Pages

Sunday, July 13, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (14)



JIWA KEMANUSIAAN DARI CELUPAN ALLAH

Jiwa manusia terbahagi kepada dua iaitu jiwa kemalaikatan dan jiwa kehaiwanan. Jiwa kemalaikatan adalah jiwa yang cenderung untuk melakukan kebaikan berpandu kepada norma kepatuhan sejati seperti tergaris dalam syariaat Allah swt. Manakala jiwa kehaiwanan adalah jiwa yang cenderung melakukan kejahatan dan penyelewengan persis haiwan yang tidak menjadikan akal dan kewarasan untuk bertindak.

Allah swt menyebut tentang hal ini menerusi firmanNya yang bermaksud:

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”
As Shams : 7-11

Tingkahlaku manusia dan kecenderungan manusia boleh dipengaruhi oleh beberapa factor dan keadaan diantaranya ialah suasana sekeliling,latarbelakang pendidikan,keturunan,rakan dan sosiobudaya masyarakat.

Islam dengan dasar pentarbiahan yang bersifat “rabbaniah” mengajar dan mengasuh manusia dengan menjadikan semua faktor faktor itu terkawal dan terjajar dengan limpahan wahyu dan syariat. Misalnya Islam mensyariatkan puasa di bulan ramadhan dengan ketetapan tertentu antaranya bertujuan membentuk manusia untuk menjadi manusia dan meninggalkan sikap dan sifat kebinatangan.

Lihatlah apabila Allah mengikat arahan puasa kepada umat Islam dengan ikatan taqwa menerusi firmannya yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,”
Al baqarah :183

Ketika berpuasa manusia menahan makan dan minum dan tuntutan syahwat.Kesan daripada itu nafsunya dikawal untuk bertindak melepasai sempadan yang ditetapkan. Falsafah puasa ini akan mengajar manusia untuk patuh dan mengawal jiwa dan nafsunya selamamana dirinya dalam lingkungan Iman. Hasil pentarbiahan puasa akan membentuk jiwa yang patuh dengan peraturan sekalipun tidak lagi berada di dalam bulan ramadhan.

Begitulah dengan syariaat dan kefardhuan yang lain seperti haji dengan rukun rukun,wajib dan syarat syaratnya bertujuan mengasuh manusia untuk menyucikan diri sebagaimana layaknya seorang manusia. Maka malanglah jika mereka yang menunaikan ibadah haji dengan perjalanan jauh dan tambang yang mahal tidak mengambil nilai pentarbiahan “rabbaniah” sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan membina syakhsiyah cemerlang sebagaimana yang dituntut oleh Allah swt.

Lihatlah pula pada kelompok manusia yang mengasuh jiwa dan tingkahlaku kebinatangan.Mereka bertindak  seolah oleh lebih buruk daripada  binatang.Mereka tanpa segan silu mencabar sempadan Allah dengan melakukan pencabulan hak hak agama,jiwa,hartabenda dan maruah manusia. Apa yang berlaku di Gaza adalah cerminannya apabila golongan jiwa tak terasuh oleh wahyu bertindak sewenangnya mencabul peraturan manusia dan peraturan Allah sekaligus.Mata mereka buta,telinnga mereka ekak dan hati mereka tidak bergetar untuk menginsafi hakikat diri.

Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
AL Aaraf :179

Besarnya kelebihan dan banyaknya keuntungan mereka yang berada dalam kehidupan yang mendapat cahaya dan hidayah Allah swt serta melaksanakan kehidupan selaras dengan celupan Allah yang semestinya tidak boleh diubahsuai oleh sistem dan celupan manusia.

Hayatilah Firman Allah yang bermaksud:

“Maka jika mereka beriman kepada apa yang kamu telah beriman kepadanya, sungguh mereka telah mendapat petunjuk; dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (dengan kamu). Maka Allah akan memelihara kamu dari mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.Shibghah Allah “celupan Allah”. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.
Al Baqarah :137-138

Ustaz Abd wahid zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL .14 Ramadhan 1435

No comments:

Post a Comment