Pages

Saturday, June 27, 2015

TAKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 10)

Ramadhan ;Muhasabah Pembinaan Tunas Islam

Hari ini kita berada pada penghujung satu pertiga Ramadhan 1435.Ramadhan yang sudah dilalui mudah mudahan membuahkan seribu satu perubahan positif dalam diri dan rohani kita sebagai muslim. Mudah mudahan negatif yang bersarang dalam diri kita juga dapat dikekang dan dibasuh dengan hidayah Allah swt.

Hari ini saya ingin mengajak diri saya dan seluruh khalayak merenung jauh ke dalam sejarah masa lampau atau sejarah lalu kita.Bermula seawal usia baligh sehingga hari ini kita menjadi manusia dewasa dalam pertanggungjawban sebagai muslim.Renungan masa silam tersebut ialah betapa istimewanya hidayah yang terlontar ke dalam diri kita lantas terpahat “title”muslim kepada diri kita samaada muslim kita kerana keturunan atau muslim kita kerana kefahaman.

Justeru nilai dan “title” istimewa yang kita miliki tersebut, hidup kita menjadi satu perjuangan yang sangat besar nilai dan pertanggungjawabannya. Muslim yang jelas tujuan dan matlamat hidupnya serta pengisian perjalanannya untuk memenuhi matlamat tersebut sentiasa berpaksi  kepada pimpinan yang telah diasaskan oleh Rasul utusan Allah swt.Firman Allah swt menerusi ayat ke 29 Surah Al fath yang bermaksud:

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di Dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi Kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan Yang mengkagumkan orang-orang Yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana Dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar.

Ayat ini terlalu banyak intipati yang boleh dikupas diperah dan dihirup sarinya berkaitan dengan asas dan kesinambungan perjuangan, namun kali ini mari kita melihat bagaimana ayat ini menekankan persoalan berkaitan pentingnya proses perkaderan atau membina generasi pelapis sebagai jaminan kelansungan ummah pada masa akan datang.

Hati ini bila kita merenung kepada anak anak yang berusia 5 atau 6 tahun sudah dilatih berpuasa atau juga kita renung pada raut wajah cucu kita yang belumpun mencecah usia tujuh tahun kita semai cita dan kesungguhan untuk berwatak muslim dan muslimah pada masa mendatang.Cuma pernahkah kita terfikir apa tujuan kita lakukan semua itu dengan penuh istiqomah?

Semua itu kita lakukan kerana lontaran rasa dan kesedaran yang Allah benamkan dalam hati dan keimanan kita untuk menjaga dan memelihara tunas tunas Islam yang akan melestarikan perjuangan pada masa yang akan datang.

Tugas menyuburkan dan mempastikan tunas tunas itu tegap berdiri adalah tugas berterusan yang terpikul kepada musim. Lurus bengkoknya tanaman itu bergantung rapat dengan usaha kita hari ini. Jika  usaha kita menyiram dan membaja tunas tunas itu hanya sekadar keterpaksaan atau sekadar melapaskan keinginan rasa tanpa dipaut kesedaran dan iman maka pokok pokok itu tidak akan berbesar sebagai pohon yang rendang dan akarnya tidak akan menunjang ke dasar. Kesannya pohon itu akan hilang kekuatan untuk menahan terjahan ribut dan badai   dan semestinya juga tiada upaya mengeluarkan buah yang manis dan lazat.

Mari kita sisip sabda baginda sebagai bekalan muhasabah pada penghujung hari Ramadhan ke 10 ini agar kita tidak lupa akar dan asas. Sabda baginda saw yang bermaksud:

“Ajarkan anak anak kamu dengan tiga perkara, Mengasihi Nabimu, Mengasihi keluarga Nabimu dan Tilawatil Quran

Menjadikan Rasul sebagai idola dan meneladani perjuangannya menempuh badai perjuangan serta pembinaan asas kehidupan tamadun manusia adalah madrasah yang tiada tandingannya. Bagitu juga kekuatan keluarga nabi yang dibentuk sebagai contoh keteladanan rabbani yang wajib menjadi ikutan ummah yang bercita maju untuk membenam Jahiliah. Begitu juga Al Quran yang menjadi asas kepada pembinaan itu utama menjadi kurikulum kepada pembinaan tunas Islam pada hari ini.

Bersama alunan Al quran yang menjadi agenda harian kita lebih lebih lagi di pentas Ramadhan ini perbanyakan juga salawat dan salam kita kepada Rasullullah saw dan kuluarga baginda, mudah mudahan Rahmat Alllah menaungi kita.

Allahhumma solli Ala Muhammad , Wa  Ala Aali Muhammad.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az Zahrah Hulu Langat
10 Ramadhan 1436


No comments:

Post a Comment