Pages

Friday, July 25, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (27)



JAUHI BINASA & KEBINASAAN AMAL

Ramadhan sudah menjengah ke hari ke 27.Sudah ramai di kalangan khalayak sudah berkira kira dengan persiapan untuk meraikan kehadiran Syawal.Pulang ke kampung halaman adalah agenda penting untuk meraikan Aidilfitri bersama mereka yang tersayang.Perjalanan pulang semestinya melibatkan kenderaan samaada kenderaan persendirian atau kenderaan awam.Apabila berkenderaan semestinya melibatkan aktviti di jalanraya yang semestinya penuh kesibukan pada musim seperti ini.

Tidak ada pilihan, kesesakan,kenderaan yang banyak,kerosakan, kemalangan dan sebagainya akan ditempuhi dalam perjalanan jauh seumpama ini.Justeru kesempatan ini marilah kita sama sama berpesan untuk mengelakkan dengan sedaya mungkin apa sahaja perkara yang boleh menimbulkan permasalahan dalam perjalanan.Jangan kita meletakan diri dalam kebinasaan hasil ketidak prihatinan dan kecuaian serta sikap penting diri sendiri.Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Al Baqarah :195

Pastikan perjalanan kita dirancang,kenderaan dalam keadaan yang baik untuk perjalanan.Ambil rehat yang secukupnya jika dalam keadaan keletihan dan jangan paksa diri untuk memandu dalam keadaan letih dan mengantuk.Wujudkan suasana kondusif dalam kenderaan seperti mendengar alunan bacaan ayat suci Al Quran atau mendengar siaran Radio IKIM yang memberi info tentang agama dan baik untuk seisi keluarga.Elakkan suasana tegang antara ibubapa dan anak anak semasa memandu begitu juga antara suami isteri agar lebih penumpuan ketika mengendalikan pemanduan.

Sikap berhati hati dan bertimbangrasa antara pemandu lain di jalan raya semestinya menjadi amalan wajib.memelihara hak hak jalan seperti disaran oleh Rasullullah.Begitu juga membuang sesuatu yang menyakitkan di tengah jalan sepatutnya menjadi budaya dan amalan kita.Andai ada perkara yang mengundang perselisihan elakkan dari berlaku pertengkaran dan selesaikan dengan tataca Islam yang indah itu.

Elakkan sifat tergesa gesa dan tidak sabar.Memotong kenderaan lain atas kepentingan diri sendiri dan memandu melulu serta laju akan mengakibatkan suasana tidak kondusif di jalanraya atau lebuhraya.Jalan raya dan Lebuh Raya bukan medan untuk menguji hebatnya “skill” pemanduan kita atau hebatnya kenderaan kita.Sebaliknya menjadi hamba Allah yang sentiasa berwaspada,sabar,bertimbangrasa dan berjalan dengan penuh tawaduk dan ketundukan di muka bumi adalah nilai hamba yang sebenar.

Firman Allah swt

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا ٦٣

Maksudnya:”Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;”

Al Furqan :63

Marilah kita insafi amalan kita yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan.Jangan kita binasakan amalan baik yang telah kita lakukan dengan bersungguh sepanjang ramadhan dengan amalan amalan buruk dan tidak beretika kita dalam perjalanan dan musafir kita.Jangan bongkak,riya dan besar diri serta hasad yang menghuni di dalam diri melenyapkan amalan kebajikan kita.

Sabda Rasullullah yang bermaksud:

”Hasad (dengki) itu memakan segala amal kebajikan  seperti api yang memakan kayu”.                                              

 (H.R. Abu Daud )

Berdoalah dalam permusafiran kita semoga sentiasa dikurniakan kebaikan dan perjalanan diiringi rahmat dan kasih sayang Allah swt.Selamat bermusafir dan semoga sampai ke destinasi.Intailah Ramadhan yang masih berbaki walau dalam kemeriahan Syawal kerana tiada bermakna Syawal tanpa Ramadhan yang mendahuluinya.

Abd wahid Zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL.27 Ramadhan 1435

Tazkirah boleh dibaca di http://islampenyelesaian.blogspot.com

No comments:

Post a Comment