Pages

Sunday, July 13, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (15)



MAMPUKAH KITA MEMILIKI SIFAT IBADURRAHMAN?
(SIRI 1)

Muslim yang sejati semestinya menjadikan hari hari yang dilalui adalah penuh kebaikan dan sering mengutamakan pandangan Allah dalam setiap pekerjaan dan pemikirannya. Bermuhasabah tentang kekurangan,kelompangan atau acuh tidak acuh dalam meniti kehidupan amat perlu agar tidak mengheret kepada kesudahan perjalanan yang sia sia.

Sekian banyak panduan yang Allah swt titipkan dalam firmanNya bagi memandu kita ke arah menjadi hambaNya yang sentiasa dalam keredhaan. Menerusi surah Al Furqan Allah menyatakan tentang sifat sifat Ibadurrahman yang perlu menjadi panduan dan petunjuk untuk kita semua.

a)      Tuntutan merendahkan diri di muka bumi Allah swt ; sebagai hamba yang menyedari kekurangan diri, adalah menjadi tuntutan untuk berjalan di muka bumi dengan penuh ketundukan dan menjauhkan diri daripada sikap bongkak dan menyombongkan diri. Riak dan ujub juga antara lanjutan daripada sikap tidak menyedari kedudukan diri sebagai hamba Allah. Manusia juga dituntut untuk tidak menyombongkan diri sesama manusia. Sikap manis muka,bersopan santun dan saling hormat menghormat adalah sifat mahmudah yang melayakkan seseorang digolongkan di kalangan “Ibadurrahman”. Allah menyatakan dalam firmanNya yang bermaksud :

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini”

Al Furqah : 63

Menerusi ayat ini juga bagi melengkapkan ciri ciri Ibadurrahman kita disaran berhikmah berurusan dengan mereka yang jahil dan tidak beradap. Kaedah layanan kepada golongan ini mestilah tidak mengeruhkan lagi suasana.jangan kita menjadi jahil dengan kejahilan orang lain. Sebaliknya kebebalan mereka perlu ditangani secara orang yang bijaksana dan mencerminkan seorang dai,e yang sentiasa berjiwa besar.

Sememangnya diakui sukar berhadapan dengan golongan jahil ini apatahlagi ketika berdebat. Imam Syafie Rahimahullah berkata “aku lebih mudah berhujah dengan 10 orang yang berilmu berbanding dengan seorang yang jahil”

Meneladani kata kata ini perlu diingatkan bukan semua orang jahil perlu dilayan untuk berdebat sebaliknya tinggalkan mereka daripada medan lebat lebih baik dan mendamaikan keadaan dan suasana.

b)      Tekun beribadah kepada Allah (Terutamanya di waktu malam); setiap kita yang ingin memiliki ciri ciri “ibadurrahmah” semestinya fokus dalam ibadah dan bersungguh sungguh,penuh mujahadah dan pengharapan. Allah swt menekankan bagaimana seorang hamba dituntut untuk menghidupkan malam dengan banyak bersujud dan qiam membesarkan Allah swt.Firman Allah swt yang bermaksud:

. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri”

Al Furqan: 64

Ciri inilah yang menjadi kemegahan Allah terhadap hamba hambanya bila ada di kalangan hambaNya yang bagun di kala malam untuk beribadah sedangkan orang lain sedang lena berdengkur diulit mimpi. Fenomena hamba yang menghidupkan malam ini juga menimbulkan ketakjuban malaikat terhadap manusia sehingga Allah memulangkan paku buah keras kepada malaikat ketika kesangsian para malaikat terhadap penciptaan Manusia sebagai khalifah. Allah menyebut hal ini menerusi FirmanNya yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Al Baqarah : 30

Kesempatan yang Allah berikan dalam bulan mulia ramadhan ini amat baik untuk kita membudayakan ibadah bangun malam untuk mencari makna ketinggian diri di sisi Allah swt.


c)      Sering berdoa dihindarkan neraka dan merasakan ngerinya azab; Seperti yang telah dinyatakan dalam siri lalu tentang keampuhan doa sebagai senjata, seluruh khalayak kita mesti mengamalkan sifat ini dalam kehidupan. Neraka Allah yang dahsyat tidak akan mampu kita hadapi jika dicampaknya ke dalamnya,justeru itu kita wajib sentiasa bermohon agar dijauhkan dari neraka dan azabnya.

Ciri ini dinyatakan oleh Allah menerusi FirmanNya yang bermaksud:

“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab Neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan.”

Al Furqan :

Justeru kita mestilah sentiasa sedar dan berjuang agar dijauhkan dari mala petaka azab ini. Apatah lagi jika kekal manjadi penghuni neraka yang akan berhadapan dengan azab yang tidak kunjung henti selama lamanya.

Sedarkah kita ketika solat taraweh kita sering berdoa dan doa ini diminta untuk kita perbanyakkan pada bulan ramadhan

"اللهم انا نسئلك رضاك والجننة ونعوذ بك من سختك والنار"
           
            Ya Allah ya Tuhan kami, kami pohon kehadratMu akan redhaMu  dan kami pohon dikurniakan     
             Syurga dan kami mohon perlindunga ke hadratMu dari kemurkaanMu dan dari nerakamu”

اللهم انك عفو الكريم تحب العفوى فاعف عنا
Ya Allah di sisi Mu sifat pengampun dan gemar memberi Ampun, maka ampunilah kami.


Abd Wahid Zainol Abidin
K.Lajnah Tarbiah PKHL. 15 Ramadhan 1435

No comments:

Post a Comment