Pages

Friday, June 19, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 2)


Ramadhan,Al quran & Peringatan

Hari ini hari kedua kita menjalani ibadah puasa,Alhamdulillah semalam merupakan malam kedua kita bertaraweh menghidupkan Ramadhan peluang yang hanya datang setahun sekali. Semalam juga saya berkesempatan taraweh di sebuah masjid dan menyampaikan tazkirah. Tazkirah dijalankan setelah tamat solat taraweh sebelum witir. Alhamdulillah makmum setia untuk mengambil manfaat dari siri  tazkirah yang diatur oleh pengurusan masjid.

Hari ini saya ingin menarik perhatian khalayak tentang solat taraweh yang tunaikan bersama jamaah semalam. Imam membacakan ayat ayat dari Surah Al Baqarah bermula pada rakaat pertama dengan mebacakan ayat ayat ke 44.Hati saya terpempan paya ayat pertama Hizb kedua tersebut yang bermaksud:

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Usai solat taraweh 2 rakaat hati saya berkata alangkah baiknya jika seluruh khalayak jamaah memahami ayat yang dibacakan oleh Imam.Kalau seorang ayah memehami ayat tersebut nescaya ayah yang seringkali menasihati anaknya di rumah akan bertanya apa pula peringatan yang diperingtkan kepadaku.Kalau seorang ibu yang sering menasihati anaknya,Seorang suami dan seorang isteri, seorang ketua dan semuanya yang sering mengingatkan kebaikan kepada mereka yang di bawah tanggungan mereka menyedari ayat ini sudah pasti mereka juga akan bertanya apa pula peringata kebaikan yang telah diperingatkan kepadaku.

Semasa slot tazkirah saya lontarkan persoalan;”alangkah indahnya kalau kita dapat memahami ayat ayat yang dibacakan oleh imam.sekiranya semua khalayak sudah memahami apa yang dibaca oleh imam tidak perlu lagi tazkirah malam ini”. Namun kita tidak dapat memahaminya,justeru kita perlukan sedikit pencerahan sebagai bekalan untuk memenuhi rawan dan kekontangan jiwa dalam menelusuri rencah kehidupan.Itulah pentingnya tazkirah.

Saya menarik perhatian jamaah untuk melihat sepintas lalu ayat ayat yang dibaca selanjutnya oleh imam pada rakaat selanjutnya.Saya berkata kepada jamaah kebetulan malam ini banyak ayat peringatan yang Allah mulai dengan perkataan “wa iz” (واذ)   “ dan ingatlah atau dan kenangkanlah” Allah menarik perhatian kita untuk menekuni peringatan yang Allah paparkan di dalam Al Quran.

Ayat selanjutnya Allah paparkan kisah kaum Musa as dalam melalui kezaliman Firaun dan bagaimana mereka dilepaskan oleh Allah swt dari kekalutan dan tekanan yang dahsyat itu. Peringatan untuk kita mengambil iktibar betapa kebergantungan kepada Allah amat penting kerana hanya Dia yang dapat melepaskan kita dari sengsara dan kepungan apa sahaja kejahatan.Ayat yang mengingatkan kita untuk mendakap kemas “istiqomah” kerana pelepasan Allah dalam apa sahaja bencana dan malapetaka boleh datang dalam sudut yang kita tidak dapat menjangkanya.   Firman Allah swt yang bermaksud:

“dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, Yang sentiasa menyeksa kamu Dengan seksa Yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian Yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan Yang besar dari Tuhan kamu.”

“dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.”

Al baqarah : 49-50


Selanjutnya Allah mengingatkan lagi menerusi firmanNya perihal mereka yang telah di selamatkan  Allah dari bencana dan kezaliman musuh begitu mudah sekali melupai kebenaran hanya kerana beberapa hari tidak bersama RasulNya (Musa as) dengan mengingkari apa yang dipimpin oleh RasulNya (Musa as) sebelumnya. Mereka mengadakan sembahan dan sekutu bagi Allah. FirmanNya merakamkan perihal mereka sebagai peringatan kita yang bermaksud:

“dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang Yang zalim (terhadap diri sendiri).

Peringatan ini terlalu penting untuk kita,kalaulah kaum Musa as yang hanya ditinggalkan oleh rasul mereka seketika untuk menerima wahyu boleh terjebak dengan kekufuran dan penyelewengan,bayangkan kita yang hidup pada zaman Rasul tidak lagi bersama kita sudah pasti ruang untuk menyeleweng terbuka. Namun kita yakin atas apa yang ditinggalkan oleh Rasullullah kepada kita bahawa bahana kesesatan akan dapat dihindari sekiranya kita berpegang dengan 2 perkara tersebut iaitu Kitabullah dan Sunnah rasul.

Duhai khalayak pencinta ibadah sekeliah marilah kita menginsafi diri dalam ruang yang semakin kritikal ini untuk merenung peringatan peringatan Allah swt dalam segenap penjuru kehidupan. Semoga kejahilan akan musnah dengan petunjuk dan hidayah,semoga kezaliman akan lenyap dengan kebenaran dan hak,semoga kealpaan akan beransur hilang dengan peringatan dan nasihat yang berterusan.

“Seeru ala barakatillah”

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Az zahrah


No comments:

Post a Comment