Pages

Friday, July 3, 2015

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 16)


Ramadhan : Mengutip Semangat Badar

Malam ini malam 17 Ramadhan mengingatkan kita kepada peristiwa besar yang berlaku kepada Rasullullah saw dan para sahabat pada tahun ke 2 hijrah. Peperangan badar yang terakam  dalam sejarah ulung generasi Al Quran yang cukup hebat. Peristiwa luar biasa yang sukar dimengertikan oleh pendewa aqal bukan pendamba wahyu. Bilangan tentera Islam berjumlah 313 berbanding tentera mushrikin mencecah 1000 orang . Tentera pimpinan Rasullullah telah membenam keegoan Mushrikin Mekah dengan menghadiahkan kekalahan mengaibkan kepada mereka. Benarlah firman Allah swt yangbermaksud :

“"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Al Baqarah :Ayat 249)

Mengimbau peristiwa badar, membangkit cemburu yang tidak akan terbalas kepada generasi awal Al Quran yang dipimpin oleh Rasullullah. Benar seperti yang diungkapkan oleh As Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah “Mustahil hari ini generasi seperti generasi awal yang dibentuk oleh Rasullullah akan lahir semula”. Kehebatan sahabat sahabat dalam kejituan Aqidah dan gembelingan kefahaman serta ketaatan menjadikan mereka adalah pejuang agama yang tidak ada tolok bandingnya.

Lihatlah diri Rasullullah dan para sahabat sebermula turunnya wahyu dan bermulanya kenabian,sengsara apa yang tidak ditanggung oleh Rasul saw dan para sahabat. Cacian,nista,ancaman,kekerasan,penghinaan bahkan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa telah meraka telan dengan penuh redha dan sabar. Perjuangan panjang yang dilalui semasa di Mekah pada anggapan kita mungkin akan berakhir dengan bermulanya era Hijrah dan bilangan penganut Islam semakin luas,namun segalanya meleset kerana sejarah terus menyaksikan Islam terus ditekan oleh musuhnya yang tersendiri. Benar sekali pesanan Allah swt yang bermaksud:

“ Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, Pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." mereka membinasakan diri mereka sendiri[644] dan Allah mengetahui bahwa Sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.”

At Taubah; Ayat 42

Betapa perjuangan menegakkan kalimah Allah berhadapan dengan bermacam cabaran dan menuntut kesabaran yang tinggi. Sejarah Rasul menunjukkan membawa Islam bermula dengan mengajak dan menyeru, dan ada ketikanya terpaksa berperang. Tuntutan itu dilaksanakan tanpa berbelah bagi  kerana  Aqidah dan keyakinan serta merupakan tanggungjawab agama yang mesti dilunaskan iaitu meletakkan hak Allah pada tempatnya.

Pertembungan di Badar adalah pertembungan antara hak dan batil ,pertembungan antara Islam dan Jahiliyyah sehingga tidak lagi dipedulikan hubungan kekeluargaan dan sahabat handai sekiranya maruah agama dan aqidah terjejas. Pertembungan ini benar benar membezakan antara mereka yang berharap kepada Allah dan mereka yang berharap kepada hidup dan kebendaan. Mereka yang mengharapkan Allah hilang ketakutan dan kegentaran berhadapan musuh manakala pendamba kehidupan dunia dan harta kegentaran menyelimuti diri sehingga bayang sendiri pun serasa bagai musuh yang ganas.

Kemenangan tentera Islam di Badar meninggalkan kita ibrah dan pengajaran yang amat besar dan bererti kepada kita.Antaranya:

1)      Keimanan dan keyakinan adalah kunci utama untuk mendapat Pertolongan allah swt.

2)      Kepimpinan yang baik adalah prasyarat untuk membawa sesuatu perjuangan kepada kejayaan. Kepimpinan Rasullullah memaparkan kepada kita betapa sahabat sahabat mampu berada di medan dengan penuh semangat tanpa ragu dan curiga untuk menggalas kemenangan.Persamaan antara pemimpin dan orang bawahan adalah akhlak Islam di mana Rasullullah turut serta berada dimedan dan mendedahkan diri kepada resiko.

3)       Pengorbanan dan semangat jihad yang tinggi. Perjuangan memerlukan mereka yang ikhas dan sanggup bekorban bukan mereka yang bacul dan penakut.

4)      Berdisiplin; disiplin dan patuh kepada arahan pemimpin dengan ketaatan yang tinggi serta wala’ akan menjadikan perjuangan sentiasa berada pada landasan dan matlamatnya. Kepentingan diri dapat dielakkan. Peraturan peraturaan yang ditetapkan Allah swt mesti dipatuhi dan mestilah menyedari dalam perjuangan  “matlamat tidak menghalalkan cara”.

5)      Keampuhan doa. Doa adalah senjata Orang orang mukmin. Sehebat mana sekalipun usaha kita,selicik mana sekalipun strategi kita, kehebatan dan pertolongan Allah adalah yang paling tinggi tiada siapa dapatmenendingnya.

Semoga semangat pejuang dan Syuhada’ Badar terus mengalir dalam jiwa dan ruh kita untuk terus menggaas amanah dan tanggungjawab meletakkan Kalimah Allah pada kedudukannya.

ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
16 Ramadhan 1436

Tazkirah juga boleh diikuti di

No comments:

Post a Comment