Pages

Tuesday, June 23, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 6)

Islam;Ramadhan & Koreksi Tanggungjawab

Kemelut dan krisis yang melanda dunia hari ini semakin meruncing.Kebejatan memonopili kuasa dan membina kekuatan untuk menguasai hasil bumi semakin parah.Pertembungan antara kuasa besar bagai episode yang tidak ada tanda akan berhenti. Negara dan kuasa kecil semakin terpinggir dan tertindas bahkan melukut di bumi sendiri.

Daripada krisis kekuasaan dan kepimpinan sehingga permasaalahan urusan kehidupan, manusia sentiasa berusaha dan mencari penyelesaian.Malangnya manusia gagal mengenalpasti kaedah penyelesaian yang tuntas dan sempurna.

Rentas sejarah tamadun Islam menyaksikan kekuatan yang bertunjangkan aqidah dan agama adalah penyelamat dan jaminan kestabilan. Generasi awal Islam bimbang untuk berpaling dari asas dan ketetapan ini.

[“Oleh kerana itu umat Islam dahulu tidak termimpi akan wujud di negara milik umat muslimin cara bukan Islam itu dipraktik oleh pemimpin yang mengaku beragama Islam.Ummat yang disebut Allah swt menerusi firmanNya:

 “kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). “(surah Ali Imran:ayat 110)

adalah ummat yang mematuhi dan mentaati perintah dan larangan Allah.Tetapi pemimpin pemimpin yang memerintah negara milik umat Islam pada hari ini tidak mengendahkan seruan Allah,sepatutnya mereka menjadi pemimpin tetapi diseret dengan mudah ke jalan sesat.Mereka sepatutnya menjadi guru tetapi hanyut bersama banjir penyelesaian cara manusia yang lemah.]
(Petikan ;Tg Hj Abdul Hadi Awang,Islam;Fikrah,Harakah Dan Daulah)

Ya, Kita berbicara tentang penyelesaian terhadap krisis manusiawi yang sedang melanda kehidupan hari ini.Justeru keyakinan yang mesti menunjang dalam diri muslim ialah penyelesaian dengan kaedah Islam.Hari ini merupakan hari ke enam kita menjalani Ibadah Ramadhan dan antara aspek yang perlu disedari Ramadhan adalah madrasah tarbiah yang Allah rencanakan untuk membentuk  manusia yang bertanggungjawab.

Secara mudah cuba perhatikan bagaimana dan sejauh mana Ramadhan telah membentuk kelestarian aqidah,ibadah  dan akhlak manusia.Antara tanggungjawab yang boleh diperhatikan sepintas lalu ialah;

a)      Tanggungjawab kepada diri sendiri – Setiap individu muslim seharusnya menyedari tanggungjawab membina sakhsiyah diri yang mantap dari sudut fizikal,akal dan pemikiran serta jiwanya.Individu yang cemerlang adalah individu yang baik hubungan dengan tuhannya dan sentasa memelihara kesucian pegangan dan aqidahnya,ibadahnya yang soheh serta tidak menyeleweng.

b)      Tanggungjawab kepada keluarga. – Islam yang diturunkan  dengan peraturan dan penyelesaian sentiasa membimbing setiap muslim untuk bertanggung jawab terhadap keluarga dan kekeluargaan.Islam menitik beratkan hubungan anak dan ibubapanya,hubungan suami isteri serta hubungan ibubapa dan keibubapaan terhadap anak anak.

Malang seribu kali malang jika setiap individu muslim yang berpuasa dengan penuh ketaatan tatapi mempunyai hubungan yang tidak harmoni dengan ibubapanya, tidak tenteram kehidupan suami isterinya dan tiada ikatan mahabbah.Begitu malang juga jika tiada kasih sayang terhadap anak anak.

c)       Tanggungjawab kepada kaum kerabat dan jiran tetangga- Sebagai muslim hubungan kaum kerabat dan tetangga juga mesti dititik beratkan.Rasullullah telah mempamirkan satu model yang hebat dalam praktik jalinan kerukunan di antara kaum kerabat dan kejiranan.Kesempatan Ramadhan adalah waktu yang cukup mujarab untuk membina kekuatan jalinan ini tanpa uzur.

d)      Tanggungjawab kepada masyarakat- Masarakat yang terbina, cemerlang,maju dan mundurnya bergantung kepada seseorang individu.Individu muslim adalah juzuk yang sewajarnya menjamin kestabilan dan kerukunan sesebuah masyarakat.

Justeru setiap individu mesti menyedari peranan dan tanggungjawabnya di dalam masyarakat.Seorang muslim mesti sentiasa mewujudkan suasana harmoni dengan meninggalkan sifat-sifat mazmumah seperti angkuh,sombong,riak dan besar diri sebaliknya menghiasi diri dengan sifat –sifat mahmudah seperti sabar,toleransi,bertolak ansur dan sering memaafkan.

Kemuncak tertinggi setiap muslim mesti menyedari amanah dan tanggungjawabnya untuk mempastikan masyarakat selamat bernaung di bawah bendera Islam dan meletakkan kalimah Allah adalah yang tertinggi bersama redhaNya.

Muslim yang menyedari tanggungjawab ini adalah adalah mereka yang sentiasa dipandu oleh hidayah Islam.Tiada pilihan lain sebagai penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku dalam kehidupan.Semoga Ramadhan memperkukuhkan jatidiri dan keyakinan bahawa Islam adalah penyelesaian.

Wassalam

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az Zahrah,Hulu Langat

6 Ramadhan 1436

No comments:

Post a Comment