Ramadhan; Mengingatkan setiap manusia teruji
Seluruh khalayak manusia ada yang sedar dan ada yang tidak
tentang kedudukan diri mereka di muka bumi bahawa mereka diciptakan dengan
ujian untuk diperakui kehambaan mereka di sisi Allah swt. Firman Allah swt yang
bermaksud:
“Patutkah manusia menyangka bahawa
mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak
diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji
orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian),
nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya
beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Al Ankabut :ayat 2&3
Ramadhan 1437 telah menjelang hari
ke 16 dan sewajarnya menjadi landasan kepada setiap manusia beriman untuk
bermuhasabah dan koreksi diri setakat mana jitu dan istiqomahnya kita merentasi
ujian dari Maha pencipta. Kemungkinan ada di kalangan kita mengeluh dan resah
dengan ujian yang mendatang namun sedarlah kerana ujian yang kita lalui jauh
lebih kecil berbanding ujian yang telah
dilalui generasi terdahulu terutamanya para Rasul dan Anbiya’.
Dari
Mus’ab dari Sa’ad dari pada bapanya berkata, aku berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya?”
Sabda Baginda: “Para Nabi, kemudian yang semisal mereka dan yang semisal
mereka. Dan seseorang diuji sesuai dengan kadar
agamanya . Apabila agamanya kukuh, maka berat pula ujian yang dirasakannya;
kalau agamanya lemah, dia diuji sesuai dengan kadar agamanyanya. Dan seseorang
akan senantiasa ditimpa ujian demi ujian hingga dia dilepaskan berjalan di muka
bumi dalam keadaan tidak mempunyai dosa.” [HR. At-Tirmidzi
Ujian besar yang terpaksa manusia
lalui ialah ujian untuk patuh kepada Allah swt. Tuntutan untuk patuh itu
sentiasa sahaja tercabar dari berbagai bagai sudut dan arah. Kadang kadang
manusia seperti hilang pertimbangan apabila mereka gagal mengawal diri untuk
patuh sehingga lahirnya manusia yang menjual kebijaksanaan untuk membeli
kebodohan dan kejahilan.
Lahirnya manusia bijak dan maju
tetapi pada masa yang sama mereka menjadi penentang kepada peraturan dan
kurikulum Allah swt adalah kerana mereka tewas dengan ujian. Mereka kelam dan
terhadang dengan kabus kekufuran dan kemunafikan. Keghairahan menilai agama
dengan akal dan pemikiran sempit juga menjadikan mereka orang orang yang tewas
dan kalah di medan perjuangan untuk merebut keredhaan Allah swt.
Berawaslah dengan elimen dan
pencetus kepada kegagalan menempuh ujian dengan mendepani musuh musuh ini:
a) Orang muslim Yang dengki dan hasad
b) Munafik yang membenci
c) Si Kafir yang memerangi
d) Syaitan yang sentiasa menyesatkan
e) Nafsu yang meruntun
Semoga Ramadhan menjentik tangkai
hati kita utuk menggilap takwa dan gagah menempun ujian yang semakin getir.”
Seeru Ala Barakatillah”
ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Kampus Az Zahrah, Hulu Langat
16 Ramadhan 1437
No comments:
Post a Comment