Pages

Thursday, July 17, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (19)



RAMADHAN BULAN AKHLAK
(SIRI 2)

Semalam kita berbicara beberapa akhlak karimah yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seorang muslim. Pada bulan yang penuh keberkatan ini serta kerahmatan yang Allah limpahkan, adalah masa untuk bermuhasabah terhadap kesempurnaan akhlak dan tingkahlaku adakah berada pada tahap cemerlang atau sebaliknya. Beberapa ciri akhlak dan sifat mahmudah lagi yang perlu kita teliti.

f) Sifat Benar Dan Jujur.

Benar dan jujur adalah sifat yang wajib bagi Rasul. Kita sebagai hamba yang menurut ajaran Rasul mestilah mencontohi kehebatan sifat benar dan jujur yang ada pada rasul. Sebagai seorang muslim yang taat sifat ini mestilah menjadi inti diri pada masa yang sama sifat dusta dan bohong ada sifat jahat yang akan merosakkan diri dan komuniti. Malang sekali sekiranya pada bulan yang mulia ini pun ada di kalangan kita yang bersifat dusta dan bohong kerana ingin mencapai sesuatu tujuan berbentuk kepuasan hati dan dunia semata mata.

Pada bulan syaitan dirantai ini, sepatutnya kita tidak terpengaruh dengan sifat buruk dambaan syaitan,tapi malang ada sesetengah kita lebih meriah mencanang dusta berbanding kebenaran.Dusta adalah sifat yang akan memusnahkan jiwa dan membawa kepada kehinaan . Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap ianya penyakit yang dilaknat.

Sabda rasullullah yang bermaksud:

“ sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke Syurga.seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai orang yang benar,dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka.Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”

(Muttafaqun Alaih)

g) Rendah diri

Muslim yang taat dan menurut akhlak Rasulnya adalah muslim yang tawaduk dan tidak meninggi diri terutamanya sesama saudaranya yang muslim .Bertolak ansur dan bertoleransi adalah pakaian hidupnya. Sifat besar diri dan angkuh adalah jelmaan sifat syaitan yang mesti dihindarkan.Takabbur inilah yang membawa kehinaan kepada Iblis dan mendapat murka Allah.

Sabda rasullullah saw yang bermaksud:

“ Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah (sediki) sifat takabbur”

(H.Riwayat Muslim)




h) Menjauhi Sangka Buruk & Mengumpat

sifat buruk yang amat hampir dan menjadi budaya sesetengah kita adalah sangka buruk dan mengumpat. Sifat ini amat buruk kesannya.Ianya akan merosakkan keharmonian dan perpaduan serta memincangkan kepercayaan dan mahabbah.Budaya ini mesti dihindarkan jika kita menginginkan keamanan ini bertapak dalam masyarakat kita.Justeru Allah menjelaskan betapa buruk dan jijiknya sifat ini dan sepatutnya menjadi ingatan seluruh khalayak kita.

Firman Allah swt yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Al Hujurat : 12)

i)Pemurah

sifat pemurah adalah sifat yang tidak seharusnya tercabut daripada peribadi seorang muslim.Sifat rela mengorbankan harta ,jiwa dan raga adalah sifat mahmudah yang akan mendapat pandangan dan kasih sayang Allah swt.Ganjaran besar juga akan dikurniakan Allah bagi mereka yang bersifat pemurah dan peduli kepada pihak lain sebaliknya kikir dan kedekut adalah sifat dan budaya mereka yang mementingkan diri sendiri.Kikir dan kedekut bukan sahaja mengundang kebencian manusia bahkan mendapat kebencian Allah swt.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan karena mencari keridaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, niscaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikit pun tidak akan dianiaya (dirugikan).”

Al baqarah :272

j) Idola & Mithali (contoh teladan yang baik)

Setiap muslim yang taat dan menyedari kewajipan diri semestinya menjadi muslim contoh yang dapat mendekatan manusia lain kepada mencintai kebenaran.Kita mesti berusaha memperbaiki diri dari sudut penampilan samaada fizikal, dan sikap supaya menjadi ikutan orang yang mencari cari pedoman dan garis panduan hidup. Jangan nanti ada orang yang memberi alasan apabila ditanya kenapa menolak kebanaran, dengan alasan “orang Islam sendiri tidak menunjukkan contoh teladan yang baik untuk diikuti”

Marilah kita mencontohi Rasullullah yang menjadi idola ummah sepanjang zaman sepertimana firman Allah yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Al Ahzab ;21

Selamat menempuh 10 akhir Ramadhan dengan penuh semangat dengan mencontohi amalan Rasullullah saw yang membangunkan keluarganya dan Rasullullah beriktikaf pada 10 akhir Ramadhan tanpa ditinggalkan.



Abd wahid Zainol Abidin
L.Tarbiah PKHL. 19 ramadhan 1435

No comments:

Post a Comment