Oleh: Abu Shaukah Filmanzil
27 Oktober 2009, Negara dikejutkan dengan tragedi runtuhan jambatan gantung di Pusat Ko Kurikulum SK Kuala Dipang yang mengorbankan Dina Deve sementara dua pelajar lagi masih hilang.Menurut maklumat, jambatan gantung yang merentasi sungai Kampar tersebut baru dua minggu disiapkan dan disumbangkan oleh sebuah syarikat swasta.
Masyarakat Malaysia umumnya tidak terlalu mengambil kisah dengan tragedi runtuhan mana-mana bangunan ataupun binaan yang terdapat di negara ini.Ini disebabkan kita sudah mangli dengan berita-berita seperti jejambat MRR2 yang retak,bumbung stadium runtuh, bumbung makmal komputer sekolah runtuh, bumbung dewan Parlimen bocor, bumbung hospital bocor dan lain-lain lagi yang semuanya runtuh selepas pembinaan atau ubah suai siap dilakukan.
Memang mudah menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak yang terlibat disebalik kejadian tersebut namun apapun kesalahan dan kesilapan, perkara yang mengundang segala musibah itu kerapkali dipandang sepi. Siasatan hanya sekadar siasatan.Langkah susulan hanya diambil di atas kertas dan di dada-dada akhbar.
Saya tidak berminat untuk tumpang sekaki menuding jari kepada mana-mana pihak yang membina atau menyelengggara jambatan yang runtuh itu. Saya hanya ingin menyatakan sedikit hairan dengan tujuan dan matlamat program,tempat serta situasi perkhemahan itu diadakan. Murid-murid yang terlibat dalam perkhemahan tersebut terdiri daripada murid-murid sekolah rendah yang bersekolah di negeri Perak. Setahu saya pada ketika ini murid-murid seluruh negeri Perak sedang menduduki peperiksaan Akhir Tahun yang diadakan secara selaras oleh pihak JPN negeri. Tidak terlibatkah murid-murid ini dengan peperiksan tersebut?. Seperti yang dilaporkan oleh pihak media kem tersebut dianjurkan oleh pihak PPD Kinta, apakah PPD kinta tidak menyedari adanya peperiksaan akhir tahun sedang berlangsung.
Pihak pengurusan Kem juga perlu menyedari, sungai Kampar memang terkenal dengan arusnya yang agak deras, lebih-lebih lagi ketika hujan lebat di hulu sungai. Pada saya, kalaupun jambatan itu tidak runtuh, perlu dihalang pelajar-pelajar menggunakan jambatan tersebut bimbang kalau-kalau ada murid yang terjatuh dan dihanyutkan air tatkala air naik.Apatah lagi murid-murid tersebut terdiri daripada mereka yang mentah benar, sudah pastinya terlompat-lompat dan terkinja-kinja apabila berhadapan sesuatu yang asing dan baharu.
Saya juga dimaklumkan hanya beberapa kerat petugas yang mengawasi peserta kem yang berjumlah 200 lebih ketika kejadian. Mana mungkin bilangan petugas yang kecil dapat mengurus bilangan peserta yang agak ramai.Petugas-petugasnya pula diambil di kalangan guru-guru yang lebih arif di sekolah masing-masing dan pada saya mereka ini tidak memahami selok belok kem tersebut. Langkah lebih proaktif pihak Jabatan atau Kementerian perlu mengadakan jurulatih tetap yang mendiami kem-kem tersebut dan bukannya diambil di kalangan guru-guru yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah.
Apapun yang berlaku, yang berlaku sudahpun berlaku, jika sebelum ini kursus-kursus yang dianjurkan oleh PLKN meragut korban, kemudian wabak H1N1 dan terkini 1Malaysia juga mencatatkan korban, bukan satu, mungkin tiga .
Kepada waris pelajar yang terlibat ucapan takziah saya hulurkan dan harapan saya agar mereka dapat bersabar dengan tragedi yang menimpa. Kepada pihak-pihak berkuasa yang terlibat dalam melaksana misi negara tidak kira apapun nama 1Malaysia atau Khidmat Negara, teruskan mencari punca demi punca dan teruskan siasatan anda dan nantikanlah runtuhan-runtuhan yang lain pula. Telah banyak dan acapkali kita diajar oleh individu mahupun organisasi samada NGO atau Pertubuhan Politik, namun kita masih setara seperti dahulu tidak berubah dan tidak mahu mengambil iktibar dan kini tibalah masanya kita diajar oleh Tuhan yang Maha Kuasa.Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar.Wallahuaqlam!
No comments:
Post a Comment