Pages

Monday, June 29, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 12)

Ramadhan : Mengimbau Nostalgia 926



Penantian Bas bernombor 926 Dari “Hayyu Saiek” ke “ Hussain” benar benar mencabar kesabaran. Mahatthah (perhentian) haiiyu sabiek saban hari setia menjadi tempat penantian melenguhkan kebanyak pelajar Asia Tenggara terutamanya pelajar Malaysia. Setiap pagi kelihatan berpusu pusu pelajar dari Kedah,Perak,Terengganu,Pulau Pinang dan lainnya menanti ketibaan kenderaan lagenda (bas pengangkutan kaherah bernombor 926) bagi penuntut  Malaysia yang mendiami permukiman ilmu di bumi kaherah.

Setelah sekian lama menanti, bas 926 menguakkan pintu untuk setiap penanti menerobos masuk ke perutnya.Tempat duduk belum tentu dapat tapi meloloskan diri untuk masuk adalah keutamaan. Anak anak kecil,orang tuan, capek dan bertongkat termasuk muslimat juga tua dan muda semua ingin menempatkan diri ke dalam kenderaan penuh sejarah ini hanya tujuan menuju “maidan hussain” tempat terletaknya Universit Al Azhar yang penuh sejarah gemilang itu.

Setiba di persimpangan “Kulliah Banat” di Madinah Nasr kapasiti 926 agak reda kerana siswi siswi telah tiba di destinasi. Namun mengharapkan kerusi kosong tidak  kecapaian jua kerana keutamaan untuk ibu ibu tua yang di tangan mereka beban beban sampingkan,kadang kadang termasuk sayur sayuran,ayam dan itik bahkan tong gas juga dipikul bersama.

Sesak dan padat penumpang  926  menyusuri jalan kota kaherah yang menyaksikan lorong lorong di jalan sudah tidak teratur lagi terutama pada waktu perdana sudah menjadi kebiasaan anak anak Malaysia sepanjang tempoh di permukiman ilmu ini. Cuma dalam sesak dan padat kota menyaksikan warga kaherah mempunyai suatu budi yang tersembunyi. Kesabaran menempuh hidup dan mencabar dengan penuh “tasamuh”(bertolak ansur). Walaupaun terkadang “tasamuh “ itu ternoda jua.

Tidak hairanlah jika sepanjang penjalanan itu kedapatan ada warga kota yang menghuni kawasan kawasan perkuburan dan jambatan jambatan sebagai tempat istirehat melempias kantuk malam mereka. Hidup di kota yang penuh sesak tidak menjanjikan keselesaan sehebat istana sebaliknya sekadar mengalas perut menana  lapar dahaga.

Hidup yang menekan kadang kadang menjadikan mereka sensitive, kadang kadang menjadi pemarah dan tidak kurang juga mereka menjadi manusia yang terlalu menghargai kurniaan tuhanNya. Pernah sekali ketika lengun menan 926 keroncong perut saya perlu diisi. Apa yang mudah mendapatan makanan tradisi mesir ‘tokmiyah” kombinasi roti baladi (roti kampong),telur dan sayur amat menyelerakan di kala keroncong perut menjengah. Namun peristiwa itu mengajar saya, sebiji tokmiyah tidak dapat saya habiskan lantas saya campakkan sisinya di birai jalan berhampiran perhentian bas. Lantas tiba tiba bahu saya disentuh dan degusan dan omelan seorang pak cik tua yang tidak berpuas hati terhadap saya.  Pakcik Itu mengutip sisa sisa makanan yang saya buat di bungkus menggunakan kertas dan diletakkan dengan sopan dalam tong sampah. Pakcik itu menegaskan perbuatan saya itu tidak bersopan kepada rezki. Saya terkesima dan pas selepas ini saya akan berhati hati dalam tingkah laku walaupun hal itu terlu remeh jika dikenang.
Perjalanan 926 mengajar erti pengorbanan warga kota terutama terhadap ibu ibu tua dan dan warga kurang upaya. Sehingga ke hari ini mata ini masih belum lekang dari satu kejadian  yang disaksikan ketika  926 menghampiri Hospital Al Azhar. Keadaan yang jarang sekali dapat disaksikan seorang anak mendokong dan menggendong ibunya untuk mendapatkan rawatan di hospital. Seorang anak menyuapkan makanan dan minuman kepada ayahnya di perhentian bas dengan penuh perhatian. Wajah wajah ini terpamir menerusi jendela 926.

Istimewa menjadi penumpang 926 sekira kira 5 tahun menyaksikan fenomena janggal jika berlaku di bumi kita Malaysia. Ketika Ramadhan terutamanya kelihatan sosok yang sedang menanti, menjadikan Al Quran sebagai teman dan dampingan mereka. Biarpun dalam keadaan berdiri penuh sesak serta tiada keselesaan mereka masih sempat menekuni Al quran sebagai agenda kebiasaan. Lewat Ramadhan ini terasa kerinduan itu terlalu menggamit.

Menerusi jendela 926 juga menggamit kenangan yang amat sukat dilupakan, perihal orang Arab Mesir yang berbadan sasa tegap namun kemesraan mudah menjelma. Namun dalam mesra dan ramah mereka, amarah kadang kadang bermaharajalela. Menyaksikan pergaduhan ngeri di kalangan meraka juga menjadi kebiasaan.Berbekal batang besi dan kayu bersegi mereka bergaduh yang mengundang bimbang buat warga Asia Tenggara yang amat penyantun ini. Namun dalam pergaduhan yang membimbangkan tu dapat diredakan hanya dengan kalimah “Sollu Alan Nabi” pihak yang bergaduh kembali berdamai dan berdakap erat. Benarlah dalam kasar itu ada kelembutan yang mengikat. Kasar dank eras hati manusia diikat dengan kelembutan aliran air iman dan hembusan bayu taqwa.
Mencoret nostalgia 926 tidak akan menemui noktahnya sesingkat masa. Terlalu bernilai dan banyak sekali ibrah dan sentuhannya. Benarlah apa yang di Allah firmankan kepada hambanya untuk menjelajah dan berjalan di muka bumi ini meihat kehidupan dan tinggalan sejarah sebagai pedoman dan pengajaran.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Oleh itu, Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - Dengan melihat kesan-kesan Yang tersebut - mereka menjadi orang-orang Yang ada hati Yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga Yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan Yang sebenarnya bukanlah mata kepala Yang buta, tetapi Yang buta itu ialah mata hati Yang ada di Dalam dada.”

Al haj :ayat 46

Selamat Meneruskan Ibadah Ramadhan dengan penuh keinsafan

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
AZ Zahrah Hulu Langat
12 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di http://islampenyelesaian.blogspot.com




No comments:

Post a Comment