Pages

Monday, October 5, 2009

BAGAN PINANG SELAMAT BERMUJAHADAH

Catatan : Abu Syaukah Filmanzil

Semboyan telah berbunyi, khalayak seluruhnya telah mengetahui siapa yang menjadi calon untuk dipilih oleh rakyat dalam DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Umum juga telah mengetahui 2 calon yang disahkan bertanding manakala calon bebas yang berdentum bunyinya teringin membuat kacau tidak melengkapi syarat untuk bertanding, jadi apa pastinya BN dan PR akan berentap di kerusi DUN tersebut. Desas desus ada calon bebas yang akan bertanding walaupun disedari sebilangan besar dan majoriti rakyat negara ini sebenarnya tidak mahu akan ideologi bebas tetapi masih mengekalkan amalan berperinsip, samaada menyokong BN atau PR.Jika adapun yang menjadi bebas hanya mereka yang terhegeh-hegeh meminta simpati memohon menggunakan simbul parti lain atau yang menang dengan parti lain tiba –tiba melompat tanpa prosedur yang betul. Umumnya orang yang bermaruah boleh berpindah parti tetapi dengan cara bermaruah seperti melalui proses undi tidak percaya atau perletakkan jawatan yang disandang.

Tajuk utama akhbar arus perdana pula sedikit sebanyak mengulas tentang pilihanraya di kawasan tersebut dan bertambah padat apabila selesai penamaan calon .Irama dan nama-nama lama yang mengundang kontraversi dan mungkin dapat meraih sokongan dan simpati penngudi mula kedengaran antaranya Dato’ Sri Anwar Ibrahim dengan kes liwat, Dato’ Nala Karuppan dan Saiful yang diliwat itu.Amaran dan peringatan yang sering berkumandang daripada pihak SPR dan PDRM yang sangat telus dan mematuhi undang-undang negara yang paling demokrasi di dunia.Begitu juga siaran berita TV dan Radio akan mula kedengaran semua yang tidak elok datangnya dari parti pembangkang. Hanya BN sahajalah mempunyai pemimpin yang elok dan baik-baik belaka. Tidak pernah salah dan silap sejak dulu.Rakyat Malaysia amat menyenangi mereka serta tidak pernah tewas dalam semua pilihanraya.

Semua parti dalam BN sangat bekerjasama dan tidak pernah berselisih pendapat sesama mereka. Lihat sahajalah UMNO, MCA,MIC,GERAKAN,PPPP dan beberapa parti kecil lain, semuanya tidak pernah bergolak dan tiada pengaruh nagatif dalam parti mereka seperti penyalahgunaan kuasa,politik wang dan pengaruh autokrasi dalam kepimpinan. Baik,harmoni dan sempurna sungguh parti-parti politik naungan BN ini tidak seperti parti pembangkang yang digambarkan amat teruk sekali dan bergolak. Masalah kecil seperti tidak mampu menguruskan bekalan air sejak 7 tahun yang lalu, gagal menguruskan sampah sejak 5 tahun yang lalu, gagal menyelesaikan isu – isu yang berlarutan sejak bertahun lamanya. Kasihan PR baru mengambil alih beberapa negeri tidak sampai dua tahun tetapi masalah yang mereka tanggung rupa-rupa sudah bertahun-tahun. Saya agak hairan…seperti yang berlaku pada sesetengah kanak-kanak yang baru lahir terpaksa menanggung bebanan hutang, walhal yang membuat hutang tersebut adalah bapa mereka.

Bagan Pinang seperti yang diketahui umum merupakan kubu kuat BN sebelum ini. Dalam suasana selesa, biasanya calon BN akan memperolehi majoriti lebih 4000 undi. Dalam keadaan genting pula (PRU 2007) BN masih mampu meraih majoriti melebihi 2000 undi. Bilangan pengundi Pos mencecah 5000 orang yang kebanyakkannya anggota tentera dan orang terdekat di kalangan mereka yang berkerja atau menetap di situ dan menjadi aset penting UMNO dan BN.

Secara peribadi saya dapat merasakan UMNO dan Barisan Nasional awal-awal lagi boleh menghela nafas lega dan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada mereka. Lebih-lebih lagi mereka mempertaruhkan jagoan di kalangan anak tempatan yang cukup terkenal dengan kewibawaan dan menaikkan Negeri Sembilan ke tahap yang agak selesa sewaktu memegang teraju pemerintahan negeri tersebut di samping mempunyai imej yang “sangat bersih” dan tidak pernah di tolak oleh rakyat.

Bagi parti lawan pula di samping tidak pernah memenangi kerusi di kawasan tersebut calon yang mereka ketengahkan tidak dikenali dan pernah ditolak oleh penduduk di kawasan-kawasan yang pernah ditandinginya beberapa kali sama seperti calon PRK Penanti dan Permatang Pasir sedikit masa lalu.

Saya tidak ingin memberi apa-apa reaksi terhadap calon Barisan Nasional memandangkan kekuatan mereka cukup jitu yang dibantu oleh jentera – jentera kerajaan termasuk daripada mereka yang menyokong pembangkang atas arahan majikan. Sebaliknya saya ingin memberi sedikit perangsang kepada calon PR dan “Jundullah” yang akan berjuang habis-habisan dengan tenaga dan wang ringgit yang dikeluarkan daripada kantong sendiri demi menyampai dan menegakkan kebenaran. Sesungguhnya hati-hati kami yang menjadi pejuang akar umbi tidak pernah gundah dan lemah untuk menerima kekalahan seandainya itu adalah hakikat. Hati kami akan berasa sedih dan kecewa sekiranya pemimpin kami menarik diri dari medan juang dengan alasan yang remeh dan dayus.

Di ruangan yang terhad dan terbatas ini sayugialah saya mengingatkan diri saya dan saudara-saudara “Jundullah” supaya jangan terikut-ikut dengan rentak jahiliah yang dimainkan oleh tidak kira sama ada daripada pihak lawan atau kalangan kita sendiri sebaliknya berpeganglah dengan ajaran kebenaran. Matlamat perjuangan kita bukanlah untuk menang semata-mata tetapi tugas yang paling penting menyampaikan kebenaran dengan jalan yang sabar. Biar beribu kali kalah namun api perjuangan jangan dipadamkan. Sekurang-kurangnya kita telah menyediakan satu platfom atau wadah yang boleh dipilih oleh masyarakat khususnya di Bagan Pinang dan seluruh ceruk rantau dunia ini. Biar kalimah Thoiyibah berkumandang walaupun ada pihak yang jijik mendengarnya.Mudah-mudahan kita tidak dipersoalkan oleh Rabbul Jalil di Yaumil Mahsyar nanti.

Kepada pejuang dan petugas muslim jangan dilupai akan arahan yang pernah dikeluarkan oleh Sallehhuddin Al Ayubi pejuang yang membebaskan Baitulmuqaddis dahulu. Pastikan anda menjaga amalan sunnah. Mudah-mudahan amalan kita yang sedikit itu dipandang oleh yang Maha Pelembut itu. Kepada semua petugas dan pejuang Pakatan Rakyat pula saya berterima kasih kerana anda adalah contoh masyarakat Malaysia yang sanggup berjuang dengan jiwa dan raga tanpa rasa jemu dan berputus asa. Ingatlah firman Allah…. “Adakah kamu menyangka hanya cukup dengan berkata kami beriman sedangkan kamu tidak diuji….”. PRK ini adalah salah satu medan ujian untuk kita mengetahui sejauh mana keimanan kita kepada Maha Pencipta.

Kepada pengundi-pengundi Bagan Pinang keluarlah mengundi beramai-ramai dan jangan lupa akan tanggungjawab anda bahawa mengundi itu wajib seperti kaedah usululfiqh “Tidak akan sempurna wajib melainkan dengannya wajib”. Maksudnya mencari kepimpinan adalah wajib,jalan atau cara untuk menganggkat pemimpin di negara kita melalui proses mengundi justeru itu, adalah wajib juga hukumnya bagi seluruh pengundi yang berdaftar lebih-lebih lagi “muslim” untuk keluar mengundi. Bagi yang tidak mendaftar anda tetap berdosa kerana lari daripada tanggungjawab. Mafhum hadith daripada Abu Hurairah“ Setiap kita mempunyai tanggungjawab dan akan dipersoalkan mengenai tanggungjawab kita itu nanti”.

Pastinya pilihan kita ialah parti atau kumpulan yang memperjuangkan syariat,kebenaran dan kedaulatan agama anutan kita. “Sesiapa yang melihat akan kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangan, sekiranya tidak mampu, cegahlah dengan teguran, sekiranya tidak mampu juga dengan hatinya dan itulah tanda selemah-lemah iman”. Ingat…, gunakan tangan anda untuk mengundi, menulis dan dan lidah anda untuk menasihati dan menegur, manakala hati anda untuk bermunajat dan berdoa dan sedaya upaya elakkan daripada melanggar Syariat. Berwaspada juga agar tidak melanggar atau mengingkari undang-undang dan sekatan oleh PDRM dan SPR yang dikenakan kepada penyokong dan pendokong PR demi memenangkan calon pilihan kita di Bagan Pinang itu. Takbir…..Allahuakbar!Wallahhuaqlam.

Email dan pautkan ke rakan-rakan dan khusus kepada pengundi Bagan Pinang

Abu Syaukah Filmanzil 02.10.2009/14 Syawal

No comments:

Post a Comment