Pages

Sunday, June 21, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 4)

RAMADHAN,INFAK DAN PRIHATIN

Ramadhan semakin menginjak masuk hari ke empat.Muslimin seluruh dunia dipaparkan menerusi media melaksanakan tuntutan Ramadhan dengan penuh tanggungjawab dan digambarkan dengan penuh kecintaan. Kemeriahan Ramadhan tidak dapat disorok dan dirahsiakan dan inilah anugerah Allah swt yang dikurniakan kepada hambaNya. Serata khalayak samaada muda atau tua,kanak kanak dan orang dewasa di bandar dan di desa, miskin atau kaya merasai keindahan Ramadhan  ini.

Mereka menjadikan kehadiran Ramadhan ini untuk mengimarahkan masjid masjid dan surau surau,tidak kurang pula mengisinya dengan agenda tadarus Al quran dan program Ilmu.Kemeriahan Ramadhan yang dilalui nun di sudut insani tertonjol satu budaya yang amat dititikeratkan oleh satu kelompok manusia taat dan faham iaitu budaya sedekah dan infak.

Seruan Allah swt dalam Al Quran jelas menunjukkan besarnya dan utamanya amalan infak.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Al Baqarah:ayat 261

Amalan infak adalah saranan Allah pada setiap muslim tidak kira apa kedudukan mereka sama ada berpangkat atau tidak.Amalan ini tidak boleh dipandang remeh, selain daripada mendapat ganjaran yang besar, infak adalah medan Allah menguji hambaNya.Mereka yang mengutamakan keredhaan dan pandangan Allah tidak akan berkira kira dalam mengeluarkan belanja dan harta mereka kerana setiap yang dibelanjakan samaada sedikit atau banyak akan dinilai oleh Allah swt.

Infak juga mesti dengan penuh kerelaan dan keikhlasan bukan dengan tujuan untuk bermegah megah serta adanya sifat riak.Berinfak bukan bertujuan untuk mendapat pujian manusia tetapi semata mata ingin menggapai cinta Tuhannya.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa Yang mereka belanjakan itu Dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak Yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Al baqarah:Ayat 262


Muslim yang istiqomah dengan budaya infak sentiasa mencari ruang dan dan peluang untuk menyalurkan infaknya.Sebaliknya mereka yang mempunya sifat anti infak sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk mendapatkan sesuatu secara percuma dan sering sahaja mengharap nasibnya dibela berbanding bertindak sebagai pembela.Mereka yang tertunjang budaya ini sering menekuni saranan Rasullullah menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Tangan yang di atas lebih baik dari Tangan di bawah” Hadith Riwayat Bukhari

Budaya infak membuahkan dalam diri seorang muslim sifat  prihatin kepada golongan yang memerlukan.Nasihat Rasullullah seharusnya menjadi motivasi untuk  meletakkan diri sebagai seorang yang prihatin terutamanya kepada sesama muslim.

Allah merakamkan bagaimana sifat golongan Ansar yang memberikan segenap bantuan untuk saudara mereka di kalangan muhajirin tanpa disempadani oleh sedikit pun rasa curiga.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.”

(Al-Hasyr: 9)

Bersama kehadiran Ramadhan Al Mubarak ini marilah kita membudayakan budaya infak dan prihatin serta meontar jauh sifat kikir dan kedekut  dalam diri kita untuk menggapai pandangan Allah.Titiplah rasa simpati dan prihatin kepada mereka yang memerlukan walaupun sedikit.

Kenanglah saudara saudara kita pelarian Rohingya,Saudara kita di serata dunia yang ditindas, di Palestin,Yaman,Suria,Iraq dan selurunnya.Gapai juga simpati dan prihatin kepada saudara mara yang kesempitan begitu juga jiran tetangga.Sapalah mereka dengan tangan yang sihamba yang besifat pemurah.Semoga bekalan yang sedikit itu mengundang rahmat Allah yang luasnya tidak bertepi.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az zahrah,Hulu Langat
4 Ramadhan 1436

No comments:

Post a Comment