Pages

Wednesday, September 2, 2009

YANG TERSURAT DAN TERSIRAT MENJELANG KEMERDEKAAN NEGARA KE 52

Oleh: Abu Shaukah Filmanzil


Saya sempat meninjau kelokasi perusahaan arowana yang sangat popular di Bukit Merah, Perak ketika ini. Sekali imbas membangun dengan pesat lokasi tersebut dengan industri akua hiasan bersumberkan ikon arowana Bukit Merah yang kononnya terkenal serata dunia.


Lokasi tersebut sebelum ini adalah kawasan sawah padi yang dipunyai dan diusahakan oleh petani-petani Melayu .Saya kira tanah-tanah pertanian tersebut adalah tanah hak milik nenek moyang mereka yang diturunkan secara perwarisan atau pusaka kepada anak cucu.Tanah-tanah tersebut juga mungkin telah digazetkan sebagai tanah rezab Melayu. Agakkan saya sahajalah.


Saujana mata memandang, terdapat kota-kota konkrit dan bangunan utama yang dibina di atas tanah –tanah yang dahulunya distatuskan sebagai tanah pertanian itu. Di dalam kota-kota konkrit itu terdapat pula berpuluh kolam konkrit yang dibina untuk menempatkan induk dan anak-anak kelisa atau arowana yang dibiakkan di situ.


Pada perkiraan saya bukan sehektar dua tanah-tanah pertanian itu dibangunkan untuk industri tersebut, tetapi mungkin mencecah puluhan atau ratusan hektar. Saya amat berbangga kerana orang Melayu berani menceburi industri tersebut dengan menebusguna dan membangunkan tanah mereka sendiri dengan industri yang berdaya saing dan mencabar.

Bayangkanlah bermula daripada pekan Bukit Merah hinggalah ke Padang Lalang. Berapa banyak tanah orang Melayu yang terdapat sepanjang laluan itu. Sekarang ini boleh dikatakan kesemuanya megah terdiri perusahaan-perusahaan arowana. Terbuktilah kerajaan Barisan Nasional, terutama BN negeri Perak yang sentiasa melaungkan, mahu menjaga kepentingan Melayu sejak 52 tahun lalu. Tidak sia-sia rakyat negeri Perak memilih UMNO dan BN menaungi mereka dulu kini dan selamanya.


Di sebalik megah berdiri kota-kota dan bangunan konkrit yang sudah dibangun dan sedang dalam proses pembangunan, perusahaan arowana yang menelan belanja ratusan ribu itu hati saya dihimpit berbagai persoalan. Bagaimanakah orang Melayu yang keadaan hidup mereka dikatogorikan senang tetapi tidaklah kaya dan berani sangat sehingga sanggup menceburi bidang yang mencabar lagi berisiko itu. Hebat sungguh kerajaan kita mendidik mereka sepanjang 52 tahun merdeka ini. Ya UMNO, BN dan Melayu memang hebat!

Sepanjang perjalanan saya daripada Bukit Merah ke Padang Lalang saya berbual dengan rakan-rakan adik yang sempat saya temui sedang bepesta memancing di atas Titi Bina ,Padang Lalang. Baung sedang menghempas telur mungkin.Maklumlah hujan turun dua hari berturut-turut, apalagi baung-baung itupun mudiklah. Dari makluman rakan-rakan adik yang sedang memancing itu, saya dengar sebahagian besar orang-orang Melayu di situ telah menjual tanah-tanah mereka kepada bukan orang bukan Bumiputrra. Nilaian tanah tersebut hanyalah sekitar seratus ribu bagi setiap hektar. Mungkin nilai seratus ribu itu amat tinggi bagi orang Melayu di situ yang rata-rata hanya mampu membeli motosikal dan kereta cabuk. Kini boleh berbangga dengan kereta “koyak plastik”. Yang bijak mencongak pula, seratus ribu dibahagikan pula dengan lapan adik beradik, berapa pula yang dapat? Segelintir itulah yang hanya memajak sahaja tanah mereka, tidak dijual.Itupun masih disangsikan politik pengusaha dan kejayaan mereka.


Pada hemat saya beberapa perkara perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa , kalau orang lain tidak berminat mengetahuinya, memadailah saya seorang. Pertamanya kenapa begitu mudah menukar status tanah pertanian yang begitu banyak jumlahnya kepada status perusahaan? Kedua, mengapa tanah-tanah yang digazetkan sebagai Tanah Rezab Melayu itu dapat dijual kepada bukan Bumiputera? Ketiganya, pihak manakah yang mamantau projek-projek tersebut dan adakah cadangan itu daripada jabatan perikanan atau jabatan pertanian ataupun Kerajaan Negeri Perak sendiri. Setahu saya, apa-apa urusan tanah yang melibatkan hak Rezab Melayu perlu mendapat kelulusan Menteri Besar terlebih dahulu.


Permohonan menukar status tetap tanah tol kepda geran hak milik pun memakan masa lama, inikan pula menukar status tanah dan syarat pemilikan. Sungguh kasihan nasib orang kita. Sepuluh atau dua puluh tahun akan datang, saya kira, akan merempatlah Melayu di bumi sendiri seperti orang-orang Arab Palestine. Keadaan ini telah dirasai oleh orang Melayu Singapura ,Pulau Pinang dan Melaka. Akan disusuli pula Melayu Johor, Pangkor dan Langkawi. Seterusnya seluruh Melayu akan layu dan terus layu hanya kerana pemimpin dan penguasa melayu yang tidak mempunyai semangat Melayu. Ingatlah, lebih kurang 350 tahun lalu kita dijajah, kita kehilangan Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Kini setelah 52 tahun Merdeka, kita telah kehilangan sebahagian lagi Tanah Melayu kerana orang Melayu Sendiri.


SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KE-52.

No comments:

Post a Comment