Pages

Wednesday, September 16, 2009

BUDAYA KETAM DALAM MASYARAKAT KITA

OLEH: ABU SHAUKAH FILMANZIL

Dalam masyarakat Melayu terutama di kampung, apabila disebut ketam, akan terbayanglah beberapa gambaran.Pertama ketam yang digunakan untuk memotong tangkai padi secara tradisional. Alat ini diperbuat daripada papan nipis, pemegangnya daripada buluh bulat panjangnya lebih kurang empat inci dan terdapat bilah pemotong (blade). Nama lain bagi alat ini ialah “renggam”. Musim menuai juga disebut musim mengetam mungkin diambil sempena dengan nama alat ketam ini. Kedua, ketam yang digunakan oleh tukang-tukang rumah untuk melicinkan permukaan papan, di samping terdapat juga ketam yang digunakan untuk melarik bahagian tepi kayu serta lain-lain ketam lagi yang semuanya berkaitan kayu dan tukangnya.

Ketam yang seterusnya adalah sejenis alat sodok digunakan untuk menyodok atau memotong rambut. Pada masa dahulu ketam ini digunakan secara manual dan menyebabkan kesakitan ketika bergunting jika tersepit. Ketam juga dikenali oleh semua lapisan masyarakat iaitu sejenis haiwan laut boleh dimakan yang dapat dijadikan hidangan lazat walaupun hanya digoreng.Ketam jenis ini pula terbahagi kepada beberapa jenis antaranya ketam nipah, ketam batu, anak ketam(cika) dan lain-lain. Ketam juga merujuk kepada perlakuan ibubapa yang mencubit anak-anak yang terlalu buas atau nakal semasa kecil.

Kebiasaan ketam ini (ketam nipah @ ketam hijau ) jika hendak dipasarkan secara longok dan terbuka mestilah diikat kakinya terlebih dahulu.Jika tidak, ketam-ketam tersebut akan merayap entah kemana. Sekiranya menggunakan bekas, contohnya menggunakan bakul atau raga, kaki dan penyepit ketam-ketam tersebut tidak perlu diikat.Memadai dilepas bebas begitu sahaja.Tidak perlu risau, ketam-ketam ini akan terlepas atau lari keluar daripada bakul atau bekas itu.Sebabnya? Tabiat semula jadi atau naluri tidaklah dapat dipastikan, tetapi itulah tabiat atau perlakuan ketam jenis ini, jika ada seekor yang lain ingin merangkak keluar dari bekas, pastinya yang lain akan menariknya ke bawah semula. Seolah-olah sedia bersama berada dalam kepungan atau lingkungannya dan tidak membenarkan yang lain keluar bebas. Tidak mungkin pula ketam-ketam ini iri hati atau dengki memandangkan haiwan tidak boleh berfikir.

Saya amat tersentak ketika membaca ruangan pendapat dalam akhbar Berita Harian semalam (11/09/09). Isu pemberian bantuan kewangan oleh kerajaan sebanyak RM 500, di suarakan oleh dua orang pembaca ruangan itu. Dari amatan dan pengalaman saya, mereka yang menulis itu seperti guru lepasan ijazah . Jika sebut gred DG ni biasanya berkaitan perkhidmatan pendidikan (saya tidak berapa pasti samaada perkhidmatan lain mengguna gred DG juga). Daripada 30 orang pembaca 2 orang memperotes tentang bantuan kewangan tersebut, ini bermakna hampir 7 % tidak bersetuju kakitangan professional tidak diberi bantuan kewangan sebanyak rm 500 itu. Jika 7% mewakili semua kakitangan professional dalam perkhidmatan pelajaran, tentu bilangannya agak ramai.Apatah lagi jika 7 % itu mewakili semua kakitangan professional dalam perkhidmatan awam.

Memandangkan protes dalam ruangan tersebut datangnya dari golongan berijazah (DG 41) dalam profesion pelajaran atau pendidikan maka saya ulas dari skop atau bidang itu sahaja. Bolehlah diumpamakan golongan yang memperotes tersebut seperti ketam nipah yang saya sebutkan tadi. Dengki atau iri hati, atau sekadar memperjuangkan hak? Setahu saya gaji golongan ini mencecah RM 3000.00 yang saya rasa lebih daripada cukup jika dibelanjakan secara berhemat. Itu tidak termasuk elaun dan tuntutan yang mereka lakukan.

Fikirkanlah, selepas lulus SPM terus ke Universiti Perguruan. Kemudian terus menjawat jawatan guru berijazah gred DG 41. Kerja tidak sampai 5 bulan dah boleh beli kereta dengan gaji pertama. Tidakkah itu lebih dari cukup. Kepada yang menyambung pelajaran dalam perkhidmatan pula melalui “Open Universiti”, kenang-kenangkanlah,semasa anda belajar itu, banyak kelas dan rutin yang anda tinggalkan kerana membuat rujukan,kelas hujung minggu dan menduduki peperiksaan atau cuti rehat, siapakah yang bertungkus lumus menggantikannya. Tidakkah rakan-rakan anda yang lain dan yang bergred DG 32 ke bawah mengambil alih.

Perlu diingat, untuk menjawat gred DG 32 itu bukanlah sesuatu yang boleh dilalui dengan mudah, kebanyakannya terpaksa menanti selama sepuluh tahun dan sebilangan besar mereka adalah “budak suruhan” yang boleh melakukan apa sahaja yang diarahkan dan jarang membantah. Dari segi ilmu dan pengalaman mereka, saya kira sebahagian besarnya melampaui sekelompok golongan pemegang ijazah yang hanya berbangga dengan segulung ijazah dan gred DG 41 itu tetapi culas dan amat berkira dalam memberikan perkhidmatan.

Bukan sekali dua saya terpandang masalah ketidakpuasan hati begini di ruangan akhbar . Semuanya melibatkan perbezaan gred DG 32 dan 41. Kononnya gaji yang diperolehi oleh kakitangan gred DG 32 lebih baik berbanding DG 41. Pada saya tidak perlulah diperbesarkan soal rezeki ini. Masing-masing ada hak dan rezekinya. Belajarlah mengenal erti bersyukur. Rasa redha denga apa yang diperolehi bak kata Pak HAMKA

“Orang yang loba kepada harta kerap kali lupa akan kehormatan dirinya, lupa akan keutamaan, bahkan tidak peduli. Muka mereka menjadi tebal, hati mereka kesat bagai batu.Tidak ada…tidak ada kesenangan sebab hati tidak merasa puas.
Sebelum engkau membuat sebarang pekerjaan, walaupun apa namanya… biarpun meregas rumput dan menjualnya tiga sen serajut atau membuka toko yang bertingkat maka, sebelum masuk kepada pekerjaan itu hendaklah tanamkan lebih dahulu kekayaan dalam hatimu, iaitu merasa syukur atas nikmat Allah apa yang ada. Dan engkau mengerjakan pekerjaan itu bukan kerana wang tetapi kerana engkau manusia, wajib bekerja.
Wang itu adalah barang singgah, entah dahulu ia pergi dari kita, kita ditinggalkan dengan tidak berwang sebagai seorang miskin atau kita dahulu daripadanya, ia dipindahkan ke tangan orang lain, kita kembali ke Akhirat dengan sehelai kain kafan. Tapi kalau kita telah kaya (hati/iman) biar ia pergi sekali sehari(harta), duduk tidak akan bergoncang…..Teguh”

Allahyarham P. Ramlee juga pernah memberikan pandangan sinis melalui watak “Sing Jaga” yang “berbahasa” sewaktu Ramli,Sudin dan Aziz ingin memohon kerja di syarikat perfileman. Kata-katanya lebih kurang begini “ Awak punya road awak jalan, dia punya road, dia jalan, apa salahnya kerja sama-sama, makan sama-sama”

Eroninya tidak perlulah melalak atau menyatakan rasa tidak puas hati melalui akhbar yang saya kira pastinya memalukan golongan pendidik yang rasanya masih disegani dan dihormati oleh segolongan besar masyarakat. Jika rasa besar sangat dengan ilmu dan ijazah anda, berpindahlah ke sektor lain yang saya kira pemegang ijazah seperti anda mampu memegang atau menerima habuan hampir RM 4,000.00 sebulan pada gaji permulaan.

Utamakanlah keberkatan dalam mencari pendapatan. Walaupun pada perkiraan angka yang kita perolehi adalah sedikit namun kita dapat merasa senang lebih daripada orang lain. Contohnya orang yang berpendapatan kecil dengan kereta terpakai tetapi tidak pernah rosak berbanding orang bergaji besar, kereta mewah tetapi kerap rosak atau perlu diselenggara. Saya kira di situlah keberkatan. Kereta buruk tidak pernah rosak, kereta baru sering rosak. Angka atau pendapatan yang diperolehi memamaglah banyak tetapi manafaatnya sedikit.

Seketika dahulu ramai juga yang memperkatakan mengenai SSB(Sistem Saraan Baru) dan APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang). Kenaikan setahun sekali, sebulan beberapa ringgit dan imbuhan RM 1000.00 itu pun hangat diperdebatkan.Seorang rakan pernah berkata “Apalah yang sibuk sangat diperkatakan oleh puak pekerja dalam kerajaan itu, gaji tetap dan boleh merancang masa hadapan tetapi masih sibuk menuntut yang bukan-bukan.Kita yang tidak berkerja dengan kerajaan dan tidak mempunyai pendapatan tetap pun mampu membeli kereta, rumah dan tanah secara tunai”.

Seorang kenalan saya yang bekerja sebagai seorng guru biasa mampu mendapat pendapatan tambahan RM 1,000.00 sebulan hanya dengan menanam pisang dan serai di tanah-tanah rizab kerajan dengan tidak payah bekerja sendiri malah dapat pula menggajikan beberapa pekerja Indonesia.

Saya juga mempunyai sebilangan kawan yang bekerja sendiri dan memeras tenaga empat kerat mereka, tidak kiralah sebagai petani dan peniaga ayam di pasar-pasar sehari yang kalau dikira aset mereka melebihi ratusan ribu ringgit. Hantaran kahwin pun berjumlah 10,000.00 lebih dan dibayar tunai dengan simpanan dan tabungan sendiri. Saya juga mempunyai ramai kawan di kalangan pendidik dan kakitangan lain .Sebahagian besarnya memiliki kereta baru dan rumah sekadar rumah teres di bawah harga 150.000.00 yang dibeli dengan pembiayaan pinjaman kerajaan bahkan kahwin pun menggunakan pembiayaan peribadi Bank Rakyat.

Jika dibandingkan dengan pendapatan rakan-rakan saya yang bukan penjawat dalam perkhidmatan kerajaan dan rata-rata berpendapatan tidak menentu mampu mengumpul aset yang agak besar mengapa pula masih terdapat kakitangan yang mempunyai pendapatan melebihi RM 2000.00 sering melepaskan keluhan dan tidak berpuas hati dengan apa yang mereka nikmati. Secara peribadi saya rasa bukan jumlah pendapatan yang menjadi persoalan besar tetapi keberkatan usaha seseoranglah yang menjamin kebahagian dalam kehidupan. Cerdik pandai Islam pernah menyatakan “ Tidak akan ditimpa kelaparan seseorang yang mempunyai kemahiran tangan”

Begitu juga jika diukur dengan anggka dan jumlah pendapatan, termampukah seorang “tukang kebun” yang gajinya sekitar Rm 1,000.00 yang kerjanya bermula pukul 8.00 dan pulangnya pukul 5.00 petang berkereta, berkahwin dan berkeluarga. Pada saya semuanya kerana barakah, walaupun berpendapatan kecil tetapi masih berkeupayaan hidup dan berkeluarga.Kadangkala melebihi guru berijazah yang “tidak pernah cukup” itu.

Di pihak kerajaan dan pembuat dasar pula akan timbul berbagai perasaan . Membantu pihak ini, pihak lain melatah begitu juga sebaliknya. Entahlah, sebab itulah agaknya Lokman Al Hakim pernah berpesan kepada anaknya “Jika engkau mencari keredhaan manusia, sampai bila pun tidak akan ditemui”. Justeru itu saranan saya, letaklah sesuatu itu pada tempatnya.

Sebagai kongklusi kepada persoalan yang telah saya garabkan, kita perlu sentiasa insaf, tanya diri apakah sumbangan kita terhadap agama,bangsa dan negara?Sentiasalah bersyukur dengan apa yang dikecapi disamping mendoakan keberkatan dengan apa yang kita perolehi. Seorang sahabat pernah mengingatkan, kita perlu bersyukur tatkala sampai ke lampu isyarat yang warnanya bertukar merah. Bersyukur kerana kita adalah orang pertama dihadapan. Sedangkan dibelakang kita masih ramai yang menanti giliran. Jangan membebel dengan lampu yamg bertukar merah itu.

Sesungguhnya kita dilarang berdengki dan iri hati kecuali 2 perkara iaitu dengki kepada orang yang mempunyai kelebihan ilmu dengan impian ingin mempunyai ilmu sepertinya dan dengki kepada orang yang sering menginfakkan hartanya dengan harapan kita juga akan menginfakkan harta kita sepertinya dan ingatlah mafhum hadith “Sesungguhnya dengki dan khianat itu akan memakan segala kebaikan seperti api memakan kayu api”.
Wallahhuaqlam.

No comments:

Post a Comment