Pages

Friday, August 21, 2009

POLITIK SATU KEWAJIPAN ATAU HANYA KEPERLUAN BERMUSIM

BY: ABU SYAUKAH FILMANZIL

Dalam meniti kelangsungan hidup, saban hari kita tidak dapat lari dari membicarakan hal-hal yang bersangkutan kepemimpinan atau lebih mudahnya politik. Sekurang-kurangnya kita harus mengambil tahu corak dan bentuk kepimpinan yang kita perlukan.Sewajarnyalah tidak boleh dipisahkan dari syariat dan norma kehidupan.

Kadang kala kita di sogok dengan andaian bahawa politik itu kotor.Sebenarnya politik itu tidaklah kotor malah satu kewajipan.Hanya sebahagian mereka yang kemaruk kuasa dan mempunyai agenda tertentu sahaja yang sanggup menjadikan politik itu kotor. Dengan erti kata lain “jika kita buat tak mengapa, tetapi apabila orang lain buat, tidak boleh dan salah sama sekali”.

Terdapat juga segolongan manusia yang bertindak seolah-olah tidak menyokong dan menyebelahi mana-mana pertubuhan politik. Usah berbohonglah, terutama media arus perdana yang konon-kononnya memberi laporan seimbang.Masyarakat Malaysia hari ini bukanya mereka yang senang diperdaya. Dari laporan, riak muka dan percakapan kita boleh menelahnya di pihak mana mereka berada.


Sesetengah pemimpin pula, siang malam asyik berjaja tentang politik. Tidak habis-habis mengadu dombakan rakyat. Mereka menyangka rakyat senang untuk dipengaruhi dengan kata lain, diperbodohkan.

Media arus perdana pula seperti sudah kehabisan maklumat untuk menulis atau menyampaikan berita, sehingga lupa yang mana keutamaan.Perhatikan sahaja tohmahan mereka terhadap parti yang menentang parti pemerintah dalam pilihanraya kecil, bermula PRK Parlimen Kuala Terngganu. Setiap hari ada sahaja ahli pembangkang keluar parti menyertai kerajaan. Anehnya apabila proses pengundian selesai, undi pembangkang pula meningkat.

Dalam satu laporan di sebuah negeri yang terletak di utara semenanjung, parti pembangkang lumpuh kerana ketua-ketua bahagian menyertai parti kerajaan.Apabila diadakan pilihanraya kecil di DUN Bukit Selambau, parti pembangkang juga yang menang dengan majoriti lebih besar. PRK Parlimen Bukit Gantang pun situasinya hampir sama.

Siasatan dan tuduhan tawaran terhadap sebuah parti yang menawarkan habuan pada bekas ketua wanitanya yang bertindak melawan bekas partinya sebagai calon bebas juga mendapat liputan meluas sedikit masa dahulu. Agak keterlaluan, dengan istilah lain laporan yang melampau-lampau, seolah-olah calon itu dari parti pemerintah pula, walhal setelah proses pengundian selesai, calon bebas itu hanya mendapat sekitar 300 undi. Popular sungguh! Satu DUN dapat 300 undi? Bagaimanakah keredebeliti pemberita yang meninjau proses berkempen itu dapat melebih-lebihkan calon bebas dan memberi liputan meluas?

Etika dalam menyampaikan maklumat jelas sudah dilupakan. Ketepatan berita juga tidak menjadi soal.Yang penting sentimen atau berita sensasi yang jelas propaganda untuk melariskan akhabar dan mungkin hanya dibeli oleh puak-puak mereka juga yang percaya kepada laporan akhbar itu seratus peratus. Pada saya, kebanyakan pemberita kita adalah budak hingusan yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan yang “asigmen” atau kerja khusus mereka pun diupah kepada orang lain membuatnya sewaktu belajar dahulu. Sebab itulah kualiti berita mereka tiada keesahannya. Mereka hanya pandai “goreng”. Berita-berita yang mereka tulis itu cerita mengikut acuan pemikiran mereka sendiri. Mereka juga tergolong dalam kelompok manusia yang suka mengadu domba, sama seperti sesetengah pemimpin kita.

Dalam dunia yang serba canggih ini perlu diingat bahawa orang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada surat khabar dan tv, masih banyak alat komunikasi yang boleh digunakan sebagai salurkan maklumat. Nenek yang lanjut usia, yang tinggal nun di penjuru kampung pun boleh mendapat maklumat tepat tentang apa yang berlaku, bukan sahaja perkembangan di Malaysia malahan dunia.

Ingatlah wahai pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat, hentikankanlah tabiat buruk yang suka mengadu domba sehingga rakyat berbalah. Jika anda dipilih menjadi sebahagian dari kerajaan jalanilah tugas sebagai pemegang amanah, sejajar dengan jawatan. Bezakanlah tugas sebagai penjawat atau petugas dalam kerajaan dengan jawatan dalam parti. Jangan jadikan urusan rasmi untuk membantu dan mendampingi rakyat sebagai medan politik untuk memperkukuhkan parti dan kedudukan dengan menghentam dan menyinis pihak lain.

Jika ingin bercakap soal politik kepartian, buatlah majlis atau program ceramah politik. Renunglah sendiri, rasmi pecah tanah cerita politik kepartian, serah geran tanah cerita politik kepartian, rasmi masjid cerita politik kepartian, khutbah jumaat cerita politik kepartian, seolah-olah parti tertentu sahaja yang bijak mentadbir.Ingat “trend” sekarang, yang dipandang dan dipilih rakyat bukannya sesebuah parti tetapi pemimpin itu sendiri. Sebaik mana pun dasar sesebuah parti jika pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada kalangan orang yang gila dan mabuk kuasa, “syok” sendiri, kronisma, tunggulah, lambat laun pastinya akan runtuh parti itu.

Rakyat hari ini tidak semuanya bodoh, kecuali segolongan pihak yang dari dahulu kini dan selamanya sentiasa percaya hanya mereka yang layak memimpin dan menakut-nakutkan rakyat dengan omongan retorik seperti hilangnya hak istimewa sesuatu kaum, kuasa raja, Islam dan pergaduhan kaum. Sedangkan apa yang diketahui umum semua parti yang ujud di Malaysia bersedia dan memelihara hak-hak semua kaum, begitu juga kuasa raja, hak beragama dan lainnya sejajar dengan perinsip Rukunegara dan Perlembagaan.Jika tidak masakan parti mereka dapat didaftarkan.Mudah bagi pihak yang “diberi kuasa” menuduh orang lain sebagai pengkhianat bangsa hanya dengan alasan membuka pintu kepada semua kaum menyertai satu parti.Lupakah sejarah? Takkan hanya seorang pemimpin tertentu sahaja dilabelkan sebagai pengkhianat, kenapa tidak dilabel kepada semua pemimpin terdahulu yang lebih dahulu melakukan perkara yang sama. Sanggup berdemontrasi menunjukkan lagak.Sebelum ini merekalah yang amat benci dan memberi berbagai gelaran terhadap penyokong Gerakan Mansuh ISA dan Hapuskan PPSMI yang berdemontrasi.

Golongan yang mendakwa sebagai pembela inilah juga yang menggadai maruah dengan menggalakkan perpecahan sesama sendiri, memonapoli kekayaan negara dan rasuah.Jika tidak percaya, pakailah baju usang dan pergilah ke kampung-kampung. Tinjaulah pendapat orang kampung, apa persepsi mereka tentang pemimpin, pasukan keselamatan dan pentadbir dalam kerajaan. Di hadapan lensa kamera bolehlah kita dengar suara yang melunakkan pimpinan negara, cuba buat penyamaran dan bergerak secara solo dan rakamlah pendapat mereka secara telus.

Saya sebenarnya tidak berminat untuk membicarakan hal-hal politik, tetapi terasa sedikit hampa apabila keutamaan dijadikan perkara sampingan, sebaliknya politik kepartian yang selalu dibahaskan. Tidak malukahkah kita dengan anak-anak yang sentiasa memerhati dan mengekori gerak geri kita sebagai pemimpin. Saya pernah terdengar anak-anak kecil merungut “ Nak rasmi program motivasi pun panggil Yb”. “Yb ni nak rasmi program ke nak kempen parti”. Sudahlah begitu peruntukan program pun terpaksa ditunggu berbulan lamanya.

Saya berkesempatan berbual dengan salah seorang kaum India yang agak berumur. Katanya, pemimpin BN (MIC) dahulu menipu. Di kumpulnya penduduk ladang dan diberitahu, jika kita menyokong sebuah parti yang dilabelkan ekstremis Islam, nanti semua kuil akan diroboh, kita akan disunatkan, sekolah SJKT akan dihapus, hudud dan bermacam lagi momokan yang menyebabkan masyarakat India pada masa itu amat takut.

Kini orang India sudah ada “knowlege”, mereka memerhati. Ulasnya lagi, sebuah negeri yang dah dua puluh tahun ditadbir parti yang dikatakan ekstrim itu, tidak meminggirkan kaum tertentu dan tidak memaksa kaum lain menganut Agama Islam, jauh sekali merobohkan kuil malah menyediakan khidmat unit keselamatan jika perarakan berkaitan agama diadakan. Orang India tidak lagi fobia, malah dalam pemikiran mereka sekarang sudah tertanam, tidak kira parti apapun yang memerintah, mereka mesti menjaga kebajikan semua kaum yang bernaung dibawah kerajaan yang memerintah. Bahkan orang India juga tidak terkecuali menjadi sebahagian ahli kelab penyokong parti yang dikatakan eksterim itu.

Saya juga berkesempatan duduk semeja dengan sebilangan penyokong dan orang kuat parti yang dahulunya kuat, tetapi sekarang sudah kehilangan sebahagian besar kerusi mereka akibat kebodohan mereka sendiri. Mereka mengakui bahawa mereka akan mempergunakan apa sahaja kesempatan atau memanipulasi keadaan, termasuklah menggunakan pertubuhan-pertubuhan yang bertopengkan NGO untuk membantah atau menyokong kehendak mereka.Anggota mereka juga terdiri daripada pertubuhan yang dikenali satu ketika dahulu seperti pertubuhan kongsi gelap yang kini didaftarkan.Berselindung di bawah slogan yang cukup cantik tetapi sebahagian besar anggotanya terdiri daripada yang melakukan amalan mungkar.

Agak menghairankan, mereka juga bercerita tentang kepincangan dan perpecahan dalam parti. Pelik! Akar umbi bercerita masalah dalaman, pucuk pimpinan pula mendakwa sebaliknya dan hanya menyalahkan pihak lawan sahaja secara sewenang-wenangnya di dalam akhbar.

Terbaru, “lagu lama” yang dimainkan semula menjelang pilihanraya, tidak kira pilihanraya kecil atau umum. Boleh dilihat dan didengar disemua media arus perdana. Begitu teruk seorang “Tok Guru” disental oleh pucuk pimpinan atasan parti pemerintah hinggalah pucuk pimpinan di peringkat kampung dan cawangan.

Pihak-pihak yang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan menyebelahi mana-mana pun turut mengulas dan mengeluarkan pendapat yang menunjukkan kebiadaban dan kebodohan mereka.Banyak lagi persoalan yang perlu diberi umpamanya perlakuan moral yang berleluasa di kalangan muda mudi Islam, anak-anak tokoh agama kerajaan yang akhlaknya lebih buruk daripada firaun, akta menghina agama yang terang-terang dilakukan oleh pemimpin,isteri pemimpin dan anak-anak pemimpin. Sebagai contoh tidak memakai pakaian menutup aurat, minum arak, berpelukan dan berpleseran antara lelaki dan perempuan, dan kenyataan-kenyataan yang menghina agama yang kebanyakan dilakukan oleh pemimpin sendiri.

Adat dunia mungkin, apabila kita mendapat berbagai gelaran dan habuan, kita sanggup menidakkan kebenaran serta menghentam orang yang menyatakan kebenaran walhal kita tahu orang yang kita tidakkan kenyataannya itu mengeluarkan pendapat berpandukan al quran,hadis,sunnah,ijmak dan qias.Pendek kata ada sumbernya berbanding pihak yang satu lagi kebanyakannya berpandukan logik akal, falsafah yahudi dan Inggeris. Sesetengah ulamak tunggangan pemerintah pula kalau adapun kitab yang dibuka dan dibaca semasa zaman mereka belajar dahulu sahaja dan ada kalanya mengeluarkan pendapat mereka semata-mata atau berpandukan hujah yang sangat lemah. Jadilah mereka ini orang yang dayus, pendapatnya lemah dan dirinya juga lemah umpama babi dijangkiti selsema.

Ada cerdik pandai yang memberi pendapatnya lebih kurang begini: tidak semestinya kita menyokong sesebuah parti politik, seharusnya dapat masuk syurga, yang dijanjikan syurga itu adalah orang yang melakukan sembahyang dan amal ibadah lain. Dangkalnya pemikiran orang ini, bukankah yang dijanjikan syurga itu orang yang ikhlas dan beramal salleh dan mendapat rahmat Allah. Ertinya kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah SWT. Kalau dah asyik berbalah sehingga terbawa-bawa dalam hal aqidah dan ibadah, mana datang ikhlasnya dan bagaimana mahu diberi rahmat.

Contoh-contoh isu hangat yang menunjukkan kebodohan pemimpin politik berleluasa. Mereka menjadikannya isu yang tak seberapa ini, seolah-olah perkara yang perlu diberi perhatian khusus seperti isu Kampung Buah Pala dan penyelewengan peruntukan kerajaan negeri Selangor. Dari kaca mata rakyat perkara-perkara ini gimik atau helah bela diri semata-mata, untuk menutup kelemahan parti mereka yang kalah dalam PRU 12. Rakyat seperti bersedia mengatakan perbalahan yang seolah-olah sangat besar ini akhirnya akan selesai seperti selesainya kes probohan rumah sembelihan khinzir di Kedah,isu penjualan arak di kawasan majoriti Melayu di Selangor dan gelaran ekstrimis Islam di Pulau Pinang baru-baru ini. Umum tahu perkara yang perlu diberi perhatian adalah wabak H1N1, PPSMI , Rasuah, Penyalahgunaan kuasa dan Jenayah Syariah. Pada saya jika Syariah dipatuhi akan adalah “nakaalan minallah” dan Islam itu penyelesaian.

Sehari dua lagi akan berperang besarlah pulak pemimpin dua parti yang akan bertanding di DUN Permatang Pasir. Dalam media arus perdana ulasannya seolah-olah mereka itu akhbar milik parti tertentu.Jika kalah nanti, katanya rakyat termakan hasutan parti lawan, kalah mejoriti tipis dikata pulak menang moral. Moral apanya. Satu undi pun kalah juga, soal moral tidak timbul, jika parti kecil dengan keupayaan yang terbatas kalah mejoriti tipis bolehlah dikatakan menang moral. Ini parti yang besar, komponen sahaja melebihi satu dozen, jentra dan kemudahan kerajaan, sogokan kewangan dan janji-janji pembangunan, mahu tidak mahu mesti menang, kalau kalah, walau satu undi pun dikira memalukan.

Percayalah, akan kedengaran nanti suara-suara yang menyarankan supaya menjaga adab semasa berkempen, memandangkan PRK tersebut mungkin diadakan pada bulan Ramadhan. Nah! ini satu lagi pendapat bodoh dan membodohkan orang lain. Adab dan tingkah laku hanya perlu dititikberatkan pada masa-masa dan bulan-bulan tertentu sahaja? Apakah akan ada ulamak yang lantang memberi pendapat dan fatwa nanti?

Nun di sebuah kampung yang agak terpencil satu ketika dahulu, ketika perdebatan atau isu babi menjadi hangat. Saya tertarik dengan seorang lalaki agak berumur yang tinggal di sana dan bekerja kampung.Tentunya pelajarannya tak seberapa, tetapi pengetahuannya bagus. Tiga perkara diminta saya berfikir, pertama berdosa dengan Allah seperti meninggalkan sembahyang, kedua berzina dengan isteri orang atau anak dara orang dan yang ketiga jika terkena najis. Kupasannya menarik.Tinggal sembahyang wajib diganti, kemudian bertaubat dan terpulang kepada Allah samada hendak mengampuninya atau tidak, tapi janji Allah jika kita bertaubat dan ikhlas serta menyesal, Insyaallah diampunkan.

Masalah berzina pula melibatkan isteri dan anak orang.Sehebat manapun kita mohon ampun dan bertaubat kita terlebih dahulu perlu memohon maaf kepada penjaga atau walinya. Jika walinya tidak mengampuni, beratlah orang yang melakukan dosa tersebut.

Hukum najis pula katanya, seringan-ringan najis hendaklah di renjis dan dilap dengan kain. Najis mutawasitah pula dibasuh hingga hilang warna bau dan rasa, guna sabun.Kain dan sabun perlu dibeli. Najis yang berat, namun cara cucinya senang, guna air bancuhan tanah dan air mutlak sebanyak 7 kali.Tanah tak perlu beli pun, selepas itu celup sahaja berkali-kali dalam paya,sungai atau parit. Jadi, ketiga-tiga perkara tadi mana yang perlu diutamakan, hujahnya.Saya jadi terkedu dengan orang kampung yang punyai pemikiran begitu. Beliau berhujah bukan dari logik akal semata-mata tetapi perpandukan ilmu.Sepatutnya pemikiran begitu harus ada dalam kepala pemimpin. Baharulah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Saranan saya kepada sesiapa yang ingin berhujah mengenai apapun, perlu baginya mempunyai ilmu.Jangan berpandu logik dan tafsiran sendiri semata-mata. Bagi yang bergelar muslim pula seharusnya mempelajari serba sedikit tentang Aqidah,Ibadah,Usul fikh,Al quran,Tafsir, Nahu, Saraf, Mantiq,Balaghah,Sirah,Hadith, Mustalah Hadith,Faraidh,Muamalah, Bahasa,Matematik,Sains dan ilmu-ilmu lain, barulah layak untuk berbahas dengan lantang. Tidak kiralah sebagai penyampai maklumat(pemberita) atau pembahas warung kopi. Berpeganglah dengan prinsip syarak dan tidak lari dari al quran,hadith,sunnah,ijmak dan qias.

Dan ingatlah wahai pemimpin-pemimpin parti politik, berbeza pendapat berpada-padalah, jangan keterlaluan sehingga sengketa berpanjangan. Masyarakat kita belum lagi berpecah cuma berlainan pendapat.Mereka sebenarnya tidak mahu terikat dalam satu pemikiran yang jumud atau tidak berkembang. Tengok dalam keluarga sendiri, bukankah masing-masing ada pilihan dan ideologi politik tersendiri tetapi masih bermuafakat dan bersama. Ingatlah walau apapun pendirian sama ada menyokong UMNO,PAS,PKR,MIC,MCA ,DAP,PPPP dan lainnya, mereka adalah saudara kita dan juga rakyat Malaysia. Layanilah mereka seperti sepatutnya,jika parti yang anda dokong membentuk kerajaan.

“ Berkawanlah dengan orang yang hendak kamu kawan itu berpada-pada, berkemungkinan kawan kamu itu menjadi musuh kamu, dan bermusuhlah dengan musuh kamu itu berpada-pada, boleh jadi musuh kamu itu akan menjadi kawan kamu suatu hari nanti”. Wallahhuaqlam

No comments:

Post a Comment