Manusia dengan kalimah Arabnya berasal “nasiya” membawa maksud lupa. Sememangnya manusia dengan sifat semulajadinya bersifat lemah dan berhajat kepada pergantungan dan bantuan. Allah memilih manusia sebagai khalifah berbanding makhluk yang lain kerana keistimewaan aqal yang yang dikurniakan. Pergantungan kepada aqal semata mata tidak menjanjikan seseorang manusia dapat melepasi karenah dunia yang terlalu besar cabarannya.
Syaitan terus menerus mamalit dosa pada diri anak adam agar mereka terpisah dengan kasih sayang Allah swt. Manusia yang tidak menyedari tujuan dan matlamat hidup akan menganggap dosa adalah sesuatu yang tidak mendatangkan kesan apa apa. Hari ini ramai manusia tidak lagi memperdulikan dosa. Dosa bagi mereka boleh ditebus sama seperti kesalahan kecil di mata manusia sedangkan dosa akan mengakibatkan sengsara berpanjangan kelak ketika dihadapkan di mahamah Tuhan.
Penyair Arab ada menyebutkan dalam madahnya yang bermaksud:
Ku lihat dosa dosa
Mematikan segala hati
Hinalah dirimu apabila bergelumang dengannya
Sedangkan meninggalkan dosa dosa
Menyegar hidupkan segala hati
Kebaikanlah buat dirimu jika menentangnya.
Kepada muslim yang sedar adalah menjadi satu keperluan untuk mengawal dirinya dari melakukan maksiat meliputi dosa dosa kecil kerana membiasakan dosa dosa kecil dan memandang reneh terhadapnya akan mendorong individu melakukan dosa besar pula. Apatah lagi manusia yang tidak teragak agak melakukan dosa besar bagi mereka dosa kecil bagaikan zikir yang menyamankan kehidupan mereka. Lihat sahaja disekitar kita berapa ramai mereka yang bangga dengan dosa besar, arak,judi,tenung nasib (bomoh dan dukun) berhala dan penyembahan selain Allah (syirik) termasuk menyembah manusia dan menyembah ekonomi dan dunia, beraksi palsu,membunuh,berlaku zalim,rompak dan ragut ,bayi dibuang dan dibunuh semua ini dosa besar yang seakan akan menjadi ratib dan mainan hidup.
Ingatlah pesanan Rasullullah saw yang bermaksud:
“ Jauhilah dosa dosa kecil kerana apabila ia berkumpul pada diri seseorang lambat laun akan membinasakan”
Manusia yang beriman yang sedar pada kelemahan diri mestilah sentiasa bergantung kepada Tuhannya dan sentiasa menjadikan sifat “ta’ibun” kemestian dan agenda rutin. Taubat adalah amalan yang boleh menjadikan dosa dosa dapat disekat dari terus berkerak dan berkarat.
Untuk mempastikan sifat “Ta’ibun” wujud di dalam diri setiap muslim hendaklah mempunyai saat saat di mana ia dapat berbicara dengan dirinya,menilai,mengkritik dan membersihkan daripada karat karat dosa. Setiap muslim perlu menyambut seruan Allah swt dalam firmanNya yang bernaksud:
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya),
Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,
Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
As syams :7-10
Pendekatan ini juga adalah sebagai menyambut seruan yang telah disarankan oleh saidina Umar Al Khattab RA yang bermaksud:
“Hitunglah dirumu sebelum kamu dihitung,timbanglah amalanmu sebelum ianya ditimbang dan bersedialah kamu menghadap hari qiamat (hari perhitungan)”
Ulamat sependapat bahawa bertaubat dari dosa adalah WAJIB. Hajat mencapai tujuan taubat tidak akan terlaksana andai tidak diraikan syarat taubat. Sekiranya dosa itu terhadap Allah setiap muslim mesti meraikan 3 syarat taubat berikut :
a) Meninggalkan dosa dosa yang telah dilakukan (tidak lagi melakukan)
b) Menyesali perbuatan
c) Berazam tidak mahu kembali melakukan untuk selama lamanya
Seandainya dosa melibatkan manusia ketiga tiga syarat di atas adalah sama dan ditambah syarat ke empat iaitu
Hendaklah memohon kerelaan dari orang yang terlibat.
Jadilah manusia yang sedar diri dan tahu tujuan kehidupan.Jangan menyesal di hari kemudian. Ingatlah selalu firman Allah swt yang bermaksud
“ Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami Telah melihat dan mendengar, Maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."
As sajdah :12.
Abuafaf 140510
No comments:
Post a Comment