Pages

Thursday, July 2, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 15)


RAMADHAN : LANTUNAN MAHABBAH & KASIH SAYANG

Ramadhan menjengah hari ke 15 bermakna separuh Ramadhan telah kita lalui dan berbaki separuh lagi untuk diteruskan dengan penuh kesabaran dan menuntut mujahadah yang lebih tinggi. Sepanjang berada separuh masa pertama Ramadhan kali ini berbagai rasa dan sentuhan telah menyapa minda dan lubuk hati kita yang paling dalam.

Perasaan dan sentuhan kemanusiaan yang secara fitrahnya tersisip pada jiwa kemanusiaan antaranya adalah; sifat mengasihi dan pembelas. Manusia yang normal jiwanya akan diliputi sifat ini manakala manusia yang rosak jiwanya akan terdorong bertindak luar kawalan dari sudut lahiriahnya, dengan kelakuan kasar yang tertonjol.Begitu juga jiwanya tidak tenteram dan tidak terukir pun di sudut hatinya sifat kelembutan dan belas kasihan sesama makhluk.Sabda Rasullullah saw yang bermaksud:

“Kasihani dan rahmatilah mereka yang di bumi nescaya kamu dirahmati oleh yang di langit”
(H.R Baihaqi)

Entah mengapa tiba tiba gelora hati ini teringat lawatan saya kurang lebih 10 tahun yang lalu ke sebuah Rumah kebajikan di Johor Baharu. Rumah yang menempatkan orang orang tua dan kurang upaya, menjalani kehidupan sebelum ajal datang menjengah. Sepanjang lawatan kami diberi taklimat oleh pegawai  bertugas berkaitan penghuni di penempatan tersebut. Ada penghuni yang dihantar oleh waris dan anak anak dan ada yang sudah tidak mempunya waris serta tiada tempat berlindung. Ada warga emas yang masih dilawati oleh waris dan anak anak dan ada juga yang lansung tidak lagi dipedulikan oleh anak anak dan waris setelah dihantar ke sana.

Kali pertama menyapa penghuni penghuni di sana sebak di hati mula bertandang dan tanpa disedari ada gerimis yang mengundang di kelopak mata rakan rakan dan pelajar pelajar peserta lawatan. Ketika melihat penghuni yang termenung menanti,menunggu dan mengharap wajah wajah insan yang disayangi dan dikasihi menemani dan bermesra tetapi harapan hanya tinggal harapan. Penantian yang tidak membuahkan hasilan.
Lihat pula di sudut lain ketika pelajar pelajar saya menyapa mereka dengan menyalami dan menciumi tangan mereka, pada kedut  wajah mereka bagai tercermin satu keinginan yang tidak kecapaian. Bahkan juraian airmata mereka bagaikan menggodam  gelodak jiwa, alangkah indahnya andai yang menyantuni dan menyalami serta mencuimi mereka itu adalah anak anak dan cucu cucu mereka. Namun rasa itu hanya keindahan yang sementara.

Hati bertambah sayu apabila kami mendengar penjelasan, ada di kalangan anak anak yang menghantar ibubapa mereka ke sana atas alasan kesibukan dan tidak mempunyai masa menguruskan ibubapa mereka. Aduhai hati…. Alangkah baiknya kalau seluruh khalayak merenung hakikat dan sunnatullah yang direncanakan. Seluruh kita akan melalui detik dan ketika itu. Allah mengingatkan menerusi FirmanNya yang bermaksud:

“Allah, dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, Kemudian dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, Kemudian dia menjadikan (kamu) sesudah Kuat itu lemah (kembali) dan beruban. dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan dialah yang Maha mengetahui lagi Maha Kuasa.”

(Ar Rum : Ayat 54)

Ramadhan yang datang ini sewajarnya menjadi medan mengajar kita untuk menghormati dan mengasihi mereka yang tua. Sesuatu yang perlu kita ingat beberapa asas yang mesti kita sedari kenapa warga emas ini perlu dijaga dan diberi perhatian serta tidak boleh diabaikan antaranya:
  1.  Insan itu adalah makhluk yang dimuliakan dan kedudukannya dimuliakan di dalam Islam, buktinya Allah memerintahkan Malaikat untuk sujud sebagai tanda “ihtirom”( penghormatan )setelah di ciptakan. Firman Allah swt yang bermaksud:


“(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah".Maka apabila Telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; Maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya".Lalu seluruh malaikat-malaikat itu bersujud semuanya,”

Surah Saad :Ayat 71-73

   2.  Masyarakat Islam itu adalah masyarakat yang terkenal dengan budaya menghormati dan berkasih sayang serta bertimbang rasa.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan dia (Tidak pula) termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.”

Al balad ;Ayat 17

Rasullullah mengajar kita perihal seorang muslim itu menerusi sabdanya yang bermaksud:

Perumpamaan orang Islam yang saling mengasihi dan mencintai satu sama lain adalah ibarat satu tubuh,Jika salah satu angota tubuh merasa sakit,maka seluruh tubuh akan ikut merasa sakit dan demam (tidak boleh tidur)”

(Sahih Bukhori)

c      3.   Balasan kebaikan itu adalah merupakan kebaikan juga.

Firman Allah swt yang bernaksud: “Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).”

(Ar Rahman :Ayat 60)



d    4.  Orang tua mukmin itu ada kedudukan di sisi Allah ,tiadalah bertambah umurnya melaikan kebaikan.Sabda Rasullullah saw yang bermaksud:

“Janganlah salah seorang kamu bercita cita untuk mati dan jangan berdoa untuk mati sebelum tiba waktunya, Bahawa sanya jika mati salah seorang kamu terputuslah amalannya dan bahawa sanya tidaklah bertambah umur seseorang itu melainkan kebaikan”

(Sahih Muslim)

Semoga Madrasah Ramadhan mendidik kita dengan sifat penyayang dan mengasihi sesama makhluk terutama orang tua. Ingatlah mereka yang tidak mengasi tidak akan dikasihi. Mari sejenak kita berfikir dan merenung jauh andai warga emas hari ini di abaikan bagaimana keadaan mereka,apatah lagi mereka itu adalah ibu dan ayah kita. Santunilah mereka sementara ada kelak nanti kita di posisi mereka akan adakah yang akan sudi menyapa dan menyantuni kita.

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
15 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di

No comments:

Post a Comment