perbanyakkanlah zikir, istighfar dan solat sunat kerana kita pernah membaca sejarah di mana Khalifah Harun ar-Rasyid, Imam Ahmad, Imam Syafie dan Imam Malik melakukan solat sunat tidak kurang daripada 200 rakaat sehari. Jangan kita membiarkan kehadiran Ramadhan tanpa merebut segala tawaran istimewa daripada Allah. Jadikanlah kedatangan Ramdhan sebagai kilang dalam mengeluarkan bekalan akhirat yang berharga. Biarlah kita hanya menangis ketika orang lain bergembira menyambut kelahiran kita asalkan kita bergembira menemui Allah ketika orang lain bersedih menangisi kematian kita.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Apabila kita membicarakan tentang Takwa dan iman,bersempena dengan kehadiran Ramadhan ini beberapa perkara besar yang berlaku dalam sejarah Islam . Maka sebagai muslim yang cintakan Allah dan Rasulnya perlulah menjadikan apa yang berlaku sebagai Ibrah dan panduan dalam menyusuri kehidupan dan teladan berguna sebagai bekalan penyelesaian permasalahan yang berlaku.

Penurunan AlQuran kepada Baginda Rasulullah adalah mukjizat terbesar yang semestinya difahami tujuan dan matlamat ianya diturunkan.

Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :


وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ


Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman.


Turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan jelas menunjukkan kepada kita bahawa tidak mampu dicapai kecuali dengan mengamalkan seluruh system al-Quran yang bukan sahaja memuatkan ibadat khusus malah merangkumi ekonomi, sosial, politik dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Al-Quran turut mengajar kita bagaimana cara menguruskan urusan dunia dengan berpaksikan agama. Meletakkan Al Quran sebagai perlembagaan dalam segenap urusan akan menjadikan kita merdeka dari belenggu penjajahan akal fikiran dan belenggu kuasa manusia sebagai tuhan.

Ramadhan dan penurunan Al Quran sepatutnya menjadi penyemarak keimanan yang kental supaya keyakinan kita hanya tertancap dan terarah kepada kekuasaan Allah Rabbul Jalil

Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ankabut :


مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنْكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنْكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ


Maksudnya :

Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui.

Satu lagi peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam ketika Umat Islam berpuasa dan menghayati Ramadan Ialah Peperangan Badar Al Kubra.

Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali Imran :

ولقد نصركم الله ببدر وأنتم أذلة فاتقوا الله لعلكم تشكرون

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukuriNya.

Peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang merupakan tapak kemenangan Islam dalam melebarkan penguasaan seterusnya. Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah .Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke Badar bertujuan untuk menyekat qafilah perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah.

Jumlah tentera Islam tidak begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah.

Oleh itu ramai di kalangan sahabat tidak menyertai gerakan ini. Malangnya kemaraan tentera Islam telah diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy di Mekah. Dalam masa yang sama Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam.

Setelah difikirkan selamat Abu Sufian menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : “ Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa Arab mengetahui perhimpunan dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka “.

Rasulullah s.a.w telah mengetahui tentang qafilah Abu Sufian telah berjaya menyelamatkan diri disamping bala tentera kafir Quraisy yang besar iaitu seramai 1300 orang dan lengkap bersenjata telah tiba di Badar.

Tentera Islam tidak boleh mengelak lagi daripada bertempur kerana jika mereka berundur bererti kafir Quraisy akan mendapat kemenangan moral dari segi politik dan tentera serta mendapat kedudukan yang kuat di Semenanjung Arab dan memungkinkan mereka bermaharajalela sesuka hati.

Walau pun dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang tidak mencukupi namun semangat jihad demi mempertahankan Islam terus membara dalam diri tentera Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Rasulullah s.a.w telah membentuk 2 pasukan pengintip dalam meninjau kekuatan musuh. Pada malam itu Allah menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada tentera Islam dan bencana kepada tentera musuh. Kemudian tentera Islam telah membina markaz disebuah tempat yang terletaknya mata air paling dekat dengan musuh di mana di situ mereka telah membina kolam disamping menimbus tempat-tempat air yang lain. Dengan cara ini musuh akan keputusan bekalan air.

Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak kerana keesokan harinya mereka akan bertempur dengan musuh Allah itu. Pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperang di mana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyusun sof tentera dengan susunan yang kemas dan rapi. Selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan memohon pertolongan Allah. Antara doa baginda ialah :

اللهم أنجزني ما وعدتني , اللهم آت ما وعدتني اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد

Yang bermaksud:

Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini “

Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam telah berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad.

Selepas itulah berlakunya pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil tindakan bertahan di mana tentera musuh berjaya dilumpuhkan dengan kehilangan banyak jiwa.

Dalam saat yang genting ini Rasulullah terus bermunajat kepada Allah sehingga kain yang disangkut dibahunya terjatuh di mana Sayyidina Abu Bakar yang melihat perkara ini terasa begitu sedih dan berkata kepada Rasulullah : “ Cukuplah wahai nabi Allah! “. Allah mengabulkan doa baginda dengan menghantar tentera malaikat.

Pada peringkat kedua tentera Islam mula mengambil tindakan menyerang di mana serangan ini turut dibantu oleh tentera daripada kalangan malaikat di mana antara yang dapat disaksikan ialah bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Pertempuran ini juga mengakibatkan manusia yang disifatkan Oleh Rasulullah sebagai Firaun Umat Ini iaitu Abu Jahal turut terkorban.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan yang nyata kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala 14 orang tentera Islam telah gugur syahid. Kemenangan ini terus diberitahu kepada penduduk Madinah melalui 2 orang utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w bagi menafikan berita bohong yang disampaikan oleh puak munafik dan yahudi yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat.

Berita kemenangan ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang menjadi lambang kepada keagungan Islam yang bakal menguasai dunia.

Sidang Jumaat Sekelian

Marilah kita bersama menjadikan peristiwa Badar ini sebagai momentum untuk memperteguhkan sof perjuangan menegakkan kalimah Allah. Kekuatan Iman akan mengatasi kekuatan fizikal dan matabenda kerana Allah lah Tuhan yang berkuasa memberi kemenangan kepada sesiapa yang dia kehendaki. Ingatlah ramai tidak semestinya menang. Hayatilah firmah Allah

Bermaksud:“ Berapa banyak kumpulan yang sedikit dapat mengalahkan kumpulan yang ramai dengan izin Allah swt.”

Sidang Jumaat sekelian

Disamping peristiwa penurunan Al Quran Dan Badar Al Kubra, banyak lagi peristiwa lain yang boleh kita hayati berlaku dalam bulan Ramadhan ini seperti berlakunya pembukaan Kota Mekah yang gemilang oleh Rasulullah s.a.w pada tahun 8 Hijrah, pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Aqsa daripada cengkaman Kerajaan Rom oleh pahlawan Islam Salehudin al-Ayyubi. Apa yang penting penghayatan dan kesungguhan untuk berbakti kepada Islam mesti tertanam dalam jiwa dan sanubari kita.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Akan dikhutbahkan di Masjid Kariah Kg Jawa,Bt 18 Hulu Langat