Pages

Monday, July 21, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (23)



HIDUP BERKEBAJIKAN

Sebagai manusia yang memegang panji panji Islam hidup tidak akan bermakna jika setiap pekerjaan,pemikiran dan perasaan tidak dilandaskan kepada makna kebajikan. Kebajikan adalah amalan yang lahir dari  kombinasi iman dan takwa. Kebajikan juga bukan sesuatu yang diputuskan oleh akal dan bukan pula sesuatu yang ditetapkan oleh manusia. Kebajikan adalah taklifan dari pencipta kepada hamba kerana kebajikan itulah yang nanti akan memberatkan timbangan ketika bertemu tuhan yang mencipta dan yang selayaknya disembah.

Kebajikan bukan sekadar dijengah pada pandangan kotak akal dan kelegaan naluri semata mata tetapi kebajikan diukur pada pengakuan Allah swt dan keredhaanNya.Banyak perkara yang manusia suka,minat dan cenderung melakukannya tetapi di sisi Allah bukan suatu kebajikan walaupun sesetengahnya riuh rendah melobi untuk diiktiraf sebagai kebajikan.

Allah swt menjelaska dalam firmanNya hakikat atau makna kebajikan melalui surah Al Baqarah  ayat 177 yang bermaksud:

Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan salat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.”

Muslim yang sejahtera dan dilingkungi iman akan sentiasa mengintai ngintai ruang kebajikan untuk dilaksanakan.Mereka generasi “Kami dengar dan kami patuh” mereka juga generasi yang rela berada di posisi siap siaga pada waktu susah dan pada waktu senang.Apabila makna kebajikan difahami tiada lagi di sudut hati pengharapan pada dunia yang menipu sebaliknya dipersembahkan untuk menggamit kasih Allah swt.

Kalaulah setiap kita memahami makna ayat yang dinyatakan di atas tiada ruang kehidupan yang akan terlepas dari makna kebajikan namun yang menjadi permasalahan adalah ketidakfahaman dalam penerimaan erti ibadah.Justeru kita saksikan ramai orang yang berpolitik misalnya tetapi tersasar dari makna kebajikan kerana semata mata mendapatkan kuasa untuk kepuasan duniawi dan memperkukuhkan sokongan manusia sehingga lupa erti mendapatkan kuasa untuk “Iqomati deen wa siasatun dunya Biih” Menegakkan agama dan urusan dunia dengan agama.

Contoh yang lain kisalnya ,ramai orang yang menghantar anak mereka menuntut ilmu sehingga membelanjakan wang ringgt yang banyak,namun berapa ramai di kalangan mereka mengetahui keutamaan ilmu dan apa pula tanggungjawab ilmu.bahkan ramai yang mencari ilmu bertujuan untuk membina ruang mencari pendapatan semata bukan mengeluarkan kehidupan jahil kepada kebenaran.

Hanya sanya mereka yang dilorongkan untuk mengerti hakikat kehambaan sahaja akan bersungguh sungguh menunaikan kebaktian yang Allah syariatkan sama ada yang berbentuk fardhu,rukun atau nawafil.semoga dengan madrasah Ramadhan yang sudah hampir selesai kita lalui memberi makna mendalam tetang hakikat kebajikan sebenarnya untuk kita.

Ingatlah sabda Rasullullah saw yang bermaksud:
“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia.”

(Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi).

Abd Wahid Bin Zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL. 23 Ramadhan 1435

Tazkirah juga boleh di baca di http://islampenyelesaian.blogspot.com

No comments:

Post a Comment