Pages

Monday, July 14, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (16)



MAMPUKAH KITA MEMIIKI SIFAT IBADURRAHMAN
(SIRI 2)

Semalam kita berkesempatan berkongsi sebahagian sifat sifat “ibadurrahman” yang dinyatakan oleh Allah menerusi surah Al Furqan. Insyaallah hari ini kita sambung ciri ciri tersebut semoga mampu kita hayati dan praktikkan sedaya mungkin agar hasilnya dikecapi dengan penuh kejayaan.

d) Bijak berbelanja dan menguruskan harta;

Allah mengajar dan mengingatkan kita tentang budaya “infak” atau berbelanja harta secara berhemah. Sikap tidak berlebih lebihan dan tidak membazir wajib diambil kira ketika berbelanja. Sifat berlebih lebihan dan boros adalah amalan dan kegemaran syaitan. Pada masa yang sama Allah mengingatkan agar tidak terlalu kedekut di dalam berbelanja dan menggunakan harta benda. Segalanya mesti dipetimbangkan secara saksama, “tidak boros dan tidak kedekut” sebaliknya besederhana dalam bebelanja.

Allah berfirman yang bermaksud:

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Al furqah : 67

e) Menghindari dosa besar;

Menerusi surah Al Furqan ini juga Allah menjelaskan sifat hamba hamba yang diredhai (Ibadurrrahman) adalah meeka yang menghindari dosa dosa besar.penjelasan tentang dosa besar ini banyak terdapat dalam kitab kitab tafsir dan menghindari dosa besar ini perlu dan mesti diutamakan bagi mengelakkan kita mendapat murka Allah swt yang berpanjangan,menghalang amalan untuk diterima Allah dan nanti di akhirat kekal dalam siksaan Allah swt.

Firman Allah yang bermaksud :

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;”

Al Furqan :68


Dosa dosa besar yang dinyatakan oleh Allah menerusi Surah ini antaranya ialah :

i)               Tidak mensekutukan Allah dengan sesuatu; Syirik adalah sebesar besar dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah swt
ii)          Membunuh ;Sama ada membunuh orang lain dengan tidak sebenar atau membunuh diri sendiri
iii)         Berzina; dosa zina dalam masyarakat kita hari ini berleluasa bagai tanpa sempadan maka perlu kita nilai apakan layak kita menjadi masyarakat yang diredhai Allah.
iv)         Bersaksi palsu: hari ini budaya menuduh tana bukti dan bersaksi dengan kepalsuan berlaku tanpa memikirkan natijah kebencian Allah swt atau akan mengakibatkan kita hilang dari rahmat kasih saying Allah angkara keterlibatan dengan larangan dosa besar ini.


Pesanlah kepada diri kita ketika berada dalam bulan yang penuh kerahmatan ini untuk membenci dosa dosa besar ini.Lihat sahaja pembunuhan yang berlaku di serata dunia umat Islam dengan begitu rakus sekali ,seolah olah lazatnya daging umat ini.sekurang kurangnya tanamlah rasa benci yang menebal dalam sanubari terhadap tindakan zalim oleh musuh musuh Allah itu.

f) Peduli dan sensitif dengan peringatan Allah swt;

Allah juga mengingatkan ciri ciri hamba yang diredhai (Ibadurrahman) adalah orang orang yang cakna dan sensitif dengan peringatan Allah.Mereka tidak menjadi golongan buta, pekak dan tuli apabila mendengar peringatan Allah swt. Allah menyatakan dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.”

Al Furqan : 73

g) Berdoa untuk kesejahteraan Insan lain;

Allah juga menyatakan mereka yang layak menjadi hamba yang diredhai ialah orang orang yang sering berdoa bukan shaja untuk diri mereka tetapi berdoa untuk kesejahteraan orang lain. Perkara mudah yang tidak boleh dipandang remeh tentang hal ini. Marilahlah berdoa dengan penuh keikhlasan sebagai menyahut seruan ini. Hayatilah firman Allah yang bernaksud:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

Al Furqan :74

Jangan lupa untuk terus berdoa untuk kesejahteraan ibubapa kita,saudara mara kita dan seluruh saudara islam kita walau dimana mereka berada sama ada yang masih hidup,yang masih berjuang atau terlebih dahulu meninggalkan kita.

Al Fatihah

Ustaz Abd Wahid Zainol Abidin
      K.Lajnah Tarbiah PKHL. 16 Ramadhan 1435

No comments:

Post a Comment