Pages

Monday, July 13, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 26)

Ramadhan : Mengundang Segunung Barakah

Perjalanan saya ke Terengganu semalam lancar tiada kesesakan lalu lintas kerana persekolahan masih masih berjalan dan pejabat pejabat kerajaan serta sector pekerjaan yang lain masih  beoperasi. Walaupun diterjah mengantuk yang memaksa perjalanan berhenti 3 atau 4 kali saya sampai ke destinasi setelah 5 jam setengah perjalanan.

Musim perayaan begini menyaksikan kenderaan di jalanraya begitu bayak sekali dan keperluan rakyat kepada kenderaan tidak dapat disangkal lagi. Rata rata rakyat sudah merasakan kenderaan sendiri adalah satu keperluan yang mendesak di samping permintaan terhadap kenderaan awam juga masih tinggi.Sepanjang perjalanan dengan kadar petrol semasa RON 95 RM 2.15 seliter acap kali mata tertumpu pada “dashboard” melihat meter bahan bakar apakah memerlukan pengisian semula untuk sampai ke destinasi. Seperti di duga di RnR Gambang petrol perlu di isitambah bagi menjamin tiada masalah bahan bakar dalam meneruskan perjalanan.

Sepanjang perjalanan sambil sambil melayan mengantuk yang semakin menjadi, akal saya masih menerawang pada kehidupan rakyat yang semakin menghimpit. Perjalanan saya berkenderaan sendiri yang agak selesa dan anak anak boleh nyenyak tidur sepanjang perjalanan semestinya tidak sama dengan mereka yang beranak ramai terpaksa berebut memilih kenderaan awam untuk pulang ke kampong halaman memenuhi tuntutan silautrrahim. Walaupun ada manusia bertaraf Profesor menyarankan untuk tidak balik kampong kerana kegawatan kewangan,itu adalah saranan manusia tiada hati perut dan jauh dari mahabbah silaturrahim yang dituntut agama dan syarak.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?Mereka Itulah orang-orang yang dila'nati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka.

Muhammad: Ayat 22 &23

Masih segar dalam ingatan sepanjang berkelana sebagai penuntut ilmu samaada di bumi Malaysia atau di perlembahan Nill. Hentian bas Medan Kid Ipoh menjadi saksi kepayahan marhain peneroka kota apabila tiba musim perayaan berebut dan berpusu pusu mendapatkan kenderaan. Ada kes di tipu ulat tiket, ada kes pergaduhan suami isteri kerana kesabaran yang menipis angkara dijerut penantian yang tidak kunjung tiba.Kedapatan kes ibu ibu hilang sabar terhadap anak kecil yang menangis angkara kesesakan dan kepanasan. Belum lagi kita kiasahkan berapa ramai yang mengabaikan waktu solatnya kerana mengejar bas dan kenderaan.Hanyir bukan?

Kesempatan itu kedapatan teksi teksi sapu menawarkan harga luar biasa atas tawaran khidmat pada waktu luar jangka pula. Orang lapar di ladang nafsu yang menggila akan hilang pertimbangan antara khidmat,amal dan keinginan. Inilah masa mencari pendapatan lebih sekalipun bertindak atas batas penindasan.

Terlalu manis untuk dikenang tetapi kelat kemelut rakyat amat sukar untuk ditelan. Perjalanan dari Taiping menuju kampung halaman menaiki bas “Red Omnibus” semestinya tidak dapat dilupakan. Satu satunya pilihan penduduk tempatan yang kais pagi makan esok terpaksa  dikunyah walau padatnya ibarat sardine yang ditinkan. Kemanusiaan itu kadang kadang hilang bila ibu mengandung tidak lagi didahulukan, nenek nenek dan pakcik tua bertongkat tidak lagi dihiraukan asal aku mendapat tempat menjamah ponggong bongkak di kerusi empuk kenderaan yang hanya mengaut untung daripada rakyat yag terus terhimpit.



Menerusi cermin jendela Red Omnibus di hentian lampu isyarat celahan hujan yang mencurah nun di sana kelihatan pasangan suami isteri bermotosikal Lagenda Modenas sedang menuju destinasi yang netah kemana ,membonceng isteri dan 2 anak meredah hujan. Hati bertanya apakah ayah tiada akal memikirkannya,tetapi benak menyangkal …habis dah dia tiada pilihan. Mengisi tangki sekadar Rm 5 sehari pun dia tidak mampu inikan pula menyediakan sebuah proton secondhand  untuk keselesaan anak isteri . Oh jauh lagi dia perlu menanti.

Ketika Rakyat terjerat dan sarat dengan onak meneruskan kehidupan nun di sana pemimpin pemimpin masih mampu bernista dengan kenderaan yang hebat buah dari keringat rakyat. Apa perlu berjet peribadi dan beradu mimpi di baldu kerusi “business Class” sedangkan “ekonnomi Class” juga memungkinkan pak menteri sampai ke destinasinya.

Saya percaya sehari dua ini rakyat berkenderaan sendiri berkira kira dan mencongak belanja untuk bekalan perjalanan menrentas banjaran menuju destinasi berhari raya.Bagi yang berkenderaan awam sesak Puduraya,Hentian Bandar  Tasik  Selatan, juga hentian hentian terkemuka di Senai,Ipoh,Kuala Terengganu dan seluruhnya akan melihat kemelut rakyat menjamah sarat dan kandas  untuk menuju destinasi.

Belum ditambah jalan raya menjadi sungai darah angkara sikap dan ketidaktelusan pengurusan menyediakan prasarana dan kelengkapan. Terlalu banyak pincang dan terlalu lemah tadbiran mengakibatkan tiada nusrah dan turunnya barakah dari Ar Rahman. Kesempatan ini marilah kita menyeru kepada seluruh pemimpin dengarlah suara hati rakyat.Ingatlah sabda Rasullullah saw yang bermaksud:

“ Tiada seorang pun hamba Allah yang diberi kuasa mentadbir rakyat,lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan syurga untuknya.”

(Muttafakun Alaih)

Sabda Rasullullah saw yang bermaksud:

” Apabila pemimpin kamu terdiri daripada orang yang terbaik di kalangan kamu, jutawan kamu adalah orang yang paling dermawan, urusan kamu diputuskan dalam musyawarah kamu, maka belakang bumi (hidup) lebih baik bagi kamu daripada perutnya (mati). Dan apabila pemimpin kamu adalah orang yang jahat di kalangan kamu, jutawan kamu adalah manusia yang paling bakhil dan urusan kamu diserahkan kepada wanita, maka perut bumi (mati) adalah lebih baik bagi kamu daripada belakangnya (hidup).

(Hadis Riwayat at-Termizi)

Pada masa yang sama samaada kita rakyat atau pemimpin ingatlah dan jagna lupa untuk menghayati Firman Allah swt yang bermaksud:

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”

Al aaraf :ayat 96

Selamat melalui saki baki Ramadhan dengan penuh kekusyukan”

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Sungai Petai,Kuala Berang
26 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di
Page www.facebook.com/islampenyelesaianku

No comments:

Post a Comment