Pages

Tuesday, July 7, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 20)


TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 20)

Ramadhan : Antara 2 Kegawatan

Hari ini Ramadhan telah menamatkan dua pertiga fasanya. Dua puluh hari umat Islam berpuasa dan tinggal satu pertiga lagi yang perlu dilalui dengan mendaki rintangan yang lebih mencabar. Melalui media massa saya menekuni  isu  demi isu menghiasi dada akhbar ,media elektronik lebih lebih lagi media sosial hatta ke meja meja minum di restoran dan warung.

Gamat isu Tabung haji sebulan lebih yang lalu seperti reda tetapi 1MDB sampai ke hari ini masih meluap panasnya dan bagai sesuatu yang amat besar mahu ditudung pekungnya. Khalayak di desa berbuih mulut berbicara,aksi warga kota lebih lagi mendesak mahu kepastian yang tuntas. Sekali sekala menteri berbicara menyeka hiba namun bagai hampas adanya.

Hari ini isu WSJ mendakwa YAB Perdana Menteri Malaysia terlibat salah laku mencopet wang Negara pula menduduki rangking isu panas yang menghilangkan khusyuk puasa dan taraweh di penghujung 10 Ramadhan. Semua bersilat,menghujah biar yang pincang itu disepuh hingga sembuh. Masing masing Parti Politik,Ngo dan pertubuhan menampil idea dan pandangan;semua berpandangan jika tidak ditangani Negara akan lumpuh sementelah dengan kejatuhan nilai Ringgit yang menjunam ke tahap parah seakan mengulangi detik ngeri 1997/98 ke paras Rm 3.80 lebih berbanding USD.

Masing masing tampil menjolok idea mendepan krisis  sebagai solusi seakan ideanya paling mapan dan tuntas. Kedengaran ada yang mencadangkan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengepalai gerakan menangani krisis, pada masa yang sama kedengarannya ada yang tidak bersetuju. Celahan itu kedengan juga gagasan daripada individu aktivis yang mahu mencadangkan Unity Gorverment bagi mengembali kestabilan Negara (Apa yang pasti cadangan ini bukan cadangan PAS). Kedengaran Juga saranan NGO yang mahukan Suruhan Diraja  dtubuhkan , tidak ketinggalan ada yang mengajak rakyat turun ke jalan Raya. Hebatnya kedengaran juga yang menjungkit idea dikepung Parlimen dan saranan dibubarkan parlimen bagi membolehkan mandat baru dipungut. Tidak berkesudahan di situ kedengaran juga masanya elok Orang Nombor dua Negara mengambil alih kepimpinan sedia ada.

Oh…dahsyatnya, itu baru satu isu yang memanaskan atmosfera Negara, tidak kira siang dan malamnya. Kalau ditokok dengan desah marhain yang saban hari berdepan dengan bermacam macam kalut kehidupan semakin parah dan payau jadinya. Kenaikan harga barang dengan pelaksanaan GST sebanyak 6% memang menghambur beban, Amarah rakyat dan marhain bawahan yang belum reda, dalam khusyuk mengangkat takbir taraweh, kedengaran pula kenaikan harga minyak semestinya menghangatkan dan memarakkan bara.
Payau krisis yang entah bila akan bernoktah semakin hanyir dengan gelodak sosial yang semakin menyial menghambat kehidupan dalam gawat dan ketakutan. Terbacakah kita isu penderaan adik Yaya di Pasir Mas yang memaparkan manusia yang hilang jiwa dan harga. Kalau ibu dan Ayah yang bertanggungjawab menjada keselamatan menjadi harimau jadian membaham tanpa kasihan, apakah ini kehidupan yang yang khalayak manusia inginkan. Belum reda isunya timbul isu bayi 23 hari diliwat ayahnya sendiri kerana kemaruk seks .Sadisnya Ramadhan lansung tidak mendidiknya.Bermacam lagi karenah yang duniawi yang mendekam, dari krisis dicabuli manusia hinggalah pencabulan binatang khinzir semuanya mewarna dada berita dan massa.

Kalau mahu di ungkap dan kalau mahu diucap, subuh bertemu maghrib bahkan bertemu subuh semula tidak bernokhtah caca marba yang hinggap. Gawatnya semakin meliar membunuh damai dan harmoni.Damai dan harmoni itu semakin terasing bila ada yang terikat kukuh pun ingin dirungkai atas pasak ego dan tidak memahami. Masing masing merasakan dia tidak boleh digugat dan dia sahaja mesti memimpin. Wibawa orang lain dicuriga ,wibawa sendiri dijaja walau tidak berpijak di bumi nyata.

Lantas teringatkah kita pada satu tahap kegawatan yang semakin dahsyat. Gawat yang tidak akan mampu diredakan oleh mana mana parti politik,kerajaan mahu pun NGO dan pertubuhan. Kebijaksanaan dan kehebatan manusiawi tidak akan berupaya sama sekali untuk menangani. Itulah kegawatan Hari Kiamat. Kalaulah Kegawatan dunia hari ini manusia bertempiaran hingga tiada tahu kemana arahnya.Bolehkah dibayangkan gawat Qiamah yang pasti akan datang.

Wahai Pemimpin Negara
Wahai Pemimpin parti Politik
Wahai Pemimpin Persatuan & NGO
Wahai siapa sahaja….
Renunglah FirmanNya.

1.  Aku bersumpah demi hari kiamat,
2.  Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)[1530].
3.  Apakah manusia mengira, bahwa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya?
4.  Bukan demikian, Sebenarnya kami Kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna.
5.  Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus.
6.  Ia berkata: "Bilakah hari kiamat itu?"
7.  Maka apabila mata terbelalak (ketakutan),
8.  Dan apabila bulan Telah hilang cahayanya,
9.  Dan matahari dan bulan dikumpulkan,
10.  Pada hari itu manusia berkata: "Ke mana tempat berlari?"

[1530]  Maksudnya: bila ia berbuat kebaikan ia juga menyesal Kenapa ia tidak berbuat lebih banyak, apalagi kalau ia berbuat kejahatan.

11.  Sekali-kali tidak! tidak ada tempat berlindung!
12.  Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali.
13.  Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang Telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya.
14.  Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri[1531],
15.  Meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.

Al Qiyamah : ayat 1-15

Selamat Memburu Lailatul qadar

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
20 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di

No comments:

Post a Comment