Pages

Wednesday, July 1, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (Siri 14)
















Mengintai  Teduhan Rahmat

Ramadhan semakin berlalu,hari ini menjengah hari ke 14 kita berpuasa dan bermakna telah hampir separuh Ramadhan kita lalui. Sepanjang melalui persekolahan Ramadhan ini diri yang di belai,jiwa yang di asuh dan roh yang diterapi wangian iman serta  hikmah amat menyegarkan bagi pemburu takwa.Aqidahnya semakin mantap,ibadahnya semakin bersemangat dan akhlaknya semakin sempurna sebagai bekalan bertamu di kemudian hari.

Bila mata tertancap pada rimbunan pohon asuhan Ramadhan ini hati lantas teringat pesanan Rasullullah menerusi sebuah hadith  yang bermaksud:

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: 7 golongan yang akan dilindungi Allah swt di bawah bayangan rahmatNya pada hari yang tiada bayangan selain daripada bayangan rahmatNya iaitu:
  1. Pemerintah yang adil
  2. Pemuda yang menggunakan masa muda remajanya untuk beribadat kepada Allah
  3. Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid
  4. Dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah. Mereka berkumpul dan berpisah kerana Allah
  5. Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita, lalu dia berkata: “Sesungguhnya saya takut kepada Allah”
  6. Seorang yang memberi sedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya
  7. Lelaki yang mengingati Allah berseorangan sehingga berlinangan air matanya.
(Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Merenung hadith ini, melontarkan satu ingatan penting untuk dihayati dan difikirkan sejauhmana setiap khalayak muslim mempedulikan agenda yang disarankan oleh Rasullullah saw.

Pemerintah Yang adil

Adakah kita peduli dengan saranan kepada mereka yang bergelar pemerintah. Keadilan  perlu menjadi agenda wajib bagi mengelakkan diri terpinggir dari rahmat Allah. Sebagai pemerintah usah hanya memikirkan soal mendapatkan sokongan tanpa mempedulikan tanggungjawab yang sewajarnya ditunaikan. Tugas pemerintah ini adalah tugas yang berat,kegagalan untuk berfungsi sebagai pemerintah bercirikan muslim rabbani dengan celupan Allah akan mengakibatkan kesengsaraan bila bertemu di mahkamah Allah swt.

Pemuda yang sentiasa beribadat

Kepada generasi muda satu perkara yang perlu diingati kematian tidak semestinya menjelang hari tua. Justeru ibadah tidak boleh ditunda dan ditangguh kerana menunda dan menangguh ibadah ada seruan syaitan yang penuh dengan pengkhianatan. Pergunakan sepenuhnya masa muda dengan kekuatan yang ada untuk melipatgandakan ibadah kepada Allah swt, jangan nanti kesibukan,kekuatan dan tenaga yang semakin susut baru sedar ingin beribadah. Pemuda yang sudah melazimi kehidupan dengan ibadah akan membuahkan istiqomah yang sukar diganggu gugat.Apatahlagi masa muda yang mencabar ini,andai ibadah menjadi pengganti kecelaruan identiti diri maka selesailah kemelut yang melanda generasi.

Lelaki pendamping masjid

Masjid adalah rumah Allah dan tempat suci dan mulia tidak sewajarnya dibiarkan sepi tidak berpenghuni. Kemeriahan dan imarahnya masjid akan bererti, dengan dampingan lelaki lelaki soleh sebagai syiar kekuatan Islam. Suasana perkembangan dunia dengan seribu macam tarikan amat menggoda naluri manusia untuk mendakap keseronokan tersebut. Alangkah indahnya andai jiwa jiwa yang terasuh dengan fitrah itu tempat bertandangnya adalah rumah Allah bukan pusat hiburan, kedai kopi dan kelab kelab serta destinasi lainnya.

Berkasih sayang kerana Allah

Dunia yang semakin mencabar melahirkan ramai manusia yang hilang kejujuran. Ada manusia yang bersahabat namun jiwanya dinodai ketidak ikhlasan dan menguak ruang dalam tindakannya ketidakjujuran serta mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Justeru memautkan setiap persahabatan atas ikatan kasih sayang kerana Allah swt adalah anugerah terpilih dimiliki oleh insan insan terpilih pula. Leburkanlah hipokrit dalam persahabatan dan sedarlah di sana ada lilitan jujur dan ikhlas yang akan meneguhkan gabungan insaniah menuju redha Tuhan.

Tidak tergoda & Takutkan Allah
Godaan semengnya ujian yang akan dilalui oleh manusia yang melalui jalan menuju Allah swt.Kekuatan menahan dugaan adalah kekuatan yang mesti di perteguhkan setiap masa. Rasa takut dan bimbang terhadap hukuman serta kemurkaan Allah swt adalah bekalan azimat untuk melepaskan diri dari terjebak dengan godaan. Elakkan dari permulaan yang mengkhayalkan selanjutnya menumpaskan iman dan melunaskan kehendak nafsu. Bermula jelingan lantas menyelinap keinginan . Keinginan membuahkan sapaan dan tegur teguran. Sapaan menitipkan undangan untuk bergandingan. Gandingan merebahkan diri dalam dakapan maksiat tidak berpedoman.Larilah dari hasutan menuju ribaan Tuhan.

Keikhlasan bersedekah

Ramai yang merasakan kemuliaan dan keagungan dengan banyaknya harta yang dikumpul. Namun ianya satu kesilapan. Bukankah Allah menjelaskan

“sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa”

Rugi bagi mereka yang mengumpulkan harta tetapi berasa bangga dengan banyaknya harta dan tidak didermakan serta dibelanja di jalan taqwa. Berbelanjalah dan menderma serta infaklah.Namun tiada guna juga belanja,derma dan infak yang tidak didakap keikhlasan.

Mengingati Allah

Mengingati Allah sepanjang masa adalah satu kesukaran bagi pencinta dunia dan pengejar maksiat. Namun Allah swt yang maha Pemurah dan Penyayang melebarkan ruang kurniaan dan rahmatNya. Allah mencampakkan rasa insaf dan taqarrub kepada sesiapa yang diingini di kalangan hambaNya. Beruntunglah bagi mereka yang merasa syahdu kasih, mendamba khusyuk kepada Tuhannya. Sekalipun diri bersalut noda, keinsafan dan rasa ingin kembali ke jalan taqwa tidak sedikit mengundang cela pada sisi Allah swt. Rapatlah,dampinglah,pohon dan rayulah sementara hari masih berbaki, usia masih bersisa.

Bersama rahmatMu diperlembahan Ramadhan ini berikanlah kami keupayaan dan kesungguhan melunasi pesanan RasulMu ini. Semoga kami antara penghuni yang berlindung di bawah lembayung RahmatMu itu.

Amin.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
14 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di:





No comments:

Post a Comment