Pages

Thursday, July 24, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (26)



ANTARA DUA PERMUSAFIRAN

Hari ini sudah 26 Ramadhan.Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita.Sedih,pilu mula berkaca pada matahati hamba hamba yang rindukan dakapan mesra Ramadhan.Alangkah indahnya jika Ramadhan ini bersambug lagi dan lagi.Bersama Ramadhan yang semakin berlari meninggalkan kita,bagi diri anak rantau yang berada di permukiman kerjaya atau permukiman ilmu ingatan kepada kampung halaman akan diterjemahkan dengan permusafiran untuk kembali ke kampung halaman yang sentiasa di hati.

Musafir menuju destinasi yang kita dirindui dan dinanti saatnya adalah musafir yang amat bermakna.Persiapan perjalanan dan bersiap siaga dengan bekalan serta keperluan adalah kemestian agar perjalanan dan permusfiran tidak terganggu atau kesulitan yang mungkin timbul boleh dibereskan dengan sebaiknya.

Permuafiran di dunia yang kita lalui jika demikian sifatnya ,ada halangan dan perlu persiapan serta bekalan,apatahlagi permusafiran akhirat yang terlebih aula (utama) untuk mengadakan persiapan dan menyediakan bekalan dengan sebaiknya.Firman Allah swt yang bermaksud:

. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.”

Al Baqarah :197

Permusafiran kita di dunia untuk menuju akhirat, kita berdepan keterbatasan waktu yang mesti digunakan dengan sebaiknya tanpa lengah.Kesempatan menyediakan belakan untuk permusafiran itu juga terbatas dan amat sempit waktunya.Sabda Nabi Saw yang bermaksud:

“Hiduplah di dunia seperti  orang asing atau musafir”

HR.Bukhori

Ramadhan ini elok juga kita berbicara dan bermuhasabah tentang bekalan dalam permusafiran kita menuju negeri yang kekal abadi.Ketika kita bermusafir dalam menuju destinasi dunia jelmakan juga diminda tentang musafir akhirat yang perlu persiapan rapi.Antara persiapan permusafiran akhirat untuk tatapan bersama tidak lain tidak bukan ialah persiapan iman.Sifat sifat bekalan iman itulah yang perlu difokuskan oleh setiap kita;

a)      Pastikan bekalan Iman  sentiasa bersih dengan bertaubat

Taubat adalah sifat yang perlu sentiasa ada dalam diri setiap muslim dan sifat ini mengajar setiap kita supaya sentiasa berhati hati terhadap maksiat dan salahlaku terhadap Allah.Memikirkan dosa sendiri terlebih utama dari memikir dosa orang lain atau dosa musuh. Apabila terbabit dosa dan maksiat hendaklah bersegera memohon keampunan (taubat) kepada Allah swt.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa;”

Ali Imran :133


b)     Gilaplah bekalan iman dengan beribadah

Manusia diikat dirinya dengan Allah swt dengan ibadah yang disyariatkan.manusia yang abid adalah manusia yang sentiasa mempastikan dirinya sentiasa beribadah kepada Allah swt dalam segenap gelak gerinya,pemikirannya,perbuatannya,pertuturannya bahkan apa sahaja yang ada pada dirinya mestilah dalam kerangka ibadah kepada Allah. Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah keada ku”

Al zariyat: 56


c)      Tuluskanlah makna iman dengan menjadi hamba yang sentiasa memuji Allah(Al hamidun)

Hamba Allah yang sedar adalah hamba yang sentiasa bersyukur atas apa yang dikurniakan oleh Tuhannya.Mereka sensitif terhadap nikmat Allah.Lidah mereka ringan untuk memuji kurniaan yang dinikmati manakala tubuh dan anggota patuh dan tunduk kepada seluruh titah perintah sebagai menefestasi kesyukuran kepada Allah swt.

Jadilah hamba yang sentiasa memuji dan besyukur kepada Allah di kala senang dan ketika susah kerana itulah sikap dan sifat hamba yang sebenar.Inilah manusia yang dinyatakan oleh Rasullullah saw menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Amat menakjubkan keadaan hidup orang orang mukmin (di mana) seluruh urusannya membuat kebaikan bagi dirinya.sekiranya ia mendapat kegembiraan ia bersyukur,maka ia mendapat kebajikan dengannya.Sekiranya dia ditimpa kesusahan dari ujian dan bencana ia bersabar,maka ia mendapat kebajikan daripadanya.Keadaan ini tidak terdapat dalam kehidupan manusia lain kecuali bagi orang mukmin sahaja”


d)     Segarkanlah Iman dengan mengembara melihat kebesaran Allah

Menyegarkan iman dan menyuntik kepedulian dengan melibatkan diri dengan pengembaraan pemikiran, hati dan perasaan dengan memerhati ciptaan Allah swt.Merenung dan berfikir tentang ciptaan Allah swt yang maha hebat semestinya akan menyegarkan iman dan menatijahkan  hati yang tenang dengan keyakinan yang mendalam.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

Ali Imran :190-191

e)      perkukuhkan bekalan Iman dengan Rukuk dan sujud

Setiap muslim menjadi manusia yang sentiasa mengambil berat tentang hubungannya dengan Allah swt . Manusia yang rukuk dan sujud adalah mereka yag sentiasa menghubungkan dirinya dengan tuhannya.Mereka memelihara solatnya samaada fardhu atau nawafil.Mereka sentiasa merasa kerdil terhadap tuhannya dalam semua keadaan berdiri ,duduk atau berbaring.Firman Allah yang bermaksud:

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

An Nur: 37



f)       Semarakkan Iman dengan Amar makruf nahi Mungkar

Tugas sihamba yang paling utama juga ialah tidak mengabaikan amanah untuk menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran.Muslim mesti sentiasa peka dengan kewajipan ini agar kemurkaan Allah swt tidak menimpa kita dan kebinasaan tidak menghukum kita.Ingatlah ada kaum yang dibinasakan Allah swt lantaran mengabaikan solah amar maaruf nahi mungkar. Firman Allah swt yang bemaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Ali Imran : 104



g)      Betengi bekalan iman dengan memelihara sempadan Allah

Menjadi tugas kita seluruhnya untuk melaksanakan segenap arahan dan perintah Allah swt sama ada perintah itu kita suka atau tidak, memberi untung dunia kepada kita atau tidak. Perintah ini mestilah dilaksanakan dengan sesempurna mungkin.Tiada kompromi untuk menidakkan ketetapan Allah swt sekalipun ditawarkan dengan kemewahan dan habuan dunia yang enak pada kehendak dan nafsu.Hayatilah firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Al Ahzab:36

Semoga permusafiran kita di dunia Berjaya sampai ke destinasinya dengan penuh kemanan dan bahagia.Harapan lebih utama permusafiran kita ke negeri abadi moga tiada halangannya untuk kita kecapi erti bahagia yang hakiki.

Berhati hati dalam perjalanan waktu.Moga tiada penyesalan dalam mengemudi perjuangan.

Wassalam

Abd Wahid Zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL.26 Ramadhan 1435

Tazkirah boleh juga dibaca di http://islampenyelesaian.blogspot.com

No comments:

Post a Comment