Pages

Tuesday, July 22, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN( 24)



RAMADHAN :BERJAYAKAH KAMI MELEPASI RINTANGAN

Hari ini agal lewat untuk saya tarikan jari jemari untuk menitip kalimah sebagai perkongsian tazkirah harian sepanjang ramadhan ini.Kurang lebih setengah jam lagi waktu iftar saya masih terkial kial mencari ayat perkongsian untuk dikongsi bersama.Lantas saya teringatkan apa yang dipersembahkan oleh Imam Al Ghazali menerusi kitabnya “Minhajul Abidin” berkaitan halangan halangan atau “awaiq” yang mesti dilalui oleh manusia sepanjang kembara mencari makna hamba.

Elok kiranya pada kesempatan saki baki ramadhan yang semakin menggamit pilu perpisahan saya titipkan rintangan yang dinyatakan oleh Al ghazali sebagai medan muhasabah kita bersama sepanjang melalui Ramadhan apakah rintangan rintangan itu bias kita lalui dengan jayanya atau perlu kepada penambahbaikan

Rintangan Pertama: Dunia dan Isinya.

Keinginan manusia kepada dunia dan isinya tidak kita sangkalkan lagi.Ramai di kalangan khalayak sukar untuk melepasi dugaan dan kecintaan kepada dunia dan isinya ini.Keinginan untuk mewah dan kecenderungan untuk mendapat pujian pada pandangan dunia menjadi penghalang dan rintangan untuk kita meletakkan kehambaan pada landas yang selamat.
Kecintaan kepada dunia inilah yang dinyatakan oleh Nabi saw sebagai “Al wahnu” Cinta kepada dunia dan pada masa yang sama takut kepada kematian dan perjuangan.semoga ramadhan Berjaya mengasuh kita meletakkan dunia dan isinya pada kadar yang sekadar perlu bukan keutamaan yang diutamakan.

Rintangan Kedua :Makhluk

Rintangan ini juga tidak kurang hebatnya.Makhluk sama ada jin atau manusia menjadi penghalang dan rintangan besar juga dalam perjalanan kita mencapai “saadah” (kebahagiaan ) di dunia dan akhirat.Makhluk manusia terutamanya seringkali menjadi musuh yang menghalang kita untuk Berjaya. Manusia kafir sentiasa memerangi, manusia munafik pula sentiasa membenci, manakala di kalangan muslim sendiri ada yang iri dan dengki .Halangan ini jika tidak dilalui dengan berhati hati dan bersiap siaga maka hidup akan punah ranah.Allah swt berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). 
"
At Taubah : 24

Rintangan ketiga: Iblis (Syaitan)

Rintangan ini semua khalayak makruf sejak kejadian adam lagi dia telah memusuhi dan benjanji untuk menyesatkan anak adam sehingga ke hari akhirat. Iblis tidak akan pernah jemu berusaha menyesatkan anak Adam bermacam macam usaha akan dilakukan agar nilai patuh kita terhakis jauh daripada Allah swt. Seluruh kita perlu dan wajib selalu membina benteng kekuatan diri berhadapan musuh ini.hanya sanya mereka yang mendekati Allah dan sentiasa menjadikan Allah sahaja sebagai pelindung akan Berjaya dari hasutan jahat Iblis dan syaitan ini.

Syaitan sentiasa berusaha menjadikansetiap amalan kita sia sia dan tidak dinilai sebagai pahala di sisi Allah.Kalaupun dia tidak mengganggu kita untuk berbuat ibadah dia akan meniupkan was was dan riak kedalam hati kita.

Ingatlah antara banyak firman Allah menyebut tentang tingkahlaku Syaitan yang menghalang kita ini menerusi firmanNya yang bermaksud:

“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Al Baqarah :268

Halangan ke Empat: Nafsu

Halangan dan rintangan ini adalah rintangan yang paling bahasa kerana seringkali manusia tidak menyedari bahawa dirinya sedang dikendalikan atau dipesongkan oleh nafsunya sendiri.Nafsu yang mendiam di dalam diri ,beada paling hamper kepada kita sering mendorong untuk tidak berbuat taat.Maka beruntung mereka yang dapat menguasai diri dari diruntun nafsu yang akhirnya membawa kejayan dan merugilah mereka yang tidak dapat menewaskan nafsu yang akhirnya bertemankan derita di akhirnya.

Bersama kehadiran Ramadhan dalam suasana munajat kita tingkatkan di sepuluh malam terakhir ini berdoalan agar kita tergolong mereka yang suci nuraninya dan jiwanya dari nafsu yang menggila.Firman Allah yang bermaksud:

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

As syams : 7-10

Abd wahid Zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL.24 Ramadhan 1435

Tazkirah juga boleh di baca di http://islampenyelesaian.blogspot.com

  

No comments:

Post a Comment