Pages

Saturday, October 24, 2009

MUHASABAH SELEPAS PRK BAGAN PINANG

Oleh : Abu Syaukah Filmanzil

PRK Bagan Pinang telahpun beberapa minggu berlalu, kemenangan yang telah dijangka telah berpihak kepada BN. Bukan sahaja menang tetapi dengan majoriti diluar jangkaan terutama bagi pihak PAS dan Pakatan Rakyat. BN sememangnya boleh mendabik dada dan berbangga dengan pencapaian mereka.Tahniah diucapkan kepada seluruh para pemimpin dan penyokong BN kerana majoriti rakyat Malaysia telah kembali menyokong UMNO dan BN.


Desas desus menyatakan kekalahan PAS dengan majoriti besar disebabkan kesilapan atau cara berkempen. Sebagai pemerhati saya merasakan ada kebenaran dengan hujah tersebut. Ditambah pula Tan Sri Isa memang mempunyai pengaruh yang agak kuat dan kebetulan pula pengundi Bagan Pinang mungkin terdiri daripada mereka yang ketinggalan dari segi pembangunan dan amat memerlukan pembangunan tersebut. Pembangunan itu hanya mampu diberi oleh parti pemerintah.Tentunya BN yang sedang menerajui Negeri Sembilan ketika ini.


Pengundi pos juga salah satu penghalang kepada proses demokrasi secara telus berlangsung dalam setiap pilihanraya di Negara ini, namun itu bukanlah faktor yang menyebabkan BN menang dengan begitu selesa. Sehebat manapun kekangan yang diberikan oleh pihak atasan, bagi mereka yang berdarah pejuang dan bukan pengkhianat pastinya akan menentang orang atasan walaupun bakal dikenakan ugutan dan tindakan.Tidak tahulah saya jika masih terdapat penjawat awam yang terlalu dayus dan sanggup menjilat pihak atasan hanya kerana takut dikenakan tindakan.


Saya sempat mengikuti beberapa siri ceramah politik yang diadakan selepas PRK Bagan Pinang khususnya di negeri Perak. Pada saya kupasan dan isi serta isu yang dibawa hanyalah isu lama yang kesemuanya dihafal oleh ahli dan penyokong pakatan. Paling banyak dilontarkan isu-isu berkaitan kemelut DUN Perak yang diolah dengan cara yang sama oleh sesiapa sahaja yang memberi ceramah. Pendekatan begitu pada saya bukan sahaja tidak dapat menarik orang di luar pakatan menyokong pakatan malah orang pakatan sendiri akan datang dan berlalu pergi sebelum sempat penceramah berikutnya mengambil tempat.


Pada saya isu dan sentimen tempatan harus diberi keutamaan, PAS dan Pakatan perlu memperbanyakkan program yang bercorak kemasyarakatan seperti yang dilakukan di sesetengah tempat contohnya pertandingan FUTSAL, Karnival Jualan dan sebagainya.Pada masa tersebut maklumat dan makluman disampaikan dalam bentuk nota dan bahan edaran ringkas, tidaklah perlu ucapan yang berapi-rapi sehinggakan ada pihak yang menyatakan cara PAS itu streotaip. Lunakkan bahasa dan pengucapan, sebarang perkara yang diucapkan dengan cara berlapik dan berbahasa. Ungkapan-ungkapan seperti “Orang UMNO Bercacing” dan sebagainya perlu dijauhkan.


PAS adalah satu organisasi yang cukup lengkap dan teratur, objektif penubuhannya dahulu adalah untuk menyampaikan misi dakwah dan politik adalah sebahagian daripada cara berdakwah dan menguasai pentadbiran. Pas perlu menggiatkan semula usaha dakwah di peringkat akar umbi dan melaksanakan USRAH dan kelas-kelas fardhu ain seperti mana dahulu. Setiap cawangan perlu ada kumpulan Usrah sendiri dan dilaksanakan secara konsisten sekurang-kurangnya seminggu sekali. Dalam masa yang sama PAS juga perlu mentarbiah ahli-ahli bersekutu supaya memahami Islam dan perjuangan yang dibawa oleh PAS dengan sedalam-dalamnya.



Jentera-jentera Pakatan yang lain juga perlu ada jati diri dan kefahaman tentang asas dan hala tuju parti yang didokong oleh parti masing-masing. Jangan menjadikan parti yang disokong sekarang sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kedudukan dan habuan dari parti pemerintah BN. Pendokong Keadilan pada saya sebahagiannya lebih cenderong dan bermentalitikan kebendaan sama seperti penyokong UMNO BN, justeru itu pendirian mereka sangat mudah berubah. Sikap mereka tidak jauh dengan perangai orang UMNO yang mudah didekati dan berkawan dengan PAS jika bertelagah sesama sendiri dan kepentingan mereka digugat oleh rakan seperjuangan. Buktinya lihatlan penubuhan Semangat 46 dahulu. Apabila mendapat semula kepentingan mereka, Semangat 46 pun berkubur. Ini diikuti oleh beberapa orang ADUN Keadilan selepas PRU ke 12 yang baru lalu. Ingat dan sedarlah objektif asal atau asas penubuhan sesuatu parti perlu diambil kira, sebelum kita mengambil langkah menyetainya.Jangan menjadikan dendam dan perasaan marah untuk kita berhijrah kepada parti lain dan mengharapkan kita disanjung dan dijunjung oleh masyarakat dan meletakakan kita dikedudukan yang tinggi.


Biar apapun tanggapan orang ramai tidak kira penyokong BN atau PAKATAN sebenarnya UMNO tidak menang mutlak di Bagan Pinang itu masih ada isu dari sudut rohani dan integriti yang perlu dikupas secara ilmiah, mereka hanya mempertahankan kemenangan yang diperolehi mereka melalui Pilihan Raya Umum yang lalu. Pakatan dan kompunennyapun tidak menang secara mutlak dalam beberapa siri PRK, mereka hanya mempertahankan kemenangan yang diperolehi dalam pilihanraya Umum yang lalu kecuali di Kuala Terenggau. Di situ sesungguhnya Pas dan Pakatan telah mencapai kemenangan dengan merampas kerusi dari BN dengan secara anak jantan melalui proses pilihan raya, tidak seperti BN yang merampas kerusi Pakatan dengan menculik ADUN-ADUNnya dan berselindung dengan gelaran wakil rakyat bebas yang menyokong BN.Rakyat tentunya lebih menerima mereka secara senang sekiranya mereka terus mengisytiharkan menyertai UMNO atau BN daripada berada ditengah-tengah(Bebas) padahal mentaliti dan perjuangan mereka adalah UMNO dan BN.


Terakhirnya marilah kita sama-sama berdoa “ Ya Allah, Engkau matikanlah ADUN- ADUN atau Ahli Parlimen yang gagal melaksanakan tugas dan mendekatkan diri dengan rakyat yang mengundi mereka. Dengan cara mematikan mereka sudah tentu Pilihan raya kecil dapat diadakan dan rakyat mendapat manafaat pembangunan dari pada pemerintah di peringkat pusat. Amin ya Rabbal Alamin”. BN sudah tentu tidak akan menyertai PRK jika ada ADUN atau MP yang meletak jawatan kerana bagi mereka itu bukan daripada perjuangan mereka justeru langkah yang paling berkesan dengan berdoa supaya ADUN dan MP yang tidak berkualiti itu dikembalikan ke hadrat Ilahi dan memberi ruang kepada pemimpin lain yang lebih bertanggungjawab. Dengan adanya PRK, rakyat juga bakal dijanjikan dengan pembangunan yang bukan kepalang banyaknya.Wallahuaqlam….

* Inilah adalah pandangan penulis yang tidak tertakluk kepada pendirian parti parti yang bertanding.


No comments:

Post a Comment