Pages

Tuesday, September 8, 2009

BEBERAPA PERKARA YANG SEPATUTNYA BN MENANG DALAM SEMUA PILIHAN RAYA

OLEH: ABU SHAUKAH FILMANZIL

Umumnya semua pihak harus akur dan mengetahui, Barisan Nasional (BN) memang sepatutnya menang dalam setiap kali pilihan raya tidak kira samaada pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil(PRK).Kenyataan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa perkara yang diamalkan sejak dulu dan beberapa penambahbaikan hinggalah ke saat ini.

Pertama: Mengadakan persempadanan semula setiap 2 penggal dan kebanyakan kawasan yang terlibat adalah kawasan-kawasan yang mempunyai potensi pembangkang akan menang dan yang diduduki penduduk bukan melayu (Bandar) dengan tujuan pengundi memberi sokongan kepada parti pemerintah. Disamping itu juga, memasukkan juga sebilangan pengundi Cina dan India kedalam kawasan Melayu dengan harapan mereka akan menyokong BN.

Kedua: Menggunakan akta ISA bagi menahan sebilangan pemimpin politik yang dianggap boleh menggugat kepemimpinan mereka. Apabila merasakan tindakan mereka itu memberi simpati kepada lawan mereka akan membebaskan tahanan tersebut dengan harapan orang ramai akan mengatakan kerajaan adil dan bertimbangrasa.

Ketiga: Membatalkan permit dan mengadakan serbuan dan merampas permit akbar atau siaran parti pembangkang dengan alasan penyalahgunaan akta cetak, termasuk juga arahan melabelkan “untuk ahli sahaja” bagi akhbar parti pembangkang.

Keempat: Melarang kakitangan kerajaan berpolitik dengan mengadakan berbagai akta, sebaliknya dalam masa yang sama memberi kebenaran kepada pegawai kerajaan aktif dan surat pelepasan dalam program anjuran UMNO. Terkini mengeluarkan pekeliling supaya kakitangan menyatakan pendirian samaada menyokong parti mana sekiranya mereka aktif berpolitik.

Kelima: Mengeluarkan pekeliling melarang orang politik merasmikan program-program sekolah setelah parti pembangkang memenangi beberapa negeri. Sebelum ini merekalah yang selalu hadir merasmikan kebanyakan program melibatkan sekolah.

Keenam: Menggunakan jentera kerajaan dalam menguruskan parti. Contoh yang paling mudah, menggunakan dewan orang ramai dan balai raya untuk mesyuarat UMNO dan bilik gerakan pilihan raya.

Ketujuh: Meuar-uarkan peruntukan dan sumbangan kerajaan seolah-olah datangnya dari parti mereka. Contohnya pemberian rumah Mesra Rakyat hanya diberi kepada orang miskin yang mengisi borang keahlian UMNO.

Kelapan: Menggalakkan program hiburan supaya golongan muda tertarik dengan mereka, kononnya mengisi masa lapang golongan muda dengan aktiviti sihat dan berfaedah.

Kesembilan: Melabel pembangkang sebagai pengkhianat bangsa dan ekstrimis agama yang akan menggadai kepentingan melayu , mengislamkan orang bukan islam dan meruntuh rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sekiranya berkuasa.

Kesepuluh: Melabelkan projek pembangunan dan pemberian subsidi baja petani dengan lambang dacing seolah-olah segala kemajuan yang dibawa itu datangnya dari sumbangan kerajaan BN secara mutlak tanpa “teringat” bahawa rakyat juga menyumbang dan menjana pendapatan negara melalui pelbagai lesen, cukai dan royalti.

Kesebelas: Menggunakan khidmat pasukan polis dalam membantu mengekang pengaruh pembangkang walaupun disedari tindakan mereka menyalahi undang-undang dan kebebasan hak asasi manusia. Terbaru mahkamah membebaskan beberapa penceramah pembangkang yang mengadakan program di premis mereka di negeri Pahang.

Kedua belas: Menggunakan SPRM untuk melaksanakan misi siasatan bagi mengganggu gugat pentadbiran negeri-negeri yang ditadbir pembangkang. Sedangkan bagi salah seorang ketua menteri dipihak mereka dibiarkan menjalankan tugas walaupun terbukti bersalah menyogok penyokong dalam pemilihan kepimpinan parti mereka. Yang menjadi tanda tanya, tidak ada satu kes pun dapat diselesaikan dengan sempurna. Kerap kali kes ditangguhkan. Apabila menjelang pilihan raya mengumumkan kes dibuka semula seperti yang terjadi dengan kes bekas timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketiga belas: Menggunakan saluran dan Institusi Agama bagi memberi fatwa terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang dengan alasan sesat dan menyeleweng.

Keempat belas: Menyemak semula kurikulum, menyekat peruntukan dan mengambil alih sekolah-sekolah Agama Rakyat bagi mengekang pengaruh politik pembangkang.

Kelima belas: Memberi kuasa kepada SPR menentukan kekosongan kerusi DUN atau Parlimen tidak seperti sebelum ini SPR hanya bertanggungjawab melaksanakan pilihanraya apabila dimaklumkan oleh YDP Dewan sekiranya berlaku kekosongan sesuatu kerusi seperti yang pernah berlaku dalam PRK Limbungan dan Sungai Pinang, Kelantan, satu ketika dahulu.

Keenam belas: Mengarahkan SPR mengadakan undang-undang yang boleh memberi keuntungan kepada pihak mereka. Contoh terbaru, semakan daftar pengundi pada hari mengundi dilakukan oleh pihak SPR sendiri dan penghapuskan sistem “Pondok panas”. Mungkin menyedari keupayaan pihak pembangkang melaksanakan tugas dengan penggunaan peralatan IT yang canggih dan tenaga kerja yang serba mahir dipondok panas mereka yang dapat membuka mata pengundi untuk memilih pembangkang, lantaran itulah pondok-pondok panas itu dimansuhkan. Perhatikanlah pada hari mengundi “ handbill” mereka pun masih bertulis tangan!

Ketujuh belas: Menguasai media arus perdana agar melaporkan berita yang memihak kepada mereka.

Kelapan belas: Mengadakan kempen secara terbuka melaui televisyen dengan slogan “Anda berada di landasan yang betul, UNDILAH BARISAN NASIONAL”

Kesembilan belas: Menubuhkan NGO yang disertai oleh orang-orang yang disangsi kejujuran dan keikhlasan mereka bagi memperotes pembangkang dan menunjukkan saranan dan cadangan Barisan Nasional masih popular dan disokong majoriti penduduk Malaysia.

Kedua puluh: Mengada-adakan cerita konon parti pembangkang PAS mahu bekerjasama dengan UMNO bagi memecahbelahkan kesepakatan Pakatan Rakyat.

Kedua puluh satu: Sentiasa berjanji dengan program pembangunan dan mahu menjadikan sesuatu kawasan sebagai “Kawasan Anak Emas” sekiranya memenangi PRK. Sedangkan yang dapat diperhatikan kawasan yang dimenangi merekapun masih sama, malah jauh lebih ketinggalan daripada kawasan yang dimenangi oleh pembangkang.

Kedua puluh dua: Melobi dan menyatakan merekalah pendokong institusi raja dan rakyat yang patuh serta taat dan tidak pernah menderhaka dulu, kini dan selamanya.

Kedua puluh tiga: Kuasa-kuasa ghaib yang “mengontrol” Institusi kehakiman agar memberi keputusan yang memihak kepada BN.Contoh dalam penggulungan keputusan Nizar lawan Zambri dalam mahkamah rayuan, nota penggulungan yang lewat dikeluarkan. Peliknya hujah peggulungan dan keputusan ditangguhkan kepada hari lain dengan masa yang singkat dan tanpa hujah penggulungan yang sempurna.

Kedua puluh empat: Mengumumkan bonus untuk kakitangan awam, walhal bonus itu memang gaji yang sepatutmya diperolehi oleh pekerja sektor lain yang pekerjanya dibayar gaji 2 minggu sekali. Kalau diambil kira pembayaran dua minggu sekali akan jadilah setahun 13 kali gaji pekerja sektor lain itu dibayar. Selain itu, mencanangkan peneroka Felda dan Fecra akan mendapat “durian runtuh” menjelang hari raya tanpa menjelaskan duit itu adalah dari potongan dan simpanan peneroka sendiri melalui caruman hari raya. 12 bulan menyimpan dengan tidak dibayar dividen.

Kedua puluh lima: Mencanangkan pembangunan yang dilaksanakan adalah untuk kepentingan Melayu sedangkan realitinya, banyak tanah orang Melayu termasuk tanah rezab terlepas ke tangan bangsa lain.

Kedua puluh enam: Mengumumkan pengecualian dan pengurangan yuran persekolahan dan peperiksaan tetapi dalam masa yang sama bayaran yuran melebihi apa yang dibayar sebelum itu.

Kedua puluh tujuh: Mewujudkan pelapis Putra, Putri dan Briged untuk menarik sokongan golongan muda. Dalam masa yang sama golongan yang mempunyai idea yang cerdik dan bijak memimpin dicantas seperti Ketua Pemuda UMNO yang memenangi pemilihan tidak diberi jawatan dalam kabinet, pergeseran terbaru dalam MCA dan MIC. Semuanya seperti cerita Hang Nadim yang dibunuh kerana idenya menggunakan batang pisang untuk menangkis serangan todak.

Kedua puluh lapan: Mengadakan hujah kononnya pembangkang PAS sudah tersasar dari perjuangan asal dan matlamat asal dengan memberikan hujah mereka sudah mengadai matlamat negara Islam dan bersekongkol dengan DAP parti yang sangat memusuhi PAS suatu ketika dahulu. Simboliknya mereka mendakyahkan DAP sama seperti komunis.

Kedua puluh sembilan: Melaksanakan projek mega dan tender diberikan kepada orang-orang yang ada kaitan dengan mereka seterusnya diAli Babakan. Sudahnya terdapat 7 kemudahan yang melibatkan kepentingan awam di sebuah negeri pengeluar minyak yang hingga kini tergantung royaltinya terpaksa dibaik pulih.

Ketiga puluh: Memutar belitkan fakta kononnya Kemerdekaan Negara diperolehi hasil kebijaksanaan pemimpin mereka dengan tidak menumpahkan darah. Pejuang agama dan Nasionalis tulin berhaluan kiri telah dipadamkan nama mereka dari lipatan sejarah. Fakta terkini daripada Hishamuddin Rais menyatakan Lagu Negaraku pun rupanya di ciplak dari lagu asing. Sejarah tidak pernah berubah, hanya orang yang berkuasa sahaja cuba mengubahnya mengikut citarasa mereka sendiri tetapi lambat laun akan diketahui jua.

Dan Ketiga puluh satu: Menggula-gulakan kanak-kanak dan orang-orang tua dengan gula-gula dan kek “UNDILAH BARISAN NASIONAL” agar kanak-kanak dan orang-orang tua akan mengundi mereka satu hari nanti!



# Tidak perlu kebenaran penulis untuk siaran.

No comments:

Post a Comment