Pages

Wednesday, July 23, 2014

TAZKIRAH RAMADHAN (25)



MENILAI KEHAMBAAN DI PENGHUJUNG RAMADHAN

Seluruh khalayak mengetahui dan menyedari bahawa manusia adalah makhluk terhebat yang diciptakan oleh Allah. Kehebatan manusia dari sudut jasad dan rohani serta keupayaan akal untuk berfikir menjadikan keistimewaan yang tiada tandingan di atas mukabumi Allah swt.

Kemajuan dunia dan perkembangan tamadunnya tidak boleh dipisahkan daripada peranan makhluk manusia sebagai agen yang membawa perubahan demi perubahan. Saban hari perkembangan ini terus rancak dan memperlihatan ragam manusia semakin berbagai dalam semua sudut merangkumi politik,ekonomi,kemasyarakatan dan sebagainya.

Melihat keistimewaan manusia dari sudut ciptaan semata mata tanpa ditunjangkan siapakah pencipta manusia adalah satu kegagalan memaknakan keistimewaan manusia. Sebagai makhluk yang penuh keistimewaan diciptakan Allah swt, manusia tidak boleh lari dari pertanggungjawapan sebagai hamba kepada Tuhannya. Darjat yang paling mulia di sisi Allah bagi seseorang manusia ialah apabila diakui oleh Allah seseorang itu sebagai hamba sebagaimana Allah mengakui Rasullullah saw sebagai hambaNya menerusi firmannya yang bermaksud:

Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

(Al Isra’ : 1)

Manusia sebagai pemegang tugas khalifah dibebankan oleh Allah dengan taklifat (pertanggungjawapan). Taklifat yang ditugaskan oleh Allah kepada hambanya adalah sebagai medan untuk menguji samaada seseorang manusia itu akan berpihak kepada kebenaran atau kebatilan.Allah mengingatkan perkara ini menerusi firmannya yang bermaksud :

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.

( Al Ankabut : 2-3)

Justeru manusia perlu mengetahui dan memahami  bahawa

a)    Kita merupakan makhluk yang mempunyai tugas tugas yang difardhukan

b)    Kita juga merupakan makhluk yang mempunyai keinginan dan keinginan kita telah ditetapkan.

Manusia Dan Tugas Yang difahdhukan

Allah memilih makhluk bernama manusia untuk memikul amanah sebagai  khalifah. Melunaskan tanggungjawab khalifah ialah dengan mempastikan diri manusia itu berpegang dengan agama yang disyariatkan oleh Allah. Kerangka agama yang terdiri daripada Iman, Islam dan Ihsan adalah teras teras utama yang wajib dimiliki oleh setiap manusia tanpa mengira ras,bangsa, keturunan ,warna kulit dan sempadan geografi.

Satu hakikat yang perlu difahamkan kepada seluruh manusia bahawa berada dalam Iman yang soheh adalah wajib, menganuti Islam yang syumul adalah wajib dan menghayati ketaatan dengan balutan Ihsan adalah wajib. Islam bukan satu agama yang boleh dipilih pilih. Ambil jika suka ditinggal jika membencinya.Islam mesti dianuti dan disampaikan kepada seluruh manusia seperti seruan Allah swt menerusi firmanNya yang bermaksud :

  Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”

(Al baqarah : 208)

Tugas dan taklifat yang telah diperintahkan oleh Allah kepada manusia adalah tugas berbentuk fahdu.Ianya diturunkan menerusi wahyu dan menuntut manusia menunaikannya dengan syarat syarat yang telah ditentukan. Tugas seperti tuntutan Solat, puasa ,haji, zakat dan termasuk perkara berkaitan pengurusan kehidupan di dunia ini adalah perkara yang terangkum dalam tugas yang difardhukan oleh Allah kepada manusia.Bahkan tiada satupun urusan manusia di dunia ini yang boleh dipisahkan dengan arahan dan tugasan yang ditentukan Allah.

Manusia dan Keinginan

Sebagai manusia yang dibekalkan Allah dengan akal dan nafsu,manusia mempunyai naluri keinginan dan kehendak. Allah mengatur manusia supaya menyelaraskan kehendak menurut panduan yang ditetapkan Allah swt. Perumpamaan mudah yang boleh kita perhatikan ialah keinginan manusia untuk makan, Allah membenarkan manusia untuk makan tetapi mestilah makan dengan meraikan ketetapan Alllah swt misalnya makanan yang hendak dimakan mesti halal, bukan dicuri, bukan dari sumber yang ditegah dan bukan yang membawa mudharat kepada akal dan jasad.

Sememangnya keinginan dan kehendak manusia itu luas dan sukar dikawal namun Allah swt mengetahui kemampuan hambanya. Mematuhi ketetapan Allah adalah satu perjuangan dan amat dituntut, balasan pahala akan diganjari yang yang memetuhi ketetapan dan balasan dosa yang yang melanggar sempadan ketetapan Allah swt. Allah tidak akan memberati hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh hambaNya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya”
(Al baqarah : 286 )


Sebagai manusia yang dikurniakan kepintaran dan kecerdikan seharusnya kita berfikir agar tidak mensia siakan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah swt. Ingatlah Allah memberi kita pilihan sama ada ingin melalui jalan bahagia atau menempah jalan kehancuran. Usah kita cemari keistimewaan manusia dengan memilih jalan maksiat dan pendustaan. Allah mengingatkan menerusi firmanNya yang bermaksud:


”Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya),Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

( As syams : 7-10)


Ingatlah lorong hidayah itu kurniaan yang cukup berharga, dambakanlah ianya tanpa uzur pohonlah kepada Allah selalu agar kita sentiasa istiqomah di jalannya dan rayulah selalu agar kita tidak diberati oleh beban yang tak mampu kita lunaskan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Al Baqarah :286


Mohon Ampunan Allah
ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
L.Tarbiah PKHL. 25 Ramadhan 1425

Tazkirah boleh dibaca di http://islampenyelesaian.blogspot.com

No comments:

Post a Comment