Pages

Tuesday, July 15, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (17) Edisi Khas Nuzul Quran



GENERASI AL QURAN YANG UNIK

Assyahid sayyid Qutb menyebut dalam bukunya “Petunjuk sepanjang jalan”; “Dakwah Islamiyyah telahpun melahirkan satu generasi manusia generasi sahabat  Raullullah saw,Ridwanullahi alaihim,iaitu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya.Generasi ini tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu.”Walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah,tetapi tidak lahir lagi segolongan besar manusia,di satu tempat yang tertentu pula seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama dari penghidupan dakwah ini”.

Ini adalah fakta yang tidak boleh kita sangkal lagi. Sumber yang menjadi pegangan generasi ini iaitu Al Quran dan sunnah masih berada bersama kita yang lansung tidak terjejas dengan perubahan masa dan sejarah.Cuma yang tiada bersama kita ialah batang tubuh Rasullullah. Keberadaan batang tubuh rasullullah tidak menjadi syarat kewajipan dakwah ini.Rasullullah menjelaskan kepada kita menerusi sabdaNya yang bermaksud:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang dengannya kamu tiadak akan sesat untuk selama lamanya,itulah Kitab Allah dan sunnahku”

Dalam keadaan ketiadaan batang tubuh Rasullulah dalam menemani perjalanan dakwah kita Allah memberi jaminan untuk memelihara Al Quran.Allah mengetahui dakwah ini boleh ditegakkan selepas zaman Rasullulah saw, maka Allah mewafatkan Rasullullah setelah 23 tahun membawa dan memahamkan Alquran kepada generasi pertama Al Quran yang unik itu.Apa yang pasti Allah akan tetap memelihara agamanya sampai hari Qiamat.Justeru ketiadaan Rasullullah bersama kita tidak boleh dijadikan alasan kegagalan usaha dakwah kita.

Cuba kita selidik apakah yang menjadikan generasi pertama Al Quran yang dibentuk oleh Rasullullah ini Berjaya meletakkan dakwah pada kedudukan yang paling tinggi dalam sejarah dunia dan peradaban.

Pertamanya ;mereka menjadikan sumber pokok yang dicedok ialah Al Quran sahaja.Perjalanan dan akhlak nabi itu sendiri adalah Al Quran.Sebagaimana Aisyah r.a apabia ditanya tentang akhlak rasullullah saw,beliau menjawab “Kelakuan dan perjalanan hidup baginda adalah Al Quran”

(Hadis Riwayat An Nasaie)

Al Quran sahajalah yang menjadi rujukan mereka,bukan bermakna ketika itu tiada tamadun dan peradaban bahkan ada, sebagaimana hebatnya tamadun Rom dan Parsi, tetapi Rasullullah sebagai juru pandu mengarahkan semata mata Al Quran perlu dimasukkan ke dalam jiwa para sahabat untuk melahirkan jiwa yang bersih dan suci sebagai teladan sepanjang zaman.

Persoalannya hari ini sumber utama ini dimasuki dan diresapi oleh falsafah Yunani,cara berfikir dan lojiknya,dongeng dongeng dan pandangan hidup bersumber aqaliah,Israiliat,falsafah ketuhanan ala Kristian dan barat yang bercampur baur dalam tafsiran dan ilmu kalam.Natijah malangnya kadang kadang ilmu ilmu dan resapan falsafah ini lebih dihayati oleh orang Islam berbanding orang Barat sendiri.


Keduanya; faktor yang membawa kejayaan generasi sahabat ,mereka mendampingi Al quran bukan tujuan untuk mencari pelajaran dan bukan sebagai bahan bacaan dan bukan sebagai hiburan dan panglipulara.Tidak seorangpun yang belajar Al quran untuk menambah pengetahuan dan akademik  semata mata.Mereka belajar Al Quran itu dengan maksud hendak belajar bagaimana arahan dan perintah Allah dalam urusan hidup peribadi,masyarakat juga urusan hidup mereka sendiri serta masyarakat mereka sendiri.Mereka belajar untuk dilaksanakan serta merta tanpa bedolak dalik dan memikir logika dan rasional semasa.

Benarlah Firman Allah yang bermaksud:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Al Ahzab : 36

Ketiganya ; Faktor kejayaan generasi sahabat sebagai generasi mithali adalah berpunca daripada kesediaan mereka untuk melenyapkan jahiliah dalam diri dan kehidupan mereka seluruhnya. Mereka telah memisahkan jahiliah dari sudut perasaan mereka apabila berada dalam suasana baru,agama baru iaitu Islam.Tidak ada sekelumit pun simpati dan belas kasihan keada jahiliah.Bagi mereka masa lampau yang mereka tinggalkan ada terlalu kotor untuk dikenang. Hal hal yang berkaitan adat resam,kebudayaan dan yang utama kepercaan dan tauhid dilontar jauh dari sudut hati da perassan mereka.

Hari ini kita berada di tengah tengah jahiliah seperti jahilah diawal kedatangan Islam dahulu bahkan tidak keterlaluan kalau dikatakan lebih teruk lagi.Aspek kebudayaan,kepercayaan,amalan,perundangan dan segalanya tidak lagi meletakan Islam sebagai pegangan sebaliknya mendewakan Jahiliah sebagai kehidupan dan tatacaranya.

Pada hari ini kita berbicara tentang “nuzul Al quran” marilah kita jadikan faktor faktor yang dinyatakan sebagai pembakar semangat untuk meleburkan Jahiliah.Walaupun kita tahu kita tidak akan setanding dengan generasi Awal Al Quran tetapi kita mampu untuk mewarnai zaman dengan acuan Al Quran dan melenyapkan jahiliah dengan melaksanakan titah perintah Allah dengan penuh amanah dan tangjawab serta semangat jihad yang tebal.

Wallah hu a,alam


Abd Wahid Zainol Abidin
K.Lajnah Tarbiah PKHL. 17 Ramadhan 1435

No comments:

Post a Comment