Pages

Friday, March 9, 2012

MENGAMBIL PELAJARAN DARI MUSIBAH

KHUTBAH JUMAAT 8 MAC 2011 (MASJID KG JAWA ,BATU 18 HULU LANGAT)


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.
Siding Jumaat yang dirahmati Allah
Musibah, Ujian dan ibtila’ yang ditimpakan oleh Allah kepada manusia boleh datang dalam berbagai rupa dan bentuk. Musibah peperangan, perseteruan, perebutan kuasa dan musibah berbentuk bencana seperti ribut, kemarau dan banjir serta seribu macam bentuk lagi dapat kita perhatikan berlaku dalam kehidupan kita.
Ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan serta bencana melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu?
Sebagai seorang Islam kita diajar untuk berhadapan dengan musibah, ujian dan ibtila seperti dinyatakan dalam firman Allah swt (Al Baqarah -155)

Yang bermaksud
“Dan sungguh akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Dalam apa jua keadaan , kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil
Sidang Jumaat Yang di rahmati Allah
Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan dan lain-lain. Jadi, Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai (musibah). Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah adalah lumrah hidup. Lalu hati kita bertanya lagi, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?
Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya musibah itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan diri orang yang menerimanya dan bagaimana mereka bertindak ketika menghadapi musibah tersebut.
1. Kifarah.
Yakni musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu. Maka musibah itu diturunkan sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa dan ketelanjuran itu. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.

Ringkasnya, kifarah adalah ujian untuk “orang baik yang terbuat jahat”. Dengan ujian itu, “orang baik” tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:

Yang bermaksud :
“Dan tidaklah kami perlihatkan  suatu mukjizat kepada mereka kecuali (mukjizat itu) lebih besar dari mukjizat mukjizat (yang sebelumnya) Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.
 (Surah al-Zukhruf, 43: 48)


Firman Allah swt: “Dan kami bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Di antara mereka ada yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak demikian. Dan Kami cuba mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.” (Al A’raf 168)
2. Bala.
Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.
Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas “orang jahat yang buat jahat”. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir’aun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum merasai pula seksa di akhirat.
Firman Allah s.w.t.: “Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.”(Surah al-Tawbah, 9: 74)
Firman Allah lagi:
Yang bermaksud;

“maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu krikil dan ada antara mereka yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”

(Al Ankabut: 40)
3. Ibtila’
Yakni musibah ke atas orang baik ketika melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Dengan musibah, orang yang soleh ini akan mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, sangka baik dan sebagainya.
Justeru jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa) – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung musibah.

Di sini dapat kita fahami, ibtila’ ialah ujian ke atas “orang baik yang buat baik”. Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran. Untuk mengambil ibrah dan hikmah daripada sikap mereka ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita menerusi firman-Nya:

“Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai-mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)

Bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian itu. Bila menerima musibah tidak sekalipun mereka tidak mengeluh atau mengadih, “kenapa aku yang kena?” sebaliknya mereka akan berkata, “aku telah terpilih.” Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.
Untuk orang yang sabar Allah menjanjikan bahawa orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab Bagi mereka yang syahid pula, Rasulullah saw telah bersabda:

“Akan diampuni bagi orang yang mati syahid setiap dosanya kecuali hutang.” (HR Muslim).
Atas dasar itulah sebahagian ulama salaf berkata:

“Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat tanpa membawa pahala.”

Bagaimana pula nasib orang yang derhaka ketika mereka ditimpa musibah? Apakah Allah tidak sayangkan mereka? Jangan tersilap, malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk kebaikan.
Jika orang baik mendapat peningkatan darjat bila menerima musibah, maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan musibah (kafarah) yang diterimanya. Rasulullah saw bersabada:

“Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah akan menghapuskan sebagaian dosanya.” (HR Bukhari dan Muslim.)
Sidang jumaat yang dirahmati Allah
Marilah kita sama sama bermuhasabah apa yang telah menimpa kita semalam dengan turunnya hujan lebat yang mengakibatkan banjir sehingga ada di kalangan kita kehilangan harta benda, musnah tempat tinggal, kerosakan keperluan dan sebagainya.
Apakah yang ditimpakan ini berupa kifarah , bala’ atau ibtila’. Marilah kita berkira kira apakah apa yang berlaku ini berpunca dari keyakinan dan aqidah kita yang meragui kekuasaan Allah. Apakah yanag berlaku ini rentetan amalan syariat yang kita lakukan tidak bertepatan dengan suruhan Allah. Marilah kita berkira kira apakah tingkahlaku akhlak dan budi pekerti kita selama ini mengundang kemurkaan Allah. Marilah kita meneliti bagaimana muamalah kita sesame manusia apakah telah sekata seperti yang Allah  swt perintahkan.

Hikmah terbesar di sebaliknya datangnya musibah. Yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh hamba Allah yang taat, tetapi juga hamba yang menderhakai-Nya. Maka daripada dimensi pemikiran inilah kita harus melihat apa di sebalik musibah demi musibah yang menimpa umat Islam kini.
Firman Allah swt:



Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketauilah Allah amat keras seksaan-Nya 
                                                             Al Anfal 25

Semua musibah itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah – beriman dan menegakkan hukum-hakam-Nya dalam seluruh aspek kehidupan. 

Firman Allah: Al An’am 42.

 “Dan sesungguhnya kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami seksa mereka dengan menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada Allah dengan tunduk merendah diri.”


Sidang jumaat yang dirahmati Allah:
Musibah yang melanda ini banyak mengajar dan memberi pelajaran kepda kita. Justeru marilah kita praktikkan saranan Allah swt apabila berhadapan dengan musibah:
  1. Terimalah ujian dan musibah  dengan bersabar dan membesarkan Allah swt.Yakinlah segala yang ditimpakan terkandung hikmah yang besar untuk kita semua.
  2. Kita juga perlu menginsafi kegala keterlanjuran kita selama ini samada kita sedari atau tidak sedari. Banyakkanlah berdoa dan bermunajat kepada Allah agar diberikan kelapangan dan ketenangan berhadapan dengan ujian ini.
  3. Sebagai hamba Allah yang yakin REDHA lah dengan ketentuan allah dan elakkan dari sangkaan buruk kepada Allah swt semoga dengan apa yang berlaku Allah menggantikan dengan yang lebih baik dan mengurniakan keampunan terhadap dosa dosa kita.
  4. Marilah kita ungkapkan kalimah “ istirja’” innalillahi wainnailaihirojiun” sebagai tanda kita adalah dibawah kendalian dan pengawasan allah seluruhnya dialah yang memberikan kepada kita sesuatu dan dia berupaya mencabutnya kembali.
Semoga Allah swt melimpahkan rahmatnya kepada kita semua dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih bermakna setelah diperingatkan Allah dengan musibah yang melanda . Dia yang membangkitkan kita dari kelalaian dan kealpaan. Mudah mudahan diri kita mampu menjadi hamba hambaNya yang cintakan kebenaran dan menjauhi penyelewengan.

Firman Allah (surah Al baqarah 156-157)


(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun"[101].
Mereka Itulah yang mendapat keberkatan yang Sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka Itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Disampaikan Oleh  
us Abd wahid zainol Abidin


Adaptasi daripada tulisan Us Fahrol Mohd Joi

No comments:

Post a Comment