Pages

Thursday, December 17, 2009

SALAM HIJRAH


1430 yang kita lalui terasa begitu pantas berlalu. 2009 yang kita hiasi landskapnya semakin beransur meninggalkan kita. Sedar ataupun tidak usia semakin bertambah. Mereka yang memounyai anak di sekolah yang sekolah rendah akan naik darjah, di sekolah menengah semakin menjengah remaja dan yang di universiti mula mencongak kerja apakah yang akan disandang. Bagi yang bujang mungkin sudah berteman yang sudah berteman mungkin bertambah bilangan ahli keluarganya. Alhamdulillah.

Perkara yang perlu diimani dan disedari oleh seluruh khalayak mukmin ialah apabila tahun baru menjelang tandanya umur kita semakin pendek. Tiada siapa mampu merubah takdir dan kurniaan umur yang dipinjamkan akan dipulangkan kehadrat yang maha kuasa. Kehadiran hijrah yang seringkali kita sambut perlu menyemarakkan rasa keinsafan yang mendalam bukan sekadar sambutan yang menghabiskan wang tabung masjid mengundang penceramah. Hijrah perlu dimaknakan kehadirannya seperti makna yang menjelma dalam diri sahabat Ansar dan Muhajirin. Hijrah yang membuka peluang mereka memaknakan nilai seorang hamba disisi tuhannya.

Renungkan firmah Allah swt yang bermaksud :" Dan mereka yang beriman dan berhijrah ,berjihad ke jalan Allah dan mereka yang memberi kediaman dan membantu ( Muhajirin ) mereka itulah mukmin yang sebenar benarnya, Bagi mereka keampunan dan rezki yang mulia" Al Anfal 74.

Hijrah bukan lari,bukan takut,bukan risau di lanyak musuh tetapi hijrah adalah memenuhi kehendak dan arahan Allah yang mahukan hambanya sentiasa berubah. Berubah dari baik kepada lebih baik dari tidak baik kepada baik. Allah menegaskan agar setiap kita berubah dari suasana negatif kepada suasana cemerlang dalam firmannya yang bermaksud " Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka merubah nasib mereka sendiri". Setiap kita mesti insaf jangan mengharap segalanya disajikan di depan kita untuk mengecapi kejayaan dan kemenangan sebaliknya usaha dan kesungguhan perlu dicernakan untuk menjulang kemenangan dan natijahnya keredhaan Allah swt.

Hijrah memerlukan pengorbanan dalam setiap inci jasad dan roh seluruh kita. Apabila nilai kehambaan menyelinap dalam segenap roh dan jasad maka tiada alasan lagi kita akan menidakkan hak Allah swt. Malangnya apa yang berlaku saban tahun kita dicutikan pada hari sambutan Maal Hijrah, kita anjurkan bermacam amcam program meraikan Hijrah namun hijrah tidal pernah menjelma dalam kamus kehidupan kita. Contohi apa yang dilaksanakan oleh Shuhaib Ar Rumi yang terus sahaja meninggalkan kepentingan harta benda dan kekayaan kerana menyahut seruan hijrah. Fahamlah kita tiada hijrah tanpa pengorbanan. Fahamlah kita kebejatan pilitik, kebobrokan ekonomi dan kepincangan sosial tidak akan berubah jika tiada pengorbanan yang dilakukan dan tiada jihad yang disemarakkan. Mari kita memaknakan kehidupan dan mengertikan sebuah kehambaan dengan patuh dan taat kepada pencipta dengan mengubah kejahilan kepada cahaya kebenaran walau permulaannya pedih.

No comments:

Post a Comment