Pages

Saturday, June 20, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 3)

Pejuang,Rintangan Dan syaitan

Perjuangan mukmin menjadi hamba Alah dan khalifahNya adalah satu perjalanan yang berliku dan penuh ranjau.Perjalanan yang tidak menjanjikan kesedapan dan kesenangan di dunia sebaliknya kesedapan dan kesenangan itu dikecapi apabila kembali ke negeri abadi nanti. Sejarah para rasul menunjukkan bahawa setiap usaha membentuk manusia menjadi hamba yang taat berhadapan rintangan dan kepayahan dan tidak menjanjikan pengikut yang ramai. Justeru itulah kebenaran Islam tidak dirujuk kepada ramai atau sedikitnya pengikut.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“kalau apa Yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu Yang berfaedah Yang sudah didapati, dan satu perjalanan Yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat Yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah Dengan berkata: "Kalau Kami sanggup, tentulah Kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui Bahawa Sesungguhnya mereka itu orang-orang Yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).”

At Taubah; Ayat 42

Imam al Ghazali menyebut dalam kitabnya Minhajul Abidin perjalanan menjadi hamba yang taat akan berhadapan dengan sekurang kurangnya 4 rintangan besar.Rintangan ini berlu diperhatikan dengan penuh waspada agar tidak menjadi faktor yang mengagalkan rencana ubudiah seorang manusia kepada Tuhannya.Rintangan itu ialah:

a) Dunia dan Isi dunia
b) Makhluk (terutamanya manusia)
c) Syaitan
d) Nafsu

Sempena berada di bulan Ramadhan yang mulia ini antara keempat empat faktor di atas penulis ingin mengajak khalayak untuk memberi fokus kepada perkara tiga ,bagaimana Syaitan berusaha menggagalkan usaha si hamba mencari redha tuhannya.Makhluk yang tidak kita lihat ini sebenarnya sering melakukan onar agar si hamba menjadi curang dan culas terhadap tuhannya.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan Demi sesungguhnya, Aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan Demi Sesungguhnya Aku akan memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong, dan Demi Sesungguhnya Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". dan (ingatlah) sesiapa Yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin Yang ditaati selain dari Allah, maka Sesungguhnya rugilah ia Dengan kerugian Yang terang nyata.”

An Nisa: ayat 119

Ayat di atas Allah swt merakamkan janji syaitan untuk menyesatkan manusia dengan pelbagai cara dan helah.

a) Syaitan akan berusaha memesongkan manusia daripada kebenaran.Manusia yang terperdaya dengan pujukan syaitan tidak dapat membezakan antara hak dan batil sebaliknya berasa teruja dengan kesesatan dan menjadi kegemaran yang tidak kunjung henti. Justeru si hamba wajib beringat dengan amaran Allah agar tidak mendampingi Syaitan dan menjadi penyembah syaitan sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh Yang nyata terhadap kamu!”

Yaasin :ayat 60

b)      Syaitan akan meniup rasa angan angan kosong dalam diri si hamba iaitu dengan menjadikan manusia bersenang senang dalam amalan dan bertangguh dalam ibadah dan taubat.Hasutan ini menjadikan manusia tertipu dengan perbuatan mereka sendiri dengan merasakan mereka sudah cukup bekalan sebalik mereka hanya terperdaya tanpa bekalan ketika bertemu Tuhan nanti.

c)        Syaitan akan menyuruh,memerintah dan menghasut manusia untuk melakukan perkara yang dimurkai Allah iaitu mengharamkan perkara yang dihalalkan.Menerusi ayat di atas antara hasutan syaitan ialah menyeru manusia mengharamkan perkara yang dihalalkan iaitu (memotong telinga haiwan ternakan) merujuk kepada perbuatan jahiliah mengharamkan binatang ternakan atas sebab sebab tertentu yang tidak berdasarkan syarak.Rujuk firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya”

Al Maidah:Ayat 103

Nota
1. Bahirah بَحِيرَةٍ)- Unta betina yang beranak 6 kali lalu dibelah telinganya, dilepaskan.Tidak boleh ditunggang dan tidak boleh diperahsusunya.
 
2. Saibah (سَائِبَةٍ)   Unta betina yang dibiarkan pergi ke mana sahaja lantaran sesuatu nazar. Biasanya dilakukan sebelum memulakan sesuatu perjalanan yang sukar.

3. Washilah (وَصِيلَةٍ)-Lembu yang melahirkan anak kembar yang anaknya jantan dan betina. Anak jantannya dikenali sbg Washilah lalu disembelih untuk diserahkan kepada berhala.

4. Haam (حَامٍ- Unta jantan yang tidak boleh diganggu kerana telah membuntingkan unta betina sebanyak 10 kali.

d)      Syaitan juga memainkan peranan menghasut manusia dan menyuruh manusia menghalalkan perkara yang diharamkan dengan mengubah ketetapan Allah mengikut selera mereka sendiri tanpa memikirkan sempadan dan had yang telah ditetapkan.

Marilah pada bulan yang mulia ini kita bermuhasabah untuk menjadi hambaNya yang taat dan tidak terpengaruh dengan pujukan Syaitan.Semoga kejayaan mengiringi kita dalam usaha mentarbiah diri menjadi hamba yang istiqomah, patuh dan taat.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN

Az Zahrah, Hulu Langat

No comments:

Post a Comment