Pages

Thursday, July 10, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN 11




DOA DAN KEAMPUHANNYA

Awal pagi tadi juraian airmata kepiluan penyokong bolasepak Brazil membasahi pipi mereka lantaran digigit, diratah dan dibelasah oleh pasukan Jerman dengan 7 gol bebalas 1. Namun kepiluan mereka tidak akan dapat menyamai kepiluan saudara kita di GAZA lantaran dibedil dan dilanyak oleh Laknatullah Israil.Saya percaya perasaan itu dan kepiluan itulah juga yang menghuni di lubuk hati kita ketika ini.

Kepiluan dan sesedihan itu menuntut wehdah rasa daripada seluruh khalayak muslimin dan muslimat seantero mukabumi Allah ini. Menjejakkan kami ke bumi mereka mungkin kita tidak mampu, namun kebersamaan itu boleh diungkap dengan titipan doa daripada kita seluruhnya.Mungkin di kalangan kita ada insan insan yang dipandang oleh Allah munajat dan permohonannya.

Muslim dan doa tidak sepatutnya dipisahkan.Doa adalah ibadah yang juga terkandung dalam kurikulum Allah swt. Lambang kehambaan akan terjelma apabila ia meminta sebagai tanda pengharapan,penyerahan dan pengaduan. Sebaliknya meraka yang enggan,malas serta memandang rendah tentang doa kebarangkalian mereka adalah hamba yang tidak menyedari Allah swt sebagai Maha kurnia yang tidak miskin dengan pemberian dan kerahmatan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Al Baqarah :186

Suatu perkara yang perlu disedari memohon kepada Allah bukan sahaja di saat kita tiada memili sesuatu,bukan sahaja di saat kita kesempitan sesuatu sebaliknya doa perlu dititipkan sentiasa sebagai tanda pengabdian seorang hamba kepada Tuhannya.

Kehadiran ramadhan ini masa untuk kita mempertingkatkan permohonan kepada Allah swt.Kala nafsu ditundukkan dengan puasa dan dan segenap jiwa diserahkan kepada yang Esa pohonlah dengan hati yang rendah dan khusyuk. Perbanyakkan untuk meminta

“ Allahhumma tuhan yang memiliki pengampunan dan suka memberi pengampunan ,Ampunilah kami”

Marilah dalam simpuh penuh kehambaan kita rendahkan diri di hadapan Rabbuljalil, bersama kesyahduan Ramadhan titislah airmata keinsafan dalam munajat dipertiga malam, lantunkanlah ingatan dan kebersamaan untuk saudara kita yang tertindas,yang dizalimi dan disakiti. Semoga kasih sayang Allah melingkungi kita .Amin Ya Rabbal Alamin.

Al fatihah Untuk Syuhada’ Di Gaza.

No comments:

Post a Comment