Pages

Saturday, July 19, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (21)



AL QADR & MUJAHADAH KEHAMBAAN

Ramadhan yang kita lalui telah semakin merangkak meninggalkan kita.Dua pertiga Ramadhan telah kita tinggalkan. Bagi pencinta Ibadah semestinya rasa sayu ditinggalkan Ramadhan semakin terasa.Namun di sebalik kesayuan itu kita dihidangkan dengan tawaran hebat 10 akhir Ramadhan yang menjadi kemuncak kembara mencari kurniaan Allah dalam pesta ibadah ini.
Lailatul Qadr menjadi buruan bagi setiap pecinta ibadah.Keyakinan kepada kurniaan keistimewaan tawaran Allah ini ditekuni dengan penuh harapan agar bertemu dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan . Firman Allah swt yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”
AL Qadr :1-3

Beribadah untuk mengejar kurniaan malam istimewa ini mestilah mempunyai prasyarat prasyarat tertentu.Prasyarat utama mestilah iman dan keyakinan.Apabila  kita tinjau tawaran yang dinyatakan oleh Allah tentang beribadah satu malam lebih baik dari seribu bulan,apakah di sana semua kalangan kita meyakini atau masih ada sebilangan besar yang meremehkan tawaran ini.

Apabila kita singkap apa sahaja ibadah yang Allah syariatkan semestinya ada kaitan dengan takwa yang ingin diuji oleh Allah.Malam Al Qadar yang menjadi tawaran besar Allah kepada Umat Muhammad adalah medan untuk diuji sejauhmana keyakinan, pada masa yang sama menguji bagaimana tahap kecintaan kita untuk bersimpuh beribadah kepada Allah dengan penuh ketundukan.

Hairan ,bagaimana tawaran yang hebat ini sesetengah kita lansung tidak mempedulikannya dan menganggap tawaran ini bagaikan tiada harga.sebenarnya menghidupkan ibadah pada masa yang penuh keistimewaan ini ada ruang untuk manusia membuktikan kehambaan kepada Allah swt.Allah swt akan bermegah dengan hamba hambaNya yang bangun di pertiga malam untuk sujud dan membesarkanNya. 

Ketekunan manusia beribadah dan membesarkan Allah mengundang kehairanan kepada Malaikat, bagaimana makhluk yang bernama manusia yang disangsikan oleh mereka di saat ingin diciptakan Allah boleh menjadi makhluk yang cukup patuh dan sentiasa memuji Tuhannya.Apabila malaikat melihat amalan manusia yang menghidupkan malamnya dengan membesarkan Allah,maka malaikat mengadu kepada Allah swt,lantas Allah berfirman memulangkan paku buah keras kepada malaikat “Inni A’alamu ma laa ta’alamunn”. Inilah yang terakam dalam Firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Al Baqarah :30

Marilah kita bersama sama membuktikan kehambaan kita dengan mengutamakan tawaran Allah swt ini.Semestinya dugaan akhir ramadhan ini amat besar,apatahlagi tawaran keduniaan dan tawaran jual murah manusia yang amat mengiuran kita di luar sana.Namun hamba yang tidak mudah ditipu oleh dunia akan terus meletakkan keutamaan mendakap kasih sayang Allah berbanding kegembiraan dunia yang sementara dan penuh tipuan.

Jangan kita lupa bersama ungkap munajat kita,tuluskan hati dan runtunlah keampunan dengan sesungguhnya serta rayulah pada pemilik dunia dan isi dunia seluruhnya ,Allah Rabbuljalil untuk menghulurkan nusrah dan bantuanNya kepada saudara kita yang dizalimi di seluruh dunia amnya dan khususnya saudara dan ikhwan kita di Gaza,palestin.

Amin Ya Rabbal Alamin

Abd wahid Zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL.21 Ramadhan 1435

Tazkirah boleh dibaca di http://islampenyelesaian.blogspot.com

No comments:

Post a Comment